Aqidah Sifat 20 Allah: 1. QIDAM

Matan

QIDAM ertinya sedia. Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan ada permulaan wujud Tuhan kerana Tuhan yang menjadikan tiap-tiap suatu yang ada, yang demikian itu tak dapat tidak keadaannya lebih dahulu daripada tiap-tiap sesuatu itu, kiranya Tuhan tidak lebih dahulu daripada tiap-tiap suatu, nescaya boleh ada sesuatu lebih dahulu daripada yang mengadakan. Yang demikian itu batal.Apabila disebut Tuhan bersifat dengan Qidam, jadilah ia Qadim. Misalnya seperti Zaid, apabila dikatakan ia bersifat dengan anjur, nescaya disebutlah dia itu penganjur.Di dalam ilmu tauhid ini ada satu perkataan yang sama maknanya dengan Qadim iaitu azali. Setengah-setengah ulama mengatakan: kedua-dua perkataan itu sama maknanya, iaitu sesuatu yang tiada permulaan baginya. Dan setengah-setengah ulama yang lain pula mengatakan: antara kedua perkataan (Qadim dan azali) pada perkara yang ada (maujud) seperti zat ALLAH dan qudrat-Nya azali dan pada perkara yang tiada (ghairi maujud) seperti yang menyerupai ALLAH itu azali. Maka Qadim itu khas dan azali itu am. Tiap-tiap Qadim azali tiada boleh akas yakni tiap-tiap azali tiada boleh disebut Qadim.Adalah Qadim dengan nisbah kepada nama terbahagi kepada empat bahagian:

  1. Qadim sifati – (tidak ada permulaan sifat ALLAH taala)
  2. Qadim zati – (tidak ada permulaan zat ALLAH taala)
  3. Qadim idhafi – (terdahulu sesuatu atas sesuatu seperti terdahulu bapa atas nisbah kepada anak)
  4. Qadim zamani – (lalu masa atas sesuatu Sekurang-kurang setahun)

Maka Qadim hakiki (Qadim sifati dan Qadim zati) tiada harus dikatakan lain daripada ALLAH taala.

Pengertian Al Qidam

AL QIDAM adalah perkataan Arab yang bermaksud “sedia”. Tetapi. “sedia” yang kita maksudkan kepada ALLAH SWT tidaklah sama dengan istilah “sedia” yang kita pakai pada benda-benda.

Dalam kehidupan sehari-hari, kita bertemu dengan benda-benda yang sedia ada, tetapi sedia adanya itu kerana ada yang menyediakannya. Bagi nasi yang sedia terhidang misalnya, ia bersifat sedia yang disediakan; ada orang yang menyediakannya.

Sifat sedia pada zat ALLAH SWT tidak demikian gambarannya; ia tidak boleh kita samakan dengan sifat sedia yang berlaku pada makhluk. Kalau kita samakan kedua-duanya, kita telah melakukan satu kesalahan yang paling besar. Kita telah menyamakan zat ALLAH SWT dengan benda-benda. Ini syirik hukumnya.

Dosa syirik adalah dosa yang tidak diampunkan oleh ALLAH SWT, sepertimana firman-Nya di dalam Al Quran:

Terjemahannya: Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan Dia mengampuni selain dosa syirik itu bagi sesiapa yang dikehendaki- Nya. Barang siapa yang mempersekutukan ALLAH (menyamakan ALLAH dengan sesuatu), maka sesungguhnya ia telah membuat satu dosa yang besar. (An Nisa’: 48)

Jadi, jangan sekali-kali kita menyamakan sifat sedia pada ALLAH SWT itu dengan sifat sedia yang berlaku pada makhluk atau pada segala yang baharu iaitu manusia, benda-benda, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan sebagainya.
Sifat sedia yang berlaku pada yang baharu adalah sedia yang disediakan. Ada yang menyediakannya. Dalam ertikata yang lain, sifat sedia pada makhluk ada permulaannya, dan ada pula kesudahannya. Misalnya, nasi disediakan oleh isteri, dan ia mungkin disediakan pada pukul 12 tengah hari, atau pada pagi hari, atau boleh jadi waktu malam. Ertinya, dalam contoh sedia ini, ia ada bermula. Pada mula-mulanya nasi itu tidak ada, dan kemudian baharu ada.

