Aqidah Sifat 20 Allah: 5. QIYAMUHU BINAFSIHI

MATAN

Yang kelima – Qiamuhu Taala Binafsihi.Ertinya berdiri ALLAH dengan sendiri (bersendirian) tidak berkehendak kepada tempat berdiri (zat) dan tiada berkehendak kepada yang menjadikan Dia. Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan ALLAH Taala berkehendak kepada tempat berdiri dan kepada yang menjadikan Dia. Tegasnya, ALLAH Taala itu terkaya dan tiada berhajat kepada sesuatu sama ada pada perbuatan-Nya atau hukuman-Nya tetapi Tuhan menjadikan tiap tiap suatu dan mengadakan undang-undang semuanya untuk faedah dan muslihat yang kembali kepada sekalian makhluk dan ia menjadikan semata-semata kerana kelebihan-Nya dan belas kasihan-Nya, bukan sekali-sekali kerana berhajat kepada faedah.Maka Tuhan terkaya daripada mengambil manfaat atas taat hamba-Nya dan tidak sekali-sekali menjadikan mudharat kepada-Nya oleh sebab maksiat hamba-Nya hanyasanya disuruh, diperintah, ditegah makhluk itu iaitu bagi perkara yang kembali faedah-Nya kepada makhluk jua sebagaimana firman-Nya:

Ertinya: Barang siapa berbuat amal yang soleh maka pahalanya itu kembali pada dirinya, dan barang siapa berbuat jahat maha balasannya (seksanya) itu tertanggung ke atas dirinya jua. (Fushilat: 46)

Dan lagi firman-Nya:

Ertinya: Jika kamu berbuat kebajikan maka kebajikan itu terpulang bagi diri kamu (kerana pahalanya itu kembali kepada diri kamu) dan jika kamu berbuat jahat maka kejahatan itu terpulang kepada diri kamu sendiri (kerana diusahanya kembali kepada diri kamu jua). (Al Isra’: 7)

Maka kata Syeikh Suhaimi Rahimahullahutaala adalah segala yang maujudat itu dengan nisbah berkehendak kepada tempat dan kepada yang menjadikan Dia itu terbahagi 4 bahagian:

  1. Terkaya daripada tempat berdiri dan daripada yang menjadikan Dia iaitu zat ALLAH Taala.
  2. Berkehendak kepada tempat berdiri dan kepada yang menjadikan Dia iaitu segala aradh.
  3. Terkaya daripada itu zat tempat berdiri tetapi berkehendak kepada yang menjadikan Dia iaitu segala jirim.
  4. Terkaya daripada yang menjadikan Dia dan berdiri pada zat iaitu sifat Allah Taala.

Pengertian “Qiamuhu Taala Binafsihi”

SIFAT yang kelima yang wajib bagi ALLAH Taala ialah sifat Qiamuhu Taala Binafsihi. Ertinya: berdiri ALLAH SWT itu dengan sendiri. Dengan kata lain, ALLAH SWT itu tidak berhajat kepada tempat berdiri dan tidak berkehendak kepada yang menjadikan Dia.

Di sini hendaklah kita ingat benar-benar bahawa Qiamuhu Taala Binafsihi ini tidak boleh kita bawakan pengertiannya kepada sifat makhluk. Berdiri dengan sendiri yang berlaku kepada makhluk kita ertikan sebagai bangun berdiri daripada keadaan duduk tanpa pertolongan sesiapa. Lalu dikatakan dia berdiri dengan sendiri. Tetapi berdiri dengan sendiri yang berlaku pada ALLAH SWT tidak demikian.

ALLAH SWT itu berdiri dengan sendiri dalam ertikata bahawa ALLAH tidak berkehendak kepada zat tempat Dia berdiri. Dan ALLAH SWT tidak memerlukan yang menjadikan Dia.

Tiada Siapa Yang Menjadikan-Nya

Sebenarnya, memang ALLAH SWT itu tidak ada siapa yang menjadikan. Sekadar sebagai perbahasan, kalaulah ALLAH SWT itu memerlukan zat tempat Dia berdiri, ini memberi erti bahawa ALLAH SWT bukan lagi zat tetapi sifat. Kerana yang memerlu kepada zat tempat berdiri adalah sifat. Sedangkan sifat berdiri pada zat. Sebelum ini kita telah bahaskan bahawa ALLAH SWT bukan sifat tetapi zat. Kerana itu, kita tidak boleh mengatakan ALLAH SWT memerlukan tempat Dia berdiri kerana yang memerlu kepada tempat berdiri adalah sifat. ALLAH bukan sifat.

Tiada Memerlukan Sesuatu

Kemudian dikatakan yang ALLAH SWT itu tidak memerlu kepada yang menjadikan Dia. Kalaulah ALLAH SWT itu memerlu kepada yang menjadikan-Nya, maka dengan sendirinya kita telah mengatakan bahawa ALLAH SWT itu baharu. Kalau begitu, ALLAH itu bukan Tuhan lagi kerana Dia dijadikan. Sedangkan Tuhan yang sebenarnya, tidak ada yang menjadikan-Nya. Oleh kerana ALLAH SWT itu tidak ada siapa yang menjadikan-Nya, maka Dia tidak berhajat kepada yang menjadikan-Nya.

