Aqidah Sifat 20 Allah: 11. SAMA’

Matan

YANG kesebelas – As Samak. Ertinya mendengar dengan tiada telinga, hakikatnya ialah sifat yang tetap ada, yang qadim lagi azali berdiri pada zat ALLAH Taala. Dengar Dia terang dan nyata pada tiap-tiap yang maujud. Sama ada yang maujud itu pada qadim seperti Ia mendengar akan Kalam-Nya atau yang ada itu harus, sama ada yang harus telah ada, atau yang lagi akan diadakan. Dan tidak ada sesuatu perkara yang ada tiada didengar-Nya. Dan tiada terdinding dengar-Nya itu, dengan sebab jauh atau bising, dan sama ada bersuara atau tiada bersuara maka yang tiada suara seperti ia mendengar diri-Nya sendiri berkata-kata.Yang demikian nyatalah dengan terangnya Tuhan itu yang wajib bagi-Nya bersifat mendengar sama ada bersuara atau tiada, jauh atau dekat, zahir atau tersembunyi, perlahan atau kuat, apabila diketahui oleh seseorang dan ada kepercayaan terhadap sama Tuhan bagaimana yang tersebut itu tetaplah kepercayaannya itu membangkitkan semangat dan perasaan melakukan tutur kata mengikut kepercayaannya, maka terjauhlah manusia itu daripada memperlakukan atau menggunakan mulutnya daripada perkara yang menyalahi undang-undang syar’i. Seperti berbetulan amalannya dengan kepercayaan yang dinamakan sebenar-benar iman.

Pengertian As Samak

AS SAMAK ertinya “mendengar”. Seperti sifat-sifat ALLAH yang lain, sifat ini juga wajib bagi kita mempelajarinya, memahaminya dan seterusnya meyakininya. Lantaran itu wajib pula bagi kita melakukan sebarang perbuatan selaras dengan keyakinan kita itu.

Maksud mendengar bagi ALLAH Taala di sini ialah bahawa ALLAH SWT itu mendengar tidak bertelinga. Selain dari ALLAH Taala iaitu makhluk termasuklah kita, semuanya mendengar dengan adanya telinga; adanya lubang telinga dan adanya cuping telinga. ALLAH SWT tidak demikian. Sebab ALLAH SWT itu tidak bertelinga. Sepertimana yang telah kita bahaskan, ALLAH tidak menyerupai segala sifat yang baharu.

ALLAH SWT juga mendengar tidak melalui perantaraan suara. Tidak seperti kita, yang mendengar terpaksa melalui perantaraan suara. Kalau sesuatu itu tidak ada suara, kita tidak boleh mendengarnya. Tetapi ALLAH SWT tidak demikian. Sepertimana ALLAH tidak mendengar dengan telinga, maka ALLAH juga tidak memerlukan adanya suara untuk mendengar.

Sifat mendengar ALLAH SWT juga tidak dibatasi oleh jauh dan dekat. Ertinya sama ada jauh mahupun dekat, semuanya dapat didengar oleh ALLAH SWT. Bahkan mendengarnya ALLAH bagi yang jauh dan yang dekat itu tidak ada perbezaannya.

Bagi kita, ada juga kalanya kita boleh mendengar yang jauh tetapi mendengar kita bagi yang jauh itu sudah tidak sama seperti mendengar bagi yang dekat. Ertinya yang dekat kita dengar agak kuat tetapi yang jauh sudah tidak begitu kuat lagi. Tetapi ALLAH SWT tidak demikian. ALLAH bukan sahaja boleh mendengar yang jauh mahupun yang dekat tetapi ALLAH juga boleh mendengar yang jauh dengan yang dekat itu sama sahaja. Tidaklah pada ALLAH itu, yang jauh itu sayup-sayup sahaja atau yang dekat itu terlalu lantang. Bagi ALLAH dekat dan jauh sama saja.

