As Syeikh Muhammad Said Al Linggi

KEISTIMEWAAN Asy Syeikh Muhammad Said Al Linggi ialah beliau bukan saja alim empat mazhab feqah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang muktabar tetapi juga terkenal sebagai seorang ulama yang mengembangkan Tareqat Ahmadiah yang diasaskan oleh Asy Syeikh Ahmad Idris Ad Dandrawi r.m. Dan kerana mengembangkan ilmu dan tareqat, beliau menjelajah hingga ke Kampuchea, Thailand dan Singapura, selain di merata Semenanjung Tanah Melayu khususnya negeri asalnya, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Di Negeri Sembilan, Syeikh Said menjadi ulama pertama yang membuka pusat pengajian sistem pondok bertempat di Ampangan, kira-kira 1 km dari bandar Seremban. Beliau tidak pernah rehat daripada mengajar orang ramai di merata tempat khususnya dalam daerah Linggi dan Port Dickinson.

Walaupun Negeri Sembilan terkenal dengan berbagai adat namun Syeikh Said sentiasa menentang apa saja adat khurafat dan menyalahi syarak, manakala adat-adat yang bersesuai-an dengan syarak dibiarkan masyarakat mengamalkannya. Ulama didikan Makkah, Mesir, Pattani dan pernah ke Palestin ini juga seorang pengarang. Kitab-kitab karangannya banyak menyuluh persoalan-persoalan sufi dan kemasyarakatan. Syeikh Muhammad Said Al Linggi r.m. adalah seorang wali Allah yang dikurniakan banyak karamah zahiri dan karamah maknawi.

Bertemu Rasulullah Dalam Jaga

Masuk waktu Asar, kami sampai di halaman rumah Syeikh Haamid di Batu Tiga, Mambau, Negeri Sembilan. Di depan anak tangga surau depan rumahnya itu kelihatan beberapa pasang kasut. Demikianlah kebiasaan bagi pemimpin zikir dan ahli ibadah, mendirikan surau berdekatan dengan rumah.

“Tentu mereka sedang sembahyang jemaah Asar,” fikir kami.

Kami (penulis, Akhi Zakaria Sungib, akhi Roslan Kassim dan seorang penunjuk jalan), yang dalam musafir, sudah mengerjakan sembahyang jamak taqdim, lain kami duduk-duduk menunggu dalam kereta Proton Saga sambil berbual-bual.

“Insya-ALLAH kita dapat jumpa dia,” kata saya kepada kawan-kawan. “Kita tunggu dia keluar dari surau sajalah.”

Syeikh Haamid ialah anak bongsu kepada Syeikh Muhammad Said Al Linggi. Abangnya Syeikh Ahmad adalah Mufti pertama Negeri Sembilan.

Sebenarnya kami sudah diberi panduan oleh Syeikh Faiz yang kini mengendalikan pondok Rasah, pondok pengajian peninggalan ayahnya Tuan Mufti Syeikh Ahmad, bahawa waktu yang mudah untuk menemui bapa saudaranya Syeikh Haamid ialah waktu beliau keluar sembahyang Asar. Syeikh Faiz adalah adik kepada Mufti Negeri Sembilan sekarang, Syeikh Murtadha.

Lama juga menunggu. Memang pembawa tareqat biasanya berwirid bersama pengikut-pengikutnya lebih panjang daripada orang kebanyakan. Kami mula bersiar-siar di halaman surau yang itu jugalah halaman rumahnya sambil menghirup udara petang yang nyaman.

Beberapa minit kemudian muncullah beberapa orang melangkah keluar dari pintu surau yang kemas dan sederhana itu. Kami bersalaman dengan semua. Yang tertua di kalangan mereka bertanya, “Tuan-tuan ini dari mana?”

Kami pun memperkenalkan diri dan seterusnya saya bei kata, “Hajat kami hendak menemui Tuan Syeikh Haamid kerana hendak mendapat maklumat-maklumat tentang diri Syeikh Said Al Linggi…”

“Sayalah Haji Haamid. Ada apa-apakah nak ambil riwayat dia, dalam manakib pun dah ada ceritanya dan saya pun tak banyak tahu, kerana sewaktu ayah saya meninggal saya baru berumur tiga tahun. Saya anak bongsu…,” jelas orang tua itu sambil mempersilakan kami semua duduk.

Saya dan akhi Zakaria (ketua penyunting) duduk bersama-nya di atas anak tangga dan yang lainnya duduk di atas bangku di depan tangga itu. Ustaz Roslan (ketua wartawan) hanya berdiri sambil bersiap sedia dengan kameranya.

