Jadikan Allah, Rasulullah Saw Dan Orang Mukmin Sebagai Pemimpin

Allah berfirman dalam Al Quran:
Terjemahannya: “Sesungguhnya pemimpin kamu itu adalah Allah dan Rasul dan orang-orang Mukmin yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan mereka rukuk pada Tuhan. Barangsiapa yang menjadikan Allah, Rasul dan orang Mukmin sebagai pemimpin itulah yang sebenarnya parti Allah. (Ketahuilah olehmu bahawasanya parti Allah pasti akan mendapat kemenangan.” (Al-Maidah: 55-56)

Di dalam ayat ini disebut 3 kategori pemimpin iaitu : Allah , Rasulullah Orang Mukmin, iaitu orang mukmin yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan yang rukuk kepada Allah, yang tunduk dan patuh pada Allah.

Mengapa Tuhan mengatakan Allah, Rasul dan juga orang mukmin itu sebagai pemimpin? Sebab Allah itu bukan dari jenis makhluk, Dia Zat yang Maha Suci, yang Maha Suci daripada menyerupai segala jenis makhluk-Nya. Di antara makhluk yang utama ialah manusia yang Allah ciptakan untuk menjadi hamba dan khalifah-Nya di muka bumi. Manakala makhluk yang lain itu Tuhan ciptakan untuk menjadi alat dan menyokong tugas khalifah, bukan untuk Allah. Allah tidak memerlukan apa-apa dari ciptaan-Nya.

Oleh kerana Allah adalah pemimpin yang bukan jenis manusia, maka segala arahannya diberikan melalui perantaraan manusia iaitu Rasulullah. Maha Suci Tuhan daripada melakukan perbuatan seperti manusia. Tuhan menyuruh manusia bersolat, Maha Suci Tuhan daripada bersolat, atau melakonkan solat sampai orang faham. Segala perintah, suruhan dan larangan Tuhan tentu Tuhan tidak akan lakonkan perintah itu untuk mengajar manusia.

Sebab itu Allah melantik pemimpin yang mewakili Dia dari jenis manusia juga. Mereka itulah para rasul. Jadi Allah memberi perintah dan larangan atas dasar ilmu, lalu Rasul yang melakukan dan mencontohkan arahan dan perintah Tuhan itu, dan pengikut-pengikutnya hanya bersandar pada apa yang dicontohkan oleh Rasul. Kalau bukan Rasul yang melakukan dan mencontohkan arahan dan perintah Tuhan itu, orang lain tidak tahu bagaimana hendak melakukan perintah suruhan dan larangan itu.

Kerana itu penting adanya Rasul sebagai penghubung manusia dengan Tuhan. Itulah hikmahnya Tuhan lantik Rasul untuk melakukan dan mencontohkan arahan, perintah dan larangan Tuhan. Tanpa contoh dan teladan dan Rasul kita tidak dapat melakukan perintah-perintah dan larangan-larangan Tuhan yang diberikannya melalui wahyu. Kita tidak dapat memisahkan Tuhan dan Rasul.

Sebab itu bila hendak masuk Islam mesti membaca dua kalimah syahadat sekali. Perlu menerima Allah sebagai Tuhan dan Muhammad sebagai Rasulullah. Pemimpin manusia yang sebenar adalah Allah, tetapi Dia bukan sejenis dengan makhluk. Supaya manusia faham semua arahan dan larangan Tuhan, dia memerlukan contoh yang dapat dilakukan oleh pemimpin yang berjenis manusia juga. Kalau tidak ada Rasulullah, manusia tidak tahu dan tidak faham bagaimana hendak melaksanakan seluruh perintah dan larangan Tuhan.

Sebab itu dalam syahadat digabungkan kesaksian terhadap Allah sebagai Tuhan dan Muhammad sebagai Rasulullah. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya Rasulullah bagi kehidupan manusia. Dalam ayat tadi disebut bahawa pemimpin itu bukan Rasulullah saja, tetapi setelah Rasulullah, disebut juga orang mukmin yang mendirikan solat.

Di sini disebut pemimpin yang `mendirikan` solat bukan yang sekadar `mengerjakan` solat, tapi pemimpin yang dapat menghayati dan menjiwai solat. Seorang pemimpin itu dia bersolat di mana-mana saja. Di dalam bilik, di pasar, di masjid, di pejabat, di tempat bekerja, di kampung dan di bandar dia solat.
Ertinya, seluruh tindak-tanduknya di mana saja dia berada melambangkan ikrarnya di dalam solat. Itulah yang dimaksudkan dengan bersolat di mana-mana .