Kaya Yang Tersendiri

Tegasnya, ALLAH SWT itu terkaya dengan sendirinya. Dia tidak memerlu kepada tempat berdiri dan tidak memerlu kepada yang menjadikan-Nya, kerana sememangnya ALLAH SWT itu tidak ada siapa yang menjadikan. Oleh kerana ALLAH SWT itu terkaya dengan sendirinya, Dia tidak berhajat kepada apa sahaja, sama ada pada perbuatan-Nya mahupun pada hikmah-Nya. Dan oleh itu juga, ALLAH SWT itu tidak berhajat kepada segala perintah suruh-Nya. ALLAH juga tidak berhajat kepada setiap perintah larang-Nya. Yang berhajat kepada semua perintah suruh dan larang itu adalah makhluk seperti manusia ini.

Peraturan Untuk Keselamatan Manusia

Jadi, ALLAH SWT menjadikan undang-undang dan peraturan-peraturan hidup yang berbentuk suruhan dan yang berbentuk larangan, semua itu untuk keselamatan manusia sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Tidaklah ALLAH itu mendapat faedah atau manfaat daripadanya, sebaliknya faedah dan manfaat itu kembali kepada manusia itu sendiri.

Begitu juga, setiap kejadian atau peraturan yang ALLAH jadikan itu ada hikmah-hikmahnya, tetapi hikmah-hikmah itu bukan untuk ALLAH SWT, sebaliknya untuk manusia juga. Dan semua itu merupakan kelebihan serta rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT kepada hamba-hamba-Nya jua. Dan kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya tidak ada ukurannya pada manusia. Sebab itulah, sebagai menggambarkannya kepada manusia, Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam Hadis Qudsi yang maksudnya;

Allah berfirman: “Aku lebih kasihkan hamba-Ku daripada seorang ibu kasihkan anaknya.

Seorang ibu memang kasih kepada anaknya hingga sanggup berbuat apa sahaja untuk anaknya. Kalau anak itu menangis pada waktu malam, dia sanggup berjaga malam. Namun, walau macam mana besar sekalipun kasih seorang ibu itu kepada anaknya, kasih ALLAH kepada hamba-Nya lebih daripada itu.

Jadi, sebagai tanda rahmat dan kasih sayang ALLAH yang begitu besar, ALLAH datangkan peraturan dan undang-undang untuk hamba-Nya, bagi menjamin keselamatan hidup mereka di dunia dan juga di Akhirat. Sejak Nabi Adam a.s. hinggalah kepada Nabi Muhammad SAW, peraturan itu ALLAH datangkan, cuma antara satu nabi dengan satu nabi yang lain, peraturannya tidak sama, sebaliknya sentiasa berubah mengikut pertambahan manusia dan mengikut pengalaman hidup manusia dari masa ke masa. Sampai kepada Rasulullah SAW, peraturan itu dilengkapkan dan disempurnakan sepertimana ALLAH firmankan:

Terjemahannya: Pada hari ini Aku sempurnakan untukmu agamamu, Aku cukupkan nikmat-Ku untukmu, dan Aku redhakan Islam itu menjadi agamamu. (Al Maidah: 3)

Syariat Islam

Peraturan hidup yang ALLAH datangkan untuk kesejahteraan hidup manusia itu dinamakan syariat Islam. Ia mengandungi perintah-perintah berbentuk fardhu dan sunat serta larangan-larangan berbentuk haram dan makruh. Ia juga mengandungi perkara-perkara yang sah dan batal, halal dan haram, yang mana boleh dan yang mana tak boleh, dan sebagainya. Seluruh peraturan dan undang-undang itu pula menyuluh kehidupan manusia dalam setiap aspek sama ada yang menyentuh peribadi, rumahtangga, masyarakat, ekonomi, pendidikan, siasah hinggalah kepada persoalan negara dan hubungan antarabangsa. Ia juga menyuluh segala tindak-tanduk zahir dan batin manusia. Sebab itulah ia dikatakan sebagai “agama yang disempurnakan oleh ALLAH SWT”.

Dan semuanya itu untuk faedah manusia semata-mata. ALLAH tidak berhajat kepadanya tetapi yang berhajat kepada peraturan hidup itu ialah manusia sendiri. Yang mendapat faedah dan manfaat di atas peraturan-peraturan hidup itu adalah manusia sendiri. Marilah kita bahaskan, bagaimanakah peraturan dan undang-undang yang ALLAH jadikan, yang kita namakan syariat Islam itu, berfaedah kepada manusia.

Sepertimana yang telah kita katakan tadi bahawa syariat Islam mengandungi perintah-perintah yang berbentuk suruhan sama ada suruhan yang fardhu (wajib), mahupun suruhan yang berbentuk sunat. Suruhan yang berbentuk fardhu itu, ada pula yang merupakan fardhu ain (wajib ain), dan ada yang fardhu kifayah (wajib kifayah). Manakala yang sunat pula, ada yang berbentuk sunat muakkad dan ada yang berbentuk sunat ghairi muakkad. Dan seluruh suruhan yang fardhu dan sunat ini merupakan perintah yang mesti dilaksanakan zahir dan batin.

Bagaimana Perintah Sembahyang Berfaedah Kepada Manusia?