Tetapi dalam memperkatakan sifat sedia atau sifat Al Qidam pada zat ALLAH SWT, kita hendaklah menolak atau menafikan adanya permulaan.

Takrif Al Qidam

Jadi, takrif Al Qidam atau sifat sedia bagi ALLAH SWT ialah dengan menafikan adanya permulaan. Ertinya, kalau ada orang mengatakan bahawa ALLAH SWT itu pada mulanya tiada dan kemudiannya baharu ada, kita tidak akan menerimanya. Kerana ALLAH SWT itu, tidak ada siapa yang menjadikan.

Sebaliknya, setiap yang baharu atau makhluk mempunyai permulaan iaitu mula-mulanya tiada, kemudian baharu ada. Ini kerana makhluk atau segala yang baharu ini ada yang menjadikannya. Tetapi ALLAH SWT tidak ada siapa yang menjadikan-Nya, dan kerana itu ALLAH tidak ada permulaan. Wujudnya ALLAH SWT itu adalah sedia ada tetapi tidak ada permulaan.

Mengapakah dikatakan bahawa ALLAH itu wujud tetapi tanpa permulaan?

Sebabnya ialah, alam dan semua makhluk atau segala yang baharu ini, semuanya ALLAH yang menjadikan. Kerana itu, tentulah ALLAH ,sudah ada lebih dahulu daripada semua makhluk ini. Bermakna ALLAH SWT sudah sedia ada sebelum adanya makhluk dan segala yang baharu ini.

Jadi, kalau dikatakan bahawa ALLAH itu ada permulaan, tentu ALLAH itu bukan Tuhan lagi kerana ini bermakna ALLAH SWT ada yang menjadikan. Sedangkan ALLAH tidak ada yang menjadikan. Sebaliknya semua makhluk dan segala yang baharu ini dijadikan oleh ALLAH SWT. Bagaimana pula ALLAH SWT itu ada yang menjadikan? Dengan sendirinya akan terbatal pengertian bahawa ALLAH SWT itu ada permulaan.

Jadi, nyatalah bahawa ALLAH itu tidak didahului oleh tiada. Amat mustahil bagi ALLAH SWT itu pada mula-mulanya tidak ada dan kemudiannya baharu ada. Sebabnya, ALLAH SWT itu tidak dijadikan oleh sesiapa. Kerana itu sifat sedia bagi ALLAH SWT itu ialah sedia yang tidak ada permulaan. Tidak sepertimana sifat sedia yang berlaku pada benda-benda.

Dan dengan itu, wajiblah kita meyakini dengan sungguh-sungguh tanpa dicelah oleh sebarang syak, zan atau waham bahawa wujudnya ALLAH SWT itu tidak didahului oleh tiada. Orang yang menaruh syak, zan atau waham di dalam keyakinannya, telah jatuh syirik. Dan sekiranya dia mati dalam keadaan demikian, kekallah dia di dalam Neraka selama-lamanya.

Gelincir Aqidah

Amat perlu sekali kita ingat di sini bahawa seseorang yang telah syirik atau kufur belum lagi kembali kepada Islam walaupun dia telah mengucapkan dua kalimah syahadat. Orang yang murtad atau jatuh syirik, sudah tergelincir aqidahnya walaupun dia boleh mengucap dua kalimah syahadat. Oleh itu kita tidak boleh dengan mudah mengatakan, “Kalau sudah jatuh syirik atau murtad, mengucap sajalah, tentu akan beriman kembali.”

Di sinilah terkelirunya sesetengah orang.

Aqidah seseorang itu tergelincir disebabkan dia menaruh syak atau ragu terhadap sifat-sifat ALLAH SWT, sama ada terhadap sifat Wujud-Nya, sifat Qidam-Nya, atau sifat-sifat yang lain.

Aqidah ialah tauhid kita kepada ALLAH SWT. Seseorang yang sudah mengucapkan dua kalimah syahadat belum tentu mempunyai rasa bertauhid kepada ALLAH SWT.

Sebab itu, seseorang yang telah syirik mesti membetulkan aqidahnya; dia mesti bertauhid dahulu kepada ALLAH SWT dengan meyakini segala sifat yang wajib, yang mustahil dan yang harus bagi ALLAH SWT. Dan kemudian baharulah dia mengucap dua kalimah syahadat. Dengan itu, baharulah dia kembali beriman kerana ucapan dua kalimah syahadat itu selari dengan aqidahnya.

