Aqidah Sifat 20 Allah: 7. QUDRAT

MATAN

Yang ketujuh AL QUDRAH. Ertinya kuasa Qudrah Tuhan memberi bekas pada mengadakan dan mentiadakan tiap-tiap sesuatu maka hakikatnya ialah satu sifat yang qadim lagi azali yang sabit berdiri pada zat Allah Taala. Dengan Dia mengadakan tiaptiap yang ada dan mentiadakan tiap-tiap yang tiada bersetuju dengan Iradah. Adapun menyandarkan taksir (memberi bekas) kepada Qudrah itu majazi aqli (sindirin cakap yang difahamkan oleh akal) jua kerana yang memberi bekas pada hakikatnya itu zat yang Maha Suci, maka tidak ada perbuatan melainkan bagi-Nya. Demikian yang telah disebutkan oleh ulama muhaqqiqin, tetapi pada orang yang awam berkata Qudrah yang memperbuat atau katanya pandang olehmu perbuatan Qudrah ALLAH maka yang demikian itu haram, dan kata setengah ulama, makruh selama ia tidak beriktiqad Qudrah yang memberi bekas dengan sendirinya. Adapun jika ia mengiktiqadkan Qudrah yang memberi bekas dengan sendiri nescaya jadi kafir. Maka yang sebenarnya ialah Tuhan yang bersifat Qudrah mempunyai kebesaran dan perintahan yang meliputi, dan sekalian makhluk di dalam genggaman-Nya, yang bersendiri mengadakan apa-apa kehendak-Nya yang tiada dapat dikirakan. Tuhan sahaja yang mempunyai kuasa menjadikan dan mentiadakan, dan Ia sahaja yang berkuasa mengubah-ubah segala perjalanan alam dan ha1 yang berlaku di dalam masyarakat manusia kerana perintahan-Nya meliputi dan sekalian makhluk di dalam genggaman-Nya sekalipun pada pandangan zahirnya manusia yang melakukan, memperbuat dan mengerjakan tetapi hakikatnya ialah Tuhan. Hanya yang ada pada manusia itu usaha dan ikhtiar, itu pun tidak boleh memberi bekas pada mengadakan atau mentiadakan, hanya usaha dan ikhtiar itu pihak madkhal jua (jalan pada menjayakan sesuatu) misalnya seperti putus sesuatu benda maka jalan hendak putus benda itu mesti dengan dipotong. Maka bukan perbuatan potong itu memberi bekas pada memutuskan, bahkan sebenarnya yang memutuskan itu ialah Tuhan. Atau dengan ibarat lain diumpamakan manusia itu seperti qalam. Maka berjalanlah qalam itu pada menulis sesuatu huruf, sesuatu kalimah dengan mengikut kehendak si penulis. Yang demikian jadilah pada zahirnya qalam yang menulis. Adapun hakikatnya ialah mengikut kehendak tangan si penulis, ertinya penulis hakiki ialah Allah Taala.

Pengertian Al Qudrah

AL QUDRAH adalah perkataan Arab yang maknanya dalam bahasa kita ialah ‘kuasa” atau “daya upaya” atau “mampu” atau boleh juga kita maknakan sebagai “boleh”. Misalnya, kita berdaya upaya berpuasa atau mampu berpuasa dan sebagainya. Manakala maksud sifat Qudrah bagi ALLAH SWT ialah bahawa ALLAH berkuasa ataupun berupaya mengadakan sesuatu yang sepatutnya ada, dan berupaya atau berkuasa mentiadakan sesuatu yang sepatutnya tiada. Dengan pengertian yang lain, ALLAH berkuasa menghidupkan dan mematikan. ALLAH juga berkuasa memiskinkan dan mengkayakan. ALLAH berkuasa. memuliakan dan menghinakan, serta berkuasa juga menyakitkan dan menyihatkan atau menyembuhkan. Dan ALLAH juga berkuasa untuk membuat seseorang itu pandai dan membuatkan seseorang itu menjadi bodoh. Ertinya, ALLAH berkuasa berbuat apa saja. Apa saja yang ALLAH kehendaki, berupaya Dia lakukan. Inilah yang menjadi keyakinan kita atau pegangan Ahli Sunnah
Wal Jamaah. Kita tidak boleh menyimpan walau sedikit pun keraguan. Andaikata ada sedikit sahaja waham atau dicelah oleh
zan, maka seseorang itu jatuh syirik atau kafir atau pergi kepada murtad. Jadi, hendaklah kita kuatkan sungguh-sungguh keyakinan kita terhadap Qudrah Allah ini. Di dalam Al Quran, ALLAH berfirman:

Terjemahannya: Sesungguhnya ALLAH berkuasa ke atas setiap sesuatu.
(Al Baqarah: 20)

Ertinya, bagi apa saja di atas sesuatu itu iaitu siapa saja sama ada manusia atau haiwan atau kayu-kayan atau malaikat, dan apa saja sama ada di atas langit atau di bumi, di dunia ‘atau di Akhirat, ALLAH berkuasa di atas semuanya; sama ada mengadakan atau mentiadakan.
Kemudian di dalam Al Quran disebut:

Terjemahannya: Tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia. Dialah yang menghidupkan dun Dialah yang mematikan.
(Al AraJ 158)

Jadi, ALLAH SWT berkuasa menghidupkan sesuatu itu dan berkuasa pula mematikan sesuatu itu. Di dalam Al Quran juga ALLAH menceritakan tentang rintihan Nabi Ibrahim a.s.:

Terjemahannya: Dan ALLAH-lab yang member-i aku makan dan minum. Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan.
(As Syuara’: 79-80)

Inilah pengakuan Nabi Ibrahim yang ALLAH catatkan di dalam Al Quran. Yang mana Nabi I b r a h i m membuat pengakuan bahawa ALLAH-lah yang berkuasa menyembuhkan, dan ALLAH-lah yang berkuasa memberinya makan dan minum. Kemudian di dalam Al Quran Allah berfirman lagi:

Terjemahannya: Engkaulah (wahai ALLAH) yang memberi kekuasaan kepada siapa yang Engkau kehendaki dan menarik balik kekuasaan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau juga yang memuliakan sesiapa sahaja yang Engkau kehendak dan Engkau jugalah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan-Mu-lah kebaikan itu.
(Ali Imran: 26)

Ertinya di sini, di atas kehendak ALLAH sahajalah sesuatu itu; yakni, ALLAH berkuasa di atas apa saja. Dan ini ALLAH ceritakan di dalam Al Quran.

ALLAH Berkuasa Di Atas Seluruh Makhluk

Allah berkuasa kepada siapa saja. Siapa sahaja yang ALLAH kehendaki, ALLAH boleh beri kekuasaan sama ada dia Islam atau bukan Islam, sama ada dia orang baik ataupun orang jahat. Cuma yang berbeza ialah, jika orang baik diberi kuasa, maka ia adalah dalam keredhaan ALLAH SWT. Tetapi jika orang jahat yang diberi kuasa, ia bukan di dalam keredhaan ALLAH SWT.

Dan ALLAH berkuasa pula memuliakan sesiapa serta berkuasa juga menghina sesiapa sahaja, sama ada  satu-satu kumpulan atau pertubuhan ataupun satu-satu kaum, mengikut apa yang, ALLAH kehendaki. Begitulah yang  dikatakan kuasa ALLAH SWT. Pada ALLAH ada berbagai- bagai bentuk kebaikan yang tidak dapat kita kira. Hanya ALLAH saja yang mengetahuinya. Dan ALLAH berkuasa di atas seluruh makhluk.

Di dalam doa Qunut ada perkataan yang berbunyi:

Terjemahannya: Dan sesungguhnya tidak akan hina
orang yang telah Engkau kasihi dan tidak akan mulia
orang yang telah Engkau musuhi

Maksudnya di sini ialah bahawa tidak akan hina seseorang itu jika ALLAH telah memimpinnya, dan tidak juga akan mulia siapa-siapa yang ALLAH telah musuhi. Jelas kepada kita akan kekuasaan ALLAH yang mana kalau ALLAH sudah memimpin seseorang itu atau satusatu kaum atau kumpulan itu, maka berkuasalah ALLAH memuliakannya dan tidak ada siapa yang boleh menghinanya.

Dan tidak akan mulia seseorang itu atau satu-satu kumpulan itu atau satu-satu kaum atau bangsa itu, kalau ALLAH telah musuhi. Tidak ada lain kuasa yang boleh memuliakannya. Ini memberi maksud bahawa tidak ada sebarang makhluk yang boleh berkuasa. Kekuasaan itu terletak pada ALLAH SWT sepenuhnya.

Jadi fahamlah kita bahawa selain daripada ALLAH SWT, yang lain-lain di alam ini tidak ada kuasa. Kalaupun ada kuasa yang kita nampak pada sesuatu itu, kuasa itu adalah kuasa yang ALLAH beri. Dan dengan kuasa yang ALLAH berikan itu, maka berkuasalah ia sebagaimana yang ALLAH kehendaki. Jadi, dengan itu juga,  manusia ini tidak ada kekuasaan. Begitu juga malaikatmalaikat ataupun haiwan-haiwan, serta juga kayu-kayan, langit dan bumi, dan seluruh makhluk; semuanya tidak mempunyai kekuasaan. Yang berkuasa hanyalah ALLAH SWT, dan tidak ada makhluk yang boleh mengatasi kekuasaan ALLAH SWT

Hakikat Sifat Qudrah ALLAH

Kerana itu, hakikat sebenarnya sifat Qudrah ALLAH SWT ini ialah bahawa ia merupakan suatu sifat yang qadim lagi azali yang berdiri pada zat ALLAH Taala dengan Dia mengadakan tiap-tiap yang ada dan mentiadakan tiap-tiap yang tiada. Ini bersetuju dengan Iradah ALLAH SWT. Sebagaimana yang kita telah maklum, qadim dan azali itu ialah sesuatu yang tidak ada permulaannya; iaitu sesuatu yang tidak didahului oleh tiada. Dan sebagaimana kita juga telah ketahui, zat ALLAH Taala itu qadim lagi azali yang ertinya tidak ada bermula. Dengan itu juga, sifat ALLAH Taala juga adalah qadim lagi azali. Dan di antara sifat ALLAH yang qadim lagi azali ini ialah Qudrah ALLAH Taala.