Sambil berbual mesra, Syeikh Haamid menceritakan juga setakat yang beliau tahu tentang diri ayahnya. Kadang-kadang beliau merujuk kepada manakib yang ditulis oleh abangnya Mufti Syeikh Ahmad. Dalam bercakap-cakap itu beliau menyentuh tentang ketinggian ilmu, kewarakan, dan usaha ayahnya menyebar dakwah dan mengembangkan Tareqat Ahmadiah. Kami sentiasa mencelah dengan berbagai pertanyaan.

‘Tadi,” tanya kami, “tuan cerita bagaimana Syeikh Said Al Linggi mendapat ijazah Tareqat Ahmadiah daripada Sidi Syeikh Muhammad Ad Dandarawi dan beliau menerima pula daripada ayahnya Sayidi Syeikh Ahmad bin Idris yang menjadi pengasas tareqat ini. Jadi bolehkah tuan cerita pula bagaimana amalan-amalan zikir dan wirid tareqat ini diterima oleh Syeikhul tareqatnya, Sayidi Syeikh Ahmad Idris?”

“Perkara ini payah bagi orang hari ini hendak terima kerana mereka semua mahu lojik dengan akal. Ini payah benar, kadang-kadang jadi fitnah,” jawab beliau.

Bagaimanapun beliau terus senyum manis melihatkan kami ingin mendapat maklumat yang sulit-sulit itu. Kami menjelaskan tujuan mendapatkan maklumat ini untuk didedahkan kepada generasi hari ini yang kian pupus pengetahuan tentang kerohanian sedangkan ianya merupakan sumber kekuatan utama Islam. Beliau mengangguk dan dengan muka berseri-seri meneruskan:

“Sayidi Ahmad Idris menerima amalan tareqat ini daripada Nabi Khidir a.s. dan menerima sekali lagi daripada Nabi Muhammad SAW. Kedua-dua peristiwa itu berlaku dalam keadaan suri.”

“Boleh tuan jelaskan apa maksud suri?”

“Suri ialah berjumpa secara jaga yakni bukan mimpi, wallahu a’lam,” jelas Tuan Syeikh Haamid yang kini menjadi salah seorang pembawa amalan Tareqat Ahmadiah selain daripada Syeikh Faiz dan lain-lain tokoh dalam Negeri Sem-bilan, negeri yang paling dominan (berpengaruh) dengan amalan Tareqat Ahmadiah.

Kenyataan itu mengingatkan penulis kepada buku Masalah Berjumpa Rasulullah Secara Jaga Selepas Wafatnya, di mana pengarangnya Syeikh Husain Hasan Tomai memetik dari kitab Afdhalus Salawat karangan Sayid As Syeikh Yusuf An Nabhani bahawa Sayidi Ahmad bin Idris juga telah menerima dari Nabi SAW Al Ahzab Al Khamis. Nabi SAW telah memberi kepadanya beberapa aurad yang baik serta tareqat tertentu untuk diamalkan.

Menurut pengarang buku itu lagi, ada yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah berkata kepada Syeikh Ahmad Idris: “Wahai Ahmad, sesungguhnya saya telah berikan kepada kamu anak kunci langit dan bumi, iaitu zikir khusus, dan selawat Al Azimah, serta astaghfar al kabir.”

Syeikh Husain Hasan Tomai memetik kata-kata Sayidi Ahmad ini: “Kemudian aku menerimanya (amalan-amalan tareqat) dari Rasulullah SAW dengan tanpa wasitah (jumpa Nabi SAW dalam jaga). Aku mengajar kepada ahli tareqat se-bagaimana Rasulullah telah mengajar aku dahulu (dalam jaga). Suatu ketika, baginda Rasulullah SAW mengajar (amalan).”

(Penterjemah buku ini, Ustaz Anuar Hj. Abdul Rahman dalam ulasannya, menjelaskan lagi’tentang Sayidi Ahmad bin Idris menerima amalan Tareqat Ahmadiah secara jaga dari¬pada baginda Rasulullah SAW. Dan buku ini me’nyatakan ba¬hawa Syeikh Tareqat Tijaniah juga mendapat ijazah terus daripada Rasulullah SAW secara jaga. Wallahu a’lam.)