Kalaulah ada orang mengatakan bahawa ALLAH itu mendengar dengan menggunakan telinga serta dengan adanya lubang telinga dan cuping telinga dan kemudian ALLAH pula mendengar dengan perantaraan suara, maka mengikut hukum akal, tentulah ALLAH sama dengan segala yang baharu atau makhluk. Dan kalaulah ALLAH serupa dengan segala yang baharu, maka mengikut hukum akal juga, tentulah ALLAH itu ada permulaan. Dan bererti pulalah bahawa ALLAH itu ada yang menjadikan. Kalau ALLAH itu ada yang menjadikan, maka ALLAH itu bukanlah Tuhan lagi namanya. Maka dengan demikian ternafi pulalah sifat Mukholufutuhu Taala Lilhawudisi, iaitu bersalahan ALLAH Taala itu dengan segala yang baharu.

Hakikat As Samak

Hakikat As Samak ialah suatu sifat yang tetap ada dan mesti ada iaitu yang qadim lagi azali. Qadim ialah yang tidak didahului oleh tiada, atau tidak ada permulaan. Jadi sifat As Samak ALLAH SWT ini tidak ada permulaan. Mengapakah demikian? Kerana, sepertimana yang pernah kita bahaskan, sifat ALLAH SWT itu berdiri atas zat-Nya. Dan zat ALLAH SWT sepertimana yang kita ketahui juga, adalah qadim lagi azali iaitu tidak ada siapa yang menjadikannya. Dan oleh kerana zat ALLAH Taala itu qadim lagi azali; maka tentulah akal kita mengatakan bahawa sifat ALLAH SWT itu juga qadim lagi azali. Dan oleh kerana As Samak ini adalah salah satu sifat yang wajib bagi ALLAH SWT. tentulah sifat ini juga qadim lagi azali.

Dengan demikian, As Samak bagi ALLAH SWT ini tetap ada dan wajib ada. Dan dengan sifat As Samak, ALLAH SWT mendengar segala yang ada. Apakah yang dimaksudkan dengan segala yang ada? Segala yang ada ini kadang-kadang adalah yang wajib seperti ALLAH SWT mendengar Kalam-Nya sendiri. Dan Kalamullah ini juga adalah sifat wajib bagi ALLAH SWT yang ianya adalah qadim lagi azali. Oleh itu di antara yang wajib yang didengar oleh ALLAH SW’T ialah Kalam-Nya sendiri.

Kemudian segala yang ada pada yang baharu, sama ada yang sudah ada mahupun yang belum ada semuanya didengar oleh ALLAH SWT. Apakah yang dikatakan segala yang ada pada yang baharu yang sudah ada itu? Contohnya adalah seperti kita yang telah ada pada masa ini. Kita telah dijadikan oleh ALLAH SWI dan telah pun ada Maka kita yang sudah ada ini didengar oleh ALLAH SWT.

Begitu juga, bagi segala yang baharu yang belum ada tetapi bakal dijadikan oleh ALLAH SWT, itu pun didengar oleh-Nya. Ertinya, segala yang baharu yang hendak dijadikan oleh ALLAH SWT pada masa akan datang, semuanya didengar oleh ALLAH SWT.

Demikianlah pengertian kita bahawa ALLAH SWT yang bersifat As Samak mendengar segala yang ada sama ada yang ada itu yang wajib seperti ALLAH mendengar Kalam-Nya sendiri ataupun yang ada itu harus; sama ada yang harus itu sudah ada seperti kita yang telah dijadikan ALLAH pada masa ini ataupun yang harus itu tiada tetapi bakal diadakan oleh ALLAH SWT.

ALLAH Mendengar Yang Tidak Bersuara

Kemudian ALLAH SWT yang bersifat As Samak itu, pendengaran-Nya tidak terdinding oleh keadaan jauh dan dekat. Pendengaran ALLAH juga tidak terbatas pada yang bersuara ataupun yang tidak bersuara. Yang bersuara ALLAH dengar dan yang tidak bersuara pun ALLAH dengar. Yang bersuara adalah seperti kata-kata atau ucapan makhluk atau segala yang baharu seperti manusia. Kita kalau bercakap ada suara dan itu didengar oleh ALLAH SWT. Yang tidak bersuara adalah seperti Kalamullah. Maknanya, ALLAH SWT mendengar kata-kata-Nya sendiri. Dan ALLAH SWT berkata-kata tidak seperti makhluk; ALLAH berkata-kata tidak bersuara, tidak berlafaz, tidak berperkataan, tidak ada dulu dan tidak ada kemudian. Kalamullah adalah tersendiri.

