Ajaran Islam Yang Paling Utama Adalah Aqidah

Ajaran Islam sangat luas. Dari tiga asas utama ajaran Islam di zaman Rasulullah SAW iaitu iman, Islam dan ihsan atau istilah barunya akidah, syariat dan tasawuf, ilmu Islam telah berkembang dengan begitu luas sekali. Memang begitulah sifat ilmu. Bila manusia mengkaji dan mencungkil sumber-sumber ilmu maka ilmu itu bertambah.

Maka lahirlah banyak ilmu-ilmu baru dan semakin bertambah. Sudah banyak ilmu Islam yang wujud di zaman ini yang tidak ada di zaman Rasulullah dan para Sahabat. Dari iman lahir ilmu kalam. Dari Islam lahir ilmu usul fekah, khawaidul fekah, fekah ibadah, fekah muamalat, fekah jenayat, fekah munakahat, fekah jihad, fekah dakwah dan lain-lain lagi. Dari Al Quran lahir ilmu tafsir, ilmu usul tafsir, ilmu tajwid, qiraat, balaghah dan sebagainya. Masing-masing ilmu ini berdiri dengan sendiri, ada sistemnya yang tersendiri dan diajar pula mengikut cara yang tersendiri.

Namun, di dalam kancah ilmu yang sebegitu banyak dan berbagai-bagai itu, ajaran Islam yang terpenting tetaplah iman atau akidah. Ia adalah ilmu yang berkait dengan soal Tuhan dan perkara-perkara yang ghaib. Ia adalah ilmu untuk mengenal Zat Tuhan dengan tepat, mengenal sifat Tuhan secara tepat dan mengenal peranan-peranan Tuhan secara tepat.

Kalau kita baca ayat-ayat Quran dari awal sampai ke akhir, hampir setiap surah, Tuhan memperkenal diri-Nya, Zat-Nya, sifat-Nya dan peranan-Nya. Walaupun ayat-ayat itu menceritakan tentang perkara lain seperti syariat, sejarah dan lain-lain lagi tetapi Tuhan tidak lepas dari menyelitkan hal-hal untuk memperkenalkan diri-Nya. Kalau tidak di awal surah, di tengahnya. Kalau tidak di tengah, di akhirnya. Begitulah keberadaan ayat-ayat Quran. Ini adalah untuk menunjukkan bahawa pada keseluruhan ajaran Islam itu, yang paling penting adalah soal akidah. Kalau akidah tidak selesai, soal-soal lain turut tidak selesai dan tidak ada erti apa-apa. Dalam membicarakan soal apa pun, perkara akidah disebut sama. Di antara firman-firman Tuhan yang diselitkan itu adalah seperti berikut:

  • “Tuhan memiliki langit dan bumi.”
  • “Tuhanlah yang mempergilirkan malam dan siang.”
  • “Tuhanlah yang menjadikan manusia dari setitis air.”
  • “Tuhanlah yang menjadikan hidup dan mati.”
  • “Tuhanlahyang mematikan dan menghidupkan.”
  • “Tuhanlah yang menyembuhkan penyakit.”
  • “Tuhanlah yang menjadi penyelamat.”
  • “Tuhan yang Maha Berkat.”
  • “Tuhanlah yang memberi rezeki.”
  • “Tuhan yang menjadikan segala-galanya.”
  • “Tuhan yang mendatangkan keselamatan dan bala bencana.”

Begitulah seterusnya. Apakah maksud semua ini? Apakah yang Tuhan kehendaki? Ia tidak lain dan tidak bukan adalah
supaya kita mengenal Tuhan secara tepat. Supaya akidah dan kepercayaan kita kepada Tuhan itu tepat, sama ada tentang Zat-Nya, sifat-Nya mahupun peranan-Nya. Itulah tujuan Tuhan memperkenalkan diri-Nya kepada kita dalam setiap surah di dalam Al Quran.

