06 Bagian kedua: KEUTAMAAN KELUARGA RASULULLAH SAW

Bagian kedua
KEUTAMAAN KELUARGA RASULULLAH SAW
HADITS TSAQALAIN DAN KEDUDUKAN AHLUL-BAIT
Hadits Tsaqalain ialah hadits Rasulullah s.a.w. yang menekankan dua persoalan sebagai wasiat yang amat penting, besar bobotnya dan berat timbangannya. Besar bobotnya kerana hadits tersebut menyangkut masalah kepimpinan atas ummat Islam sepeninggalan Rasulullah s.a.w. Berat timbangannya kerana Rasulullah s.a.w. kelak akan menuntut pertanggungjawapannya kepada kaum Muslimin atas pelaksanaan wasiat beliau itu.
‘Tsaqalain’ dalam bahasa Indonesia bererti ‘dua bekal’ bagi seorang musafir. Tanpa membawa bekal yang diperlukan, seorang musafir tidak akan sampai ke tempat tujuan. Dalam kaitannya dengan hadits Tsaqalain, dua bekal (tsaqalain) yang diwasiatkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada ummatnya itu merupakan dua persoalan yang perlu diindahkan dan dijaga baik-baik, agar dalam perjalanan hidup di dunia ini ummat Islam tidak akan sesat dan akan mencapai tujuan yang didambakan, iaitu meraih keridhaan Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat. Hadits Tsaqalain diulang di banyak tempat.
Untuk mempermudahkan penjelasan lebih jauh, baiklah kiranya kalau kami ketengahkan lebih dulu beberapa nas tentang hadits Tsaqalain:
“Kepada kalian kutinggalkan sesuatu yang jika kalian berpegang teguh padanya, sepeninggalanku kalian tidak akan sesat: Kitabullah sebagai tali yang terentang dari langit sampai ke bumi, dan keturunanku, ahlulbaitku. Kedua-dua tidak akan terpisah hingga kembali kepadaku di Haudh (syurga). Perhatikanlah dua hal itu dalam kalian meneruskan kepemimpinanku mengenai dua hal itu”. (Dikeluarkan oleh Tirmudziy dari Zaid bin Arqam. ‘Kanzul-Ummal’ Jilid I. halaman 44, hadits no. 874)
“Kutinggalkan kepada kalian dua peninggalan: Kitabullah sebagai tali yang terentang antara langit dan bumi, dan keturunanku ahlulbaitku. Sesungguhnya kedua-duanya itu tidak akan terpisah hingga kembali kepadaku di Haudh (syurga).” (Dikeluarkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dari hadits Zaid bin Tsabit dan dari dua Shaih Bukhari-Muslim. Yang pertama pada halaman 182 dan yang kedua pada akhir halaman 189, jilid V. Dikeluarkan juga oleh Abu Syaibah, Abu Ya’laa dan Ibnu Sa’ad. “Kanzul-Ummal” jilid I, halaman 47, hadits no. 945).
“Bahawasanya aku hampir dipanggil dan aku akan memenuhi panggilan itu. Sesungguhnya aku telah meninggalkan kepada kalian dua bekal: Kitabullah Azza wa Jalla dan keturunanku. Kitabullah adalah tali yang terentang dari langit sampai ke bumi, dan keturunanku ialah ahlulbaitku. Bahawasanya Allah Yang Maha Lembut lagi Maha Mengetahui telah memberitahuku kepadaku, bahawa kedua-duanya itu tidak akan terpisah hingga kembali kepadaku di Haudh (syurga). Perhatikan dua hal itu dalam kalian meneruskan kepimpinanku mengenai dua hal itu”. (Dikeluarkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dari hadits Abu Sa’id Al-Khudhariy. Tercantum dalam ‘Musnad’-nya Jilid III, halaman 17 dan 18).
“Kutinggalkan kepada kalian dua bekal: Kitabullah dan ahlulbaitku. Sesungguhnya kedua-duanya itu tidak akan terpisah hingga kembali kepadaku di Haudh (syurga)”. (Dikeluarkan oleh Al-Hakim dalam ‘Al-Mustadrak’ Jilid III halaman 148. Dikatakan olehnya bahawa hadits tersebut mempunyai kebenaran isnad yang diakui oleh Bukhari dan Muslim, tetapi tidak dikeluarkan oleh dua orang Imam hadits tersebut. Dikeluarkan juga oleh Adz-Dzahabiy dalam ‘Talkhishul-Mustadrak’ dan dinyatakan kebenarannya berdasarkan pembenaran Bukhari dan Muslim).
“Seakan-akan aku telah dipanggil dan aku akan memenuhi panggilan itu. Sesungguhnya aku telah meninggalkan kepada kalian dua bekal, yang satu lebih besar daripada yang lain: Kitabullah dan keturunanku. Maka perhatikanlah dua hal itu dalam kalian meneruskan kepimpinanku mengenai dua hal itu. Kedua-duanya tidak akan berpisah hingga kembali kepadaku di Haudh (syurga). Allah Azza wa Jalla adalah Maulaku (pemimpinku) dan aku adalah Maula (pemimpin) setiap orang beriman”…sambil menarik tangan ‘Ali bin Abi Thalib r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda lebih lanjut:
“Barangsiapa yang aku ini menjadi maulanya, maka dia ini (yakni Imam ‘Ali r.a) adalah walinya (pemimpinnya). Ya Allah, pimpinlah orang yang menjadikan dia sebagai pemimpinnya dan musuhilah orang yang memusuhinya”. (Hadits tersebut diucapkan Rasulullah s.a.w. di Ghadir Khum dalam perjalanan kembali ke Madinah bersama rombongan sesudah menunaikan Hijjatil-Wada (ibadah haji perpisahan). Dikeluarkan oleh Al-Hakim dari hadits Zaid bin Arqam dalam ‘Al-Mustadrak’ Jilid III, halaman 109 dan 533. Diakui kebenarannya oleh Adz-Dzahabiy dalam ‘Talkhishul-mustadrak’).
“Bagi kalian bukankah aku ini lebih utama daripada diri kalian? Para sahabat menjawap: Benar, ya Rasulullah! Beliau lalu bersabda: Kelak aku akan bertanya kepada kalian tentang dua hal: Al-Qur’an dan keturunanku”. (Hadits berasal dari Abdullah bin Hanthab, yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengucapkannya di sebuah tempat bernama Jahfah, dalam suatu khutbah. Dikeluarkan oleh Thabraniy dalam ‘Arba’unal-Arba’in yang ditulis oleh An-Nabhaniy. Dikeluarkan juga oleh As-Sayuthiy dalam ‘Ihya’ul-Mayyit’).
“Barangsiapa senang hidup seperti hidupku dan mati seperti matiku, lalu ingin menjadi penghuni syurga ‘Adn yang ditanam oleh Tuhanku, hendaklah ia mengangkat ‘Ali sebagai pemimpin sepeninggalanku, dan orang itu pun hendaklah mengikuti pimpinan yang diangkat olehnya (‘Ali) sebagai pemimpin, dan supaya berteladan kepada ahlulbaitku sepeninggalanku. Sebab mereka itu adalah keturunanku dan diciptakan dari darah dagingku serta dikurniai pengertian dan ilmuku. Celakalah orang dari ummatku yang mendustakan keutamaan mereka, dan memutuskan hubungan denganku melalui (pemutusan hubungan dengan) mereka. Allah tidak akan menurunkan syafaatku kepada orang-orang seperti itu”. (Dikeluarkan oleh Thabraniy dalam kitabnya ‘Al-Kabir’, dan dikeluarkan juga oleh Ar-Rafi’iy dalam ‘Musnad’-nya berdasarkan isnad Ibnu ‘Abbas. ‘Kanzul-Ummal’ Jilid VI, halaman 217, hadits no. 3819).
Hadits-hadits Rasulullah s.a.w. yang kami kemukakan di atas, semuanya kami kutip dari kitab-kitab yang di tulis oleh para ulama Ahlus-Sunnah terkemuka. Isnadnya pun kami ambil dari kitab-kitab mereka, yang menyebut nama para perawinya secara berturutan dan bertautan satu sama lain. Hadits-hadits tersebut dikeluarkan juga oleh para ulama Islam dari berbagai mazhab, seperti: mazhab Imamiyyah, mazhab Hanafi, mazhab Syafi’i, mazhab Maliki, mazhab Hanbali dan mazhab Zaidiyyah.
Tanggapan para ulama tentang Hadits Tsaqalain:
Imam Muslim dalam ‘Shahih’nya mengetengahkan sebuah riwayat hadits berasal dari Yazid bin Hayyan yang menyatakan sebagai berikut: “Bersama Hashih bin Shibrah dan Umar bin Muslim saya pergi menemui Zaid bin Arqam r.a. Setelah kami duduk, Hashin berkata kepada Zaid: Hai Zaid, saya sungguh telah memperoleh banyak kebajikan. Saya sempat menyaksikan hidupnya Rasulullah s.a.w., mendengar sendiri tuturkata beliau, berperang bersama-sama beliau dan bersembahyang ma’mum di belakang beliau. Benarlah, bahawa saya merasa telah memperoleh banyak kebajikan. Hai Zaid, katakanlah kepada kami apa yang pernah kau dengar dari Rasulullah s.a.w.!
Zaid bin Arqam kemudian berkata: Rasulullah s.a.w. pernah mengucapkan khutbah di depan kita. Setelah memanjat puji syukur ke hadhirat Allah, memberi nasihat-nasihat dan peringatan, beliau lalu bersabda:
“Amma ba’du, sesungguhnya aku adalah manusia…Hampir datang utusan Allah kepadaku dan aku menerimanya. Kutinggalkan kepada kalian dua bekal, yang pertama ialah Kitabullah, di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya terang. Ambillah Kitabullah itu dan berpeganglah teguh padanya…”
Beliau melanjutkan:
“…Dan ahlulbaitku. Kutinggalkan kalian kepada Allah mengenai ahlulbaitku”. (Beliau mengucapkannya tiga kali).
Hashin kemudian bertanya: Hai Zaid, siapakah ahlulbait beliau itu? Apakah para isteri Rasulullah s.a.w. termasuk ahlulbaitnya? Zaid menjawap: Isteri-isteri beliau termasuk ahlulbaitnya, tetapi orang-orang selain beliau s.a.w. yang diharamkan menerima shadaqah juga termasuk ahlulbait beliau. Hashin bertanya lagi: Siapakah mereka itu? Zaid menerangkan: Semua keluarga ‘Ali, semua keluarga Aqil, semua keluarga Ja’far dan semua keluarga ‘Abbas! Hashin masih bertanya: Benarkah mereka itu semuanya diharamkan menerima shadaqah? Zaid menjawap: Ya, benar!
Mengenai riwayat hadits tersebut di atas Imam Muslim mengetengahkan nas riwayat hadits serupa yang berasal dari sumber lain dan mengandungi makna berlainan, iaitu sebagai berikut: “…Kami bertanya: Apakah isteri-isteri beliau termasuk ahlulbait Rasulullah s.a.w.? Zaid menjawap: Tidak, demi Allah. Sebab isteri mungkin hanya untuk sementara waktu saja hidup bersama suami. Bila terjadi penceraian, isteri akan kembali kepada orang tua atau sanak saudara keluarganya. Ahlulbait beliau ialah orang-orang dari mana beliau berasal, dan kaum kerabat beliau yang diharamkan menerima shadaqah, seperti beliau sendiri”.