Dalam persoalan yaqazah (bertemu secara jaga) ini, Prof. Dr. Awang Mahmud Saedon dari Universiti Islam Antarabangsa, dalam makalah bertajuk ‘Tuan Haji Ahmad bin Mohd Said (Al Linggi), Pemimpin Al Tariqah Al Ahmadiyah Al Ra-syiddiyah Al Dandarawiyah’ yang disiarkan dalam Buku Cen-deramata Memperingati Tokoh Ulama Silam ke-5, anjuran Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, pa¬da tahun 1980, telah menulis (di halaman 49):

“Perlu diingat bahawa Sayidi Ahmad pengasas tariqah ini (Ahmadiyah) telah menerima tariqah ini dari Nabi Khidir a.s. atas kehendak Rasulullah s.a.w. Selepas itu Rasulullah sendiri sekali lagi mengajar Saidi Ahmad Idris akan tariqah ini tanpa wasitah di dalam pertemuan atau perhimpunan suri …”

Beliau merujuk kepada halaman 12 kitab Farid Al Ma’thar Al Marwiyyah Li Al Tariqah Al Ahmadiyyah Al Rasyidiyyah Ad Din Darawiyah, karangan Tuan Mufti Syeikh Ahmad bin Syeikh Muhammad Said.

Dakwah ke Siam, Kampuchea dan Singapura

Perbualan kami dengan Syeikh Haamid petang itu tidak habis pada soal-soal yaqazah saja tetapi juga menyentuh persoalan-persoalan lain tentang diri Syeikh Muhammad Said Al Linggi.

Syeikh Haamid berkata, Syeikh Said dalam usaha berdak-wah dan mengembangkan tareqat, telah menjelajah hingga ke Singapura, Pantai Timur Tanah Melayu sampai ke Pattani, Ayuthia dan terus ke Kampuchea.

“Ibunya orang Pattani,” tambah Syeikh Haamid.

Penulis teringat pertemuan dengan Pak Chik Muhammad Abu Bakar, khadam Syeikh Said, satu ketika dulu, yang mana beliau menceritakan bahawa tuan gurunya menjalankan dakwah dan menyebarkan ilmu ke Singapura. “Saya pernah bersamanya ke Singapura,” kata Pak Cik Muhammad Abu Bakar.

Kerana jauhnya perjalanan Syeikh Said, tidak hairanlah daripada 9 orang isterinya terdapat seorang berketurunan Kampuchea. Dan tidak mustahil pengaruh orang-orang besar seperti Syeikh Said itu ada kaitan pula dengan sikap orang-orang berbangsa Cham baik di Kampuchea mahupun di Vietnam. Hingga sekarang orang-orang Cham sangat menghormati orang-orang Melayu kerana mereka sedar guru-guru agama dari Semenanjung Tanah Melayulah yang datang membimbing orang-orang Islam Cham satu masa dulu.

Ini diakui oleh pendakwah-pendakwah bebas dari Malaysia yang beberapa kali berkunjung menjalin silaturrahim ke sana. “Sambutan orang-orang Vietnam berbangsa Cham terhadap kedatangan kami seperti menyambut rombongan anak dara,” kata Ustaz Akashah, ketua rombongan Jemaah Tabligh yang berdakwah ke Vietnam tahun sudah. “Mereka mengenang jasa-jasa tuan guru yang mengembangkan Islam di tempat mereka, kebanyakannya datang dari Tanah Melayu,” cerita Ustaz Akashah kepada penulis.
Beberapa pendakwah seperti kami juga pernah meng-adakan hubungan yang erat dengan masyarakat Kampung Koh Khon dan beberapa buah kampung berdekatan di Selatan Kampuchea. Hubungan ini meliputi semua peringkat masyarakat termasuk para pemimpinnya.

Perkembangan ini menyatakan besar dan berkesannya peranan orang-orang sufi seperti As Syeikh Muhammad Said Al Linggi mengembangkan agama ALLAH hingga sanggup mehjelajah ke merata tempat dengan tabah mengharungi apa saja susah payah dunia. Dan kekuatan jiwa dan keluasan fikiran seperti ini hanya ada pada orang-orang yang hampir dirinya dengan Allah atau para wali ALLAH.

Sehingga ke hari ini masih terdapat sebuah masjid yang diasaskan oleh Syeikh Said Al Linggi di Ayuthia, ibu kota Thailand sebelum Bangkok. Ini disahkan oleh beberapa orang termasuk Haji Zain bin Haji Ibrahim bin Syeikh Said Al Linggi sewaktu penulis menemui beliau di Janda Baik, Pahang, awal tahun 1992.

“Sepupu saya yang menjadi imam di masjid itu sekarang ini,” tambah Haji Zin, cucu Syeikh Said menerusi anaknya Haji Ibrahim, daripada isteri Syeikh Said yang berasal dari Kelantan. Syeikh Said memperolehi dua anak daripada isteri orang Kelantan ini. Manakala Syeikh Haamid pula adalah anak Syeikh Said dari isterinya orang Ampangan, Negeri Sembilan. Mereka kesemuanya enam beradik. Daripada ibu orang Linggi pula ada empat orang adik-beradik termasuk Allahyarham Haji Mahadi, bekas pelakon.