Mengapakah akidah itu penting? Mengapakah Tuhan itu penting? Kerana di situlah permulaan dan titik tolak agama. Tanpa Tuhan, ajaran Islam akan hanya menjadi satu ajaran ideologi. Yang membezakan antara agama dan ideologi ialah Tuhan. Dalam ajaran ideologi, Tuhan tidak ada.

Dalam agama, perkara yang terpokok adalah Tuhan. Awal-awal agama mengenal Tuhan. Tidak ada Tuhan maka tidak ada agama. Dalam erti kata yang lain, ajaran Islam yang terpokok, yang pertama dan utama adalah akidah. Syariat dan tasawuf datang kemudian. Syariat dan tasawuf tidak bermakna dan tidak ada erti apa-apa kalau akidah tidak ada.

Syariat adalah peribadatan lahir manakala tasawuf adalah peribadatan batin. Peribadatan sama ada lahir atau batin tidak timbul kalau tidak ada Tuhan untuk dipersembahkan ibadat itu. Pengabdian juga tidak timbul kalau tidak ada Tuhan untuk kita mengabdikan diri kepada-Nya. Peribadatan dan pengabdian hanyalah cara untuk kita membesarkan, mengagungkan dan memuliakan Tuhan setelah Tuhan itu dikenali, dicintai dan ditakuti. Peribadatan lahir dan batin atau syariat dan tasawuf hakikatnya bukanlah agama kalau Tuhan tidak ada di dalamnya atau kalau ianya dibuat bukan kerana untuk mendapat Tuhan.

Oleh itu, jangan hanya ketengahkan syariat. Jangan hanya ketengahkan tasawuf. Bahayanya nanti, kita tidak dapat Tuhan. Ketengahkan akidah dahulu. Perkenalkan Tuhan dahulu. Bila Tuhan sudah dikenali, dicintai dan ditakuti, syariat lahir dan batin akan terjadi dengan sendiri. Cinta dan takut Tuhan itu adalah pendorong terbesar untuk kita bersyariat.

Inilah yang dibuat oleh Rasulullah SAW dalam mendidik para Sahabat. Selama tiga belas tahun di era Mekah, tidak ada lain yang Rasulullah ajar kepada para Sahabat melainkan tentang hal ketuhanan dan keimanan. Di era Mekah, Rasulullah menanam akidah dan keimanan di hati para Sahabat hingga mereka menjadi orang-orang yang mabuk cinta dan mabuk rindu dengan Tuhan. Soal syariat kebanyakannya dilaksanakan di era Madinah. Perintah sembahyang pun hanya diturunkan di tahun kesebelas era Mekah atau setelah sebelas tahun Rasul diangkat menjadi nabi.

Akidah itu penting kerana ia adalah berkenaan Tuhan. Tuhan itu penting kerana Dia adalah sumber. Tuhan itu khaliq. Dia pencipta. Alam itu makhluk. Dia dicipta. Tuhan boleh wujud tanpa makhluk. Makhluk tidak boleh wujud tanpa Tuhan. Seluruh makhluk perlu kepada Tuhan. Oleh yang demikian, sepenting mana pun alam atau makhluk, ia tidak dapat mengatasi pentingnya Tuhan.

Bertambah penting lagi Tuhan itu kerana Dia menuntut hak-Nya sebagai Tuhan. Dia mahu supaya Dia dibesarkan, diagungkan, disembah dan dimuliakan. Dia menuntut ciptaan-Nya supaya mengabdikan diri kepada-Nya. Dia menuntut ciptaan-Nya supaya taat dan patuh kepada sunnah-Nya iaitu hukum, peraturan dan perintah-Nya sama ada yang berbentuk karhan (terpaksa) atau tau’an (pilihan). Siapa ingkar, dia akan musnah. Kalau tidak dengan serta-merta, sudah tentu pada masa yang ditangguhkan. Kalau tidak di dunia, sudah pasti di Akhirat.