Jelaslah pada kita di sini bahawa sifat ALLAH Taala itu tidak ada permulaannya atau tidak didahului oleh tiada. Oleh kerana ALLAH Taala tiada siapa yang mencipta-Nya, maka zat-Nya juga tiada siapa yang menciptanya. Dan dengan itu sifat-Nya juga tiada siapa yang menciptanya.

Qudrah dan Iradah

Sifat Qudrah ALLAH Taala ini adalah bersetuju dengan Iradah ALLAH SWT. Dengan kata lain, bolehlah kita katakan yang Qudrah ALLAH dalam mentiadakan yang  tiada dan mengadakan yang ada ini adalah bersetuju dengan kehendak-Nya. Untuk menerangkan maksud ini secara zahir sahaja, bolehlah kita contohkan seorang tukang buat rumah.

Sebelum tukang itu membuat rumah, mula-mula sekali dia menyediakan pelannya. Kemudian dia akan membuat rumah itu mengikut pelannya. Ini dikatakan bahawa tukang rumah itu berkuasa mengadakan rumah itu mengikut kehendak pelannya atau mengikut kehendak yang dirancang. Jadi kalau diibaratkan kepada kuasa ALLAH bersetuju dengan kehendak-Nya, maka Qudrah ALLAH yang mengadakan yang ada atau mentiadakan yang tiada itu bersetuju dengan kehendak ALLAH SWT yang qadim lagi azali itu.

Cuma yang mesti kita bezakan ialah bahawa kehendak ALLAH yang kita ibaratkan dengan pelan yang dirancang oleh tukang rumah itu, adalah kehendak ALLAH pada azali lagi; iaitu ia tidak ada permulaannya. Misalnya, Qudrah ALLAH menjadikan manusia ini adalah bersetuju dengan kehendak ALLAH SWT. Cuma Qudrah ALLAH menjadikan manusia ini bukan dirancang oleh ALLAH sepertimana kita merancang membuat rumah.

Kemudian Qudrah ALLAH Taala yang bersetuju dengan kehendak ALLAH Taala pada azali lagi itu adalah tepat sebagaimana yang ALLAH kehendaki. Sepertilah juga dengan tukang rumah.yang membuat rumah itu mengikut kehendak pelannya tetapi apabila rumah itu dibuat, ia tidak tepat mengikut pelan. Nanti akan berlaku juga terkurang sedikit daripada pelannya ataupun boleh jadi terlebih sedikit daripada pelannya. Ertinya, tukang rumah itu membuat rumah tidak tepat mengikut kehendak pelannya. Tetapi Qudrah ALLAH mengadakan yang ada dan mentiadakan yang tiada, adalah tepat dengan kehendak-Nya pada azali lagi.

Selanjutnya, kita juga akan membahaskan, apakah sifat Qudrah ALLAH Taala itu yang memberi bekas kepada perbuatan. Yakni, apakah sifat Qudrah ALLAH itu yang mengadakan yang ada dan mentiadakan yang tiada, atau apakah sifat Qudrah ALLAH itu yang mengkayakan atau yang memiskinkan atau yang memuliakan atau yang menyakitkan atau yang menyembuhkan, dan seterusnya. Kalau kita mengatakan bahawa sifat Qudrah ALLAH itulah yang memberi bekas iaitu sifat Qudrah ALLAH itulah yang mentiadakan yang tiada atau mengadakan yang ada atau yang menghidupkan dan mematikan atau mengkayakdn dan memiskinkan dan seterusnya, maka kita telah tersilap dan tersalah. Hukumnya bagi orang yang berpandangan seperti ini ialah syirik atau kafir atau murtad.

Hakikat yang sebenarnya ialah: zat ALLAH-lah yang berqudrah bagi memberi bekas kepada perbuatan, dan bukannya sifat Qudrah ALLAH itu yang memberi bekas. Sifat Qudrah ALLAH itu bukannya tersendiri. Dalam ertikata lain bukannya sifat Qudrah ALLAH itu yang berkuasa mengadakan yang ada atau mentiadakan yang tiada, atau yang menghidupkan dan mematikan dan seterusnya, tetapi zat ALLAH-lah yang sebenarnya yang berkuasa. Ertinya, zat ALLAH sahaja yang memberi bekas, bukannya sifat ALLAH. Dan kerana itu, tidak boleh kita katakan bahawa sifat (Qudrah ALLAH itu yang memberi bekas.

Sekarang cuba kita kembali kepada fahaman orang awam atau orang biasa. Mereka selalu berkata, “Lihatlah, Qudrah ALLAH SWT menjadikan bumi dan langit!” atau, “Perhatikanlah, Qudrah ALLAH Taala yang berkuasa ke atas makhluk ini!” Kata-kata yang semacam ini, mengikut pandangan setengah-setengah qaul, adalah haram dan mengikut setengah-setengah qaul pula, makruh. Bilakah hal ini boleh berlaku? Iaitu selagi seseorang yang berkata itu tidak mengiktiqadkan Qudrah ALLAH itu memberi bekas dengan sendiri.