Sebab itu dikatakan aqimussolah, ertinya dirikan solat, bukan dikatakan orang yang bersolat. Jadi dan ayat ini jelaslah bahawa selepas Rasul, ada manusia yang menjadi pemimpin yang bukan Rasul, tetapi menjadi bayangan Rasul. Tauhidnya, rasa bertuhannya, ibadahnya, akhlaknya dan seluruh aspek kehidupannya benar-benar mencontohi Rasulullah. Dia solat di mana-mana, ertinya seluruh tindakannya menggambarkan ajaran solat. Manusia seperti ini yang mesti dijadikan pemimpin oleh umat Islam. Siapa yang menjadikan Allah, Rasul dan orang mukmin bayangan Rasul sebagai pemimpin maka dia berada dalam parti Allah. Walau tidak disebut sebagai parti Islam, tetapi kalau ciri-ciri ini ada dalam parti atau organisasi tersebut, automatik dia jadi parti Islam. Tetapi jika disebut sebagai parti Islam atau parti Allah tanpa ada ciri-ciri itu, ertinya parti atau organisasi itu bukanlah parti Allah, bahkan mereka sudah mempersenda dan mempermainkan Tuhan.

Hakikat Syahadah
Syahadah itu intipati dari Islam. Bila manusia sudah bersaksi bahawa Allah sebagai Tuhan, ertinya bukan mengaku begitu saja, tetapi mengakui seluruh sifat kesempurnaan Tuhan. Bukan saja mengaku, tetapi mesti faham dan yakin setidak-tidaknya 20 sifat yang wajib bagi Allah. Kalau begitu barulah dia akan menyembah dan beribadah kepada Tuhan kerana dia tahu dan faham bahawa Tuhan itu memang layak untuk disembah.

Macamlah kita kenal seorang raja yang ada kuasa, kita hormat kepadanya kerana kita tahu dan faham bahawa dia patut dihormati. Tetapi kalau kita hanya mendengar orang berkata bahawa dia itu raja, tapi kita tidak kenal betul dengan raja itu, tentu susah bagi kita untuk hormat dan mengabdikan diri kepadanya. Sebaliknya kalau kita kenal dia itu raja, ketika kita berhadapan dengan dia terasa kita sedang berhadapan dengan raja. Secara automatik hati kita terasa lain.

Begitulah kalau kita faham bahawa Dia layak sebagai Tuhan, maka akan terasa kebesaran-Nya. Tanpa kefahaman tentang Tuhan, hati kita tidak akan terasa apa-apa. Beribadah atau tidak beribadah, menyembah atau tidak menyembah Tuhan, hati rasa sama saja. Patutnya bila manusia faham, sebagai hamba dia akan terasa satu perasaan luar biasa yang tidak dapat dicerita. Kalau kita mengakui bahawa Allah adalah Tuhan kita yang Maha Agung dan Maha Besar, tentu kita akan terasa Dia patut disembah dan kita patut beribadah kepadaNya. Bukan untuk Dia, tetapi untuk kebaikan kita dan manusia lainnya. Untuk menyembah dan beribadah kepada Tuhan, Tuhan mengirimkan syariatnya melalui Rasul-Nya. Kalau kita sudah mengaku bahawa Allah Tuhan kita dan Muhammad Rasul kita, ertinya kita sanggup bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebab itulah pentingnya faham.

Setelah kita faham, baru kita akan dapat menghayati. Kalau kita dapat menghayati ibadah dan penyembahan kita, baru hati merasa lazat dan sedap mengikut perintah Tuhan. Sebab hati sudah terasa patut sangat kita menyembah dan beribadah kepada Tuhan. Sesama manusia pula kita dapat berbuat baik kerana manusia juga banyak jasa dan kebaikan kepada kita, apalagi kepada Tuhan yang memberi segala-galanya kepada kita.

Katalah ibu ayah kita menyuruh kita mengaji dengan seorang ustaz, maka kita pun mengaji supaya pandai. Kita faham, itulah arahan ibu dan ayah kita, tetapi akan ada berbagai perasaan di hati. Kalau ustaz itu betul-betul ada wibawa, ada ilmu dan berakhlak, maka hati kita akan berkata patut ayah menyuruh aku belajar dengan dia,sebab dia nampak luar biasa. Tetapi kalau ibu ayah menyuruh kita mengaji dengan seseorang yang sedang belajar mengaji pula, maka hati kita terasa tidak dapat terima. Bagaimana aku mengaji dengan orang yang bacaan Qurannya masih lemah dan belum lancar?