Imam Nawawiy dalam uraiannya mengatakan, bahawa dua buah riwayat hadits tersebut nampak berlawanan. Yang jelas diketahui ialah bahawa dalam kebanyakan riwayat yang diketengahkan oleh Muslim mengenai soal itu, Zaid bin Arqam mengatakan: para isteri Rasulullah s.a.w. bukan ahlulbait beliau. Kerana itu riwayat hadits tersebut pertama di atas harus dita’wilkan, bahawa dimasukkannya para isteri Rasulullah s.a.w. ke dalam lingkungan ahlulbait, kerana mereka itu tinggal bersama Rasulullah s.a.w. dan diperlakukan oleh beliau sebagai keluarga. Beliau memerintahkan supaya mereka itu dihormati dan dimuliakan serta disebut sebagai ‘tsaqal’. Beliau mengingatkan juga supaya hak-hak mereka dipelihara dan dipenuhi. Atas dasar penta’wilan itu maka para isteri Rasulullah s.a.w. memang termasuk dalam lingkungan ahlulbait, tetapi mereka tidak termasuk orang-orang yang diharamkan menerima shadaqah. Dengan penta’wilan seperti itu maka hilanglah sifat pertentangan antara dua riwayat hadits yang diketengahkan oleh Imam Muslim.
Mengenai hadits Tsaqalain, para ulama mengatakan: Hadits tersebut dinamakan ‘Hadits Tsaqalain’ (Hadits Dua Bekal) mengingatkan besarnya persoalan yang terkandung di dalamnya.
Ibnul-Atsir dalam kitabnya, ‘An-Nihayah’, mengatakan: Setiap hal yang amat penting dan sangat berharga dapat dinamakan ‘tsaqal’. Dinamakan ‘Hadits Tsaqalain’ mengingat besarnya nilai dan untuk lebih menekankan betapa penting persoalan yang menjadi kandungan hadits tersebut. Di dalam Kamus, ‘tsaqal’ bererti sesuatu yang amat sangat berharga dan diperlukan sebagai bekal dalam perjalanan jauh. Menurut sumber riwayat lain, nas hadits Tsaqalain adalah:
“Kutinggalkan kepada kalian dua bekal: Kitabullah dan keturunanku”.
Dalam kitab ‘Is’afur-Raghibin’ Ash-Shabban mengatakan: Kalimat yang berbunyi “Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai ahlulbaitku” bermakna “Kalian kuperingatkan akan Allah mengenai urusan ahlubaitku”.
Dalam kitab ‘Syarah Riyadhus-Shalihin’ Ibnu Allan mengatakan: Diulanginya kalimat tersebut bermaksud menekankan wasiat Nabi s.a.w. mengenai mereka (ahlulbait) dan beliau minta supaya mereka sungguh-sungguh diperhatikan. Kerana itu masalahnya menjadi wajib, sebab permintaan beliau itu ditekankan dan diserukan (dibebankan).
Ahs-Shabban dalam kitab ‘Is’aafur-Raghibin’ mengatakan bahawa yang dimaksud dengan ‘tali terentang…’ dalam hadits Tsaqalain yang diketengahkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal (Lihat: hadits Tsaqalain no. 3) ialah janji Allah s.w.t. atau wasilah yang dapat menyampaikan manusia kepada rahmat dan ridha-Nya.
Demikian pula yang dikatakan oleh Imam Nawawiy.
Di dalam kitab ‘Nawadirul-Ushul’ Imam Tirmudziy membatasi makna ‘itrah’ (keluarga keturunan) yang terdapat dalam teks hadits Tsaqalain, hanya pada para pemuka atau Imam-Imam yang terdiri dari keturunan Rasulullah s.a.w. saja. Mengenai hal itu ia berbicara panjang lebar, antara lain sebagai berikut: ‘Mengenai berpegang teguh pada Kitabullah dan keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. penjelasannya terdapat di dalam keterangan yang dikemukakan oleh Jabir r.a. Ia mengatakan: Dalam ibadah haji pada hari ‘Arafat aku melihat Rasulullah s.a.w. berada di atas untanya, ‘Al-Qushwa’, mengucapkan khutbah. Aku mendengar beliau bersabda: “Hai kaum Muslimin, kutinggalkan kepada kalian sesuatu, jika kalian berpegang teguh padanya, kalian tidak akan sesat: Kitabullah dan keturunanku, ahlulbaitku…”
Riwayat hadits yang berasal dari Hudzaifah bin Usaid Al-Ghifariy mengatakan: Sehabis menunaikan ibadah haji wada Rasulullah s.a.w. mengucapkan khutbah: “Hai kaum Muslimin, bahawasanya Allah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui memberitahu kepadaku, bahawa seorang Nabi tidak diberi umur lebih dari separuh umur para Nabi terdahulu. Aku merasa sudah hampir dipanggil dan aku akan memenuhinya. Aku akan mendahului kalian berada di dalam Haudh (syurga), dan pada saat kalian datang kepadaku kalian akan ku tanya mengenai dua bekal. Kerana itu perhatikanlah bagaimana kalian akan memperlakukan dua hal (bekal) itu sepeninggalanku. Bekal yang terbesar ialah Kitabullah s.w.t., suatu sarana yang hujung satunya berada di tangan Allah dan hujung yang lainnya berada di tangan kalian. Kerananya peganglah teguh, jangan sampai kalian sesat dan jangan pula menggantinya. Bekal yang terkecil ialah keluarga keturunanku, ahlulbaitku. Aku telah diberitahu Allah Yang Maha Lembut, bahawa kedua-duanya itu tidak akan berpisah hingga kembali kepadaku di Haudh (syurga)…”
Diriwayatkan juga bahawa pada saat itu Rasulullah s.a.w. memanggil orang ramai, kemudian beliau membaca ayat 33 surah Al-Ahzab…
Jadi jelaslah bahawa keturunan ahlulbait termasuk dalam lingkungan ahlulbait. Mereka adalah orang-orang shafwah (suci), tetapi bukan orang-orang ma’shum (terpelihara dari kemungkinan berbuat dosa), sebab yang ma’shum hanyalah para Nabi dan Rasul alaihimus salam, sedang orang-orang bukan Nabi hanya memperoleh anugerah Ilahi. Mereka memperoleh anugerah mengenai soal-soal yang bagi mereka masih tertutup, yakni tidak mereka ketahui. Adapun orang-orang yang telah memiliki kesanggupan mengetahui soal-soal yang tertutup, mereka itu telah berada pada martabat yang lebih tinggi daripada orang-orang yang memperoleh anugerah…
Mengenai ucapan Rasulullah s.a.w. “kedua-duanya tidak akan berpisah hingga kembali kepadaku di Haudh”, dan ucapan beliau “jika kalian berpegang teguh padanya kalian tidak akan sesat” itu hanya berlaku bagi para Imam yang berasal dari keturunan ahlulbait, tidak berlaku bagi orang-orang selain mereka. Orang-orang yang berbuat buruk, atau orang yang amalan baiknya bercampuraduk dengan amalan buruknya, bukanlah teladan yang patut diikuti. Orang-orang seperti itu tentu ada di kalangan para keluarga keturunan Rasulullah s.a.w., sebab mereka itu tidak terhindar dari syahwat manusiawi dan tidak maksum seperti para Nabi…
Sama halnya dengan Kitabullah pada masa-masa diwahyukannya, ada ayat-ayat yang nasikh (mengesamping) dan ada pula ayat-ayat yang mansukh (dikesampingkan). Ayat-ayat yang nasikh oleh hukum dinyatakan lebih kuat daripada ayat-ayat yang mansukh. Demikian juga orang-orang dari keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. Yang mempunyai keistimewaan sebagai teladan berada pada martabat lebih tinggi daripada yang tidak mempunyai keistimewaan sebagai teladan. Kita wajib berteladan kepada para ulama dari mereka yang telah dijamin oleh Allah s.w.t. ada pada mereka. Jadi, kita wajib berteladan bukan kerana memandang asal-keturunan mereka. Orang-orang yang bukan seunsur atau bukan seasal-keturunan dengan mereka, jika benar-benar menguasai ilmu agama sedalam-dalamnya pun wajib kita jadikan teladan, kerana Allah s.w.t. telah berfirman:
“Taatilah Allah dan Taatilah Rasul serta para pemegang urusan (syariat) dari kalian”.[An-Nisa: 59]
“Orang-orang yang memegang urusan syari’at dari kita ialah mereka yang memperolah pengetahuan dari Allah dan Rasul-Nya mengenai ilmu-ilmu yang sangat diperlukan untuk mengurus soal-soal syar’at Allah. Menurut hemat kami, Rasulullah s.a.w. dengan ucapan beliau itu menunjuk anggota-anggota keluarga keturunan beliau, kerana jika mereka itu baik nescaya mempunyai keistimewaan dapat memahami apa yang diperlukan. Sebab kebaikan unsur dapat melahirkan kebaikan akhlak, dan kebaikan akhlak akan menciptakan kebersihan dan kesucian hati. Manakala hati telah bersih dan suci ia akan memberikan cahaya terang dan dengan cahaya itu dada akan menjadi lebih cerah. Semuanya itu merupakan kekuatan bagi orang yang bersangkutan dalam usahanya memahami apa yang harus dilakukan menurut perintah syari’at”.
Demikian Imam Tirmudziy mengemukakan pendapat dan alasan-alasan mengenai ‘itrah’ (keluarga keturunan Rasulullah s.a.w.) yang tercantum dalam hadits Tsaqalain.