Hanya Zat Allah Yang Memberi Bekas

Ertinya, dia cuma menyebut saja seolah-olah sifat Qudrah itu yang berkuasa memberi bekas kepada perbuatan, tetapi hakikatnya dia tahu bahawa yang sebenarnya memberi bekas ialah zat ALLAH Taala. Jadi dalam sebutannya, orang akan berkata, “Sudah kehendak Qudrah ALLAH Taala yang menjadikan…” dan sebutansebutan yang seumpamanya. Tetapi dari segi keyakinannya, dia tahu bahawa bukan sifat Qudrah ALLAH itu yang memberi bekas tetapi zat ALLAH itulah sebenarnya yang memberi bekas. Perbuatan itu haram mengikut setengah qaul, atau jatuh makruh mengikut qaul yang lain.

Tetapi kalau seseorang itu sampai mengiktiqadkan bahawa sifat Qudrah ALLAH Taala itu sebenarnya yang memberi bekas kepada perbuatan dan bukannya zat ALLAH Taala itu yang bersifat Qudrah, maka dia jatuh murtad.

Sifat Allah Tak Memberi Bekas

Jadi, supaya kita tidak sampai jatuh kepada murtad, hendaklah kita iktiqadkan benar-benar bahawa sesungguhnya zat ALLAH itulah yang bersifat Qudrah. Dan begitu jugalah seterusnya bagi sifat-sifat ALLAH yang lain seperti yang Maha Mendengar, yang Maha Mengetahui, dan lain-lainnya. Bukan sifat-sifat ini yang memberi bekas iaitu bukan sifat Maha Mendengar yang mendengar atau sifat Maha Mengetahui yang mengetahui, tetapi yang mendengar dan yang mengetahui itu adalah zat ALLAH  itu sendiri. Sifat-sifat ALLAH bukannya bersendiri. Kerana itu, yang sebenarnya bertindak dan berkuasa pada hakikatnya ialah zat ALLAH SWT.

Kesimpulannya di sini ialah: yang bersifat Qudrah atau yang berkuasa di atas segala sesuatu hanyalah ALLAH SWT. Sebarang makhluk lain tidak mempunyai kuasa. Ertinya, sebarang makhluk tidak boleh memberi bekas. Kerana itu, bolehlah kita katakan yang usaha-usaha kita tidak boleh memberi bekas; belajar kita tidak boleh memberi bekas, bekerja kita tidak boleh member-i bekas, berjuang berjihad kita tidak boleh memberi bekas, dan seterusnya apa saja yang kita lakukan tidak boleh memberi bekas. Sebabnya, yang memberi bekas hanyalah zat ALLAH SWT yang bersifat Qudrah.

Jadi, kalaulah demikian keadaannya, apa gunanya pula kita berusaha. Dan tentu jugalah tidak ada gunanya kita belajar atau bekerja atau berjuang berjihad, dan sebagainya. Kerana, setiap apa yang kita lakukan itu tidak akan memberi bekas; yang memberi bekas hanyalah ALLAH SWT. Tetapi mengapa pula kita lihat manusia ini terus berikhtiar sedangkan kita tahu usaha ikhtiar kita itu tidak boleh memberi bekas? Mengapa tidak manusia ini menunggu saja atau menyerah sahaja?

Sebenarnya, berusaha dan berikhtiar itu adalah sebagai menurut perintah ALLAH. ALLAH memerintahkan kita supaya berusaha dan berikhtiar iaitu ALLAH memerintahkan kita supaya belajar, ALLAH memerintah kita supaya berusaha mencari rezeki, ALLAH memerintah kita supaya berusaha mencari kesihatan badan, berusaha untuk maju, berusaha mendapatkan sesuatu, dan seterusnya. Jadi apabila kita hendakkan sesuatu itu, kita mesti berusaha. Dan berusaha kita itu adalah kerana mengikut perintah ALLAH yang mengatakan bahawa jika kita mahukan sesuatu, hendaklah kita berusaha dan  berikhtiar. Tetapi usaha dan ikhtiar kita itu tidak boleh memberi bekas.

Seperti ALLAH perintahkan kita supaya mencari ilmu kalau hendak menjadi pandai, atau supaya kita bekerja keras kalau hendak menjadi kaya, atau kita kahwin kalau hendakkan anak, atau kita disuruh makan kalau lapar, atau kita disuruh jaga makan kalau hendak badan sihat, dan seterusnya bagi perintah-perintah yang lain. Semuanya itu mesti kita lakukan kerana ALLAH sudah memerintahkan demikian. Cuma usaha dan ikhtiar kita itu tidak boleh memberi bekas kerana yang boleh memberi bekas hanya zat ALLAH Taala yang bersifat Qudrah. Namun kita mesti berusaha ikhtiar bagi mendapatkan sesuatu.

Mengapakah kita diperintah supaya melahirkan usaha dan ikhtiar sedangkan usaha dan ikhtiar itu tidak boleh memberi bekas? Sebabnya, ALLAH hendak jadikan sesuatu itu dengan bersebab. Misalnya, jadi pandai sebab nya rajin belajar, jadi kaya sebabnya rajin berusaha, dapat anak sebabnya berkahwin, badan sihat sebabnya menjaga makanan dan riadah. Dan begitulah seterusnya bag-i tiaptiap suatu itu; masing-masing ada bersebab.

