Pengertian Ulama

Pengertian Ulama Dalam Pandangan Islam

PERKATAAN ulama itu adalah satu istilah dalam bahasa Arab. Ia adalah perkataan jamak (plural), yang berasal dari perkataan tunggalnya ‘alimun. Makna ‘alimun’ ialah ‘seorang alim’ atau ‘orang pandai’. Maka ulama ’ tentulah bermakna ‘orang-orang alim’. Boleh juga dikatakan ulama itu ialah para ilmuan atau para cerdik pandai.
Kalau mengikut ertinya dari segi bahasa, ulama itu ialah orang-orang alim dalam apa saja bidang ilmu. Sama ada ilmu dunia atau ilmu Akhirat; ilmu baik atau ilmu jahat. Tidak kira sama ada ilmu itu diamalkan atau tidak. Orang-orang yang mempunyai ilmu di bidang ekonomi misalnya, maka menurut istilah Arab (bahasa), mereka disebut ulama. Demikian juga orang-orang yang mengetahui ilmu usuluddin, maka dari segi bahasa mereka itu adalah ulama.

Berdasarkan fahaman dan pengertian inilah kita sekarang memberi gelaran ulama itu kepada seseorang. Yakni siapa saja yang alim walau dalam bidang ilmu apa pun, dipanggil ulama. Mungkin tidak salah kalau itu disandarkan pada erti lahir dari perkataan ulama itu. Tapi cuba kita lihat dalam Al Quran bagaimana ALLAH menggunakan perkataan ulama itu. Firman-Nya:

“Allah mengangkat mereka yang beriman di kalangan kamu dan mereka yang diberi ilmu itu beberapa darjat. “(Al Mujadalah: 11)
“Sesungguhnya yang takutkan Allah di kalangan hambahamba-Nya ialah ulama.”(Fathir: 28)
Kemudian Abu Darda’ ada mengatakan:
“Tidak dianggap seseorang itu alim sehinggalah dia beramal dengan ilmunya.”
Berdasarkan ayat-ayat di atas, kita dapat melihat pengertian ulama yang diberikan oleh Islam. Ada perbezaan yang jelas dengan ertinya menurut bahasa lahir semata-mata.
Dalam ayat yang pertama, ALLAH mengatakan diangkat darjat orang-orang yang berilmu itu kerana mereka beriman. Dengan kata lain, orang beriman yang berilmu pengetahuan itu lebih tinggi darjatnya daripada orang beriman tapi kurang ilmu pengetahuannya. Dengan kata lain lagi, tingginya darjat ulama itu ialah kalau dia beriman. Orang yang berilmu pengetahuan tapi tidak beriman tidak diangkat darjatnya. Adapun orang-orang yang tidak beriman, kalau ilmunya tinggi dan beroleh kebesaran-kebesaran tertentu, itu bukannya darjat tapi istidraj. Darjat adalah anugerah ALLAH yang ada nilai dunia dan Akhirat, yang diberi hanya pada orang beriman. Tapi istidraj, ia merupakan pemberian bernilai keduniaan semata-mata, yang diberi secara murka atau dengan tidak diredhai-Nya.
Dalam ayat yang kedua pula, ALLAH dengan tegas mengatakan ulama ialah orang yang takut pada ALLAH.Kalau tidak takut pada ALLAH, ertinya bukan ulama. Dengan kata lain, sifat orang alim itu adalah takut pada ALLAH. Kalau orang alim tidak takut pada ALLAH, berdasarkan ayat di atas, dia bukanlah seorang ulama Tambahan pula ada juga ulama yang pernah berkata, “Tidak dianggap alim seseorang itu kecuali ia beramal dengan ilmunya.”
Dengan hujah di atas, saya dapati ulama dalam pandangan Islam, ialah orang alim yang beriman, yang takutkan ALLAH dan beramal dengan ilmunya.
Itulah syarat-syarat yang mesti ada pada sesiapa yang menjadi ulama. Syarat pertamanya berilmu pengetahuan. ALLAH tidak nyatakan ilmu apa. Kerana sudah maklum ilmu apa yang boleh membuatkan manusia beriman dan bertaqwa. Yakni sebarang ilmu yang bersumberkan Al Quran dan Hadis, yang tunjangnya ialah tauhid dan aqidah. Misalnya ilmu tafsir, feqah, tasawuf, Hadis dan lain-lain lagi. Sebaiknya alim dalam semua bidang tapi kalau alim dalam satu cabang ilmu saja pun cukup untuk disebut ulama. Misalnya, ulama tafsir.
Ilmu-ilmu sekular yang memisahkan ilmu dunia dengan ilmu mengenai ALLAH dan Akhirat itu biasanya tidak membawa manusia kepada beriman dan bertaqwa. Bahkan menjadikan manusia tidak kenal ALLAH dan prasangka dengan Islam, dengan Al Quran dan Hadis. Oleh itu berilmu pengetahuan yang dimaksudkan ialah alim tentang Al Quran dan Hadis, dan beriman dengannya. Kalau ada seorang saintis yang beriman dan bertaqwa hasil kajian sainsnya itu, maka boleh juga disebut ulama. Tetapi hal ini jarang terjadi. Maka perkara yang jarang terjadi tidaklah boleh dijadikan hukum. Di dalam kitab ia
dikatakan bermaksud yang jarang berlaku, tidak dijadikan hukum atau tidak diambil kira.
Ada juga berlaku dan memang banyak berlaku hari ini, orang yang tinggi ilmu pengetahuannya dalam hal Al-Quran dan Hadis tetapi tidak beriman dan tidak takut pada ALLAH dan tidak beramal. Kita katakan tidak beriman kerana memang mereka tidak mengucap dua kalimah syahadat. Kita katakan tidak takut pada ALLAH kerana walaupun dia orang Islam tapi titah perintah ALLAH dilanggar membuta tuli. Larangan ALLAH dibuat dengar tak dengar saja. Sedangkan orang bertaqwa itu, orang yang beramal. Kerana bila takut pada ALLAH, orang akan beramal dengan perintah-perintah ALLAH. Mereka disebut ulama ul ‘amilin.
Mengapa hal ini terjadi? Kerana ilmu agama itu sendiri sudah disekularkan. Yakni roh atau tunjang ilmu itu dibuang dari cabang-cabang ilmunya. Sehingga orang yang pandai dalam ilmu tafsir pun tidak kenal dan tidak takut pada ALLAH. Pakar Hadis tidak kenal dan tak cinta pada Rasulullah. Ahli feqah tidak kenal siapa yang empunya syariat itu. Ilmu usuluddin diambil pengertian lahir sahaja; tidak dibawa kepada hubungan hati dengan Zat Yang Maha Pencipta. Manakala ilmu tasawuf diselewengkan dari maksud asalnya. Sebab itu profesor tasawuf pun masih berhasad dengki, ego, riyak, sumaah dan lain-lain lagi. Ulama feqah pun terlibat dengan riba, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan perkara-perkara haram yang lain. Ulama yang tidak bertaqwa, tidak beramal, mereka ini dalam Islam disebut ulama suk (jahat).
Dalam sistem pendidikan sekular ini, Yahudi bukan saja mengubah dasar ilmu pendidikan dalam bidang-bidang duniawi tapi dalam ilmu-ilmu agama pun sudah diselewengkan tujuan dan matlamat pelajaran dan pendidikan itu.
Maka jadilah lulusan-lulusan tinggi di bidang agama pun tidak ada beza dengan lulusan tinggi dalam bidang keduniaan sama ada di sudut makan minum, berpakaian, rumahtangga dan lain-lain lagi. Mereka tidak cukup syarat untuk dipanggil ulama. Sementelahan pula, iman dan taqwa itu bukan manusia yang dapat mengukurnya, kerana ia adalah urusan ALLAH. Maka lagi tidak layaklah kita mengaku diri termasuk golongan ulama. Atau mencalonkan diri untuk memegang jawatan-jawatan sebagai ulama atau menjadi anggota persatuan ulama.
Dalam Islam ulama bukan diukur dengan jawatan, pengakuan sijil dan degri (BA, MA dan PhD). Sukatan-sukatan itu dibuat oleh sistem sekular yang berasal daripada orang kafir terutama Yahudi. Sistem yang mengikat ilmu dengan taraf gaji dan jawatan. Yang mana pemberian jawatan ini biasa juga dibuat kerana tujuan politik, kerana hubungan keluarga, kawan atau kerana sikap yang selari dengan orang yang memberi pada kita. Sedikit sekali diberi kerana ilmu dan taqwanya. Sedangkan dalam sistem pendidikan Islam, ketinggian ilmu diukur pada taraf iman dan taqwa. Bukan untuk makan gaji dan jawatan tinggi, tapi untuk membanyakkan bakti, perjuangan dan pengorbanan fisabilillah.
Dalam Islam, ulamanya bukan dijanjikan kerja atau jawatan atau gaji dengan ilmunya. Kerana ulama tidak layak menjadi kuli atau pekerja dalam sistem tuan atau majikan. Tidak layak diarah-arahkan. Mereka bekerja sebagai tuan dalam sistem Tuhan. Bukannya orang suruhan dalam sistem tuan atau majikan. Kerja mereka, mereka sendiri yang tentukan. Yang tidak mesti diikat oleh sesiapa, oleh tempoh masa dan oleh peraturan pejabat. Biasanya seorang ulama besar itu jadi pencetus sistem, bukan terikat dengan sistem orang (yang tidak Islamik). Mereka benar-benar menjadi khalifah ALLAH walaupun tidak memerintah, apalagi kalau memerintah. Bekerja dengan ALLAH dan mengharap gaji dari ALLAH, sekalipun tidak salah mengusahakan pendapatan sendiri.
Sebesar-besar ulama sesudah Rasulullah ialah para Sahabat, para mujtahid, mujaddid, para fuqahak dan sufi-sufi besar. Mereka inilah sebenar-benar ulama. Kehidupan mereka bagaikan bintang-bintang di langit di sisi bulan purnama yang gemerlapan. Merekalah contoh dan ikutan. Kajilah sejarah mereka untuk melihat kehidupan ulama yang sepatutnya.
Inilah pandangan saya tentang pengertian ulama menurut Islam. Saya rasa kalaupun tidak tepat, tapi tidak menyalahi dasar. Kalau ada sesiapa yang mahu menolak, saya pun tidak berkecil hati. Kerana persoalan ini bukan soal soreh dan qat’i atau perkara yang telah diijmakkan oleh para ulama. Sesiapa pun boleh berijtihad menggunakan akal dan ilmu yang ALLAH beri padanya. Pada diri saya, inilah saja yang ALLAH berikan. Moga-moga ada kebenarannya dan ALLAH beri ganjaran-Nya.
WALLAHU A’LAM.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s