Setiap sesuatu di muka bumi ini tidak akan wujud buat selama-lamanya. Semuanya akan kembali kepada Tuhan. Tuhan akan menilai. Dia akan menghukum atau memberi ganjaran. Dia akan menetapkan siapa diberi rahmat dan siapa diseksa. Dia akan menetapkan siapa ke Syurga dan siapa ke Neraka. Di Akhirat nanti tidak ada siapa yang menilai dan menghukum melainkan Tuhan. Dialah yang memerintah di hari Akhirat atau di hari kebangkitan. Di hari itu rugilah orang yang tidak mementingkan Tuhan. Termasuk yang rugi adalah orang yang mengamalkan agama tetapi tidak ada Tuhan dalam agamanya.

Mengenal Tuhan itu, khususnya mengenal Zat, sifat dan peranan Tuhan adalah nikmat yang paling besar dari Tuhan. Ia adalah nikmat yang paling besar bagi makhluk. Ia nikmat yang lebih besar dari dunia dan lebih besar dari Akhirat. Tidak ada nikmat yang lebih besar bagi makhluk dari nikmat mengenal Tuhan.

Tuntutan fitrah .semula jadi manusia yang paling utama adalah untuk mengenal dan merasa bertuhan. Selagi Tuhan tidak dimiliki, tuntutan fitrah manusia ini tidak akan selesai. Roh manusia akan ketandusan. Manusia akan sentiasa merasa resah dan gelisah, merana dan kecewa selagi mereka tidak mendapat Tuhan walaupun satu dunia ini menjadi miliknya. Merasa bertuhan adalah makanan bagi rohani manusia. Ia sumber ketenangan dan kesejahteraan jiwa.

Kedatangan para rasul tidak lain adalah supaya mereka berjuang mengenalkan Tuhan, mengenalkan Zat Tuhan, sifat Tuhan dan peranan Tuhan kepada manusia. Supaya manusia kenal, cinta dan takut kepada Tuhan. Supaya tuntutan fitrah manusia terisi. Bila kita mengenal Tuhan secara tepat, maka akan timbul rasa cinta dan takut kepada Tuhan. Kita akan dapat rasa Tuhan itu adalah segala-galanya. Tuhan itu penyelamat dunia dan Akhirat. Dialah tempat kita menyerah nasib dan bergantung harap. Supaya kita benar-benar merasakan Tuhan itu wujud dan kita perlu kepada-Nya. Kita rasa kita tidak boleh hidup dan tidak boleh selamat tanpa Tuhan. Supaya kita dapat menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Tuhan. Tidak ada yang berkuasa mutlak melainkan Tuhan. Makhluk, walau sebesar mana pun kuasanya tidak satu habuk pun nilainya bila dibanding dengan kuasa Tuhan.

Bila kita benar-benar kenal Tuhan, kita akan rasa Tuhan itu adalah segala-galanya. Kita akan menyerahkan diri kepada-Nya tanpa berbelah bagi. Kita akan seronok, rasa kuat dan rasa beruntung dapat bersama Tuhan.

Di antara ketiga-tiga cabang ilmu Islam iaitu iman. Islam dan ihsan atau akidah, syariat dan tasawuf, Tuhan mahu iman atau akidah itu didahulukan dan diberi keutamaan. Bukan kerana Tuhan perlukan perhatian manusia. Bukan kerana Tuhan ada kepentingan dan mengambil untung di atas keyakinan dan kepercayaan manusia. Tetapi kerana Tuhan mahu memberikan rahmat dan nikmat-Nya kepada manusia. Rahmat dan nikmat Tuhan yang hakiki itu hanya boleh didapati dari sisi Tuhan dan tidak dari sumber yang lain.