Ucap Dua Kalimah Syahadat

Mengucapkan dua kalimah syahadat bukan sahaja mengakui hanya ALLAH sebagai Tuhan yang disembah tetapi mengakui juga bahawa Tuhan itu Maha Esa, bersifat Qidam Baqa’, tidak ada yang serupa dengan-Nya, Maha Berkuasa, dan lain-lainnya.

Mengucapkan dua kalimah syahadat juga bererti kita mengakui bahawa ALLAH sahaja yang dibesarkan, ALLAH saja tempat kita bertawakal, ALLAH saja tempat kita meletakkan kasih sayang, ALLAH saja yang layak kita takuti, hukum-hakam ALLAH saja yang menjadi hukum-hakam hidup kita, dan seterusnya.

Kalau untuk beriman kepada ALLAH itu cukup dengan sekadar mengucapkan dua kalimah syahadat, tentulah orang-orang kafir pun boleh berbuat demikian.
Apakah boleh kita katakan yang mereka itu telah beriman dan bertauhid kepada ALLAH SWT? Jawabnya, tidak! Sebabnya, keyakinan mereka terhadap ALLAH tidak ada. Kalau mereka mati, mereka tetap di dalam kekafiran.

Oleh itu janganlah kita terkeliru dalam perkara ini.

Takrif Iman

Kita katakan tadi bahawa iman itu selari dengan aqidah kerana takrif iman itu sendiri ialah:

Terjemahannya: Iman ialah apa yang tersemat di hati, dibenarkan (diucapkan) pula oleh lidah, dan dilahirkan dalam tindakan.

Ertinya, iman itu bukan sekadar mengucapkan dua kalimah syahadat dengan lidah sahaja tetapi mestilah dibenarkan oleh hati yang merupakan wadah keyakinan. Hatilah tapak bagi menanam iman. Selain itu, apa yang diucapkan oleh lidah dan diyakini oleh hati itu mesti melahirkan tindakan dan usaha ikhtiar yang selaras dengannya.

Iman Orang Soleh

Jadi, pengesahan iman kepada ALLAH SWT bergantung kepada tiga perkara: ucapan lidah, dibenarkan oleh hati dan lahir tindakannya.

Ertinya, kalau iman seseorang itu menunjukkan gabungan ketiga-tiga perkara tersebut, dia di dalam golongan orang yang imannya selamat. Dia akan terselamat daripada kemungkaran dan kederhakaan yang membawa juga kepada keselamatan di Akhirat daripada api Neraka ALLAH. Orang yang dapat menggabungkan ketiga-tiga perkara ini ialah orang yang sebenar-benarnya beriman sepertimana yang digambarkan oleh ALLAH SWT di dalam fir-man-Nya:

Terjemahannya: Sesungguhnya jawapan orangorang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul menghukum di antara mereka adalah ucapan, “Kami dengar dan kami taat”. (An Nur: 51)

Demikianlah gambaran orang yang beriman yang perbuatan dan usaha ikhtiarnya selari dengan apa yang diucap oleh lidah dan yang dibenarkan oleh hatinya. Inilah yang dinamakan iman orang soleh.

Iman Mukmin Asi

Sekiranya ucapan kalimah syahadat dengan lidah itu hanya dibenarkan oleh hati tetapi tidak melahirkan tindakan, dalam ertikata dia tidak melaksanakan kehendak-kehendak ucapan itu, orang itu dinamakan mukmin asi atau mukmin yang derhaka kepada ALLAH SWT.

Mukmin asi masih melanggar perintah-perintah ALLAH; masih ingkar dan mungkar kepada hukum-hakam ALLAH. Misalnya, lidahnya tetap mengucapkan tidak ada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH serta Nabi Muhammad itu sebenarnya Pesuruh ALLAH, dan hatinya juga percaya tentang apa yang diucapkan oleh lidah itu, tetapi dia cuai melaksanakan hukum-hakam Tuhan sama ada yang berbentuk wajib mahupun sunat, dan dia masih melanggar larangan ALLAH sama ada yang berbentuk haram ataupun makruh.