Seterusnya, ALLAH juga mendengar sama ada yang tersembunyi mahupun yang tidak tersembunyi. ALLAH juga boleh mendengar sama ada yang perlahan mahupun yang kuat. Begitu juga ALLAH mendengar sama ada yang tebal mahupun yang tipis, sama ada yang panjang atau yang lebar.

Kesan Daripada Keyakinan Terhadap As Samak ALLAH

Begitulah kedudukan sifat mendengar ALLAH SWT. Kalaulah kita sudah faham sifat mendengar ALLAH SWT itu dan kita yakini sungguh-sungguh, ia akan memberi kesan pada diri kita. Ia akan membangkitkan perasaan dan semangat kita untuk bertutur dan bercakap selaras dengan keyakinan kita itu. Kita akan berkata-kata selaras dengan apa yang kita fahamkan daripada sifat As Samak bagi ALLAH SWT. Inilah kesan yang didorong oleh kefahaman dan keyakinan kita terhadap As Samak ALLAH SWT itu.

Dari itu, kita tidak akan bercakap atau berkata-kata dengan kata-kata yang tidak selaras dengan kehendak ALLAH atau dengan kehendak Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Dengan kata-kata lain, kita tidak akan bercakap dengan kata-kata yang tidak selaras dengan syariat ALLAH SWT. Inilah faedahnya ilmu tauhid yang kita pelajari. Guna dan faedah ilmu tauhid ini bukan untuk dibahas-bahaskan seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang. Mereka akan membahaskan Wujud, Qidam, Baqa’ dan lain-lainnya dengan dalil-dalil aqli dan naqlinya. Mereka akan bahaskan pula secara tafsili dan secara ijmali sifat-sifat ini. Kemudian mereka bahaskan secara mantik dan secara falsafahnya. Tetapi sekadar dibahaskan, tidak lebih dari itu.

Jadi hendaklah kita faham bahawa ilmu tauhid, kalau dapat kita faham dan yakin benar-benar, akan mendorong kita bertutur sesuai dengan kehendak syariat. Kita tidak akan bercakap perkara-perkara yang tidak selaras dengan syariat, kerana kita tahu ALLAH itu Maha Mendengar; mendengar sama ada yang bersuara ataupun yang tidak bersuara sehinggakan bisikan hati pun ALLAH dengar. Kita juga tahu ALLAH mendengar sama ada yang jauh mahupun yang dekat, sama ada yang kuat mahupun yang sayup-sayup, sama ada yang tebal mahupun yang tipis.

Mengawasi Lidah dan Gerak Hati

Kerana itu, bagi orang yang benar-benar berilmu tauhid serta yakin benar-benar dengan apa yang difahamnya, dia takut hendak bertutur dan berkata-kata sesuatu yang melanggar syariat ALLAH kerana jangankan tutur katanya ALLAH boleh dengar, malah gerak hatinya pun ALLAH dengar.

Kalau begitulah, orang yang benar-benar memahami ilmu tauhid serta yakin dengan ilmunya itu, tidak berani hendak mengumpat orang. Dia lebih-lebih lagi tidak berani hendak memfitnah orang. Dia tentunya tidak berani hendak mengeluarkan kata-kata yang sia-sia atau kata-kata yang tidak mendatangkan pahala.

Lidahnya tidak akan mencerca orang. Lidahnya tidak akan bercakaran dengan orang lain. Lidahnya tidak akan berkata perkataan yang membawa kepada dosa. Berbual-bual perkara kosong pun tidak mahu. Berbual perkara yang harus pun dia tidak mahu kerana walaupun itu tidak berdosa tetapi ia tidak mendatangkan pahala. Bagi orang mukmin, itu pun tidak mahu dilakukannya kerana baginya satu kerugian. Dia merasakan dengan berbual perkara yang harus, dia telah mensia-siakan umurnya. Baginya, masa adalah umur.