Sebab itu penting kenal Tuhan dulu, kalau sekadar percaya Tuhan tetapi tidak kenal bahawa Dia memberi kita rezeki, memberi oksigen, memberi berbagai nikmat, Dia Maha Kuasa, Maha Besar, Maha Agung, Maha Bijaksana, maka kita beribadah akan rasa terpaksa atau sekadar melakukan kewajipan saja. Hasilnya perangai dan akhlak tidak berubah. Tidak mendorong untuk berbuat baik bagi masyarakat. Ibadah itu tidak dapat menjadi benteng baginya daripada berbagai maksiat lahir dan batin, tidak menjadi pendorong baginya untuk menjadi orang soleh, pemurah, pemaaf, berkasih sayang, untuk takut dan cintakan Tuhan. Tetapi bila kita kenal, cinta dan takut kepada-Nya barulah hati terasa lazat dan bahagia untuk menyembah dan beribadah kepada-Nya.

Dua kalimah syahadah itu intipati dari Islam. Apabila seseorang itu sudah mengucapkannya ertinya dia sudah mempelajari, memahami dan menghayati segala ilmu mengenai Tuhan. Kalau tidak menghayati Tuhan, tidak menghayati dua kalimah syahadat, tidak ada erti ibadah walau dia mengerjakan solat sunat 100 rakaat setiap malam. Sebab solatnya itu bukan dilakukan untuk mencari cinta Tuhan tetapi kerana inginkan Syurga atau takutkan Neraka.

Sebenarnya ini bukan satu kesalahan, tetapi tarafnya rendah. Dia tidak akan nampak dan terasa kebesaran dan kekuasaan Allah, sehingga perangainya tidak berubah. Walaupun pada dasarnya tidak salah, tetapi dia dapat membawa kepada kesalahan, misalnya rasa selamat, rasa sudah beribadah, rasa din baik, tidak pemurah, pemaaf, tidak berkasih sayang dan sebagainya. Padahal sifat-sifat baik tadi disuruh.

Ada satu maksud Hadis yang mengatakan jangan kita berjalan di kawasan larangan, berjalan di tepi-tepinya tidak salah. Walau tidak salah tapi tidak disarankan mendekati jalan itu sebab bahaya, takut-takut termasuk ke kawasan larangan. Kerana itu walau tidak salah beribadah kerana fadhilat, kerana inginkan Syurga atau kerana takutkan Neraka, tetapi hal ini boleh membawa kepada maksiat lahir dan batin juga. Sebab itu Hadis ada berkata, cukup dua rakaat solat sunat tapi sangat berkesan pada peribadi.
Dalam Hadis lain disebut bahawa orang fasik yang pemurah lebih dicintai Tuhan daripada abid yang bakhil. Sebab dalam keadaan fasik pun ibadahnya, solatnya berbuah. Tetapi abid yang banyak ibadah tadi, ibadahnya tidak berbuah. Bukan bererti orang fasik yang bakhil itu selamat, tetapi orang fasik yang pemurah itu kesalahannya masih ringan dibanding abid yang bakhil yang ibadahnya tidak berbuah.

Peringkat syahadah
1. Syahadah itu adalah apabila seseorang sudah sanggup naik saksi dan menerima ketuhanan dan kerasulan. Tetapi menerima setakat itu saja tidak cukup, dia mesti menerima bahawa pemimpinnya adalah Allah, Rasul dan orang mukmin.

2. Bila kita sudah berucap dan menerima kesaksian maka kita mesti hidup dengan cara hidup menurut Allah dan Rasul. Kita mesti berkata pada diri kita, “Aku adalah seorang yang perlu membela semua orang miskin. Siapa yang sudah bersaksi tiada Tuhan selain Allah, mestilah suka menolong orang miskin dan berbuat kebaikan bagi orang lain.”

Peringkat pertama adalah untuk memahami secara ilmu tentang Allah dan Rasul-Nya. Selepas itu, kita dididik untuk berakhlak terhadap sesama makhluk, termasuklah tukang kebun, buruh atau golongan masyarakat lain yang memerlukan pembelaan. Orang yang kita tidak kenal pun kita masukkan ke dalam tugas kita untuk membela mereka. Itulah di antara bukti kita sudah menerima Allah dan Rasul-Nya.