Bagaimanapun Syeikh Haamid tidak dapat menerangkan secara lebih lengkap tentang anak-anak Syeikh Said. Tetapi yang pasti, datuknya itu mempunyai 17 orang anak dan 9 orang isteri. Dalam satu-satu masa Syeikh Said sentiasa berpoligami empat orang.

Mengenai kegiatan dakwah Syeikh Said, Syeikh Haamid bercerita bahawa pernah seorang raja Siam bermimpi menemui seorang yang berjubah dan berserban serba putih, muka berseri-seri. Raja itu memanggil seorang sami besarnya untuk menta’bir mimpinya itu. Sami itu berkata, “Saya tidak dapat menta’birkan mimpi ini tetapi sedikit masa lagi akan datang seorang alim besar Islam maka tuanku boleh bertanya kepadanya, dia boleh menta’birkan mimpi tuanku dengan tepat.”

Tidak lama kemudian datanglah Syeikh Said ke ibu kota itu. Raja Siam sedar tentang kehadiran seorang alim Islam bernama Syeikh Said maka berlakulah pertemuan di antara keduanya. Raja Siam lalu bertanya dari hal mimpinya itu. Syeikh Said memberitahunya bahawa orang yang dilihatnya dalam mimpi itu ialah Rasulullah SAW, pembawa ajaran Islam. Raja Siam menerima tafsiran itu dengan senang hati.

Tidak lama kemudian raja Siam itu memeluk Islam di tangan Syeikh Said sendiri. Tetapi tidak lama selepas itu raja itu pun meninggal. Hingga ke hari ini, ada diperkatakan oleh orang-orang Thailand sendiri bahawa terdapat seorang raja Siam yang memeluk Islam di tangan ulama Melayu.

Kejadian ini mungkin sukar diterima oleh sesetengah orang hari ini kerana kita tidak dapat membawa fakta-fakta yang lebih kuat. Bagaimanapun, jika kita meneliti sejarah ulama-ulama dan mubaligh Islam dari tanah Arab dan India yang membawa Islam ke Nusantara, kita akan temui beberapa kejadian yang seumpamanya. Ketika itu orang-orang Melayu termasuk raja-rajanya kebanyakannya masih beragama Hindu. Ini berlaku kepada Syeikh Ismail yang datang dari Makkah dan berjaya meng-Islamkan raja Pasai di Sumatera bernama Merah Silu yang memakai nama Islam, Malikul Salih (tahun 1297). Begitu juga dengan peng-Islaman Parameswara di Melaka dengan nama Sultan Muzaffar Shah. Beliau sebelumnya adalah penguasa kerajaan Sri Wijaya di Palembang.

Begitu juga peranan orang-orang seperti Syeikh Yusuf Tajul Khalwati, seorang ulama tareqat di Makasar; Wali Songo yang merancang peng-Islaman orang-orang Jawa, Kali¬mantan dan beberapa negeri dalam Nusantara; dan Syeikh Jalil di Lembah Bujang, Merbok, Kedah yang sebelumnya terkenal dengan kerajaan hindu Langkasuka.

Sebenarnya banyak lagi kejadian seumpamanya yang tidak dapat dimuat dalam ruangan yang terbatas ini. Malah cerita-ceritanya panjang-panjang pula. Bagaimanapun, sejarah membuktikan bahawa Islam masuk ke Nusantara khususnya di Alam Melayu dibawa oleh mubaligh-mubaligh dan tokoh-tokoh ulama berjiwa sufi yang tinggi kerohanian. Kejadian Syeikh Muhammad Said r.m. meng-Islamkan raja Siam itu merupakan karamahnya dalam bentuk maknawi.

Anak Melayu Berjiwa Besar

Syeikh Hj Muhammad Said r.m. dilahirkan pada hari Sabtu, 4 Syaaban 1292 Hijrah bersamaan tahun 1874 Masihi di Kampung Syuaib Ali di Makkah. Ibunya Hajjah Siti Sofiah yang terkenal solehah dan penyantun, berasal dari Pattani, Selatan Thailand serta menjadi guru qiraah Al Quran semasa di Makkah dan di Pattani. Murid ibunya itu tidak terbilang banyaknya. Bapanya pula Tuan Syeikh Hj. Jamaluddin Al Linggi (1833-1887) adalah seorang ulama Negeri Sembilan yang pernah mengajar di Masjidil Haram semasa mereka bermukim di Makkah.