Setiap Kejadian Mesti Bersebab?

Mengapakah keadaannya demikian; iaitu mengapakah tiap-tiap suatu itu terjadi dengan bersebab? Ini adalah kerana sudah menjadi peraturan yang ALLAH tetapkan. Memang sudah ALLAH tetapkan peraturan demikian, dan tidak ada siapa pun yang boleh menghalang ALLAH untuk menetapkan apa corak peraturan sekalipun. Macamlah juga dengan kita yang mana dalam rumahtangga kita pun tentunya ada peraturan, dan peraturan ini tidak boleh dihalang oleh orang lain. Begitu jugalah  dengan peringkat negara; ia juga ada peraturan-peraturan tertentu.

Jadi, dalam soal ini, ALLAH sudah menetapkan sebab yang membawa akibat ini sebagai peraturan ALLAH atau dinamakan Sunnatullah. Dan apa yang ALLAH sunnahkan, tidak akan berubah. Firman ALLAH:

Terjemahannya: Sesungguhnya kamu tidak akan
mendapati apa yang disunnahkan ALLAH itu berubah.
Sekali-kali kamu tidak akan mendapati apa yang
telah disunnahkan oleh ALLAH itu ber-tukar ganti.
(Fathir: 43)

Jelaslah kepada kita bahawa sebab bersebab di dalam usaha ikhtiar itu memang sudah disunnahkan oleh ALLAH SWT. Ertinya, tiap suatu yang hendak kita capai itu mesti kita lahirkan sebabsebabnya kerana itu sudah menjadi perintah ALLAH. Firman ALLAH:

Terjemahannya: Kami datangkan setiap sesuatu itu ada sebabnya.
(Al Kahfi: 84)

Dengan yang demikian, adalah salah bagi kita kalau kita tidak mahu melahirkan usaha ikhtiar bagi mendapatkan sesuatu kerana memikirkan yang usaha ikhtiar kita tidak boleh memberi bekas. Walaupun memang usaha ikhtiar kita tidak boleh memberi bekas, tetapi ALLAH sudah memerintahkan kita supaya melahirkan sebabsebab. Dan ini adalah Sunnatullah.

Namun demikian, ALLAH begitu mengasihi umat ini. ALLAH mengetahui bahawa sekiranya sebab membawa akibat ini dibiarkan demikian berterusan, nanti akan ada umat ini jatuh kepada syirik. Ertinya, kalau setiap usaha ikhtiar yang manusia lakukan menghasilkan sesuatu yang hendak dicapai itu, sungguhpun pada hakikatnya bukan usaha ikhtiar manusia itu yang memberi bekas, nanti umat akan jatuh syirik kerana dia merasakan usahanya memberi bekas, kuasanya memberi bekas, kahwin boleh beri bekas, darjat serta pangkat boleh memberi bekas, wang ringgit boleh memberi bekas, dan seterusnya.

Ada Kejadian Tidak Bersebab

Kerana itu, ALLAH bantu umat ini bag-i menyelamatkan aqidah mereka agar mereka tidak syirik dengan usaha, tidak syirik dengan pangkat dan darjat, tidak syirik dengan harta dan kekayaan, dan sebagainya, iaitu dengan ALLAH melakukan sesuatu itu tanpa sebab. Ini akan dapat menyedarkan umat bahawa kuasa ALLAH itu mutlak kerana tanpa sebab pun sesuatu itu boleh ALLAH lakukan. Cuma sudah memang Sunnatullah yang tiap sesuatu itu terjadi dengan bersebab, maka itu perlulah dilahirkan usaha ikhtiar. Namun untuk menunjukkan yang kuasa ALLAH itu mutlak, maka sekaliaekala ALLAH jadikan sesuatu itu tanpa sebab.

Contohnya ialah mengenai kejadian Nabi Isa a.s. yang tanpa bapa, cuma ada ibu. Sedangkan bagi kebanyakan orang, lahirnya ke dunia ini disebabkan adanya bapa. Kalaulah sekali-sekala ALLAH tidak lakukan demikian, nanti orang-orang yang jahil atau orang awam akan mengatakan yang kalau tidak ada sebab, ALLAH tidak boleh lakukan. Nanti mereka akan merasakan yang hanya dengan ada sebab sahajalah baru ALLAH boleh jadikan sesuatu. Orang ini jatuh syirik. Kerana itu, sekali-sekali ALLAH jadikan sesuatu tanpa sebab kerana kasih sayang-Nya kepada makhluk agar makhluk tidak terjebak kepada syirik.

Jadi nyatalah kepada kita bahawa sebabsebab bagi menjadikan sesuatu itu tidak boleh memberi bekas dengan sendirinya. Kita mesti lahirkan sebabsebab itu kerana ia Sunnatullah yang kita mesti ikut. Siapa boleh membangkangnya kalau Allah sudah buat peraturan demikian! Sedangkan kita yang membuat peraturan sendiri di dalam rumahtangga kita pun orang lain tidak boleh bangkang. Misalnya, siapa boleh bangkang kalau kita sudah buat peraturan meletakkan meja di depan pintu!