Di antara perintah-perintah suruh yang berbentuk fardhu ialah sembahyang, zakat, haji, dan lain-lainnya. Oleh kerana kita hendak membahaskan faedah perintah itu kepada manusia, marilah kita ambil perintah sembahyang sebagai contohnya. ALLAH telah menjadikan sembahyang itu sebagai satu perintah yang akan memberi faedah kepada manusia seluruhnya. Tetapi manusia tidak akan nampak faedah ini kerana umum manusia akan menganggap sembahyang itu sebagai satu perbuatan yang menyusahkan, terutamanya sembahyang Subuh.

Kita sendiri pun, sebagai orang yang mengaji fardhu ain dan setengah-setengahnya pula sudah ikut dakwah, akan mengakui bahawa sembahyang Subuh amat menyusahkan.

Pertamanya kita tidak boleh tidur lewat kerana pukul 5.30 atau selewat-lewat pukul 6.00 pagi kita terpaksa bangun. Tentulah kita dalam keadaan mengantuk, dan kalau seterusnya kita mengantuk juga bila pergi kerja, nanti kita tidak dapat hendak membuat kerja-kerja kita di pejabat.

Kalau demikianlah yang kita rasakan, sememangnyalah sembahyang itu tidak memberi faedah kepada kita. Bukan sahaja tidak memberi faedah tetapi juga menyusahkan kita. Cuma, yang menyebabkan kita merasa sembahyang itu tidak berfaedah dan menyusahkan ialah kerana kita tidak mahu menilai dan meninjau hakikat sembahyang itu. Tetapi, kalau kita fikirkan dalam-dalam, sembahyang memberi erti dan manfaat yang besar kepada kita.

Pengertian Sembahyang

Cuba kita perhatikan, apakah erti sembahyang itu sendiri, dan bagaimanakah keadaan orang yang bersembahyang itu. Orang yang bersembahyang adalah orang yang percaya kepada ALLAH; orang yang mengingati ALLAH; orang yang mengetahui kuasa ALLAH; orang yang meminta kepada ALLAH; dan orang yang bersandar nasib kepada ALLAH. Hal ini semua dibuktikan daripada lafaz-lafaz yang kita ucapkan dalam sembahyang. Seperti ayat-ayat yang kita baca dalam doa iftitah, dalam rukuk, dalam sujud, dalam tahiyat, dan lain-lainnya. Umpamanya, satu lafaz dalam doa iftitah yang kita baca berbunyi:

Terjemahannya: (Ya ALLAH) sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Tuhan Rabbul Alamin. (Al An’am: 162)

Ini menandakan yang kita benar-benar menyerahkan diri dan nasib kita kepada ALLAH sahaja, dan tidak kepada yang lain. Apa sahaja yang kita buat dan apa sahaja yang kita usahakan, semuanya hendak kita serahkan kepada ALLAH. Inilah hakikat sebenar bagi orang yang bersembahyang.

Kalau begitu, orang yang bersembahyang tahu bahawa ALLAH akan sentiasa membela dirinya. Dan kerana itu, dia tidak akan merasa kecewa dalam hidup ini kerana yang akan menjadi pembelanya adalah ALLAH SWT sendiri. Dalam sebarang hal dan masalah, dia akan mengadukannya kepada ALLAH. Bukankah sememangnya manusia ini mempunyai banyak masalah? Kerana banyaknya masalah manusia, maka banyaklah permintaan dan kehendaknya.

Dalam banyak-banyak permintaan dan kehendak, manusia itu, tidak semuanya akan diberi oleh ALLAH. Ada permintaan yang ALLAH beri (perkenankan) dan ada permintaan yang ALLAH tidak beri. Katalah seorang itu mempunyai 20 permintaan. Daripadanya, mungkin hanya 5 sahaja yang ditunaikan oleh ALLAH SWT. Yang 15 permintaan lagi, kita tak tahu sama ada ALLAH hendak beri atau tidak.

Bagi orang yang tidak berpaut kepada ALLAH, dan hatinya tidak berharap kepada ALLAH, kerana dia tidak bersembahyang, apabila gagal mendapatkan 15 kehendaknya yang lain itu, dia akan merasa kecewa, dan hidupnya akan menderita. Apabila hatinya penuh kekecewaan dan hidupnya menderita, maka tidaklah ada ketenangan jiwa baginya. Dan apabila jiwa sudah tidak tenang, rumah besar tidak akan ada erti lagi, motokar besar juga tidak ada erti, dan harta yang banyak juga tidak boleh mententeramkan jiwa.

Jiwa Tenang

Jadi sembahyang boleh menenangkan jiwa dan menghilangkan dukacita serta penderitaan hidup. Natijah daripada itu, akan tenanglah fikiran seseorang. Betapa tidak, kerana hatinya selalu berpaut kepada ALLAH; dirinya sentiasa diserahkannya kepada penentuan ALLAH SWT. Inilah hakikat orang bersembahyang. Apabila berlaku satu-satu masalah dalam hidupnya, dia lekas-lekas menyandarkannya kepada ALLAH SWT. Inilah faedah dan manfaat daripada peraturan ALLAH SWT, dan manusia sendirilah yang mendapatnya.