Umpamanya, dia terlibat dengan pergaulan bebas, mendedah aurat, makan riba (sama ada memberi orang riba atau dia sendiri menerima riba), dan sebagainya.

Orang yang digelar mukmin asi ini yakin kepada ALLAH SWT tetapi tidak mampu melawan hawa nafsunya.
Dia tunduk kepada kehendak nafsunya yang jahat itu. Dia lalai terhadap peringatan ALLAH tentang jahatnya nafsu dan syaitan seperti firman-Nya:

Terjemahannya: Sesungguhnya nafsu itu amat mengajak berbuat jahat. (Yusof: 53)

Dan firman ALLAH lagi:

Terjemahannya: Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang amat nyata. (Al Baqarah: 208)

Iman Orang Munafiq

Kemudian, ada juga segolongan orang yang betul pada ucapan lidahnya serta dapat pula melahirkan kehendak-kehendak ucapan lidahnya itu, tetapi hatinya tidak yakin. Di dalam hatinya tersembunyi kekufuran. Aqidahnya tidak betul walaupun dia melahirkan suasana Islam dan berkata-kata mengikut suasana Islam. Orang itu dinamakan orang munafiq.
Di dalam kitab, orang munafiq dikatakan:

Terjemahannya: Melahirkan suasana Islam tetapi menyembunyikan kekufuran.

Orang munafiq boleh diibaratkan sebagai orang yang perbuatannya tidak selaras dengan apa yang tersembunyi di dalam hatinya. Dia boleh bersembahyang, berpuasa, berjuang dan berjihad, dan sebagainya tetapi aqidahnya kepada ALLAH tidak tepat. Orang ini tetap kufur, dan kalau mati akan kekal abadi selama-lamanya di dalam Neraka. (Wal’iyazubillah)

Sifat Orang Kafir

Selain itu, kalau seseorang itu tidak mengucapkan dengan lidah, hatinya pula tidak yakin, dan tindak-tanduk serta usaha ikhtiarnya juga tidak tepat, dia hakikatnya kafir.

Perbahasan Qidam dan Qadim

Berbalik kepada perbahasan mengenai sifat Al Qidam, kitab Risalah Tauhid menyebut bahawa oleh kerana ALLAH SWT itu bersifat Qidam, maka jadilah Dia Qadim.

Sebenarnya, penghuraian kepada maksud istilah ini tidak begitu mustahak untuk pengajian kita, tetapi kita akan perjelaskan juga serba sedikit sekadar untuk menambah lagi ilmu pengetahuan kita. Namun, kalau huraian dan perbahasannya tidak dapat difahami, itu tidak menjadi satu kesalahan. Cuma, kalau boleh faham, itu lebih baik kerana ia boleh mengemaskan lagi ilmu pengetahuan kita.

Huraian mengenai Qidam dan Qadim ini adalah dari segi nahunya sahaja.

Kalau umpamanya seseorang itu bersifat anjur, dia dipanggil penganjur. Atau kalau seseorang itu bersifat kuasa, dia dipanggil orang yang berkuasa. Kerana itu, ALLAH yang bersifat Qidam itu dikatakan Qadim.

Jadi, kalau Qidam itu ertinya “sedia”, maka Qadam pula bermaksud “sedia ada” atau “bersedia”.

Pengertian “sedia” pada ALLAH SWT itu mestilah diertikan sebagai menafikan adanya permulaan. Begitulah juga dengan “sedia ada” atau “bersedia” bagi ALLAH SWT.

Kita percaya, perbahasan yang kita bawa ini tidak cukup untuk memberikan kefahaman yang lebih tetapi kerana telah kita katakan tadi bahawa sekiranya dengan huraian ini para pembaca masih belum dapat mengikutinya, itu tidaklah mengapa. Pokoknya, kita tetap yakin bahawa ALLAH SWT itu bersifat Qidam yang tidak ada permulaan kerana ALLAH SWT itu tidak ada siapa yang menjadikan. .