Kerana itu, penting sekali bagi kita memahami benarbenar akan sifat Qudrah ALLAH Taala ini kerana zat ALLAH yang bersifat Qudrah ini berkuasa mengadakan dan berkuasa mentiadakan, berkuasa menghidupkan dan mematikan, berkuasa memuliakan dan menghinakan. Dan kalau kita faham demikian, maka terelaklah kita daripada syirik yang mana kita nanti akan mengatakan bahawa usaha kitalah yang menjayakan kita, ilmu kitalah yang memuliakan kita, berjuang dan berjihad kitalah yang menyebabkan Islam ini maju, dan sebagainya. Katakata yang semacam inilah yang boleh mensyirikkan diri kita kerana terlalu menyangka yang sebab-sebab yang kita lakukan itulah yang memberi bekas.

Kalau sekadar mulut saja yang berkata-kata demikian sedangkan hati kita tetap mengiktiqadkan bahawa sesuatu itu ALLAH-lah yang berkuasa, maka tidaklah murtad.

Terhindar Dari Sombong

Dengan memahami sifat Qudrah ALLAH Taala ini, kita
tidak akan bersikap sombong. Kita tidak akan sombong kalau kita memperolehi ilmu, kita tidak akan sombong kalau kita mendapat kesihatan badan, dan kita tidak akan sombong bila kita mendapat kekayaan atau kekuasaan, atau apa saja.

Ertinya apa saja kejayaan yang kita perolehi hasil daripada usaha ikhtiar kita, tidak boleh membuat kita bersikap sombong kerana kita tahu kuasa ALLAH itu mutlak. Yang menjayakan semua usaha ikhtiar kita adalah ALLAH SWT. Kerana ALLAH saja yang boleh mengadakan dan mentiadakan, mengkayakan dan memiskinkan, memulia dan menghinakan, memandaikan dan membodohkan dan sebagainya.

Jadi kalau kita ada ilmu, kita tidak boleh sombong dengan ilmu kita kerana ALLAH boleh beri serta ALLAH boleh tarik ia bila-bila masa sahaja. Kalau ALLAH hendak tarik ilmu kita, mudah sekali; ALLAH putuskan serambut urat di dalam otak kita, maka tamatlah ilmu kita! Jadi, apa yang hendak kita sombongkan dengan ilmu yang ALLAH berikan itu.

Kita juga tidak boleh sombong dengan kekuatan atau kesihatan badan kita yang membolehkan kita pandai bermain itu dan ini, serta pandai berpencak dan bcrsilat. Itu semua pemberian ALLAH SWT dan bukannya kerana kepandaian kita. Kalau ALLAH hendak tarik semuanya, mudah sekali ALLAH lakukan iaitu dengan memberikan kita sakit. Dan ketika itu, pencak silat kita tidak bererti lagi. Mungkin bangun dari katil pun tidak mampu lagi.

Jadi, kita sedarlah yang ALLAH boleh tarik balik apa saja yang ada pada kita: ALLAH boleh tarik kekuatan badan kita, Allah boleh tarik kekuasaan yang ada pada kita, ALLAH boleh tarik kekayaan yang ada pada kita, ALLAH boleh tarik kepandaian yang ada pada kita. Kalau begitu, apalah yang hendak kita sombong dan banggakan tentang diri kita.

Manusia Lupa Kuasa ALLAH

Cuma yang malangnya, manusia di dunia hari ini telah terlupa dengan kuasa ALLAH. Apabila dia dapat sesuatu sama ada kekayaan, darjat, pangkat, atau kekuasaan, dia mulai menindas dan menzalimi orang. Dia begitu megah dengan kekuasaan yang ada padanya hinggakan siapa saja yang bersalah disumbatnya ke penjara tanpa periksa, dan seterusnya. Sedangkan, kalau kita perhatikan, mereka seperti ini jatuh juga akhirnya. Ada yang jatuh hingga tidak berupaya hendak bangun semula.

Ertinya dalam masa seketika saja ALLAH boleh hapuskan apa yang ada pada kita itu. Jadi tidak bolehlah kita sombong dengan apa yang ALLAH telah beri. ALLAH beri kita kuasa, dan ALLAH juga boleh tarik balik kuasa itu bila-bila masa saja. ALLAH beri kita rumah besar; ALLAH juga boleh tarik balik rumah dan harta kita itu rumah kita boleh terbakar atau semua harta kita boleh dihanyutkan oleh banjir, dan sebagainya.

ALLAH beri kita wang ringgit yang banyak, pun ALLAH boleh tarik dari tangan kita bila-bila masa saja iaitu ALLAH datangkan sebab untuk menghilangkannya seperti kena curi dan sebagainya. Walau kita jaga macam mana pun harta kita itu, tetapi kalau memang ALLAH hendak tarik kembali, ia tetap akan pergi juga.