Cuma kita tidak dapat merasakan faedahnya kerana kita belum lagi sembahyang dengan betul-betul serta khusyuk. Kita masih lalai dalam sembahyang. Sebab itu faedah dan manfaat sembahyang itu tidak berlaku pada kita. Oleh itu, kalau kita hendak merasakan faedah daripada sembahyang itu, kenalah kita perbetulkan sembahyang kita lahir dan batinnya; kita jaga semua syarat dan rukunnya, dan kita fahami lafaz-lafaz dalam sembahyang itu. Janganlah kita asyik hendak menjaga yang zahirnya saja seperti terlalu pentingkan sujudnya, sedangkan soal-soal batin tidak dijaga. Kalau seseorang itu benar-benar bersembahyang, akan terasa padanya kebesaran ALLAH SWT.

Jelas bahawa perintah sembahyang itu ada faedahnya kepada manusia. Dan bukan itu satu saja faedahnya, malah banyak faedahnya yang lain. Setengah-setengahnya diceritakan oleh ALLAH dalam Al Quran, dan setengah-setengahnya diceritakan oleh Rasulullah di dalam Hadisnya.

Perintah Zakat; Faedahnya Pada Manusia

Perintah-perintah yang lain juga ada faedah dan manfaatnya kepada manusia. Katalah perintah zakat. ALLAH menyuruh kita membayar zakat sama ada zakat yang wajib mahupun zakat yang sunat iaitu bersedekah. Kalau kita pandang pada bentuk zahir perintah itu, ia tentu tidak mendatangkan faedah apa-apa kepada kita, malah ia lebih merugikan kerana harta kekayaan kita akan susut. Tetapi, kalau kita tinjau sedalam-dalamnya termasuk memerhatikan susunan masyarakat manusia yang telah ALLAH jadikan ini, seperti ada yang dijadikan miskin, ada yang dijadikan yatim dan sebagainya, tentu kita akan terasa besarnya faedah zakat itu.

Umpamanya, ALLAH mengenakan pembayaran zakat kepada orang-orang kaya dan yang mempunyai harta kekayaan yang lebih. Mereka juga diminta supaya bersedekah. Kalau orang-orang kaya ini tidak mahu berzakat dan bersedekah, kelak orang-orang miskin serta anak-anak yatim, tidak akan terbela nasib mereka. Kehidupan mereka akan terbiar. Dan kalaulah kemiskinan mereka itu tidak dibela, bilangan mereka akan bertambah dari masa ke masa. Akhirnya mereka akan membuat kacau. Mereka akan merompak dan mencuri. Mungkin mereka sanggup membunuh kerana telah terpendam dendam kesumat di dalam jiwa mereka terhadap orang-orang kaya. Akibatnya, orang-orang kayalah yang akan merasakan hidup mereka diganggu kebimbangan dan ketakutan.

Kalau mereka melaksanakan perintah zakat, hanya sebahagian kecil daripada harta mereka yang dituntut supaya dizakatkan. Tetapi, kalau orang miskin sudah membuat kacau, kemungkinan habis harta orang-orang kaya menjadi sasaran. Bukan itu saja, nyawa mereka pun mungkin turut terkorban. Jadi, dengan sebab itu, ALLAH memerintahkan orang-orang kaya membayar zakat, kerana mereka akan terselamat daripada kekacauan yang dilakukan oleh orang-orang miskin. Orang-orang miskin juga mendapat faedah daripadanya kerana nasib mereka terbela dan terbantu. Tidaklah mereka terdorong untuk membuat kekacauan. Inilah yang membawa kepada kestabilan dan keamanan masyarakat.

Tetapi, hari ini kestabilan dan keamanan demikian tidak wujud lagi kerana orang-orang kaya sudah menjadi bakhil dan tidak mahu membantu orang-orang miskin dan anak-anak yatim. Orang-orang kaya hari ini memang sentiasa berada dalam kebimbangan dan ketakutan. Mereka seolah-seolah merasa yang nyawa mereka bila-bila masa saja boleh dihapuskan oleh orang-orang jahat. Harta kekayaan mereka sentiasa terancam. Bagi mereka, naik teksi membimbangkan, naik kereta sendiri juga tidak selamat, malah naik kapal terbang pun takut akan dicolek.

Dalam pada itu, mereka juga bimbangkan keadaan anak isteri di rumah. Pada zahirnya tentulah rumah merupakan tempat yang paling selamat bagi semua manusia. Tetapi bag-i orang-orang kaya hari ini, rumah mereka pun seolah-olah tidak selamat. Ia dipagar berlapis-lapis serta ada pengawal-pengawalnya pula. Berapa ramai orang kaya hari ini terkorban di dalam rumah sendiri! Inilah akibat daripada tidak mahu melaksanakan perintah ALLAH supaya berzakat dan bersedekah. Dengan itu, jelaslah bahawa perintah suruh daripada ALLAH SWT, ada faedahnya kepada manusia, dan bukannya kepada ALLAH SWT..

Faedah Perintah Larang Pada Manusia

Dan cuba pula kita bahaskan faedah perintah larang kepada manusia. Daripada perintah-perintah larang yang begitu banyak, ada yang berbentuk haram dan ada yang makruh. Larangan-larangan berbentuk haram pula ada yang zahir dan ada yang batin, dan ada yang dikira dosa besar dan ada yang dikira dosa kecil. Katalah kita ambil larangan ALLAH supaya jangan minum arak sebagai contoh. Apakah faedah larangan ini kepada manusia.

Arak itu memabukkan. Ia bukan sahaja merosakkan akal tetapi juga merosakkan kesihatan badan. Sedangkan fitrah semula jadi manusia, ingin kepada kesihatan badan dan kesihatan akal fikiran. Dan apabila ALLAH melarang seseorang itu daripada minum arak, akan selamatlah akal fikiran dan kesihatan badannya. Jadi, ada faedahnya, kepada manusia larangan minum arak itu.