Mengenai pendapat dan alasan-alasan tersebut Syeikhul-Islam Taqiyyuddin Ahmad bin Taimiyyah dalam kitabnya yang berjudul ‘Al-IAqidatul-Wasithiyyah’ memberikan tanggapannya sebagai berikut:
“Dua kalimat hadits Tsaqalain yang menyatakan ‘kedua-duanya tidak akan berpisah hingga kembali kepadaku di Haudh, dan sesuatu yang jika kalian berpegang teguh padanya kalian tidak akan sesat’; tidak hanya berlaku bagi para Imam atau orang-orang terkemuka dari keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. saja, melainkan berlaku juga bagi semua orang yang berasal dari keluarga keturunan beliau s.a.w., baik yang awam mahupun yang khawash, yang menjadi Imam mahupun yang tidak. Pertanyaan Rasulullah s.a.w. yang menegaskan ‘kedua-duanya tidak akan berpisah hingga kembali kepadaku di Haudh’ tidak mengandungi makna, bahawa mereka itu harus sanggup melaksanakan semua ketentuan yang ditetapkan dalam Kitabullah; sehingga Tirmudziy mengatakan, bahawa di antara mereka itu ada ‘orang-orang berbuat buruk, atau orang yang amalan baiknya bercampuraduk dengan amalan buruknya…’ dan seterusnya. Pertanyaan Rasulullah s.a.w. itu adalah dorongnya supaya orang menghormati mereka, dan merupakan berita menggembirakan bahawa mereka itu tidak akan meninggalkan agama Islam hingga saat mereka memasuki syurga (haudh) dengan selamat. Itulah makna pernyataan Rasulullah s.a.w. bahawa mereka itu tidak akan berpisah dari Kitabullah hingga saat mereka kembali kepada beliau si syurga kelak…’
“Sebagaimana telah saya katakan, makna ‘noda’ atau ‘kotoran’ (rijsa) dalam ayat tersebut di atas, mencakup segala macam dosa dan kesalahan lainnya, dan paling buruk ialah kufur. Orang-orang dari keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. adalah orang-orang yang telah disucikan langsung oleh Allah s.w.t. Dalam hal keteguhan berpegang pada agama Islam mereka itu tidak akan goyah atau tergelincir…”
“Mungkin orang ingin berkata kepada kami: Dalil itu tidak dapat diterima oleh Tirmudziy, kerana ia berpendapat bahawa ayat 33 surah Al-Ahzab ditujukan khusus kepada para isteri Rasulullah s.a.w.…”
“Kami menjawap: Benar, sekalipun ia berpendapat seperti itu, namun telah nyata terdapat pembuktian kuat, bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah memanggil ‘Ali bin Abi Thalib, Fatimah, al-Hasan dan al-Husein radhiyallahu anhum, kemudian beliau membacakan ayat 33 surah Al-Ahzab…”
“Tirmudziy sendiri dalam penjelasannya mengatakan, bahawa ‘keturunan mereka (ahlulbait) memang termasuk dalam lingkungan ahlulbait, kerana itu mereka adalah orang-orang shafwah (suci)’. Dikatakan juga olehnya: ‘Hal itu dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. setelah ayat 33 surah Al-Ahzab turun, kerana beliau ingin memasukkan mereka ke dalam makna ayat tersebut’. Dengan keterangan seperti itu bererti Tirmudziy yakin bahawa Rasulullah s.a.w. pernah memanggil ‘Ali bin Abi Thalib, Fatimah, Al-Hasan dan Al-Husein radhiyallahu anhum – dan mereka telah memenuhi panggilan beliau itu dan mendengarkan Rasulullah s.a.w. membacakan ayat 33 surah Al-Ahzab di depan mereka. Dengan demikian meka jelaslah, bahawa mereka termasuk dalam makna ayat tersebut. Jadi, pada hakikatnya keterangan Tirmudziy itu sama dengan pendapat para ulama yang lain…’
Mengenai tidak akan terpisahnya mereka (keluarga keturunan Rasulullah s.a.w.) dari Kitabullah, bermakna bahawa mereka itu tidak akan menyeleweng dari agama Islam hingga saat mereka kembali kepada Rasulullah s.a.w. di syurga. Makna tersebut diperkuat dalilnya oleh firman dalam ayat 5 surah Adh-Dhuha:
“Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu sehingga emgkau menjadi puas…”
‘Al-Qurthubiy dalam tafsirnya yang dikutip dari Ibnu ‘Abbas r.a, mengatakan: Kepuasan Muhammad Rasulullah s.a.w. ialah kerana tidak ada seorang pun dari ahlulbaitnya yang akan masuk neraka’.
‘Dalil-dalil hadits mengenai hal itu banyak sekali, antara lain bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Fatimah telah sungguh-sungguh menjaga kesucian dirinya. Kerana itu ia dan keturunannya dihindarkan Allah dari seksa neraka”. Al-Hakim menegaskan bahawa hadits tersebut shahih…’
‘Ada hadits lain lagi yang berasal dari Imran bin Hashin r.a. Ia mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
“Aku telah mohon kepada Tuhanku supaya tidak memasukkan seorang pun dari keluargaku (ahlulbaitku) ke dalam neraka, dan Dia mengabulkan permohonanku”. Demikian Imam Ibnu Taimiyyah’.
Dalam Bab yang akan datang hal itu akan kami uraikan lebih terperinci. Di sini kami sebutkan saja sebuah dalil tambahan, berupa hadits Rasulullah s.a.w. yang amat jelas maknanya, iaitu:
“Semua sebab dan nasab akan terputus pada hari kiamat kecuali sebabku dan nasabku”.
Dalam hadits tersebut terang sekali bahawa ahlulbait Rasulullah s.a.w. maksum (terpelihara) dari kekufuran. Sebab kalau ada kemungkinan mereka akan menjadi kafir tentu Rasulullah s.a.w. tidak akan menegaskan pengecualian mereka dalam hadits tersebut. Kekufuran adalah pemutusan hubungan sebab dan nasab (asal keturunan) yang paling besar. Jadi, tetap tidak akan terputusnya hubungan nasab dengan Rasulullah s.a.w. hingga hari kiamat kelak merupakan hujjah yang sangat kuat tentang tidak akan terpisahnya keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. dari agama Islam.
Mengenai wasiat Nabi s.a.w. kepada ummatnya supaya berpegang teguh pada Kitabullah dan itrah atau ahlulbait beliau, tentu saja harus sesuai dengan keadaannya masing-masing. Berpegang teguh pada Kitabullah bererti teguh melaksanakan atau mengamalkan ketentuan dan hukum-hukum syari’at-Nya, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram. Berpegang teguh pada ahlulbait Rasulullah s.a.w. bererti memelihara dengan baik hak-hak mereka, seperti: mencintai mereka, menghargai dan menghormati mereka.
Mengenai orang-orang dari keturunan Rasulullah s.a.w. yang oleh Tirmudziy dikeluarkan dari lingkungan ahlulbait yang wajib dijaga hak-haknya dengan baik – kerana menurut Tirmudziy hadits tersebut di atas hanya berlaku bagi para Imam dan orang-orang terkemuka ahlulbait, Ibnu Taimiyyah mengetengahkan riwayat-riwayat hadits yang lain sebagai hujjah. Antara lain riwayat hadits yang berasal dari Zaid bin Arqam, iaitu:
“Kutinggalkan kepada kalian dua bekal. Yang pertama ialah Kitabullah, di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya terang; maka ambillah Kitabullah itu dan berpeganglah teguh padanya…, dan ahlulbaitku. Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai ahlulbaitku! Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai ahlulbaitku”!
Dari hadits Zaid bin Arqam itu kita dapat mengetahui, bahawa Rasulullah s.a.w. pertama-tama mengkhususkan pesan beliau supaya kaum Muslimin berpegang teguh pada petunjuk dan hidayat Kitabullah Al-Qur’anul-Karim. Hikmah mengenai hal itu beliau menyebutnya dengan kata-kata “di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya terang”. Setelah itu barulah beliau menyebut ahlulbait dengan ucapan “Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai ahlulbaitku”. Pesan beliau itu diucapkan dua kali untuk lebih menekankan perlunya memelihara hak-hak mereka sebagai keluarga keturunan beliau s.a.w. Dalam pesanan beliau itu sama sekali tidak terdapat pengistimewaan yang seorang daripada yang lain di antara semua keluarga ahlulbait.
Jelaslah kiranya, bahawa yang dimaksud dengan keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. atau ahlulbait ialah mereka semua yang diharamkan menerima shadaqah atau zakat, sebagaimana yang dikatakan oleh Zaid bin Arqam dalam hadits Tsaqalain yang diriwayatkannya. Oleh Rasulullah s.a.w. mereka itu disebut secara beriringan dengan penyebutan Kitabullah. Sudah pasti itu bermaksud menghormati kedudukan mereka, dan untuk menekankan wasiat beliau agar hak-hak mereka dipelihara sebaik-baiknya oleh kaum muslimin.
Dalam uraian Imam Tirmudziy mengenai soal itu terdapat perumusan kalimat yamg oleh Ibnu Taimiyyah dianggap aneh dan menghairankan. Iaitu kalimat yang berbunyi: “Apabila orang-orang yang tidak seunsur atau tidak seasal keturunan dengan mereka (keluarga keturunan ahlulbait) benar-benar menguasai ilmu-ilmu agama secara mendalam, maka kita pun wajib berteladan kepada mereka, sama seperti kita berteladan kepada orang-orang (Imam-imam) terkemuka yang berasal keturunan Rasulullah s.a.w.”
Perumusan kalimat seperti itu oleh Ibnu Taimiyyah dianggap menarik garis persamaan antara keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. dan orang-orang dari unsur lain yang bukan keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. Jadi, tidak ada keistimewaan apa pun pada orang-orang keturunan Rasulullah s.a.w. Yang dipandang oleh Tirmudziy sebagai ciri istimewa ialah “kedalaman ilmu” yang ada pada orang-orang keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. Dengan demikian maka yang diertikan ‘itrah’ dan ‘ahlulbait’ menurut Imam Tirmudziy bukan lain hanyalah para ulama, para Imam dan Para ahli Fiqh di kalangan ummat Islam! Benarkah itu yang dimaksud oleh Rasulullah s.a.w.? Tentu tidak!
Yang dimaksud oleh Rasulullah s.a.w. ialah keluarga keturunan dan kaum kerabat, tidak pandang apakah mereka itu Imam, ulama atau bukan. Mengenai para ahli Fiqh, para ulama dan para Imam, mereka itu memang teladan bagi ummat Islam dan merupakan pelita yang menerangi kegelapan. Akan tetapi itu tidak bererti bahawa mereka itu keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. Para ulama, para ahli fiqh dan para Imam itu justeru orang-orang yang paling pertama berkewajipan mengindahkan wasiat Nabi s.a.w., yakni secara umum itu wajib menghormati kedudukan dan memelihara hak-hak keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. dengan sebaik-baiknya.
Rasulullah s.a.w. mengucapkan khutbah yang di dalamnya terdapat ‘hadits Tsaqalain’ itu di depan lautan manusia dan disaksikan oleh para sahabat beliau. Ketika itu beliau baru selesai menunaikan ibadah haji wada. Beliau berangkat dari Madinah ke Makkah disertai beribu-ribu kaum Mislimin, tidak termasuk mereka yang datang dari daerah Yaman. Pada masa itu mereka merupakan bahagian terbesar ummat Islam. Kecuali para sahabat, di antara mereka terdapat juga para ahli Fiqh seperti Abu Bakar Ash-Shiddiq r.a dan lain-lain. Tidak diragukan lagi, di antara mereka itu pasti terdapat orang-orang yang sudah lebih mendalam ilmu pengetahuannya tentang Fiqh dibanding dengan kebanyakan anggota ahlulbait dan anak-anak mereka. Apakah di antara kaum Muslimin yang sebanyak itu ada yang menyimpulkan, bahawa Rasulullah s.a.w. dengan hadits Tsaqalain itu mewasiatkan para anggota keluarganya supaya memuliakan kedudukan para ulama dan para ahli Fiqh? Apakah beliau berwasiat bahawa anggota-anggota keluarga beliau adalah Abu Bakar Ash-Shiddiq, Umar Ibnul-Khatthab, Zaid bin Tsabit, Ubaiy bin Ka’ab, Mu’adz bin Jabal, Abdullah bin Salam, atau para ulama lainnya, baik yang berasal dari kaum Muhajirin ataupun kaum Ansar? Apakah kaum Muslimin yang sebanyak itu tidak ada yang memahami, bahawa Rasulullah s.a.w. berpesan kepada segenap kaum Muslimin supaya memelihara dengan baik kedudukan para keluarga keturunan dan kaum kerabat beliau? Apakah di antara kaum Muslimin yang beribu-ribu jumlahnya itu tidak ada yang mengerti, bahawa yang dimaksud ‘itrah’ atau ‘ahlulbait’ itu ‘keluarga keturunan Rasulullah s.a.w.’? Bukan orang-orang selain mereka? Sebab, erti ‘itrah’ atau ‘ahlulbait Rasulullah s.a.w.’ tidak bisa lain kecuali mereka, keluarga Rasulullah s.a.w. dan keturunan beliau! Apakah ketika itu ada orang yang mengatakan, bahawa yang dimaksud ‘itrah’ atau ‘ahlulbait’ itu bukan keturunan keluarga Rasulullah s.a.w., melainkan orang-orang lain yang tidak mempunyai hubungan darah dengan beliau?