Qadim dan Azali

Di dalam matan Risalah Tauhid yang menjadi kitab rujukan kita, ada dinyatakan tentang qadim dan azali. Dari segi maksud, kehendak kedua-dua perkataan qadim dan azali itu sama saja. Cuma dalam kehidupan sehari-hari, orang jarang menggunakan istilah qadim. Orang lebih lazim menggunakan istilah azali. Misalnya, kita biasa mendengar kata-kata begini: “Memang sudah ditaqdirkan oleh Allah saya akan jadi begini sejak azali lagi…”

Jarang sekali kita mendengar orang berkata, “Memang sudah ditaqdirkan ALLAH saya akan jadi begini sejak qadim lagi…” Begitu juga, kita lebih lazim, mendengar orang berkata, “Nasib dia tu memang sudah tersurat sejak azali lagi…”

Kita tidak akan mendengar orang berkata, “Nasib dia tu memang sudah tersurat sejak qadim lagi…”

Sebenarnya kedua-dua perkataan itu sama maksudnya. Cuma azali lebih kerap digunakan manakala qadim jarang-jarang digunakan.

Pandangan Ulama Sekarang

Namun, dalam pada itu, bagi ulama zaman dahulu yang begitu teliti dalam setiap penilaian, qadim dan azali ada sedikit perbezaannya. Memang sikap ulama-ulama zaman dahulu, mereka akan menghurai apa saja dengan begitu terperinci sekali sama ada perkara itu perkara wajib atau sunat ataupun harus. Oleh kerana ilmu mereka begitu banyak dan mendalam dalam semua bidang, mereka mampu membahaskan perkara yang sebesar-besarnya hinggalah kepada perkara yang sekecil-kecilnya. Mereka tidak pernah menganggap perkara yang besar itu sebagai yang lebih utama dan perkara yang kecil-kecil itu remeh-temeh.

Tidak seperti kita pada zaman ini, asal perkara itu dalam kategori sunat, ia sudah kita anggap remeh-temeh. Apalagilah kalau perkara itu dalam kategori harus; seandainya kita persoalkan, orang akan menganggapnya layak untuk bakul sampah saja. Orang hari ini mahu perkatakan yang besar-besar saja.

Oleh itu, pihak musuh terutamanya orang Yahudi dan nasrani serta konco-konconya meniti di atas sikap itu. Mereka akan perbesarkan keburukan umat Islam yang hendak memperkatakan hal-hal wajib, sunat dan harus. Sebab itulah, bila timbul fasal menutup aurat, fasal jubah serban, fasal makanan halal dan haram, fasal wanita keluar rumah, dan sebagainya, mereka akan tentang habis-habisan.

Tetapi ulama-ulama zaman dahulu bersikap yang setiap perkara dalam Islam itu sama nilainya. Sebab itu mereka mengkaji setiap aspek dan setiap sudut yang ada di dalam Islam itu. Mereka tidak mengkhususkan pengajian mereka dalam satu-satu bidang saja seperti dalam bidang tauhid saja atau feqah sahaja atau tasawuf saja, dan sebagainya.

Berbeza halnya dengan ulama-ulama pada hari ini. Mereka mencari ilmu setinggi-tingginya sehingga mendapat ijazah B.A., M.A. dan Ph.D, tetapi bidang pengetahuan mereka adalah khusus. Setengah-setengahnya boleh jadi pakar dalam bidang syariat atau perundangan Islam saja. Dan dalam bidang syariat itu pula, boleh jadi dia pakar dalam soal zakat saja.

Setengah-setengah ulama pula mungkin pakar dalam bidang tauhid sahaja, manakala sesetengah yang lain pakar dalam bidang hafiz Al Quran saja. Dan begitulah seterusnya. Masing-masing hanya pakar dalam bidang tertentu hinggakan mereka mampu membuat kertas kerja demi kertas kerja dalam bidang masing-masing.
Tetapi apabila ditanya tentang bidang-bidang yang lain dalam agama, dia tidak tahu.

Tidaklah mengapa kalau dia mengaku yang dia tidak tahu. Tetapi, oleh kerana dia sudah belajar tinggi-tinggi, apabila orang merujuk kepadanya satu-satu perkara yang bukan bidangnya, dia akan mengeluarkan pendapatnya. Dia akan berkata, “Pendapat saya…”, “Pendapat saya…” dan sebagainya. Sedangkan dalam ajaran Islam, semuanya mesti berlandaskan Al Quran dan Hadis.