Menurut catatan Dr. Mohd Nur Manuti dan Hj. Hassan Salleh dalam kertas memperingati Tokoh Ulama Silam ke-5 (memperkatakan sejarah perjuangan Hj. Ahmad Said) di UKM, Bangi pada tahun 1980, Syeikh Muhammad Said r.m. mempunyai nasab keturunan daripada Abdullah bin Abbas r.a., sepupu Rasulullah SAW.

Manakala dalam manakib (buku sejarah hidup) Syeikh Muhammad Said r.m., dinyatakan bahawa bapanya Syeikh Jamaluddin Al Linggi ialah seorang ulama yang zahid, qanaah dan dikurniakan berbagai karamah yang pelik-pelik.

“Dalam menjalankan tugasnya sebagai orang alim dia tidak takut melainkan kepada Allah SWT sekalipun raja dan tidak gentar kepada cerca orang yang mencerca.

“Kerana ini sebenarnya maka dikatakan bahawa Sohibul Manakib (Syeikh Muhammad Said) itu ‘anak singa’ kerana singa tiada memperanak melainkan singa yang seumpama-nya.” (Manaqib Syeikh Muhammad Said Al Linggi, hal. 11).

Benarlah apa yang diibaratkan oleh penulis manakib ba¬hawa Syeikh Muhammad Said muncul sebagai ulama berwi-bawa dan terkenal. Malah pengaruhnya lebih luas dari bapa¬nya sendiri Syeikh Jamaluddin yang berasal dari Linggi, Negeri Sembilan.

Ketika berumur 7 tahun, Syeikh Muhammad Said r.m. dibawa balik oleh ibunya ke Pattani. Di sana mulalah beliau mempelajari ilmu-ilmu syariat, usuluddin, tasawuf, nahu, saraf dan lain-lain, selain sudah fasih dalam bidang qiraah Al Quran hasil didikan ibunya.

Selain seorang yang pintar, beliau sangat tekun belajar sehingga ada masa-masanya beliau tidak tidur malam sehingga terbit fajar kerana mentelaah kitab dan menghafaz. Di antara guru-gurunya di Pattani ialah Syeikh Zainal Abidin Al Fatani dan Syeikh Muhammad Nor Kedah.

Dengan kemahuan sendiri serta didorong oleh keltiarganya, Syeikh Muhammad Said r.m. melanjutkan pelajarannya ke Makkah sewaktu berumur 17 tahun. Di Makkah, beliau menghabiskan umur remajanya itu sepenuhnya untuk meluas-kan pengalaman dan menimba sebanyak-banyaknya ilmu daripada guru-guru yang tertaraf Al Alamah. Di antara guru-guru¬nya di Makkah ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Al Makki, Syeikh Mohd. Nawawi Al Bantani As Syafi’i, Syeikh Ahmad Al Mansyawi, Syeikh Ibrahim Al Baijuri, Mufti Asy Syafi’i, Syeikh Mohd. Said, Syeikh Zainal Abidin As Sam-bawi dan ramai lagi daripada ulama yang warak dan taqwa. Semasa di Madinah beliau sempat belajar dengan Syeikh Jaafar Al Barzanji yang sangat masyhur itu.

Kemudian Syeikh Muhammad Said Al Linggi menziarahi Baitul Muqaddis dan terus ke Mesir di mana beliau diminta mengajar beberapa waktu, kitab-kitab besar seperti Syarah Mahali atas Jami’ul Jawamik. Selepas lapan bulan beliau me-lanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar.
Di Mesir, Syeikh Muhammad Said r.m. berpeluang melanjutkan kefahamannya tentang perjalanan ilmu feqah empat mazhab daripada guru-gurunya seperti Syeikh Shamsuddin Al Bayani dan Syeikh Ahmad Al Rafie Al Maliki. Hal ini di-akui oleh Pak Cik Muhammad Abu Bakar, 102 tahun, yang menjadi khadam beliau lebih 15 tahun.

Menurut Pak Cik Muhammad, Syeikh Muhammad Said r.m. alim empat mazhab dan kealimannya itu sangat terserlah semasa beliau bermukim di Singapura.