Masih ada satu persoalan lagi yang menjadi pendapat Imam Tirmudziy mengenai masalah ‘itrah’ dan ‘ahlulbait’. Ia mengatakan: “Mereka (ahlulbait) diikuti kerana ilmunya. Kalau ada orang dari unsur lain yang mempunyai ilmu seperti mereka, kita pun wajib mengikutinya dengan cara yang sama seperti kita mengikuti ‘ahlulbait’. Jadi menurut Tirmudziy persoalan pokok yang wajib diikuti ialah ilmu, bukan unsur keturunan Rasulullah s.a.w. kerana – menurut Tirmudziy – telah berabad-abad lamanya ijtihad terputus dari mereka, maka mereka telah kehilangan syarat-syarat yang diperlukan”!
Para Ahlus-Sunnah di seluruh dunia dalam masalah hukum Fiqh semuanya mengikuti empat orang Imam, iaitu Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal dam Imam Syafi’i radhiyallahu anhum. Dalam masalah ‘aqa’id kaum Ahlus-Sunnah mengikuti Al-Asy’ariy atau Al-Matridiy. Adapun mengenai para ahlulbait, walaupun pada masa pertumbuhan Islam mereka itu banyak yang menjadi Imam, mujtahid dan pendiri mazhab; namun mazhab-mazhab mereka tidak tercatat dengan baik dan tidak terkenal luas. Mazhab-mazhab mereka menjadi tambah menciut akibat semakin menciutnya para pengikut dan para pendukung mazhab-mazhab mereka.
Apa yang dikatakan oleh sementara golongan pada zaman belakangan, bahawa mazhab mereka itu berasal dari ahlulbait, tidak dapat dibenarkan. Menurut kenyataan mazhab mereka sangat berlawanan dengan mazhab Ahuls-Sunnah. Tirmudziy sendiri dalam uraiannya tidak pernah menyebut peranan para ahlul-bait, padahal mereka itu sumber aslinya. Uraian seperti itu sukar diterima.
Mungkin ada orang yang berkata: Yang dimaksud oleh Tirmudziy bukan kaum mujtahidin, melainkan para ulama dari kalangan keturunan Rasulullah s.a.w. dan mereka itu banyak terdapat di setiap zaman!
Persoalan itu dapat diberikan jawapannya sebagai berikut: Imam Tirmudziy dalam pernyataannya mengemukakan, bahawa para Imam diikuti oleh kaum Muslimin kerana kedalaman ilmunya, khususnya ilmu Fiqh. Pernyataan seperti itu kurang tepat, kerana para Imam tidak bisa lepas sama sekali dari peranan kaum Mujtahidin sebelum mereka. Itu bererti yang diikuti oleh kaum Muslimin adalah kaum mujtahidin, sebab para Imam itu menimba ilmu para mujtahidin!
Lebih jauh Tirmudziy mengatakan: Para ulama yang ada di kalangan mereka (keturunan Rasulullah s.a.w.) pada zaman-zaman belakangan mengikuti salah satu dari empat mazhab, kerananya jelas mereka mengikuti orang lain, bukan orang lain yang mengikuti mereka. Selanjutnya Tirmudziy juga mengatakan: Menurut hemat saya, Rasulullah s.a.w. menunjuk mereka (keluarga keturunan beliau) kerana jika orang dari unsur mereka itu baik maka ia akan sanggup memahami apa yang diperlukan…dan seterusnya.
Apa yang dikatakan Imam Tirmudziy itu perlu dihargai, tetapi ia tidak mengemukakan hujjah atau dalil bahawa yang dimaksud oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadits Tsaqalain itu “para ulama” dari ahlul-bait beliau! Seandainya beliau bermaksud seperti itu tentu beliau akan menyebut: “Kutinggalkan kepada kalian dua bekal: Kitabullah dan para ulama dari ahlulbaitku”, agar beribu-ribu pendengarnya dapat memahami maksud beliau dengan jelas. Kaum Muslimin yang sedemikian banyaknya itu tentu mempunyai tingkat kecerdasan yang berbeza-beza, ada yang bisa cepat memahami khutbah beliau dan ada pula yang tidak.
Pandangan Syeikhul-Islam Ibnu Taimiyyah tentang ahlul-bait Rasulullah s.a.w.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam bukunya yang berjudul ‘Risalatul-Furqan’, halaman 163 mengatakan sebagai berikut:
“Yang dimaksud hadits ‘Tsaqalain’ ialah sabda Nabi s.a.w.: ‘Kutinggalkan kepada kalian dua bekal, Kitabullah…’ Kemudian beliau mewasiatkan supaya semua kaum Muslimin berpegang teguh padanya. Beliau lalu melanjutkan:…’Dan keturunanku, ahlulbaitku’…diulang tiga kali dan seterusnya…”
Ibnu Taimiyyah dalam bukunya yang berjudul ‘Al-Washiyyatul-Kubra’ halaman 297 menerangkan sebagai berikut:
“…Para anggota keluarga Rasulullah s.a.w. mempunyai beberapa hak yang wajib dipelihara sebaik-baiknya. Allah telah memberi hak kepada mereka untuk menerima bahagian dari seperlima ghanimah (jarahan perang), dan Allah telah memerintahkan ummat Islam menyampaikan shalawat kepada mereka bersama shalawat yang disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Kepada kaum Muslimin Rasulullah s.a.w. mengajarkan ummatnya supaya berdoa:
“Ya Allah, limpahkanlah shalawat kepada Muhammad dan kepada Aal (keluarga) Muhammad, sebagaimana Engkau telah melimpahkan shalawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnyalah Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung. Berkatilah Muhammad dan Aal Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan Aal Ibrahim…”
Sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ka’ah bin Syajarah mengatakan, ketika turun ayat:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kalian bershalawat untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan baginya”.[Al-Ahzab: 56]
Kami (para sahabat) bertanya: “Kami telah mengetahui bagaimana cara mengucapkan salam kepada anda, tetapi bagaimanakah cara kami bershalawat untuk anda? Rasulullah s.a.w. menjawap:
“Ucapkanlah: Ya Allah, limpahkanlah shalawat kepada Muhammad dan kepada aal Muhammad”. (Mahmud Syarqawiy: ‘Sayyidatu Zainab r.a’ 21)
Hadits yang lain lagi meriwayatkan, bahawasanya Rasulullah s.a.w. mengingatkan para sahabatnya:
“Janganlah kalian bershalawat untukku dengan shalawat buntung”.
Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan shalawat buntung?” Beliau s.a.w. menjawap:
“Kalian mengucapkan ‘Ya Allah, limpahkanlah shalawat kepada Muhammad’, lalu kalian berhenti di situ; tetapi ucapkanlah: ‘Ya Allah, limpahkanlah shalawat kepada Muhammad dan aal Muhammad”. (Mahmud Syarqawiy: ‘Sayyidatu Zainab r.a: 21)
Imam Syafi’i r.a berkata dalam dua bait sya’irnya:
(Hai ahlulbait Rasulullah, kecintaan kepada kalian
kewajipan dari Allah yang turun dalam Al-Qur’an
Cukuplah bukti betapa tinggi nilai kalian
tiada sempurna shalat tanpa shalawat untuk kalian).
“Para anggota keluarga (aal) Muhammad ialah mereka yang diharamkan menerima shadaqah atau zakat. Demikian kata Imam Syafi’iy dan Imam Ahmad bin Hanbal serta para alim ulama yang lain – rahimmahumullah – kerana Nabi s.a.w. sendiri telah bersabda, bahawa peribadi beliau sendiri dan para anggota keluarganya diharamkan menerima shadaqah. Dalam Al-Qur’an Allah s.w.t. telah berfirman bahawa Allah semata-mata hendak menghapus rijsa (kotoran) dari para ahlulbait dan hendak mensucikan mereka sesuci-sucinya (Al-Ahzab: 33). Allah mengharamkan mereka menerima shadaqah kerana shadaqah dapat dipandang sebagai kotoran orang lain (yakni: shadaqah merupakan cara untuk membersihkan diri dari dosa – pen)”.
Setelah menunjuk beberapa kitab Musnad dan Hadits-hadits, Ibnu Taimiyyah mengetengahkan jawapan Rasulullah s.a.w. kepada paman beliau, ‘Abbas, ketika ia mengadu kepada beliau tentang adanya perlakuan kasar sementara orang terhadap dirinya. Ketika itu Rasulullah s.a.w. menjawap:
“Demi Allah yang nyawaku berada di tangan-Nya, mereka itu tidak akan memasuki syurga selama mereka belum mencintai kalian demi kerana aku”.
Ibnu Taimiyyah kemudian mengetengahkan hadits Rasulullah s.a.w. yang menerangkan kemulian asal keturunan beliau s.a.w., iaitu:
“Allah telah memilih anak cucu keturunan (bani) Ismail, dan memilih anak cucu keturunan Kinanah dari Bani Ismail, kemudian memilih Quraisy dari Kinanah, dan memilih Bani Hasyim dari Quraisy, lalu memilih aku dari anak cucu keturunan Bani Hasyim”.
Dalam buku ‘Al-Aqidatul-Wasithiyyah’ Ibnu Taimiyyah dengan tegas membenarkan sikap dan pendirian kaum Ahlus-Sunnah terhadap ahlulbait Rasulullah s.a.w. Ia mengatakan: “Mereka mencintai ahlulbait Rasulullah s.a.w. yang oleh mereka dipandang sebagai para pemimpin dan mereka jaga baik-baik hak-haknya, berdasarkan wasiat Rasulullah s.a.w. yang diucapkan di Ghadir Khum: “Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai ahlulbaitku”! Ibnu Taimiyyah menegaskan hal itu setelah menyatakan sikapnya yang sama sekali tidak dapat membenarkan pandangan kaum Rawafidh1) yang membenci dan mencerca para sahabat Nabi, dan pandangan kaum Nawashib2) yang selalu mengganggu ahlulbait Rasulullah s.a.w. baik dengan perkataan mahupun dengan perbuatan.
Dalam bukunya yang berjudul ‘Risalah Darajatul-Yaqin’ halaman 149 Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan:
“Bagi manusia tak ada kecintaan yang lebih besar, lebih sempurna dan lebih lengkap daripada kecintaan orang-orang beriman yang ditumpahkan kepada Tuhan mereka, Allah. Di alam wujud ini tak ada suatu apa pun yang berhak dicintai tanpa kerana Allah. Kecintaan kepada segala sesuatu harus didasarkan pada kecintaan kepada Allah. Rasulullah s.a.w. dicintai semata-mata demi kerana Allah. Iaitu sebagaimana dinyatakan Allah s.w.t. dalam firman-Nya:
“Katakanlah hai Muhammad: Jika kalian mencintai Allah, maka ikutilah aku, Allah nescaya mencintai kalian”.[Aali-Imran: 31]
Dalam ‘Risalah Tafsirul-Mu’awwadzatain’ Ibnu Taimiyyah menjelaskan soal kekhususan Ahlul-Kisa sebagai ahlulbait Rasulullah s.a.w. Ia mengatakan: “Sama halnya dengan sabda Nabi s.a.w. yang mengatakan bahawa masjid yang didirikan atas dasar takwa ialah ‘masjidku’. Padahal secara pasti nas Al-Qur’an yang mengenai itu menerangkan, bahawa yang dimaksud adalah masjid Quba. Demikian pula sabda Rasulullah s.a.w. yang diucapkan kepada Ahlul-Kisa bahawa mereka itu adalah ‘ahlulbaitku’. Pada hal ayat Al-Qur’an yang mengenai ‘ahlulbait’ (Al-Ahzab: 33) pengertiannya mencakup para isteri Nabi s.a.w. Mengenai soal-soal seperti itu pengkhususan sesuatu yang perlu dikhususkan memang lebih baik daripada hanya diutarakan keumuman sifat-sifatnya saja”.