Inilah pencemaran ilmu agama Islam akibat kita terbawa-bawa dengan sistem pengajian orang lain di dalam pengajian kita. Sistem pengajian ilmu yang ada di dunia hari ini memang mengkhususkan pengajian sejak awal-awal lagi hingga menjadikan manusia ini robot yang hanya berfikir satu hala saja. Dan kita pula menggunakan cara yang sama di dalam pengajian Islam kita.

Akibatnya, seseorang ulama itu tidak lagi boleh membahaskan banyak perkara di dalam agama, lebih-lebih lagi perkara yang halus-halus. Dan kalau ada pula orang yang mampu menghuraikan perkara-perkara yang begitu banyak di dalam agama, mereka akan menentangnya.

Sikap Ulama Tradisi

Sedangkan ulama-ulama zaman dahulu banyak yang pakar dalam pelbagai bidang. Imam Ghazali rahimahumullahutaala misalnya, adalah pakar dalam semua bidang termasuk bidang feqah, tauhid, tasawuf, tafsir Hadis dan Al Quran, kedoktoran, falsafah, dan apa saja.

Malangnya, umat Islam hari ini tidak lagi kenal kepada Imam Ghazali, dan kalau kenal pun, mungkin kenal dari satu sudut sahaja. Oleh itu, dia akan mengatakan bahawa Imam Ghazali itu pakar dalam sudut yang dia tahu sahaja. Umpamanya kalau dia tahu tentang tasawuf, dia akan kata yang Imam Ghazali itu pakar tasawuf, atau kalau dia tahu feqah saja, dia akan kata yang Imam Ghazali itu pakar bidang feqah. Tentang kepakaran Imam Ghazali dalam sudut-sudut lain, dia tidak tahu.

Kalaulah ulama-ulama Islam hari ini mengkaji benar-benar akan ilmu yang ada pada Imam Ghazali, tentulah mereka tahu betapa beliau itu pakar dalam semua bidang termasuk politik, pendidikan, kedoktoran, persuratan, ilmu jiwa, dan lain-lainnya. Malah, Imam Ghazali juga pakar dalam bidang pidato dan juga seorang ahli hujah yang bijak.

Dan kalaulah umat Islam hari ini mempelajari ilmu agama tidak mengikut cara orang lain tetapi mengikut cara seperti ditunjukkan oleh Imam Ghazali hingga menjadi pakar dalam semua bidang agama, tentulah tidak akan berlaku perselisihan pendapat dalam satu-satu persoalan agama. Tentulah tidak timbul lagi hujah-hujah terhadap hukum-hakam agama sepertimana yang sering berlaku pada masa ini. Kalau ulama-ulama sudah bercanggah pendapat, apalagi halnya dengan orang ramai yang kurang mendalam pengetahuan mereka mengenai agama. Akan kelirulah mereka.

Tentu sekali orang akan mengatakan bahawa tidak mudah kita hendak mengkaji segala aspek yang ada dalam agama yang begitu luas bidangnya. Tetapi, kita boleh tanya pula, mengapakah ulama zaman dahulu mampu berbuat demikian?

Hal ini berkait rapat dengan persoalan jiwa terhadap agama. Keinginan untuk mendalami ilmu agama tercetus dari jiwa yang benar-benar cintakan agama ALLAH serta hendak memanfaatkan ilmunya demi untuk menyelamatkan orang ramai daripada jalan kesesatan. Sikap inilah yang ada pada jiwa ulama-ulama besar seperti Imam Abu Hassan Asyaari, Imam Abu Mansur Al Maturidi, Imam Fakhrurrazi, dan lain-lainnya.

Selain itu, ulama-ulama zaman dahulu begitu bersih dan soleh kerana sentiasa menjaga syariat sama ada yang lahir dan mahupun yang batin. Kerana itu mereka sentiasa dipimpin oleh ALLAH SWT hinggakan mudah bagi mereka untuk mempelajari satu-satu ilmu agama, walau sebanyak mana sekalipun.

Kehidupan kita hari ini tidak sepertimana mereka. Kita tidak dapat menjaga kesucian dan kebersihan jiwa kita. Kita tidak dapat menjaga syariat sama ada yang lahir mahupun yang batin. Kita masih bergelumang dengan perkaraperkara haram, perkara syubhat, serta perkara maksiat dan mungkar. Kita juga terlibat dengan makanan-makanan yang tidak sah di sisi Allah. Akibatnya, hati kita tidak terdorong untuk mempelajari satu-satu ilmu agama, apa lagi untuk menyampaikannya kepada orang ramai agar mereka terselamat daripada kesesatan.