Demikianlah orang yang benar-benar telah mentauhidkan ALLAH SWT. Orang ini sudah benar-benar belajar dan faham sifat As Samak ALLAH hingga kefahamannya itu menjadi keyakinan dan aqidahnya. Hasilnya, segala kata-katanya dapat didorong selaras dengan kehendak-kehendak syariat ALLAH SWT. Dia tidak akan mengumpat dengan lidahnya, dia tidak akan memfitnah dcngan lidahnya dan dia tidak akan berkata-kata yang sia-sia dengan lidahnya. Inilah faedah daripada kita belajar ilmu tauhid.

Golongan Ilmul Yaqin

Orang yang perkataan atau tutur katanya menyalahi kepercayaan ataupun keyakinannya, adalah orang yang baharu setakat mencapai ilmul yaqin sahaja. Berdasarkan ilmu yang dipelajarinya tentang sifat Samak, akalnya mahu menerima ALLAH itu wajib bersifat Samak, yang qadim lagi azali, dan akalnya juga mahu menerima bahawa ALLAH boleh mendengar yang bersuara mahupun yang tidak bersuara. Tetapi ilmunya setakat di akal sahaja.

Bagi orang ini, ilmunya tepat. Tetapi dia dikatakan orang yang baharu berfikiran tauhid. Dia masih buat salah. Padahal ilmunya sudah betul dan tepat manakala akalnya pula sudah menerima dan selaras dengan syariat.

Sememangnya keyakinan kita tentang sifat-sifat ALLAH Taala termasuklah sifat Samak ini pada mulanya adalah pada peringkat akal. Sebab akal dan fikiran itulah yang mendatangkan ilmu pengetahuan. Tetapi hendaklah kita ingat, keyakinan yang bermula di tahap akal fikiran ini tidak boleh kita biarkan setakat itu sahaja. Keyakinan yang demikian tidak cukup kerana pada pengalaman kita, orang yang ilmu dan keyakinannya pada takat fikiran sahaja, masih banyak membuat kesalahan dan melanggar perintah-perintah ALLAH. Dia masih melanggar keyakinan dan kepercayaannya sendiri.

Golongan Ainul Yaqin

Orang yang boleh bertutur kata selaras dengan kefahamannya tentang Samak ALLAH SWT, adalah orang yang dikatakan mencapai tingkat ainul yaqin iaitu yang mata hatinya telah yakin. Orang ini sudah sampai kepada peringkat berjiwa tauhid. Mata hatinya telah terlekat benar dengan keyakinannya.

Untuk membawa ilmu dan kefahaman sampai dapat menghayati hati dan jiwa kita, itulah yang amat susah sekali. Padahal hati pada asalnya dahulu memang sudah kenal ALLAH, sebagaimana firman-Nya:

Terjemahannya: Bukankah Aku ini Tuhan kamu (wahai roh)? Mereka menjawab: “Ya, bahawasanya kami naik saksi bahawa Kamu adalah Tuhan kami. (Al A’raf: 172)

Jadi fitrah semulajadi hati ini memang sudah kenal yakin dan percaya sungguh dengan ALLAH. , tetapi. manakala hati atau roh kita ALLAH masukkan ke dalam sangkarnya iaitu jasad kita ini yang kemudiannya ALLAH jadikan pula dua jenis musuh batinnya iaitu syaitan dan nafsu dan musuh lahirnya orang kafir dan orang munafiq yang sentiasa menghembuskan dunia kepadanya, membangga dan mencanangkan dunia kepadanya, dari dalam mahupun dari luar diri kita, akhirnya hati yang sudah begitu kenal dengan ALLAH itu lupa serta tidak kenal lagi dengan ALLAH. Hati ini telah dipermainkan oleh syaitan dan nafsu. Firman ALLAH:

Terjemahannya: Sesungguhnya (syaitan) itu adalah musuh kamu yang amat nyata. (Yasin: 60)

Dan firman ALLAH lagi:

Terjemahannya: Sesungguhnya nafsu sangat mengajak kamu berbuat kejahatan.(Yusuf: 53)

Kemudian terdapat pula kejahatan dari luar yang diatur oleh orang-orang kafir dan yang diperkembangkan oleh orang-orang munafiq. Maka bertambah-tambah gelaplah hati itu daripada mengenal ALLAH.