Mengenai kemuliaan nasab (asal-usul keturunan) Rasulullah s.a.w. sebagai pangkal kemuliaan nasab ahlulbait dan keturunan beliau, Ibnu Taimiyyah dalam ‘Al-Iqtidha’ halaman 72 menerangkan sebagai berikut:
“Tirmudziy meriwayatkan sebuah hadits berasal dari ‘Abbas bin Abdul Mutthalib yang mengatakan: kepada Rasulullah s.a.w. saya berkata: ‘Ya Rasulullah, ada sekelompok orang Quraisy duduk-duduk memperbincangkan kemuliaan silsilah mereka, kemudian ‘mengibaratkan diri anda sebagai sebatang pohon kurma yang tumbuh pada tanah yang kotor’ (yang dimaksud ialah: Nabi seorang yang mulia, tetapi berasal dari keturunan rendah). Rasulullah s.a.w. menjawap: “Allah mencipta manusia dan telah menciptakan diriku berasal dari jenis kelompok manusia terbaik. Kemudian Allah menciptakan kabilah-kabilah terbaik, dan menjadikan diriku dari kabilah yang terbaik. Lalu Allah menciptakan keluarga-keluarga terbaik dan menjadikan diriku dari keluarga yang paling baik. Akulah orang yang terbaik di kalangan mereka, baik dari segi peribadi mahupun dari segi silsilah”. Tirmudziy menilai hadits tersebut sebagai hadits Hasan (hadits baik).
Nas hadits tersebut adalah sebagai berikut:
Lebih lanjut Ibnu Taimiyyah mengatakan (dalam ‘Al-Iqtidha’ halaman 73 dan 74), bahawa Imam Tirmudziy meriwayatkan dua buah hadits tentang sikap Rasulullah s.a.w. terhadap orang-orang yang tidak menghormati keluarga dan kerabat beliau. Hadits pertama berasal dari Mutthalib bin Rabi’ah, bahawa ‘Abbas bin Abdul Mutthalib mengatakan, pada suatu hari ia dalam keadaan marah datang menghadap Rasulullah s.a.w. Beliau s.a.w. bertanya: “Apa yang membuatmu marah?” ‘Abbas menjawap: ‘Ya Rasulullah, jika kita berjumpa dengan orang-orang Quraisy semestinya masing-masing harus memperlihatkan wajah cerah ceria, tetapi apa jadinya kalau masing-masing tidak memperlihatkan wajah sedemikian itu?” Ketika itu wajah Rasulullah s.a.w. tampak kemerah-merahan menandakan kegusaran, kemudian beliau menjawap:
“Demi Allah yang nyawaku berada di tangan-Nya, iman tidak akan masuk ke dalam hati seseorang selama ia belum mencintai kalian demi Allah dan Rasul-Nya…”
Hadits kedua yang diketengahkan oleh Tirmudziy diambil dari Musnad Imam Ahmad bin Hanbal dan berasal dari Mutthalib bin Rabi’ah, yang mengatakan: bahawa pada suatu hari ‘Abbas datang menghadap Rasulullah s.a.w. kemudian berkata: ‘Ya Rasulullah, kami keluar rumah dan kami menyaksikan beberapa orang Quraisy sedang bercakap-cakap. Ketika mereka melihat kami, semuanya mendadak diam’. Mendengar itu Rasulullah s.a.w. tampak marah hingga keningnya berkeringat, kemudian menjawap:
“Demi Allah, iman tidak akan masuk ke dalam hati seseorang selama ia belum mencintai kalian kerana Allah dan kerana kalian itu kerabatku”.
Menanggapi dua buah hadits yang diketengahkan oleh Imam Tirmudziy itu Ibnu Taimiyyah mengatakan sebagai berikut: “…Allah telah memberi kekhususan kepada orang-orang Arab dan dalam bahasa mereka Allah s.w.t. menurunkan hukum-hukum-Nya. Dengan demikian mereka itu menjadi berbeza dari orang-orang lain. Kemudian Allah mengkhususkan orang-orang Quraisy dan menjadikan mereka sebagai para penerus kepemimpinan Rasulullah s.a.w. Allah mengkhususkan orang-orang keturunan Bani Hasyim haram menerima shadaqah atau zakat, tetapi memberi hak kepada mereka menerima bahagian dari seperlima ghanimah. Selain itu Allah s.w.t. memberikan darjat keutamaan kepada mereka sesuai dengan silsilah keturunannya. Sungguhlah bahawa Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.
Selanjutnya dalam ‘Al-Iqtidha’ halaman 79 Ibnu Taimiyyah mengatakan: “Lihatlah ketika Umar Ibnul-Khatthab r.a menetap daftar urutan pembahagian jatah tunjangan bagi kaum Muslimin. Banyak orang mengatakan nama Umar supaya ditempatkan pada urutan pertama. Namun ketika Umar berkata tegas: “Tidak! Tempatkanlah Umar sebagaimana Allah menempatkannya”! Umar kemudian memulai dengan anggota-anggota ahlulbait Rasulullah s.a.w., baru menyusul orang-orang dari Bani Adiy – kabilah Umar sendiri. Mereka itu orang-orang keturunan Quraisy yang sudah jauh terpisah hubungan silsilahnya. Urutan seperti itu tetap dipertahankan oleh Umar dalam pemberian hak-hak tertentu. Pada umumnya lebih mendahulukan orang-orang Bani Hasyim daripada orang-orang Quraisy lainnya”.
Dalam sebuah risalah yang disusun khusus berkenaan dengan peristiwa pembunuhan cucu Rasulullah s.a.w., al-Husein r.a di Karbala oleh penguasa Bani Umayyah, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan:
“Allah telah memuliakan al-Husein r.a dan anggota-anggota keluarganya dengan jalan memperoleh syahadah (mati syahid). Allah telah melimpahkan keridhaan-Nya kepada mereka semua dan membuat mereka ridha serta ikhlas. Allah telah merendahkan darjat orang-orang yang menghina al-Husein r.a beserta kaum keluarganya, dengan menimpakan murka-Nya kepada mereka berupa perbuatan-perbuatan derhaka, kezaliman dan permusuhan; kerana mereka telah mencabuli kehormatan al-Husein r.a dan kaum keluarganya dengan menumpahkan darahnya…”
“Peristiwa yang menimpa al-Husein r.a pada hakikatnya adalah nikmat Allah yang terlimpah kepadanya, agar ia memperoleh martabat sebagai salah seorang syuhada (para pahlawan syahid). Suatu cubaan yang Allah tidak memperkenankan terjadi atas dirinya pada masa pertumbuhan Islam, sebagaimana cubaan yang dialami oleh kaum keluarganya, seperti: Datuknya, ayahnya, pamannya dan paman ayahnya (yakni: Rasulullah s.a.w., Imam ‘Ali bin Abi Thalib r.a, Ja’far bin Abi Thalib r.a dan Hamzah bin Abdul Mutthalib – radhiyallahu anhum)”.
Pada halaman 144 buku ‘Al-Iqtidha’ Ibnu Taimiyyah dalam uraiannya tentang Hari Asyura, mengatakan sebagai berikut: “Allah telah melimpahkan kemuliaan besar kepada cucu Rasulullah s.a.w., al-Husein r.a, pemuda terkemuka ahli syurga bersama kaum keluarganya; melalui tangan-tangan orang derhaka yang telah menghina mereka. Musibah apa pun yang menimpa kaum Muslimin wajib mereka hadapi dengan sikap seperti ketika al-Husein r.a menghadapi musuh…”
Empat macam penafsiran tentang makna ‘aal’ Muhammad Rasulullah:
Syeikhul Islam Ibnul-Qayyim Al-Jauziyyah dalam bukunya yang berjudul ‘Jala’ul-Afham’ halaman 138 menerangkan adanya empat macam faham mengenai makna ‘aal Muhammad s.a.w.’Fahaman yang pertama terbahagi menjadi tiga penafsiran, iaitu:
a. Penafsiran yang mengatakan, bahawa ‘aal Muhammad s.a.w.’ ialah anak cucu keturunan Bani Hasyim dan anak cucu keturunan Bani Mutthalib. Ini adalah mazhab Syafi’i dan Ahmad bin Hanbal, berdasarkan riwayat-riwayat hadits yang dikemukakan oleh dua orang Imam tersebut.
b. Penafsiran yang mengatakan, bahawa ‘aal Muhammad s.a.w.’ ialah khusus anak cucu keturunan Bani Hasyim. Ini adalah mazhab Imam Abu Hanifah, berdasarkan pendapat Abul-Qasim, sahabat Imam Malik.
c. Penafsiran yang mengatakan, bahawa ‘aal Muhammad s.a.w.’ ialah semua orang dari silsilah Bani Hasyim ke atas dan ke bawah hingga anak cucu Ghalib. Penafsiran ini berdasarkan pendapat Asyhab, sahabat Imam Malik juga, sebagaimana yang dikatakan oleh penulis buku ‘Al-Jawahir’, dan oleh Al-Lakhmiy dalam buku ‘At-Tabashshur’, tetapi ia tidak mengatakan bahawa pendapat itu berasal dari Asyhab.
Tiga macam panafsiran tersebut di atas semuanya menetapkan, bahawa ‘aal Muhammad s.a.w.’ ialah mereka yang diharamkan menerima shadaqah.
Faham yang kedua ialah yang mengatakan, bahawa ‘aal Muhammad s.a.w.’ ialah anak cucu keturunan Rasulullah s.a.w., khususnya para isteri beliau. Hal itu diriwayatkan oleh Ibnu Abdul Birr di dalam buku ‘At-Tamhid’, dan berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Malik berasal dari Nu’aim Al-Mujmar, dan hadits-hadits lainnya lagi; yang semuanya menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. sering berdoa:
“Ya Allah, limpahkan shalawat kepada Muhammad, kepada aal Muhammad, kepada para isteri dan keturunan Muhammad”.
Para pendukung faham yang kedua itu mengatakan, bahawa ucapan Rasulullah s.a.w. tersebut merupakan penafsiran makna ‘aal Muhammad s.a.w.’ yang bererti para isteri dan anak cucu keturunan beliau. Lebih jauh mereka mengatakan, jika seseorang bertemu dengan seorang isteri Rasulullah s.a.w. atau salah seorang anak cucu keturunan beliau, ia boleh mengucapkan:
“Allah melimpahkan shalawat kepada anda”
Dan jika tidak langsung bertemu, bolehlah ia mengucapkan:
“Allah melimpahkan shalawat kepadanya”
Akan tetapi ucapan tersebut tidak boleh dialamatkan kepada orang-orang selain para isteri Rasulullah s.a.w. dan anak cucu keturunan beliau.
Mereka mengatakan juga, bahawa kata ‘aal’ atau kata ‘ahlu’ (keturunan dan keluarga) mempunyai erti yang sama, yakni anak cucu keturunan seseorang dan keluarga seseorang adalah sama ertinya, iaitu para isteri dan anak cucu keturunannya. Pengertian itu didasarkan pada hadits tersebut di atas.