Kemudian, ALLAH melarang kita daripada menipu, mencuri, merompak, membunuh, memaki, dan sebagainya. Ini semua untuk keselamatan dan kedamaian masyarakat. Sebab, kalau ALLAH tidak melarang manusia daripada melakukan perbuatan-perbuatan seperti itu, akan timbullah kekacauan di tengah-tengah masyarakat. Akibatnya, siapa yang susah? Manusia jugalah yang akan menderita. Sedangkan sudah menjadi fitrah semula jadi manusia, sukakan keamanan dan kedamaian hidup. Semua orang suka kepada ketenteraman dan keamanan.

Semua Peraturan ALLAH Faedahnya Untuk Manusia

Seterusnya, cuba kita bahas lebih dalam sedikit tentang hakikat bahawa setiap satu peraturan dan undang-undang itu adalah untuk faedah manusia, dan bukannya untuk faedah ALLAH SWT. Setengah-setengah orang tidak nampak faedah ini dan mungkin menghendaki hujah-hujah yang logik untuk meyakininya. Mereka mungkin tidak mahu menerima pernyataan bahawa, kalau manusia ini mematuhi segala peraturan dan undang-undang hidup yang dinamakan syariat itu, maka manusia akan memperolehi faedah daripadanya dalam ertikata manusialah yang akan selamat. ALLAH tidak terjejas apa-apa. ALLAH tidak terlibat dengan sebarang peraturan dan undang-undang. ALLAH SWT terkecuali daripadanya.

Adakah ALLAH Terjejas dan Mengapa Manusia Dihukum?

Nanti orang-orang ini akan bertanya, kalau benarlah ALLAH tidak terjejas daripada undang-undang dan peraturan hidup-Nya, mengapakah ALLAH menghukum manusia-manusia yang melanggar peraturan itu di Akhirat kelak? Ini menampakkan seolah-olah ALLAH telah terjejas daripada peraturan dan undang-undang-Nya akibat daripada adanya manusia-manusia yang tidak menghormati peraturan itu. Kerana ALLAH merasa terjejaslah, maka ALLAH balas manusia itu dengan azab dan deraan.

Kita boleh menjawab persoalan seperti ini dengan mengambil contoh sebuah kerajaan manusia di dunia ini. Walau sejahat dan sezalim mana pun sesebuah pemerintahan itu, sedikit sebanyak, ia akan cuba juga menegakkan keadilan. Sebab itu, setiap kerajaan yang memerintah akan mengadakan mahkamah untuk memberi pengadilan kepada manusia. Jadi, setiap kerajaan di dunia ini, ada timbang rasanya kepada orang ramai.

Kemudian, katalah orang yang bernama si A telah melanggar salah satu daripada undang-undang pemerintah dengan mencuri ayam si B. Apakah dengan si A melanggar peraturan itu, pihak pemerintah akan terjejas? Apakah pihak pemerintah akan mendapat kesusahan bersabit daripada peristiwa itu? Tentulah tidak, kerana apabila si A tertangkap, yang akan bertelagah di mahkamah pengadilan ialah si A dengan si B. Dan apabila si A didapati bersalah, dia akan dihukum kerana telah melanggar peraturan. Hukuman yang dikenakan kepada si A bukan kerana kerajaan merasa rugi di atas perbuatan si A melanggar peraturan pemerintah, tetapi untuk memberi pengadilan kepada orang lain yang teraniaya akibat perbuatan si A itu.

Mahkamah Manusia

Jadi kita dapati bahawa kerajaan manusia pun ada menyediakan mahkamah untuk mengadili mereka yang melanggar peraturan, dan menghukum mereka kalau didapati bersalah. Hukuman yang dikenakan bukan kerana kerajaan merasa terjejas dan tercacat tetapi untuk memberi pengadilan kepada orang ramai. Sebab itu, yang akan susah bukan kerajaan tetapi orang yang melanggar peraturan itu sendiri. Kalau kerajaan manusia di dunia ini pun demikian, maka tentulah Kerajaan ALLAH SWT, lebih daripada itu.

Kalaulah kerajaan manusia yang walau sezalim mana sekalipun, ingin juga menunjukkan keadilannya kepada rakyat, maka ALLAH SWT yang Maha Adil dan tidak pernah berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya, tentulah lebih-lebih lagi memberi pembelaan kepada hamba-Nya yang teraniaya. ALLAH akan membalas perbuatan orang yang melanggar peraturan dan undang-undang hidup yang telah disyariatkan dengan menghukumnya di Akhirat sebagai pembelaan kepada orang lain yang teraniaya. Dan, kalau ALLAH tidak berbuat demikian, maka bukanlah Ia dinamakan Tuhan. Kerana ALLAH SWT yang sebenarnya adalah Maha Adil dan Maha Mengasihani kepada setiap hamba-Nya.

Kesalahan (terhadap) Sesama, ALLAH Mengapa Lebih Berat?