Hati Yang Dapat Mengawal Diri Manusia

Jika hati dapat dikenalkan semula dengan ALLAH SWT sebagaimana sebelum ia dapat dirosakkan oleh syaitan dan hawa nafsu, oleh kejadian alam sekeliling, oleh penghidupan dan dunia ini, maka hati itu akan kuat. Dan hati inilah yang sebenarnya yang dapat menjaga dan mengawal diri kita.

Sebab itulah, kita perlu menjaga hati betul-betul supaya tidak dapat dipengaruhi oleh syaitan dan nafsu serta jangan digoda oleh alam benda ini. Dan kalaulah hati yang dapat kita kawal daripada musuh-musuh lahir dan batin ini dapat pula kita letakkan kembali kepada fungsinya yang sebenar iaitu kenal betul-betul kepada ALLAH SWT, maka hati itulah yang akan mendorong dan mengawal diri kita.

Dan dengan sebab itu jugalah keyakinan kita tentang Samak ALLAH SWT ini mesti sampai menghayati jiwa, jangan hanya pada peringkat akal sahaja. Mungkin keyakinan awal pada peringkat akal itu perlu tetapi jangan kita biarkan keyakinan itu. hanya bertapak pada akal fikiran sahaja. Mengenal ALLAH dengan akal adalah jalan untuk mempertahankan iman tetapi untuk menebalkan iman, kita mesti mengenal ALLAH dengan hati.

Orang yang dapat benar-benar mengenal ALLAH sampai kepada peringkat hati hingga dapat mengawal dirinya serta dapat mendorong dia bertutur dan berkata-kata selaras dengan kehendak syariat, adalah orang yang berjiwa tauhid. Bahkan apa saja yang dia buat, semuanya selaras dengan keyakinan dirinya terhadap ALLAH SWT seperti Qudrah ALLAH, Iradah ALLAH, Basar ALLAH dan lain-lainnya .

Kalau kita belajar ilmu tauhid sehingga tahu, faham dan yakin sungguh tetapi keyakinan itu hanya bertapak pada akal, tidak langsung kita usahakan untuk dihayati oleh hati, kita dapati ada saja kesalahan yang akan kita lakukan. Walaupun kita tahu akan kesalahan itu, tentang hukum-hukumnya, bahkan kita dapat huraikan dan syarahkan semua hukum itu, namun kesalahan itu tetap kita langgar juga. Kita masih lagi menjadi Mukmin yang ‘asi, yang ingkar dan mungkar kepada ALLAH SWT.

Ini adalah kerana, orang yang mengenal ALLAH dengan akal tidak takut dengan ALLAH walaupun keyakinannya itu tepat. Tetapi orang yang dapat mengenal ALLAH dengan hati, dia takut dengan ALLAH. Bila hati kita dapat mengenal ALLAH, barulah kita terasa takut dan gerun dengan ALLAH hingga kita tidak berani hendak melanggar sebarang perintah ALLAH serta melakukan larangan-Nya. Tetapi kalau hati tidak kenal ALLAH, hanya akal saja yang kenal ALLAH, rasa takut dengan ALLAH tidak ada walaupun iman kita sudah sah. Kita tahu ALLAH itu bersifat Wujud, Qidam, Baqa’, Samak, Basar dan sebagainya, tetapi kita tidak dapat rasakan begitu. Kerana itu, rasa takut dengan ALLAH tidak ada.

Tidak ada rasa takut kepada ALLAH membawa diri kita terus melanggar perintah-Nya. Tauhid kita masih pada fikiran sahaja. Atau kita dikatakan mempunyai fikrah Islamiah. Sepatutnya kita perlu berusaha sungguh-sungguh untuk membangunkan jiwa tauhid.

Golongan Abrar, Muflihun dan Ashabul Yamin

Orang yang mengenal Samak ALLAH hingga ke peringkat jiwanya, barulah kata-kata dan seluruh tindak-tanduknya selaras dengan syariat ALLAH. Orang ini sudah sampai kepada peringkat mukmin yang soleh. Dia termasuk dalam golongan Abrar iaitu golongan orang yang berbakti kepada ALLAH SWT, atau kadang-kadang disebut golongan Muflihun iaitu golongan orang-orang yang mendapat kemenangan atau sebagai golongan Ashabul Yamin iaitu golongan yang diberi suratan amal dari sebelah kanan di Akhirat.