Faham yang ketiga mengatakan, bahawa makna ‘aal Muhammad s.a.w.’ ialah semua pengikut Nabi Muhammad s.a.w. hingga datangnya hari kiamat. Hal itu dikemukakan oleh Ibnu Abdul Birr dan sementara ulama berdasarkan pernyataan Jabir bin Abdullah, sebagaimana disebut riwayatnya oleh Al-Baihaqiy, Sufyan Ats-Tsauriy dan lain-lain. Beberapa sahabat Imam Syafi’i pun berpendapat seperti itu, sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Toyyib At-Thabariy dalam syarahnya, kemudian dibenarkan oleh Syeikh Muhyiddin An-Nawawiy dalam kitab ‘Syarah Muslim’, dan diperkuat oleh Al-Azhariy.
Adapun faham yang keempat ialah yang mengatakan, bahawa yang dimaksud dengan ‘aal Muhammad s.a.w.’ adalah semua orang yang bertakwa di kalangan ummat Muhammad s.a.w. Hal ini dikemukakan oleh Al-Qadhi. Hisain dan Ar-Raghib bersama jama’ahnya.
Syeikhul Islam Ibnul-Qayyim kemudian mengemukakan dalil-dalil dan hujjah yang berkaitan dengan empat faham dan pendapat-pendapat tersebut serta menjelaskan dalil mana yang kuat dan lemah.
Mengenai faham pertama – termasuk tiga macam penafsirannya – Ibnul-Qayyim mengatakan, bahawa faham tersebut didasarkan pada pernyataan Rasulullah s.a.w. yang melarang aal beliau (keluarga beliau) menerima atau makan shadaqah dan zakat. Salah satu hadits mengenai hal itu diriwayatkan oleh Al-Bukhariy di dalam ‘Shahih’nya, iaitu hadits berasal dari Abu Hurairah yang mengatakan sebagai berikut:
“Pada musim panen kurma banyak orang berdatangan kepada Rasulullah s.a.w. membawa buah kurma untuk beliau sehingga banyak kurma menumpuk di kediaman beliau. Kemudian datanglah dua orang cucu beliau yang masih kanak-kanak, al-Hasan dan al-Husein, lalu bermain-main dengan buah kurma yang banyak itu. Salah seorang dari kedua cucu Rasulullah s.a.w. itu memasukkan sebuah kurma ke dalam mulut hendak dimakan. Melihat hal itu Rasulullah s.a.w. segera mengeluarkan kurma yang sudah berada di dalam mulut cucunya, seraya berkata: “Apakah engkau tidak mengerti bahawa aal (keluarga) Muhammad tidak makan shadaqah?”…Menurut riwayat Muslim, ketika itu Rasulullah bersabda: “Shadaqah tidak dihalalkan bagi kami”.
Hadits kedua yang disebut oleh Ibnul-Qayyim sebagai dalil yang mendasari faham dan penafsiran tersebut ialah hadits shahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim berasal dari Zaid bin Arqam (Lihat: hadits Tsaqalain no. 5), iaitu bahagian dari khutbah Rasulullah s.a.w. di Ghadir Khum.
Hadits ketiga yang dikemukakan oleh Ibnul-Qayyim sebagai dasar faham tersebut ialah hadits Az-Zuhriy yang berasal dari Urwah dan Urwah berasal dari Ummul Mu’minin Siti Aisyah r.a, sebagaimana tercantum di dalam dua ‘Shahih Bukhariy dan Muslim’. Iaitu, bahawa sepeninggalan Rasulullah s.a.w. Siti Fatimah r.a (puteri bongsu Rasulullah s.a.w.) mengutus seorang menghadap Khalifah Abu Bakar Ash-Shiddiq r.a untuk menanyakan kepadanya tentang warisan yang dapat diterima dari ayahandanya, Muhammad Rasulullah s.a.w. Abu Bakar r.a menjawap, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Kami tidak mewariskan. Apa yang kami tinggalkan adalah shadaqah. Keluarga Muhammad hanya makan dari harta itu saja, yakni harta Allah. Mereka tidak berhak mendapat tambahan yang lain…”
Ibnul Qayyim mengemukakan hadits yang keempat, iaitu hadits yang diriwayatkan oleh Muslim berasal dari Abdullah bin Al-Harits bin Naufal Al-Hasyimiy yang mengatakan, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada Abdul Mutthalib bin Rabi’ah dan Al-Fadhl bin ‘Abbas, bahawa shadaqah itu bukan lain adalah kotoran orang (yakni: untuk membersihkan diri dari dosa), kerananya hal itu tidak dihalalkan bagi Muhammad dan aal Muhammad s.a.w.
Hadits yang dikemukakan oleh Ibnul Qayyim ialah hadits yang diriwayatkan oleh Muslim dalam ‘Shahih’nya, berasal dari Urwah bin Zubair yang mendengar sendiri Siti Aisyah r.a berkata, bahawasanya pada suatu hari Rasulullah s.a.w. menyuruhnya membawakan seekor kambing tidak bertanduk dan berwarna kehitam-hitaman guna disembelih. Setelah kambing itu dibaringkan, sebelum disembelih Rasulullah s.a.w. berdoa: “Bismillah, ya Allah, terimalah dari Muhammad, dari aal Muhammad dan dari ummat Muhammad”. Kemudian kambing itu disembelih.
Imam Muslim meriwayatkan hadits tersebut selengkapnya dan menerangkan urutan maknanya yang berlainan, iaitu bahawa ‘ummat Muhammad’ mempunyai erti umum, sedangkan ‘keluarga’ adalah menunjukkan kekhususan. Orang-orang yang menafsirkan kata ‘aal’ bermakna ‘keluarga Muhammad s.a.w. yang diharamkan menerima shadaqah’ mengatakan, bahawa penafsiran yang berdasarkan ucapan Rasulullah s.a.w. lebih utama daripada penafsiran yang berdasarkan pendapat orang lain.
Demikianlah dalil-dalil yang dikemukakan oleh Ibnul-Qayyim mengenai penafsiran-penafsiran orang yang mendukung faham pertama.
Sehubungan dengan masalah tersebut dapat kami tambahkan, bahawa pada dasarnya semua keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w. diharamkan menerima shadaqah atau zakat. Yang dimaksud keturunan ahlulbait, khususnya ialah mereka yang berasal dari keturunan al-Hasan dan al-Husein radhiyallahu ‘anhuma, bukan keturunan dari dua orang saudara perempuan mereka, kendatipun semuanya adalah putera-puteri Fatimah binti Muhammad Rasulullah s.a.w. Ketentuan tersebut didasarkan pada sebuah hadits shahih berasal dari Jabir r.a, diketengahkan oleh Al-Hakim di dalam ‘Al-Mustadrak’ dan oleh Abu Ya’laa di dalam ‘Musnad’nya, bahawasanya Siti Fatimah r.a meriwayatkan ayahandanya s.a.w. berkata:
“Semua anak Adam yang dilahirkan oleh seorang ibu termasuk di dalam suatu ‘ushbah – yakni kelompok dari satu keturunan – kecuali dua orang putera Fatimah. Akulah wali dan ‘ushbah mereka berdua”.
Yang dimaksud ‘dua orang putera Fatimah’ dalam hadits tersebut ialah al-Hasan dan al-Husein radhiyallahu ‘anhuma. Dengan memperhatikan lafaz hadits tersebut kita dapat mengetahui dengan jelas bagaimana Rasulullah s.a.w. mengkhususkan pengelompokan al-Hasan dan al-Husein radhiyallahu ‘anhuma sebagai keturunan beliau s.a.w., sedangkan dua orang saudara perempuan mereka (Zainab r.a dan Ummu Kaltsum r.a, dua orang puteri Siti Fatimah r.a juga) dikecualikan dari pengelompokan nasab tersebut di atas; kerana anak-anak dari dua orang puteri Siti Fatimah r.a itu bernasab kepada ayahnya masing-masing yang bukan dari ahlulbait Rasulullah s.a.w.
Itulah sebabnya kaum Salaf dan kaum Khalaf memandang anak lelaki seorang syarifah (wanita keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w.) tidak dapat disebut syarif (atau sayyid) jika ayahnya bukan seorang syarif (sayyid). Kalau pengkhususan tersebut di atas berlaku umum bagi semua anak yang dilahirkan oleh anak cucu perempuan Rasulullah s.a.w., tentu anak lelaki seorang syarifah adalah syarif yang diharamkan menerima shadaqah, walaupun ayahnya bukan seorang syarif.
Kerana itu Rasulullah s.a.w. menetapkan kekhususan tersebut hanya berlaku bagi dua orang putera Siti Fatimah r.a, tidak berlaku bagi puteri-puteri Rasulullah s.a.w. selain Siti Fatimah r.a. Kerana kakak perempuan Siti Fatimah r.a, iaitu Zainab binti Muhammad s.a.w. tidak melahirkan putera lelaki, tetapi hanya melahirkan anak perempuan iaitu Amamah binti Abul-Ash bin Ar-Rabi, seorang pria bukan dari kalangan ahlulbait Rasulullah s.a.w. Ketentuan itu diambil oleh Rasulullah s.a.w. semasa hidupnya. Hal itu menunjukkan bahawa anak-anak Amamah tidak bernasab kepada beliau s.a.w., kerana Amamah adalah anak perempuan dari puteri beliau, Zainab r.a, yang menjadi isteri seorang pria bukan dari ahlulbait Rasulullah s.a.w. Adapun Zainab r.a sendiri jelas bernasab kepada Rasulullah s.a.w. Seumpama Zainab r.a melahirkan anak lelaki dari suami seorang ahlulbait, tentu bagi anak lelakinya itu berlaku ketentuan sebagaimana yang berlaku bagi al-Hasan dan al-Husein radhiyallahu ‘anhuma, iaitu bernasab kepada Rasulullah s.a.w.
Semua keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w. secara keseluruhan berhak memperoleh bahagian dari wakaf ‘Barakatul-Habsy’ yang terdapat di Makkah, Madinah, Mesir, Iraq dan lain-lain, kerana ‘Barakatul-Habsy’ tidak khusus diwakafkan untuk keturunan al-Husan dan al-Husein radhiyallahu ‘anhuma saja, tetapi dibahagi dua: Separuh diperuntukkan bagi para syarif, iaitu keturunan al-Hasan dan al-Husein radhiyallahu ‘anhuma; dan yang separuhnya lagi diperuntukkan bagi kaum Thalibiyyin, iaitu keturunan ‘Ali bin Abi Thalib dari puteranya yang bernama Muhammad bin Al-Hanafiyyah dan saudara-saudaranya, bagi keturunan Ja’far bin Abi Thalib r.a dan keturunan Aqil bin Abi Thalib.
Apakah para syarif termasuk orang-orang yang boleh menerima bahagian dari harta wasiat atau harta waqaf? Jawapnya adalah: Boleh dan tidaknya mereka menerima bahagian dari harta wasiat atau harta waqaf, itu tergantung pada penegasan nas yang diberikan oleh si pemberi wasiat atau oleh orang yang mewakafkan hartanya. Jika di dalam nas (bunyi teks dokumen wasiat atau wakaf) tidak terdapat ketegasan mengenai hak mereka untuk mendapat bahagian, maka berlaku kaedah hukum Fiqh yang menetapkan, bahawa wasiat atau wakaf ditentukan pengaturannya menurut kebiasaan yang berlaku di negeri setempat. Kebiasaan yang berlaku di Mesir sejak zaman kekhalifahan kaum Fathimiyyin hingga zaman kita dewasa ini ialah, bahawa syarif adalah gelar bagi seorang keturunan al-Hasan atau keturunan al-Husein radhiyallahu ‘anhuma. Mereka itu tidak termasuk orang-orang yang boleh menerima wakaf seperti itu, tetapi mereka hanya diperbolehkan menerima wakaf ‘Barakatul-Habsy’, kerana pihak yang mewakafkannya menegaskan ketentuan seperti itu, yakni separuh untuk para syarif dan yang separuhnya lagi untuk kaum Tahlibiyyin.