Jadi, ulama-ulama zaman dahulu sentiasa hendak menghurai dengan terperinci satu-satu persoalan agama. Sebab itulah, walaupun pada kita qadim dan azali yang kita bahaskan ini memberikan pengertian yang sama, tetapi ada di antara ulama-ulama mengatakan bahawa qadim itu khas, manakala azali itu am.

Qadim

Qadim dikaitkan pada semua sifat ALLAH SWT yang maujud atau yang ada saja. Apakah yang dikatakan qadim pada yang ada saja? Contohnya seperti zat ALLAH SWT itu qadim, atau Baqa’ ALLAH SWT qadim, atau sifat Sama.’ ALLAH SWT itu qadim, atau sifat Qudrat ALLAH SWT itu qadim, dan seterusnya bagi sifat-sifat yang lain. Semuanya qadim yang tidak ada permulaan. Jadi, qadim ialah suatu yang tidak ada permulaan tetapi yang dikaitkan dengan yang maujud (ada) saja. Qadim tidak dikaitkan dengan yang ghairi maujud (tidak ada).

Azali

Azali pula ialah sesuatu yang am yang dikaitkan dengan yang maujud dan juga yang ghairi maujud. Segala yang maujud ataupun yang ada, telah kita terangkan pada perenggan sebelum ini. Iaitu semua sifat ALLAH SWT, sama ada sifat Baqa’, sifat Sama’, sifat Qudrat, sifat Iradat, dan lain-lainnya, adalah qadim.

Oleh itu, berkait dengan azali, kita juga boleh mengatakan bahawa zat ALLAH SWT ataupun sifat-sifat ALLAH SWT yang lain itu adalah azali. Yang demikian, kita boleh juga mengatakan bahawa zat ALLAH SWT itu qadim lag-i azali, atau sifat Qudrat ALLAH SWT itu qadim lagi azali, atau sifat Sama’ ALLAH itu qadim lagi azali, dan begitulah seterusnya bagi semua sifat yang lain.

Manakala azali yang kita kaitkan dengan perkara yang tidak ada adalah seperti kita mengatakan, “Tidak ada Tuhan yang lain pada azali yang bersifat sepertimana sifat ALLAH SWT.” Dengan kata lain, kita maksudkan bahawa memang pada azali lagi, tidak ada Tuhan yang lain yang bersifat Sama’, Basar, Qudrat, Iradat, dan lain-lainnya sepertimana sifat ALLAH SWT yang qadim itu.

Di sini jelas bahawa azali boleh meliputi kedua-duanya, sama ada yang maujud mahupun yang ghairi maujud. Sebab itulah dikatakan bahawa azali bersifat am, dan qadim bersifat khas. Oleh itu, tiap-tiap azali boleh kita katakan qadim, tetapi bukan tiap-tiap qadim boleh kita katakan azali

Perbandingan Guru dan Guru Besar

Sebagai perbandingan, perhatikan perkataan “guru” dan “guru besar”. Guru adalah am, manakala guru besar, khas. Ertinya, seorang guru besar boleh kita panggil guru kerana tiap-tiap guru besar itu mesti seorang guru. Tetapi seorang guru tidak boleh kita panggil guru besar kerana bukan tiap-tiap guru itu guru besar.

Sebagai contoh yang lain, kita ambil perkataan nabi dan rasul. Nabi itu am, manakala rasul itu khusus. Ertinya, seorang rasul boleh kita panggil nabi kerana tiap-tiap rasul adalah nabi. Tetapi seorang nabi tidak boleh kita panggil rasul kerana bukan tiap-tiap nabi itu rasul.