Kadang-kadang orang yang bertanya tadi boleh menerima logiknya jawapan yang kita berikan tetapi di samping itu dia mahu bertanya lagi. Sebab, contoh yang kita berikan ialah kesalahan yang manusia lakukan menyebabkan ada orang lain yang terbabit. Bagaimana pula kalau kesalahan yang dilakukan oleh seseorang itu tidak ada membabitkan sesiapa. Katalah kesalahan tidak mahu bersembahyang, tidak mahu berpuasa, dan sebagainya. Mengapa pula orang ini dihukum juga, malah hukuman ke atasnya lebih berat. Kesalahan ini sedikit pun tidak ada hubungan dengan orang lain. Tidak ada orang lain yang teraniaya. Dalam soal ini, tentulah kata mereka, ALLAH SWT itu telah terjejas dengan undang-undang dan peraturan-Nya.

Sebenarnya, setiap peraturan yang ALLAH datangkan kepada manusia ada kaitannya dengan masyarakat. Di samping satu-satu peraturan hidup itu untuk perlaksanaan individu tetapi ALLAH juga mengambil kira tentang kaitannya dengan masyarakat umum. Di sinilah yang dikatakan syariat Islam itu lengkap dan sempurna kerana ia sentiasa bertimbal balas antara individu manusia dengan masyarakat manusia. Dalam soal sembahyang misalnya, nampaknya memanglah macam persoalan individu sahaja kerana yang diminta melaksanakannya ialah individu. Sebab itu, hari ini kita selalu dengar orang berkata, soal sembahyang soal individu. Dia nak buat atau tidak mahu buat, itu soal peribadi. Siapa pun tidak boleh paksa.

Ini tidak benar, kerana persoalan hukum sembahyang, besar kaitannya dengan masyarakat seluruhnya. Orang yang tidak sembahyang adalah orang yang tidak percaya kepada Tuhan, atau kalau pun dia percaya, hatinya tetap merasa bahawa seolah-olah Tuhan itu tidak ada. Jadi, kalau seseorang itu tidak percaya kepada Tuhan lagi, maka baginya, tidak ada suatu kuasa ghaib pun yang boleh menyebabkan dia takut. Dan kerana dia tidak takut kepada sebarang kuasa ghaib, dia akan berani melakukan apa sahaja dan pada bila-bila masa sahaja. Ertinya, senjata sudah ada di tangannya.

Pengawal Diri

Dia tidak ada pengawal diri. Orang yang tidak ada pengawal diri oleh suatu kuasa ghaib, tidak akan takut kepada pengawal yang zahir seperti pengawal-pengawal keselamatan. Sedangkan kuasa ghaib itu adalah pengawal yang sentiasa mengetahui setiap gerak-gerik dan perbuatannya.

Kerana itu, bagi orang yang tidak takut kepada sebarang kuasa ghaib, peluang untuk dia melakukan apa saja yang dia mahu terbuka luas. Cuma, antara dia mahu melakukannya dengan tidak mahu melakukannya sahaja. Sepertilah orang yang membawa senjata api, walaupun dia tidak menembak, tetapi dia merbahaya. Sebab itu, di negara kita ini, hukuman bagi kesalahan membawa senjata api sahaja sama beratnya dengan hukuman terhadap orang yang melakukan pembunuhan. Kerana apa? Senjata sudah ada di tangannya; bila-bila masa sahaja dia boleh meledakkannya.

Dan begitulah bagi orang yang tidak bersembahyang. Dia tidak ada pengawal diri. Dia tidak takut kepada siapa pun sekalipun kuasa yang ghaib. Dengan itu dia boleh melakukan kejahatan bila-bila masa sahaja. Sebab itulah ALLAH hukum orang yang tidak sembahyang kerana dia bukan sekadar melanggar peraturan ALLAH tetapi natijah daripada itu, dia juga boleh melakukan kesalahan kepada orang lain seperti mencuri, menipu, rasuah, merogol, berzina, main judi, minum arak, membunuh, dan sebagainya.

Nikmat Dari ALLAH

Demikian serba sedikit perbahasan betapa peraturan dan undang-undang yang ALLAH jadikan adalah untuk faedah manusia, dan bukannya untuk ALLAH SWT. Kemudian cuba kita perhatikan betapa perbuatan Allah juga adalah untuk faedah manusia dan bukannya untuk ALLAH.

Telah kita katakan bahawa ALLAH SWT telah mencukupkan segala nikmat-Nya kepada manusia. Tidak ada satu nikmat pun yang kurang. Dan ini memang diperjelaskan sendiri oleh ALLAH SWT di dalam sepotong firman-Nya:

Terjemahannya: Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat ALLAH, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. (An Nahl: 18)

Ertinya, begitu banyak nikmat ALLAH SWT: di langit, di bumi, di lautan, di daratan, di dalam diri kita, dan di mana-mana sahaja. Semua ini untuk faedah makhluk dan bukan untuk faedah ALLAH SWT.

Air; Faedahnya Untuk Makhluk

Cuba kita ambil air sebagai contoh. Apakah air itu untuk faedah ALLAH SWT sedangkan ALLAH itu tidak makan dan tidak minum. ALLAH SWT tidak mengambil faedah daripada air tetapi faedahnya kembali kepada makhluk itu sendiri. Dan ini ditegaskan sendiri oleh ALLAH SWT di dalam fit-man-Nya:

Terjemahannya: Kami jadikan daripada air itu, setiap suatu itu menjadi hidup. (Anbia’: 30)

Ini memang jelas. Kalau kita tanya orang-orang yang belajar ilmu sains dan teknologi, mereka boleh buktikan yang air itu adalah keperluan asas bagi semua hidupan sama ada manusia, haiwan atau tumbuhan. Sekiranya tidak ada air, semua hidupan akan mati. Jadi, faedah air adalah untuk makhluk, bukan untuk ALLAH SWT.