Pada dasarnya semua keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w. termasuk orang-orang Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutthalib (yang lazim disebut dengan kaum syarif atau kaum sayyid) diharamkan menerima shadaqah atau zakat dalam bentuk apa pun juga. Mereka diberi hak untuk memperoleh bahagian dari harga ghanimah atau dari harta kekayaan umum (Baitul-Mal). Akan tetapi dalam zaman kita dewasa ini tidak ada lagi ghanimah dan tidak ada pula dana Baitul-Mal sebagaimana yang dahulu pernah terjadi pada zaman pertumbuhan Islam. Dengan terjadinya perkembangan yang demikian jauh dibanding dengan zaman lampau maka sebagai akibatnya para keturunan ahlulbait yang hidup kekurangan tidak dapat menerima tunjangan yang oleh syari’at telah ditetapkan sebagai hak mereka. Lagi pula banyak sekali di antara mereka yang hidup bertebaran di negeri atau daerah-daerah terpencil. Dalam keadaan seperti itu apakah oleh syari’at mereka diperkenankan menerima shadaqah atau zakat dari orang-orang kaya setempat untuk meringankan beban penghidupan sehari-hari?
Jawapnya ialah: Menurut mazhab Syafi’iy, dalam keadaan bagaimanapun juga mereka mutlak diharamkan menerima shadaqah atau zakat. Akan tetapi menurut Imam Al-Qadhiy Abu Sa’id Al-Hurawiy, para keturunan ahlulbait yang dalam keadaan seperti di atas tadi diperbolehkan menerima shadaqah atau zakat asal benar-benar mereka itu tidak mungkin lagi dapat memperoleh haknya dari bahagian harta ghanimah atau jarahan perang. Demikian pula fatwa yang dikeluarkan oleh Imam Muhammad bin Muhammad Yahya dan Imam Fakruddin Ar-Raziy. Pendapat demikian itu dibenarkan oleh Abu Syakil. Dalam kitabnya yang berjudul ‘Al-Khadim’ Abu Syakil setelah mengutarakan pendapat Ar-Rafi’iy mengenai masalah tersebut, ia pun mengemukakan pendapat Imam Al-Ashthakhriy, Al-Hurawiy dan Ibn Yahya, yang semuanya memperbolehkan keturunan ahlulbait menerima shadaqah atau zakat, jika mereka benar-benar tidak mungkin lagi memperoleh hak-haknya dari harta ghanimah atau jarahan perang.
Abu Hafsh An-Narsamiy mengatakan, shadaqah atau zakat boleh diterimakan kepada orang-orang yang menurut syari’at berhak memperoleh bahagian dari harta ghanimah atau jarahan perang. Dalam kitab ‘Ta’liq Ibnul Abi Hurairah’ ia mengatakan, dewasa ini mereka (para keturunan ahlulbait) tidak mungkin lagi dapat menerima bahagian dari harta ghanimah atau jarahan perang, kerana itu tidaklah pada tempatnya kalau kita melarang mereka menerima shadaqah atau zakat yang telah ditetapkan oleh syari’at, sebab larangan seperti itu akan mengakibatkan kepunahan mereka. Bagaimanapun juga mereka adalah manusia juga, apa yang ada manusia lain ada pula pada mereka.
Syarif Abdul-‘Abbas Al-Fara dalam kitabnya yang berjudul ‘Mu’tamadut-Tanbih’ mengatakan sebagai berikut: Aku diberitahu oleh salah seorang yang turut menghadiri pertemuan dengan Imam Fakhruddin di suatu tempat di Khurasan atau Khawarzim, bahawa dalam pertemuan tersebut ada beberapa orang Alawiyyin mengeluh kerana mereka tidak diperbolehkan menerima haknya dari Baitul-Mal sehingga penghidupan mereka amat susah. Menanggapi keluhan mereka itu Imam Fakhruddin memberikan kepada mereka wang sebesar 100 dinar atau lebih, kemudian berkata kepada kaum Mislimin setempat: “Hai kaum Muslimin, aku memfatwakan supaya kalian menyerahkan zakat kepada mereka (orang-orang Alawiyyin). Zakat adalah halal bagi mereka…!”
Di dalam kitab ‘Al-Ajaalah’ Ibnul-Nahwiy mengemukakan sebuah hadits dari Al-Hakim, berasal dari ‘Abbas bin Abdul Mutthalib r.a bahawa di antara mereka (Bani Abdul Mutthalib) sendiri orang yang hidup kekurangan boleh menerima zakat dari orang yang hidup berkecukupan. Akan tetapi Al-Hakim tidak menyatakan pendapatnya sendiri mengenai persoalan itu.
Mengenai faham kedua, iaitu yang mengatakan bahawa aal Nabi Muhammad s.a.w. itu terdiri dari anak cucu keturunan beliau dan para isteri beliau, Syeihkul Islam Ibnul Qayyim menyebut riwayat hadits yang dikemukakan Ibnul Abdul Birr berasal dari hadits yang diriwayatkan oleh Ibnul Hamid As-Sa’idiy, iaitu yang di dalamnya terdapat kalimat: “Ya Allah, limpahkanlah shalawat kepada Muhammad, kepada para isteri Muhammad dan kepada keturunan Muhammad”. Dalam riwayat yang lain, kalimat itu berbunyi: “Ya Allah, limpahkanlah shalawat kepada Muhammad dan kepada aal Muhammad…” Orang-orang yang mendukung faham kedua itu mengatakan, bahawa teks kalimat pertama menerangkan teks kalimat kedua, dan teks kalimat yang kedua meringkaskan teks kalimat-kalimat yang pertama.
Mereka juga menggunakan hadits Abu Hurairah sebagai dalil, iaitu hadits yang diriwayatkan oleh Bukhariy dan Muslim, bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah berdoa:
“Ya Allah, limpahkanlah kepada aal Muhammad rezeki berupa makanan (sehari-hari)”.
Mereka mengatakan, menurut kenyataannya doa beliau s.a.w. itu terkabul, tetapi tidak meliputi semua orang keturunan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutthalib. Sebab di antara orang-orang keturunan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutthalib, hingga zaman sekarang ini, banyak yang terjadi hartawan dan mendapat rezeki lebih dari yang diperlukan untuk makan sehari-hari. Harta yang didapat oleh para isteri Nabi dari kaum Muslimin sepeninggal Rasulullah s.a.w., seluruhnya telah dishadaqahkan hingga mereka tidak mempunyai apa pun juga selain yang diperlukan untuk makan sehari-hari. Terdapat sebuah riwayat yang mengatakan, bahawa Ummul Mu’minin Siti Aisyah r.a pernah menerima sejumlah harta yang cukup besar dari kaum Muslimin, tetapi seketika itu juga harta tersebut dibahagikan semuanya kepada kaum fakir miskin hingga habis samasekali. Melihat hal itu pembantu wanitanya berkata: “Cubalah seumpama ibu sisakan barang satu dirham, tentu kita dapat membeli daging”! Siti Aisyah menjawap: “Cubalah seumpama engkau tadi mengingatkan aku, tentu akan kusisakan”!
Para pendukung faham kedua itu juga menggunakan hadits Siti Aisyah r.a yang diriwayatkan oleh Bukhariy dan Muslim, bahawasanya Ummul Mu’minin itu pernah berkata: “Keluarga Muhammad s.a.w. tidak pernah kenyang makan roti gandum selama tiga hari berturut-turut hingga saat Rasulullah s.a.w. pulang kembali ke haribaan Allah Azza wa Jalla”.
Atas dasar hadits tersebut mereka mengatakan, bahawa semua orang Bani ‘Abbas dan Bani Abdul Mutthalib tentu tidak termasuk dalam ucapan Siti Aisyah r.a itu, dan sama sekali tidak dimaksud olehnya. Mereka berpendapat bahawa para isteri Rasulullah s.a.w. pasti termasuk dalam pengertian ‘aal Muhammad s.a.w.”. Para isteri Nabi disamakan kedudukannya dengan keturunan Rasulullah s.a.w. Mereka diharamkan mengadakan hubungan (pernikahan) dengan orang lain, baik selagi Rasulullah s.a.w. masih hidup mahupun setelah wafat. Mereka adalah para isteri Nabi di dunia dan akhirat. Hubungan khusus mereka dengan Rasulullah s.a.w. itulah yang membuat mereka berkedudukan sama dengan keturunan beliau s.a.w.
Dalam mempertahankan pendapat bahawa para isteri Nabi juga termasuk ahlulbait Rasulullah s.a.w. mereka berpegang teguh pada firman Allah dalam Al-Qur’anul-Karim, ayat 30-34 surah Al-Ahzab seluruhnya, tidak hanya berpegang pada bahagian terakhir ayat 33 saja. Seluruh ayat tersebut bermakna sebagai berikut:
“Hai para isteri Nabi, barangsiapa di antara kalian nyata-nyata melakukan perbuatan tidak senonoh, ia akan dilipatkan dosanya menjadi dua kali lipat. Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Dan barangsiapa di antara kalian tetap taat kepada Allah dan Rasul-Nya serta berbuat kebajikan, kepadanya Kami berikan pahala dua kali lipat dan Kami sediakan baginya rezeki yang mulia. Hai para isteri Nabi, kalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kalian benar-benar bertakwa, maka janganlah kalian menunduk dalam berbicara sehingga (membangkitkan) selera orang (lelaki) yang terdapat penyakit di dalam hatinya (keinginan berbuat tidak senonoh), dan ucapkanlah perkataan yang baik. Hendaklah kalian tetap tinggal di rumah kalian (kecuali bila ada keperluan), dan janganlah kalian berhias serta bertingkahlaku seperti orang-orang jahiliyah dahulu. Dirikanlah sholat, tunaikanlah zakat serta taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan kotoran (dosa) dari kalian, hai ahlulbait, dan hendak mensucikan kalian sesuci-sucinya. Dan ingatlah apa yang dibacakan di rumah kalian dari ayat-ayat Allah dan hikmah. Sungguhlah bahawa Allah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui”.
Selain itu mereka juga mengetengahkan hadits Watsilah bin Asqa yang berasal dari Ummu Salamah r.a, iaitu hadits Al-Kisa, sebagaimana telah kami uraikan terdahulu.
Adapun para penganut faham yang keempat, iaitu yang menafsirkan ‘aal Muhammad s.a.w.’ dengan ‘semua orang yang bertakwa di kalangan ummat Muhammad’, mereka itu berpegang pada sebuah riwayat yang dikemukakan oleh Thabraniy, iaitu riwayat yang berasal dari Ja’far bin Ilyas bin Shadaqah, dari Nu’aim bin Hammad, dari Nuh bin Maryam, dari Sa’id bin Yahya Al-Anshariy yang mendengar Imam Malik berkata: “Rasulullah s.a.w. pernah ditanya tentang siapakah yang dimaksud dengan ‘aal Muhammad”? Beliau menjawap: “Semua orang yang bertakwa”.
Akan tetapi Thabraniy sendiri mengatakan, tidak ada orang yang meriwayatkan hadits tersebut selain Nuh bin Maryam. Hadits yang serupa itu berasal dari Nu’aim. Al-Baihaqiy meriwayatkan hadits itu dari Abdullah bin Ahmad bin Yunus, yang berasal dari Nafi bin Hurmuz dan bersumber dari Anas. Lebih jauh Thabraniy mengatakan, bahawa hadits-hadits yang berasal dari Nuh bin Maryam dan dari Nafi bin Murmuz tidak dapat diterima sebagai hujjah, kerana dua orang itu terkenal pendusta.