Contohnya ialah ketika kita hendak pergi mengerjakan ibadah haji di Makkah. Sekurang-kurangnya kita membawa $1000 atau $2000 bersama kita. Untuk menjaganya, kita ikat di pinggang kuat-kuat. Kita sangka di Tanah Suci sana tentu tidak ada pencuri, kerana semua orang hendak buat ibadah saja. Tetapi dalam kita berjaga-jaga takut harta kita itu hilang, tiba-tiba ia dirampas orang. Begitu ramai sekali bakal haji yang kecurian dan dirampas wang ringgitnya. Mengikut laporan, beratusratus ribu ringgit wang jemaah haji kecurian dalam satu-satu musim haji, sama ada di Madinah, Mina ataupun di Makkah sendiri.

Begitu sekali kuasa ALLAH. Amat mudah ALLAH menariknya semula, tidak kira masa dan tidak kira tempat. Jadi, kita tidak boleh bersikap sombong dengan kekayaan kita ataupun kekuatan badan kita. Kuasa ALLAH saja yang mutlak. Di Tanah Suci Makkah sana, kita dapat melihat sendiri bagaimana kuasa ALLAH itu jelas pada diri kita. Misalnya, kita dapati seseorang itu begitu sihat ketika berada di tanahair tetapi bila sampai saja di sana, dia jatuh sakit. Kadang-kadang pula kita dapati seseorang itu sakit dan tidak berdaya mengerjakan haji tetapi sampai saja di sana dia sihat dan pulih seperti biasa. Demikian kuasa ALLAH.

Insan Yang Berani

Selain kita tidak jadi sombong dan angkuh dengan diri kita kerana kita tahu bahawa kuasa ALLAH itu sahajalah yang mutlak, kita juga boleh bersikap berani. Disebabkan kita tahu bahawa kuasa ALLAH sahaja yang mutlak manakala makhluk ini, walau bagaimana besarnya atau bagaimana gagahnya sekalipun, tidak berkuasa apa-apa, maka timbul rasa berani kita kepada makhluk. Kita hanya takut kepada ALLAH sahaja. Kita tidak bimbang kepada makhluk ini kerana dia tidak berkuasa.

Oleh sebab itu, salah satu sifat orang mukmin yang sebenarnya ialah berani. Orang yang penakut itu adalah orang Islam biasa saja. Orang mukmin sebenar bersifat berani kerana aqidah dan tauhidnya kuat sekali.

Orang Mukmin Hidupkan Al Quran Dan Sunnah

Dia tahu bahawa yang berkuasa sebenarnya hanyalah
ALLAH. Makhluk tidak berkuasa. Sebab itu dia berani
berjuang, dia berani berjihad, dia berani berkata benar;
tidak takut dan gentar. Orang mukmin berani melahirkan
penghidupan secara Al Quran dan secara Sunnah
kerana dia tidak peduli dengan ejekan orang. Baginya
semua penghinaan yang orang lemparkan itu tidak bo
leh memberi bekas kerana yang boleh memberi bekas
hanyalah kuasa ALLAH. Walau hina yang orang berikan,
namun kalau ALLAH hendak memuliakannya, siapa pun
tidak boleh menghalang.

Yang malang bag-i umat Islam di dunia hari ini ialah kerana aqidah dan tauhid mereka sudah longgar. Iman umat Islam hari ini sudah lemah. Sebab itu umat Islam menjadi umat yang paling penakut di dunia hari ini. Kita menjadi begitu takut, hinggakan dengan bayang-bayang kita sendiri pun kita takut.

Jadi untuk mendapatkan sikap berani, hendaklah kita tanamkan benar-benar dalam hati bahawa ALLAH saja yang mempunyai kuasa yang mutlak manakala selain daripada ALLAH tidak mempunyai kuasa. Kalau kita sudah mempunyai keyakinan bahawa seluruh makhluk di dunia ini tidak dapat menjahanamkan kita kalau ALLAH tidak berserta, maka apakah yang hendak kita takutkan.

Tauhid Akal, Tauhid Hati

Yang menyebabkan kita menjadi penakut pada hari ini ialah, tauhid kita kepada ALLAH SWT hanya pada peringkat akal. Bukan pada peringkat jiwa. Ertinya, kita hanya berfikiran tauhid tetapi tidak berjiwa tauhid. Orang yang berjiwa tauhid, tauhidnya kepada ALLAH sudah sampai ke peringkat hati. Orang ini tidak lagi takut atau gentar, dan tidak bimbang walau sedikit pun. Tetapi orang yang tauhidnya baharu pada peringkat fikiran saja iaitu orang yang baharu belajar tauhid saja, ia akan takut sepanjang masa.

Dan yang paling menyedihkan, disebabkan takutnya sepanjang masa, perkara yang belum ditempuhnya pun boleh membuatkan dia takut. Orang yang seperti ini dapat memikirkan ketakutannya hingga pada perkara yang 20 tahun akan datang. “Apalah nak jadi pada diriku ini mass depan! Miskinkah aku ini?” Begitu sekali akalnya berkisar memikirkan masa depannya sedangkan belum lagi ALLAH timpakan kemiskinan. Ertinya, ALLAH belum beri dia miskin dia sudah takut dengan kemiskinan. Dia sudah dirasakan dengaq kemiskinan oleh ALLAH SWT sebelum kemiskinan yang sebenar menimpanya. Jadi, orang yang semacam ini merasa takut sebelum datang takut yang sebenarnya. Ini kerana, tauhidnya amat lemah.