Kejadian Siang dan Malam

Kemudian, cuba kita perhatikan kejadian malam dan siang. Ini juga untuk faedah makhluk dan tidak untuk ALLAH SWT kerana Allah tidak terlibat dengan malam dan siang. Di dalam Al Quran, ALLAH berfirman:

Terjemahannya: Kami jadikan malam itu sebagai pakaian untuk rehat dan Kami jadikan siang itu untuk kehidupan (mencari rezeki (An Naba: 10-11)

Jelas ALLAH sebutkan kepada kita faedah malam dan siang iaitu malam untuk kita berehat-rehat menghilangkan penat lelah bekerja pada siang hari kerana siang hari itu memang ALLAH jadikan untuk kita menjalankan kehidupan, mencari rezeki, dan sebagainya. Ini yang disunnahkan oleh ALLAH, dan kerana itu janganlah kita songsangkan sunnah ini dengan mencari rezeki dan menjalankan kehidupan pada waktu malam dan berehat-rehat pada siangnya. Kemudian, cuba kita perhatikan firman ALLAH di dalam sepotong ayat lain:

Terjemahannya: Dialah yang telah menjadikan bumi ini untuk kamu, dan dimudahkan-Nya untuk kamu. Dan hendaklah kamu berjalan di pelusuk muka bumi ini dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Kepada ALLAH-lah kamu akan dikembalikan. (Al Mulk: 15)

Warganegara Akhirat

Jadi, kita dapati bahawa segala suatu itu ALLAH jadikan untuk faedah manusia kerana bumi ini sahaja telah Allah permudahkan untuk manusia sedangkan di bumi terdapat segala nikmat yang boleh kita miliki. ALLAH menyuruh kita menguasainya. Cuma ALLAH peringatkan bahawa kita ini akan dikembalikan kepada-Nya. Ini mengingatkan kita supaya jangan melampau dan berlebih-lebihan. Kerana kita ini tidak akan kekal di bumi ini, sebaliknya akan balik ke negara asal kita iaitu di Akhirat. Kita adalah warganegara Akhiiat dan bukan warganegara dunia. Bila kita dipanggil balik oleh Allah ALLAH kita akan ditanya tentang apa yang telah kita lakukan di dunia ini.

Pendapat Syeikh As Suhaimi Rahimahullahu Taala

Seterusnya, di dalam matan Risalah Tauhid, Syeikh Suhaimi Rahimahullahu Taala berkata bahawa segala yang maujud itu nisbah kehendak kepada tempat berdiri dan kepada yang menjadikannya, adalah terbahagi kepada empat bahagian.

  • Yang pertama, terkaya daripada tempat berdiri dan daripada yang menjadikannya. Itulah zat ALLAH SWT
  • Yang kedua, berkehendak kepada tempat berdiri dan kepada yang menjadikannya. Itulah segala aradh atau sifat yang mendatang.
  • Yang ketiga, terkaya daripada zat tempat berdiri tetapi berkehendak kepada yang menjadikannya. Itulah segala bentuk jirim.
  • Yang keempat, terkaya daripada yang menjadikannya tetapi berdiri pada zat iaitu sifat ALLAH SWT.

Inilah empat perkara bagi segala yang ada ini, nisbah kepada mereka berkehendak pada tempat berdiri dan pada yang menjadikannya. Di antara empat perkara itu, dua berkait pada segala yang baharu iaitu seluruh alam dan makhluk ini. Sepertimana yang telah kita perkatakan, segala yang baharu, termasuk aradh, berhajat kepada tempat berdiri dan berhajat kepada yang menjadikannya.

Manakala dua perkara lagi berkait dengan ALLAH SWT. Iaitu, yang tidak berkehendak kepada zat tempat berdiri dan tidak berkehendak kepada yang menjadikan-Nya. Itulah zat ALLAH SWT, yang Maha Suci; dan yang tidak memerlukan kepada yang menjadikan-Nya tetapi berhajat kepada zat tempat berdiri, yakni sifat ALLAH SWT. Kerana, sepertimana telah kita bahaskan, tiap-tiap sifat tidak boleh berdiri dengan sendirinya. Ia memerlukan zat sebagai tempat berdiri. Ertinya, zat dan sifat tidak boleh dipisahkan.

Cuma, sifat yang ada pada ALLAH SWT adalah qadii lagi azali. Ini memandangkan, zat juga qadim lagi azali. Tidak seperti sifat makhluk dan segala aradh; ia ada permulaannya.

Berhati-hati Di Bidang Tauhid

Dalam kita memperkatakan tentang keadaan sifat dan zat ALLAH SWT ini, ada perkara-perkara yang perlu kita fahami benar-benar agar kita tidak terjatuh kepada syirik.

Yang boleh menyebabkan kita tersilap bila memperkatakan tentang zat dan sifat Allah ialah bila kita menyentuh tentang ALLAH SWT itu mematikan dan menghidupkan makhluk, atau ALLAH SWT itu menjadikan dan membinasakan makhluk.