Apabila manusia mengenal Tuhan, cinta dan takut dengan Tuhan, maka untuk membuktikan dan memenuhi rasa cinta dan takut itu, manusia akan bergegas dan bertungkus-lumus membuat ibadah dan melaksanakan syariat sama ada yang lahir mahupun yang batin kerana itu adalah perintah Tuhan. Cinta dan takut Tuhan adalah pendorong terbesar untuk manusia beribadah dan berbakti kepada Tuhan. Cinta Tuhan akan mendorong manusia membuat apa yang Tuhan suruh dan yang Tuhan suka. Akan timbul kasih sayang antara manusia. Takut Tuhan akan menahan manusia dari membuat perkara-perkara yang Tuhan larang dan benci. Manusia akan takut menyakiti manusia lain. Hasilnya akan tertegaklah syariat sama ada yang lahir mahupun yang batin, yang ain atau kifayah, yang berben-tuk peribadi atau secara bermasyarakat. Buah daripada ibadah akan melahirkan manusia yang baik dan yang memberi manfaat kepada manusia lain.

Manusia akan berkhidmat dan memberi sebanyak-banyak kebaikan dan manfaat kepada orang lain. Manusia akan memperbaiki diri, berakhlak dan berdisiplin. Hasilnya seluruh masyarakat akan untung. Akan wujud khidmat dan prasarana masyarakat. Manusia akan tolong-menolong, bantu-membantu dan bela-membela. Akan timbul rasa bersama dan bekerjasama. Manusia akan bersatu padu dan berkasih sayang. Masyarakat akan bersih dari jenayah, keruntuhan moral dan kezaliman. Masyarakat akan bersih dari tekanan, penipuan dan penindasan. Manusia akan hidup bahagia dan aman damai di dunia.

Ini semua adalah hasil dari akidah yang tepat. Hasil dari kenal, cinta dan takut Tuhan. Kebaikannya kembali kepada manusia. Tuhan tidak ada kepentingan dan tidak mengambil apa-apa untung.

Kalaulah umat Islam faham perkara ini terutamanya para ulama, maka bila mereka bercerita tentang ilmu, mereka tidak akan ceritakan hal dunia, hal pembangunan, hal kemajuan, hal ekonomi dan lain-lain hal yang seperti itu kerana itu semua perkara kecil. Tuhan itu lebih besar. Mereka akan banyak bercerita dan bercakap tentang Tuhan. Bila orang kenal, cinta dan takut Tuhan, dengan sendirinya pembangunan dan kemajuan akan berlaku. Ekonomi akan bangun. Orang akan buat itu semua demi untuk membesarkan Tuhan. Kalau cerita tentang ekonomi, pembangunan dan kemajuan tanpa Tuhan, belum tentu boleh maju dan membangun. Kalaupun boleh, ia bukan lagi kerana Tuhan atau ikut cara yang Tuhan mahu. Kalau pembangunan dan kemajuaan dicapai tidak kerana Tuhan dan tidak ikut cara Tuhan, maka buruknya lebih banyak dari baiknya. Ia akan memakan diri. Itulah yang dinamakan istidraj.

Orang Kristian, disebabkan mereka hanya ada kepercayaan (belief) tetapi tidak ada cara hidup (ad-deen), bila mereka menyebarkan agama Kristian, mereka banyak bercakap tentang Tuhan dan tentang Syurga. Walaupun akidah mereka tidak betul tetapi cara mereka berdakyah itu betul. Kita umat Islam, akidah kita betul tetapi cara kita berdakwah di waktu ini tidak betul. Kita banyak bercakap fasal dunia, fasal pembangunan dan kemajuan, fasal ekonomi dan kurang bercakap fasal Tuhan dan hari Akhirat. Tentang Tuhan kita seolah-olah ada inferiority complex. Lidah kelu kalau hendak bercakap tentang Tuhan. Tidak cukup bahasa kalau hendak memperkatakan tentang Tuhan. Rasa kolot dan rasa kekampungan kalau hendak cakap fasal Tuhan. Kalau hendak cakap fasal Tuhan, rasa seolah-olah macam ketinggalan zaman.

 

 

Sumber: http://www.kawansejati.org/samudera_minda/ms-19-ajaran-islam-yang-terpenting-adalah-akidah.html

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s