Bagaimana Mahu Bejiwa Tauhid?

Namun demikian, untuk mendapatkan jiwa tauhid, kita perlu bermula dengan fikiran tauhid iaitu peringkat belajar ilmu tauhid. Untuk menerapkan rasa tauhid sampai ke hati agar memperolehi jiwa tauhid, kita hen daklah memperkuatkan ibadah serta selalu bermujahadah. Kita hendaklah juga selalu bertafakur memikirkan kebesaran ALLAH SWT dan sentiasa membuat kerjakerja ALLAH SWT. Dengan membuat amalan-amalan semacam ini, tauhid kita semakin lama semakin kuat hingga kita memiliki jiwa tauhid. Ketika itu kita tidak lagi merasa takut dan bimbang kepada apa sahaja, lebih-lebih lagi kepada makhluk.

Ketika itu kita akan tahu bahawa tidak akan berlaku apa-apa pada diri kita kalau Allah tidak menentukannya pada azali lagi. Kalau kita bukan ditentukan untuk mati dibunuh orang, walau apa pun orang lakukan, kita tetap tidak akan mati. Contohnya ialah bagaimana Panglima Khalid ibnu Walid yang terlalu inginkan mati syahid tetapi kerana ALLAH tidak rancangkan pada azali yang dia mati syahid, maka akhirnya dia mati di atas katil. Ertinya, kalau .ALLAH tidak rancangkan pada azali sesuatu ketentuan pada diri kita, maka tidak perlu kita bimbang dan takut.

Kita Dan Rancangan ALLAH

Kerana itu, kalau kita tidak dirancang oleh ALLAH mati dimakan harimau, tentunya kita tidak akan mati dimakan harimau. Mungkin bila kita berdepan dengan harimau, ia pun lari kerana takut kepada kita. Tapi kalau kita telah dirancang oleh ALLAH mati disebabkan harimau, walau bagaimana kita mengelaknya, kita akan mati disebabkan harimau juga. Sepertimana kisah seorang raja yang mendapat ramalan daripada ahli nujumnya bahawa dia akan mati dimakan harimau; dan kerana dia terlalu takut, lantas dia mengarahkan semua pengawal istana berjaga siang dan malam. Tetapi akhirnya dia mati ditimpa oleh gambar harimau yang tergantung sebagai hiasan di dalam istananya. Mati juga dia disebabkan oleh harimau

Jadi, kesimpulannya ialah, kita hendaklah memperkuatkan jiwa tauhid kita kerana dengan jiwa tauhid ini kita tidak takut kepada siapa pun, dan kita juga tidak bimbang kepada apa saja. Firman ALLAH:

Terjemahannya: Janganlah kamu takut kepada mereka sebaliknya takutlah kepada Aku.
(Al Baqarah: 150)

Dan orang mukmin tidak takut kepada orang yang mencerca kerana manusia tidak boleh memberi bekas. Orang yang mempunyai sikap ini ialah orang mukmin yang kuat dan yang gagah kerana dia tidak takut kepada manusia. Orang mukmin begini ialah orang mukmin yang bertaqwa kepada ALLAH SWT. Dia mempunyai jiwa tauhid yang kuat yang boleh mendorong dirinya kuat beribadah kepada ALLAH serta kuat jiwanya untuk meninggalkan maksiat.

Kerana itu, hendaklah kita ansur-ansurkan bagi menanam jiwa tauhid di dalam diri kita. Janganlah kita menjadi orang yang belajar tauhid bertahun-tahun tetapi hanya mencapai fikiran tauhid sahaja. Akhirnya tidak sampai ke manalah kita ini.

Dengan memiliki jiwa tauhid, walaupun kita tidak alim, kita akan selamat di dunia dan di Akhirat. Untuk mendapatkannya, kenalah kita banyak memikirkan kebesaran ALLAH SWT, memikirkan tentang diri kita serta tentang kejadian alam ini. Kenalah kita membuat ibadah yang boleh memberi bekas walaupun sedikit. Biarlah sembahyang sunat kita sedikit sahaja tetapi dikerjakan dengan penuh khusyuk. Sabda Rasulullah SAW kepada Abu Zarin yang bermaksud:

Wahai Abu Zar dua rakaat sembahyang yang sederhana
yang dikerjakan dengan khusyuk adalah lebih
baik daripada sembahyang semalam-malaman yang
dikerjakan dengan hati yang lalai.

Inilah cara-cara bagi kita untuk mendapatkan jiwa tauhid yang boleh membawa kita kepada keselamatan di dunia dan keselamatan di Akhirat.

Artikel ini adalah bagian dari buku Aqidah Mukmin Siri 2 yang berisi buah fikiran dan ilham dari Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi

Sumber: https://alieyfaizal.wordpress.com/2012/05/27/aqidah-mukmin-siri-2-abuya-ashaari-bin-muhammad-at-tamimi-bab-9-qudroh/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s