Golongan-golongan ini adalah golongan orang-orang yang sudah berjiwa tauhid. Orang-orang ini apabila dia melakukan sedikit kesalahan sahaja atau apabila dia terjebak saja dengan dosa kecil sekalipun, masa itu juga dia, meminta ampun kepada ALLAH SWT. Dia tidak tunggu-tunggu sejam atau tunggu selepas sembahyang tetapi masa itu juga dia beristighfar kepada ALLAH. Kalau dia asuh jiwanya benar-benar sehingga hatinya melekat sungguh-sungguh tentang Samak ALLAH SWT, maka dia akan sampai kepada peringkat Muqarrobin. Dia akan menjadi wali-wali ALLAH dan kekasih-kekasih ALLAH.

Golongan Muqarrobin

Orang-orang soleh belum dianggap kekasih ALLAH. Mereka adalah orang baik-baik. Orang-orang ini walaupun masuk Syurga, tetapi lambat. Orang-orang Muqarrobin, kerana mereka kekasih ALLAH, cepat masuk Syurga. Golongan orang soleh lambat masuk Syurga dan yang mereka takuti ialah jatuh ke Neraka. Dan kalau kita baca sejarah orang-orang dahulu terutamanya Sahabat-sahabat, mereka tidak berhajat untuk menjadi orang soleh kerana lambat masuk Syurga. Pada mereka, lambat masuk Syurga itu adalah satu penyeksaan. Sebab itu mereka lebih berhajat untuk menjadi orang Muqarrobin untuk mencari peluang melompat masuk Syurga. Itulah sebabnya Sahabat-sahabat cari peluang untuk mati syahid sahaja.

Bagi kita, tentulah mati syahid ini tidak seronok kerana tidak tahu di mana matinya kita. Entah di mana mayat kita orang campak. Tetapi kalau mati sakit, orang sentiasa ada di sisi terutamanya anak-anak dan isteri. Dapat pula kita bermanja-manja sebelum mati. Isteri kita pun datang picit-picit kita dan begitu juga anak-anak kita. Kawan-kawan pula ziarah kita dan bawa buah-buah. Bukankah seronok mati sakit? Sebab itu tidak ada orang hendak mati syahid hari ini. Tetapi Sahabat-sahabat zaman dahulu berlumba-lumba hendak mati syahid kerana orang yang mati syahid termasuk dalam golongan Muqarrobin. Golongan ini cepat masuk Syurga.

Mereka tidak berhajat hendak jadi orang soleh kerana orang soleh lambat masuk Syurga, dan itu adalah penyeksaan bagi mereka. Mengapakah mereka merasakan yang lambat masuk Syurga itu satu penyeksaan? Sebabnya ialah, kalau terlambat satu hari sahaja, bukanlah serupa satu hari di Akhirat dengan satu hari di dunia. Satu hari saja terlambat di Akhirat bererti seribu tahun kita menunggu. Firman ALLAH SWT:

Terjemahannya: Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu adalah seribu tahun dari tahun-tahun yang kamu hitung. (Al Haj: 47)

Katalah A masuk Syurga cepat. Manakala B masuk Syurga terlambat. satu hari sahaja. Jadi kalau ikut ukuran dunia, si B terlewat 1000 tahun. Apakah terlewat 1000 tahun tidak merupakan penyeksaan? Sedangkan Syurga itu rumah bagi orang mukmin. Lebih-lebih lagi di dalam Syurga itu kita dapat melihat ALLAH SWT walaupun pada hakikatnya ALLAH itu tidak bertempat dan bukan di Syurga. Tetapi melihat wajah ALLAH di Syurga merupakan nikmat terbesar bagi semua orang mukmin.

Dan kalaulah 1000 tahun kita terlewat masuk Syurga, bererti itu satu penyeksaan. Sedangkan di dunia ini, kita menunggu lima hari untuk bertemu dengan tunang pun rasa terseksa. Itu baru lima hari. Betapalah kalau seribu tahun. Bayangkanlah betapa seksanya.