Setelah beberapa tahun di Mesir, Syeikh Muhammad Said kembali ke Makkah. Kali ini beliau bersungguh-sungguh pula beramal, mengajar dan bermujahadatunnafsi sehingga beliau bertemu dengan Syeikhul Tareqat Ahmadiah seperti tercatat dalam manakib beliau:

“Sehingga berhimpunlah ia r.m dengan Imam yang Rabbani, Khattib yang Somadini yang mempunyai Tareqat Al Ahmadiah Al Rasyidiyah Hadarat As Sayid Muhammad bin Ahmad Al Dan-darawiyah na. maka menerimalah ia r.m. (Syeikh Muhammad Said) daripadanya akan Tareqat Ahmadiah.” —Manakib Syeikh Muhammad Said Al Linggi, hal. 23

Maka berlazimlah ia mengamalkan amalan tareqat ini dengan tertib, sempurna dan istiqamah. Beliau diizin pula mengembangkan amalan Tareqat Ahmadiah ini kepada orang ramai. Sejak itu dadanya bukan saja penuh berisi ilmu-ilmu zahir yang tahkik daripada guru dan kitab yang muktabar malah mula pula berisi ilmu-ilmu sufi dan kerohanian yang haq setelah diijazah ilmu tareqat dan hakikat itu.

Kemudian barulah Syeikh Muhammad Said r.m. mengambil keputusan meninggalkan Makkah untuk pulang ke Tanah Melayu, ketika berumur dalam lingkungan 30 tahun. Beliau memilih Kampung Ampangan, Seremban sebagai tempat tinggal tetapnya.

Kepulangannya ke negeri asal bapanya itu tidak lain melainkan atas dorongan yang kuat untuk menyebarkan ilmu, tarbiah, dakwah dan amalan tareqat seperti yang dituntut oleh agama. Atas niat yang murni itu, mulalah beliau bergelanggang sebagai tuan guru, dan memimpin masyarakat yang rata-rata masih jahil tentang ilmu dan amalan syariat.

Tahun-tahun berikutnya, perjuangan Syeikh Muhammad Said r.m. semakin kencang dalam usahanya menghapuskan bid’ah dhalalah dan kejahilan masyarakat serta berhadapan pula dengan pegangan khurafat dan amalan adat yang menyalahi syariat. Seperti juga pejuang-pejuang Islam sejak dulu, ketegasannya dengan hukum ALLAH SWT ini tidak terlepas dari tentangan dan fitnah yang berbagai-bagai.

Namun beliau tetap tabah, sabar dan berhikmah mengha-dapi penentang-penentangnya yang masih belum mengerti kebenaran Al Haq dan mutiara hikmah yang diperjuangkan olehnya itu. Berkat sabar dan hikmah, akhirnya beliau menerima ramai pengikut setia dari merata tempat. Mereka terdiri daripada orang-orang penting masyarakat dan orang kebanyakan yang patuh dan menerima beliau sebagai mursyid. Demikianlah Allah SWT memelihara dan menolong orang-orang-Nya daripada diganggu-gugat oleh musuh-musuh.
Beberapa tahun kemudian, beliau mendirikan pondok pengajian di Kampung Ampangan, Seremban bagi menam-pung pelajaran murid-murid sepenuh masa. Institusi penga¬jian pondok pertama dalam Negeri Sembilan ini berjalan lancar dan mendapat sambutan bukan saja dari pelajar dalam Negeri Sembilan tetapi juga dari negeri-negeri lain.

“Pelajar pondok ini datang dari merata tempat tetapi bi-langannya sederhana sahaja dalam lingkungan 60 orang murid yang tinggal tetap, kerana Tuan Syeikh Said r.m. lebih banyak keluar mengajar orang ramai dan memimpin amalan tareqat,” kata Pak Cik Muhammad yang turut menjadi murid tetap di pondok Ampangan itu.

Syeikh Muhammad Said selalu keluar memberi kuliah di masjid-masjid dan surau terutamanya pada sebelah malam. Di antara daerah-daerah yang sering dikunjungi olehnya ialah Linggi, Rembau dan Port Dickson. Sewaktu Syeikh Muhammad Said r.m. mengajar di Linggi, Pak Ngah Idris Linggi yang ketika itu masih remaja, pernah mengikuti kuliah pengajiannya.

“Pada masa itu umur saya dalam lingkungan 15 tahun yang lunjuk lain (masih leka) sedangkan Tuan Syeikh Said membawa ke jalan taqwa. Lama-kelamaan baru saya dapat ikut amalan yang beliau berikan sehingga sekarang,” cerita Pak Ngah Idris, 79, yang ada hubungan kekeluargaan dengan Syeikh Muhammad Said r.m, bak kata pepatah, “tergesel kena miang, tertegak kena rebas.”

Pak Cik Muhammad Abu Bakar berkata Syeikh Muhammad Said r.m. banyak menjelajah sampai ke Kelantan, Terengganu, Johor dandi Singapura.