Dalam hal ini, kadang-kadang kita dengar juga orang berkata, “Sifat Qudrah ALLAH SWT itulah yang mematikan” atau “Sifat Qudrah dan Iradah ALLAH itulah yang menjadikan”. Bila ada orang berkata demikian, kita bimbang, kalau-kalau orang yang mendengar nanti akan tersalah anggap hingga merasakan bahawa sifat ALLAH SWT itulah yang berkuasa dan sebagainya sedangkan kita telah katakan bahawa sifat berdiri di atas zat dan ia tidak boleh berdiri sendiri.

Kalau begitu, tentulah bukan sifat yang berkuasa menjadikan atau mematikan tetapi adalah zat ALLAH SWT, melalui sifat Qudrat dan Iradat-Nya. Jangan sekali-kali kita tersalah anggap kerana kalau kita tersalah tafsir atau tersalah maksud hingga mengatakan bahawa sifat ALLAH SWT itulah yang berkuasa, maka ia membawa kita kepada jatuh syirik.

Mudahnya Jatuh Syirik

Hal ini memang mudah berlaku di kalangan masyarakat kita. Kita kemukakan satu contoh betapa amat mudah sekali kita boleh jatuh syirik. Ayat-ayat Al Quran itu ada mengandungi berbagai-bagai hikmah termasuk boleh menjadi ubat atau penawar bagi menyembuhkan pelbagai penyakit. Dalam hal ini, kadang-kadang ada orang yang akan menganggap bahawa ayat-ayat itulah yang menyembuhkan penyakit.

Orang itu boleh jatuh syirik kerana yang menyembuhkan penyakit bukan kuasa yang ada pada ayat-ayat itu tetapi adalah ALLAH SWT melalui sifat Qudrah-Nya. Cuma, dengan mensunnahkan ayat-ayat Al Quran itu boleh menyembuhkan penyakit dan mengandungi berbagai- bagai hikmah yang lain, ALLAH menunjukkan tanda kasih sayang serta rahmat-Nya yang tidak terhingga dengan menjadikan peraturan-peraturan-Nya berfaedah kepada hamba-Nya.

Sembuh Penyakit Kuasa Dari Quran?

Sebenarnya, kalau kita hendak perkatakan tentang hikmah-hikmah pada ayat Al Quran, tentulah banyak sekali. Ia bukan sekadar boleh menyembuhkan penyakit, tetapi boleh juga digunakan untuk menenangkan hati, menahan lapar, menjauhkan sihir serta hantu syaitan, mendatangkan rezeki, dan lain-lainnya. Malah yang paling besar hikmahnya ialah, ayat-ayat Al Quran boleh menimbulkan rasa tauhid yang kuat di dalam hati.

Membaca surah Al Ikhlas misalnya, boleh memberi berbagai-bagai faedah kepada kita, dengan izin ALLAH SWT. Ia boleh menahan diri daripada lapar, boleh menyembuhkan penyakit, boleh mendatangkan rezeki, dan lain-lain lagi. Malah dengan membacanya, kita akan merasakan kesedaran tauhid yang tinggi.

Begitulah seterusnya dengan ayat-ayat yang tertentu di dalam Al Quran. Setiap satunya ada mengandungi hikmah-hikmah. Ia ibarat air yang turun dari puncak gunung. Mereka yang berada di lembah gunung boleh menggunakan air itu untuk membasuh berbagai-bagai perkara. Di dalam air itu pula ada ikan yang boleh dijadikan sumber rezeki, dan begitulah seterusnya.

Hikmah Yang Tertinggi

Walau bagaimana banyak sekalipun hikmah pada ayat-ayat Al Quran, namun hikmah yang paling tinggi ialah, dengan membacanya boleh mendatangkan pahala kepada kita. Sebab itu, bila kita menggunakan satu-satu ayat Al Quran di dalam bacaan, janganlah kerana pentingkan hikmah dan khasiatnya sahaja. ALLAH tidak redha kita bersikap demikian.

Sikap Para Dukun-dukun

Janganlah kita bersikap seperti setengah-setengah dukun yang menggunakan ayat-ayat Al Quran semata-mata kerana khasiatnya boleh mengubat, sedangkan hukum-hakamnya tidak dijaga, syariat lahir dan batinnya dicuaikan, dan pengajaran tasawuf serta tauhid yang ada di dalamnya tidak diindahkan.

Yang dikehendaki ialah supaya kita menghormati segala perintah, peraturan serta hukum-hakam di dalam ayat itu. Umpamanya, kalau ayat itu menyuruh kita mengesakan ALLAH SWT, maka itulah yang kita lakukan. Atau kalau ayat itu memerintahkan kita melakukan sesuatu, maka kita hendaklah melakukannya. Kemudian, dengan membacanya, datang khasiat-khasiat yang lain. Itu sebagai tambahan sahaja yang sengaja ALLAH hendak berikan sebagai tanda kasih sayang-Nya kepada makhluk ini. Tetapi yang asasnya jangan kita tinggalkan semata-mata kerana kita hendakkan yang hujung-hujungnya sahaja.

Artikel ini adalah bagian dari buku Aqidah Mukmin Siri 1 yang berisi buah fikiran dan ilham dari Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi

Sumber: https://alieyfaizal.wordpress.com/2012/05/24/aqidah-mukmin-siri-1-abuya-ashaari-bin-muhammad-at-tamimi-bab-7-qiamuhu-binafsihi/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s