3. Bila diuji Allah, kadangkala membuatkan seseorang tidak senang dan bertanya-tanya dengan Allah, mengapa dia diuji sedemikian rupa. Sebenarnya hal ini sudah hampir menjadi syirik khafi (syirik tersembunyi). Tetapi bila dia mengucap balik maka insya-Allah dia selamat. Jadi syahadah itu seolah merupakan pembaharuan ikrar bahawa kita sebenarnya tidakmahu sombong, ego, bakhil, riyak, ujub, pemarah, bangga dan lain-lain.

Jadi syahadah itu dalam kehidupan sehari-hari ada 3 kategori:
a. Kalimah toyibah
b. Cara hidup yang suka menolong orang
c. Bila kita syahadah ertinya kita mengaku di hadapan Allah yang kita ini hamba yang hina dan lemah yang akan redha dengan ketentuan-Nya, maka kita tidak bangga dan sombong bila mendapat kejayaan atau dipuji orang, sebab kalau bangga sudah syirik khafi. Di akhir bahagian solat kita mengucapkan ikrar kembali di hadapan Allah kerana dalam kehidupan kita mungkin sudah ada perkara tauhid yang kita langgar. Itulah syahadah yang dihayati yang memberi kesan ke dalam kehidupan sehari-hari.

4. Bila kita sudah berucap mengakui Allah sebagai Tuhan dan Muhammad sebagai Rasul-Nya ertinya kita sudah berjanji untuk mengikuti Sunnah Rasulullah SAW. Sunnah ini ertinya mengikut perjalanan Rasulullah. Rasul itu apa sunnahnya? Rasul itu dia mencintai Allah, takut dan mengabdikan din pada Allah, maka lahirlah side effect yang luar biasa. Contohnya bila Rasulullah SAW melihat orang susah maka dia akan membantu. Mendengar orang miskin, dia selalu ingin menolong. Mendengar tetangga kelaparan dia tidak tunggu diminta, terus akan memberi bahkan beliau sanggup berhutang kerana ingin membantu orang susah. Bila mendengar orang buat jahat kepadanya, dia akan balas dengan berbuat baik. Itulah sunnah Rasulullah yang beliau sebut barangsiapa yang menegakkan sunnah Rasul di kala rosaknya umat Rasul, maka pahala baginya 100 kali syahid.

Tetapi kita masih jauh dan itu. Jangankan untuk berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita, bahkan untuk berbuat baik dengan orang yang buat baik pada kita pun sangat berat. Padahal itu sunnah Rasul. Salah satu sunnah Rasul juga ialah beliau tidak akan makan selagi tidak ada orang lain yang makan bersamanya, walaupun ketika itu beliau sangat lapar. Kalau beliau pergi ke pasar, beliau akan belikan untuk orang lain juga atau kalau beliau pergi ke warung makan beliau akan bayarkan untuk orang lain juga. Rasulullah itu, orang yang bersalah padanya walau tidak meminta maaf padanya, Rasulullah sudah maafkan, apalagi kalau orang itu meminta maaf. Itulah sunnah yang sudah menjadi budaya hidup. Kalau itu belum kita buat lagi, apa yang dimaksudkan dengan Islam sebagai cara hidup? Kalau terbatas hanya di masjid saja, itu bukan sebagai cara hidup.

Apa makna memberi salam kepada sekalian makhluk di sebelah kanan dan sebelah kiri di akhir solat kita? Itulah intipati solat. Ertinya setelah solat, kita akan mengusahakan keselamatan bagi seluruh makhluk di alam ini. Sebenarnya solat dan ibadah kita tidak memberi kesan apa-apa kepada Allah. Walaupun seluruh manusia di muka bumi menyembah Allah, kesempurnaan Allah tidak akan bertambah kerana Allah itu memang sudah sedia sempurna. Demikian juga, walaupun seluruh manusia di muka bumi ini tidak mahu beribadah kepada Allah, kesempurnaan dan darjat Allah tidak akan berkurang. Maksudnya kita menyembah Allah itu bukan untuk memberi manfaat kepada Allah, tetapi untuk mencari keredhaan-Nya. Kesannya adalah kita akan mengusahakan dan memberi keselamatan kepada seluruh manusia dan makhluk yang ada di alam Kalau semua orang berbuat seperti ini maka akan lahirlah masyarakat yang aman, damai, harmoni, makmur dan mendapat keampunan Tuhan.

Sekian.

Sumber: http://www.kawansejati.org/node/15030

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s