Hasilnya orang ramai mendapat kesedaran beragama. Manakala amalan Tareqat Ahmadiah berkembang luas dalam Negeri Sembilan, beberapa tempat di selatan Semenanjung hingga ke negeri Kelantan.
Syeikh Muhammad Said sangat kuat mempertahankan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada dicemari oleh ahli-ahli bid’ah yang menyalahi mazhab yang empat. Mere¬ka ingkar daripada bertaklid, sebaliknya mendakwa berijtihad. Atas kegigihan Syeikh Muhammad Said r.m. berjuang maka tiada seorang pun daripada ahli bid’ah itu yang dapat menye-barkan pengaruh mereka semasa hayatnya.
“Dan setengah daripada nazamnya menyebut ia padanya akan kesesatan puak-puak wahabi dan kekarutan-kekarutan mereka itu.” (Manakib Syeikh Muhammad Said Al Linggi, hal. 33).

Seperti tercatat dalam manakibnya, Syeikh Muhammad Said r.m. seorang yang zahid (tidak cinta dunia, harta benda dan kedudukan), bersifat qanaah (memadai dengan apa yang ada), pemaaf, tawakkal dan taqwa dan cerdik. Sifat-sifat mulia lagi terpuji ini dimiliki sejak masih menuntut di Tanah Arab lagi. Dengan hati yang suci bersih itu Syeikh Muhammad r.m. menjadi seorang yang bersyahsiah, berjaya dalam kepimpinan dan dikurniakan banyak karamah.

Dalam ruangan terhad ini kita tidak berniat untuk mema-sukkan peristiwa-peristiwa pelik yang terjadi pada diri beliau yang berupa karamah melebihi 30 peristiwa yang tercatat dalam manakib dan daripada cerita-cerita lisan.

Namun demikian, nyatalah bagi kita Syeikh Muhammad Said r.m. Seorang pemimpin masyarakat dan ulama yang unggul, dapat mencorak masyarakat dengan ilmu dan amal, dan merupakan orang yang bertanggungjawab mengembangkan Tareqat Ahmadiah di Semenanjung Tanah Melayu. Dengan kata lain, beliau bukan sahaja ahli fikir seperti kebanyakkan intelek agama hari ini yang hanya mampu berteori dan mengeluarkan pendapat-pendapat pada majlis-majlis rasmi sahaja sedangkan hidup mereka terasing daripada orang ramai, tanpa pengikut dan tidak dapat dicontohi.

Dalam kesibukan masa itu, sempat juga Syeikh Muhammad Said r.m. mengarang kitab dan risalah. Menurut senarai yang dikeluarkan oleh Sekolah Menengah Agama Syeikh Muhammad Said, sekolah menengah agama tertinggi di Negeri Sembilan, terdapat tujuh buah hasil tulisan beliau; antaranya ialah Risalatul Fawa’id, Syarhu Kunuzil-Jawahiril Nuriah, Sullamu Takrif fi Ilmil Tasrif, Rasalatun Fathi dan II Kasyfu Wal Maiis an Ashab Saidi Ahmad bin Idris.

Syeik Muhammad Said Al Linggi meninggal dunia pada 12 Rabiulawal 1345 bersamaan 1926 Masihi dalam usia 52 tahun. Beliau dimaqamkan di tanah perkuburan yang me-ngambil sempena namanya, Tanah Perkuburan Syeikh Muhammad Said di Seremban, dengan diiringi doa puluhan ribu pengikutnya. Demikianlah kehendak Allah SWT terha¬dap hamba-Nya yang dikasihi-Nya.

Almarhum meninggalkan 32 orang anak daripada 9 orang isteri (semasa akhir hayatnya beliau mempunyai empat isteri). Kebanyakan anak dan cucunya alim dalam ilmu agama dan warak terutama Syeikh Abdullah yang merupakan waris sulung yang mengambil alih tugas khalifah Tareqat Ahmadiah, kemudiannya disambung oleh adiknya, Syeikh Ahmad, Mufti Negeri Sembilan yang pertama.

Hingga kini, tugas ini terus disambung oleh mereka yang arif di kalangan anak dan cucu Tuan Hj. Syeikh Muhammad Said r.m. dengan ribuan pengamalnya.

Profil Ringkas Penulis Manakib Syeikh Said

Manakib (sejarah hidup) Syeikh Muhammad Said r.m. ditulis oleh anak keduanya, Sohibul As Samahah As Syeikh Ahmad bin Syeikh Muhammad Said, Mufti pertama Negeri Sembilan (menerima tawaran jawatan mufti setelah didesak oleh orang ramai dengan restu ibunya almarhumah Siti Zubaidah).

Syeikh Ahmad terbilang di antara barisan alim ulama Malaysia yang berwibawa, berpengaruh, pengasas pendidikan menengah Islam pertama dalam Negeri Sembilan dan juga seorang pengarang.