Alasan lain yang dikemukakan oleh para penganut faham keempat itu ialah firman Allah s.w.t. yang ditujukan kepada Nabi Nuh a.s (dalam Al-Qur’an) mengenai anak lelaki beliau pada saat terjadinya banjir besar melanda ummatnya. Kepada Nabi Nuh Allah berfirman: “Hai Nuh, sesungguhnya dia bukan dari keluargamu, ia adalah perbuatan yang tidak baik”. (Hud: 46). Kerana syirik anak Nabi Nuh itu dikeluarkan dari lingkungan keluarga beliau. Dengan demikian maka jelaslah, bahawa aal Rasulullah s.a.w. ialah para pengikut beliau yang setia. Demikian kata mereka.
Mengenai soal itu Imam Syafi’iy r.a telah menyatakan sanggahannya. Ia mengatakan: Bahawa yang dimaksud dengan kalimat “sesungguhnya ia bukan dari keluargamu”, ialah bahawa anak lelaki Nabi Nuh itu tidak termasuk anggota keluarga yang diperintahkan Allah kepada Nabi Nuh supaya diangkut dalam bahtera dan akan diselamatkan dari air bah. Sebab, sebelum itu Allah telah berfirman lebih dulu kepada Nabi Nuh: “Angkutlah di dalam bahtera dua pasangan (jodoh) dari setiap jenis (ternak) bersama keluargamu kecuali yang sudah dikenakan keputusan Allah (untuk tidak diikutsertakan)”. Dengan demikian maka anak lelaki Nabi Nuh tidak termasuk anggota keluarga yang dijamin keselamatannya.
Syeikhul Islam Ibnul Qayyim sendiri berpendapat, bahawa sanggahan Imam Syafi’iy tepat sekali, kerana ‘orang-orang beriman’ dalam kontek hikayat Nabi Nuh a.s tidak termasuk dalam pengertian ‘keluarga Nabi Nuh’. Sebab, ayat tersebut selengkapnya menegaskan: “Angkutlah di dalam bahtera dua pasangan dari setiap jenis (ternak) bersama keluargamu kecuali yang sudah dikenakan keputusan Allah (untuk tidak diikutsertakan) dan orang-orang yang beriman. Kalimat ‘orang-orang yang beriman’ dalam ayat tersebut adalah kalimat yang berdiri sendiri di samping kata ‘keluarga’ dan ‘dua pasangan’ dari setiap jenis (ternak). Dengan demikian maka kata ‘keluargamu (ahlika)’ tidak mencakup pengertian ‘pengikut Nabi Nuh yang beriman atau bertakwa’.
Yang kami utarakan tersebut di atas semuanya adalah beberapa hujjah atau dalil yang dikemukakan oleh masing-masing golongan guna memperkuat penafsirannya sendiri-sendiri. Yang benar ialah faham atau pendapat yang pertama, iaitu yang mengatakan bahawa aal Muhammad s.a.w. ialah anak cucu keturunan Bani Hasyim; kemudian menyusul pendapat atau faham yang kedua, iaitu yang memasukkan para isteri Nabi dalam aal Muhammad s.a.w.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda, bahawa ‘aal (keluarga) Muhammad makan hanya dari harta ini (yakni: Harta Allah, bukan shadaqah). Demikian pula doa beliau yang menyatakan: “Ya Allah, berilah rezeki kepada aal (keluarga) Muhammad berupa makanan sehari-hari”. Dengan demikian tidak ada alasan sama sekali memasukkan ‘ummat Muhammad’ dalam pengertian ‘aal Muhammad’.
Soal terpisahnya sebutan ‘azwaj’ (para isteri) dari sebutan ‘zuriyat’ (keturunan) dalam ucapan shalawat, sama sekali tidak menunjukkan perpisahan kedudukan kedua-duanya sebagai keluarga (aal) Muhammad s.a.w. Hal itu dipersoalkan sehubungan dengan adanya hadits yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, berasal dari Nu’aim Al-Mujmar dan bersumber dari Abu Hurairah r.a mengenai shalawat Nabi yang berbunyi: “Ya Allah, limpahkanlah shalawat kepada Muhammad, kepada isteri-isteri beliau, kepada segenap keturunan beliau dan kepada ahlulbait beliau; sebagaimana Engkau telah melimpahkan shalawat kepada Ibrahim…dan seterusnya”. Dijejerkannya sebutan-sebutan ‘para isteri’. ‘keturunan’ dan ‘ahlulbait’ dalam kalimat tersebut semata-mata untuk lebih menegaskan bahawa mereka itu semuanya termasuk dalam pengertian ‘aal Muhammad s.a.w.’.
Orang yang mengucapkan shalawat di dalam sholat (tasyahhud) bagi aal Muhammad s.a.w. dengan pengertian ‘ummat Muhammad’, terlampau jauh menyimpang dari makna yang semestinya. Bacaan tahiyyat (tasyahhud) yang diucapkan orang di saat bersembahyang di dalamnya terdapat kata-kata ‘salam’ dan ‘shalawat’. Ucapan salam itu pertama-tama tertuju kepada Rasulullah s.a.w., kemudian kepada orang yang bersangkutan sendiri, lalu kepada semua hamba Allah yang saleh. Terdapat riwayat hadits yang menerangkan, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Apabila kalian telah mengucapkan hal itu (yakni salam) bererti kalian telah menyampaikan salam kepada semua hamba Allah yang saleh di langit dan bumi”. Adapun tentang ‘shalawat’, Rasulullah s.a.w. tidak mengisyaratkan shalawat boleh diucapkan tertuju kepada orang selain beliau sendiri bersama aal (keluarga)-nya.
Pendapat yang mengatakan, bahawa ‘aal Muhammad’ bererti ‘semua pengikut Muhammad’, sama sekali tidak dapat diterima. Memang benar, bahawa dalam hal-hal tertentu ‘para pengikut’ dapat disebut dengan istilah ‘aal’, tetapi sebaliknya, kata ‘aal’ tidak harus diertikan ‘pengikut’. Tentang hal itu telah kami utarakan dalil-dalilnya. Demikian Ibnul Qayyim.
Syeikhul Islam Ibnul Qayyim kemudian berbicara tentang erti ‘zuriat’. Ia menegaskan, bahawa ‘zuriat’ bererti ‘anak cucu keturunan, tetapi apakah keturunan dari anak perempuann termasuk juga dalam pengertian ‘zuriat’? Mengenai hal itu terdapat dua pendapat di kalangan para ulama…demikian kata Ibnul Qayyim dalam penjelasannya. Pendapat pertama ialah sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, yang mengatakan bahawa keturunan dari anak perempuan termasuk zuriat; dan ini menjadi mazhab Syafi’iy. Pendapat yang kedua mengatakan, bahawa keturunan dari anak perempuan tidak termasuk dalam pengertian zuriat; dan ini adalah mazhab Imam Abu Hanifah.
Golongan yang menganut pendapat pertama bersepakat bulat, bahawa anak cucu Siti Fatimah Az-Zahra r.a adalah zuriat (keturunan) Rasulullah s.a.w., yakni zuriat yang mustahak menerima shalawat dan salam dari kaum Muslimin. Sebab tidak ada putera atau puteri Rasulullah s.a.w. yang melahirkan keturunan selain Siti Fatimah r.a. Kerana itulah Rasulullah s.a.w. menyebut al-Hasan – putera Fatimah r.a – dengan ‘anakku’. Beliau menegaskan: ”Sesungguhnya ini (al-Hasan r.a) adalah anakku, seorang sayyid”.
Ketika ayat mubahalah (ayat 61 surah Aali Imran, iaitu ayat yang menentang kaum musyrikin untuk bersedia menerima kutukan Allah) turun, Rasulullah s.a.w. segera memanggil Siti Fatimah, al-Hasan dan al-Husein radhiyallahu anhum, kemudian keluar bersama-sama untuk bermubahalah dengan kaum Nasrani Najran. Demikian Ibnul-Qayyim.
Setelah mengatakan, bahawa Nabi Isa a.s tidak mempunyai silsilah dari Nabi Ibrahim a.s selain dari pihak bundaknya, Maryam; berkata lebih lanjut:
“Pihak yang berpendapat bahawa keturunan anak perempuan tidak termasuk dalam pengertian ‘zuriat’ berhujjah, bahawa keturunan dari anak perempuan pada hakikatnya adalah keturunan dari ayah mereka. Kerana itu jika ada seorang wanita melahirkan anak bukan dari seorang pria Bani Hasyim, anak tersebut tidak termasuk keturunan Bani Hasyim. Bagi orang merdeka (bukan budak) keturunannya mengikuti silsilah ayah, sedangkan bagi budak, keturunannya mengikuti silsilah ibu. Akan tetapi dilihat dari sudut agama, yang terbaik di antara keduanya itu ialah yang paling besar takwanya…
“Mereka mengatakan, dimasukkannya Siti Fatimah r.a ke dalam zuriat Rasulullah s.a.w. semata-mata kerana kemuliaan dan keagungan martabat ayahandanya, yakni Muhammad Rasulullah s.a.w., yang tak ada persamaannya dengan manusia mana pun di dunia. Dengan demikian maka zuriat Nabi dari puterinya itu merupakan kelanjutan dari keluhuran dan kemuliaan martabat beliau s.a.w. Kita mengetahui bahawa kemuliaan dan keagungan seperti itu tidak dapat kita temukan pada orang-orang besar, raja-raja dan lain sebagainya. Kerana mereka tidak memandang keturunan dari anak perempuan mereka sebagai zuriat yang meneruskan kebesaran dan kemuliaan mereka. Yang dipandang sebagai penerus kebesaran mereka hanyalah keturunan anak lelaki mereka. Jadi, jika keturunan, itu semata-mata disebabkan oleh factor keagungan dan keluhuran ayah anak perempuan itu…”
Menanggapi pendapat seperti tersebut di atas itu, Ibnul Qayyim dengan tegas mengatakan: “Dikenakannya pandangan seperti itu pada zuriat Rasulullah s.a.w. adalah tidak benar dan tidak pada tempatnya”.
Dari tutur-kata dan pendapat-pendapat dua orang Syeikhul Islam, Ibnul Taimiyyah dan Ibnul Qayyim, yang kami utarakan semuanya itu, tampak jelas bahawa kedua ulama puncak itu menekankan, bahawa yang disebut ‘Ahlul-Bait’ atau ‘aal’ Nabi Muhammad s.a.w. ialah Imam ‘Ali bin Abi Thalib, Siti Fatimah Az-Zahra dan anak cucu keturunan mereka berdua. Kecuali itu ditekankan pula bahawa mereka itulah yang disebut ‘Ahlul-Kisa’ dan merupakan anggota-anggota keluarga Rasulullah s.a.w. yang terdekat dan paling terkemuka. Dua orang Syeikhul Islam itu menekankan juga bahawa hadits-hadits Istishfa (yang menerangkan kesucian Ahlul-Bait) benar-benar meyakinkan dan kuat.

1) Golongan yang sangat ekstrim ‘mencintai’ Imam Ali bin Abi Thalib, sehingga menganggapnya sebagai ‘tuhan’. Golongan ini telah musnah dalam sejarah.
2) Golongan yang tidak mempercayai keutamaan Imam Ali dan anggota-anggota ahlulbait lainnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s