Dan sebab itulah tidak hairan mengapa Sahabat-sahabat zaman dahulu tidak berhajat untuk jadi orang soleh. Mereka berlumba-lumba mencari peluang untuk mati syahid. Dan sebab itu tidak hairan orang Islam zaman dahulu dapat menggugat dunia. Mereka boleh jatuhkan Rom dan Parsi, boleh tawan Sepanyol dan boleh memerintah tiga suku dunia ini. Kenapa mereka dapat berbuat demikian? Kerana mereka berjuang untuk mati, dan sebab itu ALLAH hidupkan mereka.

Tetapi hari ini umat Islam berjuang untuk hidup, dan sebab itu ALLAH matikan. Kalaupun ALLAH tidak matikan jasad, mereka tetapi cukup ALLAH matikan jiwa mereka. Sebab itu roh umat Islam hari ini mati, tidak ada semangat. Lalu umat Islam hina di mana-mana, di bidang apa sekalipun. Oleh kerana umat Islam berjuang untuk hidup, kalau kita sebut saja fasal mati, orang akan mengatakan yang kita kolot, ortodoks dan ketinggalan zaman.

Jadi, ilmu tauhid mestilah dihayati sampai ke hati kerana yang demikian akan menebalkan iman. Dengan demikian, iman kita akan dapat benar-benar mengawal kita daripada melakukan maksiat. Untuk ini, kita perlu asuh hati kita sungguh-sungguh sampai mencapai jiwa tauhid. Setidak-tidaknya kita menjadi orang yang soleh kalaupun tidak sampai kepada tahap Muqarrobin.

Untuk sampai ke peringkat ainul yaqin, kita perlu mujahadatunnafsi sungguh-sungguh untuk membersihkan jiwa kita. Kenalah kita perang sungguh-sungguh dengan nafsu dan syaitan. Kalau tidak, kita tidak akan dapat membersihkan jiwa kita untuk kita dapat memiliki jiwa tauhid. Orang yang berfikiran tauhid sahaja tidak ada rasa takut dkngan ALLAH tetapi orang yang berjiwa tauhid sentiasa rasa takut kepada ALLAH, dan dengan rasa takut kepada ALLAH SWT inilah dia boleh membetulkan dirinya.

Golongan Ariffin Kenal Allah Dengan Hati

Di sini barulah kita faham, iaitu mengetahui itu adalah dengan akal tetapi untuk mengenal atau dalam bahasa Arabnya disebut makrifah, adalah dengan hati. Ertinya, kalau sekadar hendak tahu, cukuplah dengan akal tetapi kalau kita hendak mengenal, mestilah dengan hati. Dan kita juga dapat faham bahawa mengenal dengan akal itu tidak kuat berbanding dengan mengenal dengan hati. Orang yang mengenal ALLAH sampai ke peringkat hati adalah orang yang arif atau kalau ramai dikatakan golongan ariffin. Orang inilah yang benar-benar kenal dengan ALLAH SWT.

Malangnya kita umat Islam pada hari ini, tauhid kita hanya berkisar pada akal sahaja. Kita dapat mengenal ALLAH dengan akal sahaja secara ilmu pengetahuan. Dan tidak pernah kita meningkat-ningkat dari itu. Sebab itulah kita tidak ada kekuatan, iaitu kekuatan untuk kita melaksanakan perintah ALLAH dan kekuatan untuk meninggalkan larangan-Nya serta mengekang diri daripada membuat maksiat. Akhirnya dengan maksiat yang kita lakukan itulah kita lemah. Dan dengan maksiat itu jugalah kita berpecah dan menjadi hina.

Jadi sebab itulah setelah kita mengenal ALLAH dengan akal, kenalah kita usahakan untuk mengenal ALLAH dengan hati. Dengan demikian dapatlah kita meningkatkan iman kita sampai kepada jiwa tauhid.

Artikel ini adalah bagian dari buku Aqidah Mukmin Siri 2 yang berisi buah fikiran dan ilham dariAbuya Ashaari Muhammad at Tamimi

Sumber: https://alieyfaizal.wordpress.com/2012/06/16/bab-16-sama/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s