Dilahirkan di Kg. Ampangan, Seremban pada tahun 1914, beliau dibesarkan dalam keluarga mulia dan taat beragama. Syeikh Ahmad juga seorang yang pintar. Pada tahun 1926 beliau melanjutkan pelajaran ke Makkah Al Mukarramah selama lapan tahun. Di sana beliau sentiasa mendahului pelajar-pelajar lain dalam pencapaian ilmu sehingga dalam masa sesingkat itu sudah mendapat gelaran Al Mursyid. Pada waktu-waktu tertentu beliau diamanahkan oleh guru-gurunya mengajar, terutamanya kepada pelajar-pelajar Melayu.

Pada tahun 1934, beliau kembali ke tanahair dengan azam meneruskan amanah bapanya menyebarkan ilmu. Setahun ke-mudian Syeikh Ahmad Said mendirikan sekolah di kampung Rasah, Seremban yang merupakan sebuah institusi pengajian Islam pertama bertaraf menengah berbentuk pondok di Negeri Sembilan. Sekolah ini diberi nama Al Madrasah As Sai-diyyah bersempena dengan nama bapanya Syeikh Muhammad Said r.m. Madarasah ini juga dikenali sebagai Pondok Rasah.

Syeikh Ahmad amat tegas pendiriannya mempertahankan hukum-hukum syarak Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak bertolak-ansur dengan mana-mana adat Melayu yang bercang-gah dengan syariat seperti Adat Pepatih yang luas diamalkan di Negeri Sembilan. Beliau berhujah bahawa peraturan pem-bahagian pusaka mengikut Al Quran dan Hadis sudah sem-purna, adil dan muktamad. Manusia tidak perlu meminda atau mengubahnya lagi. Beliau tetap tegas walaupun menerima tentangan hebat dari masyarakat dan pihak penguasa.

Syeikh Ahmad yang merupakan ulama yang menguasai bidang-bidang syariah, aqidah (tauhid), tasawuf, nahu, saraf, syair, falak dan lain-lain adalah pembawa (khalifah) Tarekat Ahmadiah selepas kematian abang sulungnya Syeikh Ab¬dullah. Mereka berdua menerima amanat dan ijazah terus daripada Syeikh Muhammad Said r.m.

Syeikh Ahmad kembali ke rahmatullah pada tahun 1964 ketika berusia 50 tahun, meninggalkan empat isteri dengan 37 orang anak dan banyak hasil karya yang berupa kitab dan risalah-risalah.

Profil Ringkas Khadam Syeikh Said

Pak Cik Muhammad bin Abu Bakar, 102 tahun, berguru dan menjadi khadam Syeikh Muhammad Said r.m. atas kehendak bapanya. Berkat disiplin beragama sejak kecil, beliau men-jalankan tugasnya dengan sempurna seperti yang diharapkan oleh bapanya. Selama lebih 15 tahun lamanya beliau menjadi khadam tuan gurunya iaitu sejak umurnya 20 tahun.

“Ayah saya serah saya kepada Tuan Syeikh Said sewaktu pertemuan mereka di Rahang, Negeri Sembilan,” kata Pak Cik Muhammad.

Dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dalam tahun 1887 dalam keluarga India Muslim yang taat beragama. Ibu ayahnya berasal dari Kerala, India selatan dan berhijrah ke Tanah Melayu bersama-sama pedagang dari India pada penghujung kurun ke-18 Masihi.

Selama menjadi khadam, beliau bukan saja membuat kerja-kerja rumah dan menyempurnakan keperluan-keperluan peri-badi Tuan Syeikh Said tetapi juga mengambil peluang bela-jar daripada Tuan Syeikh Muhammad Said sendiri dan guru-guru lain terutamanya ketika Tuan Syeikh Muhammad Said membuka pondok di Ampangan, Seremban. Sejak itu beliau turut mengamalkan Tareqat Ahmadiah secara istiqamah sehingga ke hari ini.

Sebagai khadam beliau merasakan Tuan Syeikh Muhammad Said sebagai tuan guru, pemimpin dan ayah.
“Saya bebas keluar masuk rumah Tuan Syeikh Muhammad Said hingga ke dapur seperti rumah sendiri. Isteri-isteri beliau sangat biasa dengan saya terutamanya mak tua saya,” cerita Pak Cik Muhammad mengenang zaman silam sambil melahirkan kesyukuran kerana ditaqdirkan menjadi khadam kepada seorang wali Allah.

 

Sumber: http://www.kawansejati.org/tujuh-wali-melayu/ms-04-as-syeikh-muhammad-said-al-linggi.htm

Leave a comment