Keyakinan Yang Padu

Demikianlah perbahasan ulama-ulama zaman dahulu mengenai istilah qadim dan azali. Kalau pembaca masih tidak dapat memahaminya, janganlah diberat-beratkan sangat kerana mengkaji tauhid ini memangnya suatu perkara yang berat. Ini memandangkan bahawa ilmu tauhid adalah sesuatu yang pasti. Kalau kita dapat memahaminya, alhamdulillah, tetapi kalau masih belum dapat, tunggulah satu masa nanti, insya-ALLAH kita akan didorong oleh ALLAH supaya faham. Tetapi, apa yang penting untuk kita ingat dan ketahui serta yakini ialah bahawa ALLAH SWT itu bersifat Qidam atau sedia ada. Keyakinan kita ini tidak boleh dicelahi oleh sebarang syak atau zan ataupun waham. Ia mestilah satu keyakinan yang padu.

Dan perlu juga kita yakini bahawa sedia yang berlaku pada ALLAH SWT ialah sedia yang tidak ada permulaannya, kerana ALLAH itu, tidak ada siapa yang menjadikan. ALLAH SWT tidak didahului oleh tiada; iaitu tidaklah ALLAH SWT itu pada mula-mulanya tidak ada kemudian baharu ada. Buktinya, alam dan seluruh yang baharu itu, ALLAH yang menjadikannya; jadi tentulah ALLAH itu lebih dahulu ada daripada alam dan seluruh makhluk. Dan lebih dahulu adanya ALLAH SWT daripada seluruh makhluk, tidak ada siapa yang menjadikan. ALLAH tidak ada permulaan.

Pembahagian Sifat Qadim

Seterusnya, dalam kita memperkatakan sifat qadim ALLAH SWT ini, ia boleh kita bahagikan kepada empat pengertian iaitu:

  1. Qadim sifat;
  2. Qadim zati;
  3. Qadim idhafi; dan
  4. Qadim zamani.
  1. Qadim sifati kita ertikan sebagai sifat ALLAH SWT yang tidak ada permulaan. Seperti tidak ada permulaannya sifat Wujud ALLAH SWT, sifat Sama’ ALLAH SWT, sifat Basar ALLAH SWT, dan begitulah seterusnya dengan sifat-sifat ALLAH SWT yang lain; semuanya tidak ada permulaan.
  2. Qadim zati ialah qadim zat ALLAH SWT. Oleh kerana zat ALLAH SWT qadim, maka tentulah sifat-Nya juga qadim, kerana sifat berdiri di atas zat. Sifat tidak boleh berdiri dengan sendirinya tetapi memerlukan zat. Umpamanya, apabila kita ambil sebuah buku, yang dapat kita rasa ialah zat buku itu, manakala yang dapat kita lihat benda yang dikatakan buku itu; itulah sifat.
    Ertinya, zat dapat dirasa tetapi sifat ialah sesuatu yang bila dilihat memberikan nama kepada zat. Cuma zat dan sifat ALLAH SWT berbeza daripada zat dan sifat makhluk.
  3. Qadim idhafi. Maksud idhafi dalam bahasa kita ialah ‘tambahan’. Untuk menjelaskan pengertian qadim idhafi ini, bolehlah kita maksudkan begini: terdahulu sesuatu itu daripada sesuatu. Misalnya, terdahulu bapa daripada anak. Namun, walaupun bapa itu lebih dahulu daripada anak, bapa tetap ada permulaannya. Sedangkan ALLAH SWT tidak ada permulaan.
  4. Qadim zamani. Ini diertikan sebagai lalu masa di atas sesuatu, sekurang-kurangnya satu tahun. Kita ambil contoh tahun 1990; tahun yang sebelumnya 1989. Maka kita katakan tahun 1990 lebih dahulu dari tahun 1989. Jadi, 1989 itu dikatakan qadim juga tetapi qadimnya adalah lebih dahulu dari 1990. Namun, ia ada permulaan dan ada juga kesudahannya.

Sebagai peringatan, daripada keempat-empat qadim itu, qadim zati dan qadim sifati tidak boleh kita sandarkan kepada selain Allah. Kedua-duanya berupa qadim hakiki iaitu qadim sifat Allah dan qadim zat Allah SWT sahaja, tidak boleh kita sandarkan kepada makhluk.

Artikel ini adalah bagian dari buku Aqidah Mukmin Siri 1 yang berisi buah fikiran dan ilham dari Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi

Sumber: https://alieyfaizal.wordpress.com/2012/05/24/aqidah-mukmin-siri-1-abuya-ashaari-bin-muhammad-at-tamimi-bab-4-qidam/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s