Aqidah Sifat 20 Allah: 3. BAQA

MATAN

Yang ketiga – Al Baqa’ ertinya kekal, sentiasa ada, tiada akhir, maka hakikatnya ibarat daripada menafikan ada kesudahan bagi wujud ALLAH Taala.Adapun yang lain daripada Tuhan ada juga yang kekal tiada batas selamanya, tetapi bukan dinamakan kekal yang hakiki (yang sebenar) bahkan kekal aradhi (yang mendatang jua seperti Syurga, Neraka, Arasy, Kalam, Kursi dan roh). Maka perkara yang tersebut ini dikatakan kekal kerana mendatang tatkala bertakluk qudrat iradat ALLAH Taala pada mengekalkannya.Peringatan: Segala jisim semuanya binasa melainkan ajbuzzanab () iaitu tulang kecil seperti biji sawi duduknya di tungking manusia ia adalah benih anak Adam yang akan bangkit daripada kubur kelak), jisim sekelian nabi-nabi dan jisim orang yang mati perang sabilillah maka ketiga-tiga ini kekal juga tetapi kekalnya aradhi.Yang demikian nyatalah perkara yang diiktibarkan permulaan dan kesudahan itu terbahagi kepada tiga bahagian :

  1. Tiada permulaan dan tiada kesudahan ialah zat dan sifat ALLAH taala.
  2. Ada permulaan tetapi tiada kesudahan iaitu Syurga, Neraka dan sebagainya yang sepuluh perkara di atas itu.
  3. Ada permulaan dan ada kesudahan iaitu segala makhluk yang lain daripada sepuluh yang tersebut di atas itu.

BAQA

BAQA’ ertinya kekal, atau sentiasa ada, atau tiada akhir, atau tiada kesudahan. Dalam kata-kata yang lain, Baqa’ ialah kekal yang tidak diiringi oleh tiada. Jadi, ALLAH SWT itu bersifat kekal, dan tidak berlaku pada-Nya kesudahan. Atau tidak berlaku pada ALLAH SWT itu pada mulanya ada, kemudian tiada.

Oleh itu, hakikat makna Al Baqa’ yang sebenarnya adalah dengan menafikan berlakunya kesudahan pada wujudnya ALLAH SWT. Ertinya, kalau ada orang mengatakan bahawa pada satu masa nanti, ALLAH SWT itu akan tiada, kita akan tolak kata-katanya itu kerana Baqa’ pada ALLAH SWT itu tidak ada kesudahannya atau tidak ada akhirnya.

Hakikat inilah yang wajib kita percayai dan kita yakini sungguh-sungguh tanpa dicelah oleh salah satu daripada
tiga bentuk keraguan iaitu syak, zan, atau waham. Kalau ada salah satu daripadanya di dalam fikiran kita, maka aqidah kita telah rosak; iman kita telah cacat. Dan apabila aqidah atau iman kita telah rosak, seluruh amal ibadah kita, walau bagaimana cantik dan walau bagaimana banyak sekalipun, tidak bermakna kerana ia tidak ada nilai di sisi ALLAH SWT. ALLAH SWT tidak akan menerima ibadah daripada orang yang aqidahnya telah rosak.

Kerana itu, amat perlu sekali kita tanamkan ingatan bahawa ALLAH SWT hanya akan menerima amal ibadah kita atas dasar aqidah atau iman. Tauhid kita kepada ALLAH mestilah tepat seratus peratus. Sebab itulah di dalam Islam, persoalan tauhid dan iman menjadi persoalan terpokok dan yang paling utama. Di dalam kitab dikatakan:

Terjemahannya: Awal-awal agama adalah mengenal Allah.

Inilah yang menjadi asas di dalam agama Islam. Mula-mula sekali, kita mengenal ALLAH SWT; kemudian baharulah kita mengenal sembahyang, mengenal puasa, mengenal haji, dan lain-lain hukum-hakam di dalam Islam. Kalau kita tidak kenal ALLAH SWT, maka kalau kita kenal yang lain-lain itu seperti kita kenal sembahyang dan sebagainya, itu semua tidak memberi apa-apa makna kepada kita. Yang pentingnya ialah kenal ALLAH SWT lebih dahulu. Dan untuk mengenal ALLAH SWT, kita perlulah mempelajari serta memahami sifat-sifat yang wajib bagi-Nya; termasuklah sifat Baqa’ ini.

Mengapakah ALLAH SWT itu bersifat kekal yang tidak berkesudahan? Sebabnya ialah, ALLAH SWT itu tidak ada yang menjadikan. Dan oleh kerana ALLAH SWT itu tidak ada siapa yang menjadikan, tentulah tidak ada siapa yang akan memusnahkan-Nya atau membinasakan-Nya. Tetapi sekiranya ALLAH SWT itu ada yang menjadikan-Nya atau yang mencipta-Nya, tentulah yang mencipta itu akan memusnahkan-Nya.

Berlainan sekali dengan makhluk seperti kita ini dan seluruh yang baharu yang mana semuanya dijadikan oleh ALLAH SWT. Kerana ALLAH menjadikan kitalah maka Dia akan memusnahkan kita. Dan sebab itu pulalah kita ini tidak kekal.

Kekalnya ALLAH SWT adalah kekal yang hakiki atau kekal sejati, iaitu kekal yang sebenar-benarnya. Sebabnya demikian adalah kerana kekalnya ALLAH SWT itu bukan kekal yang dikekalkan. ALLAH SWT kekal dengan sendirinya, dan tidak ada siapa yang mengekalkan-Nya.

Kekal yang disebabkan oleh ada yang mengekalkannya bukan dinamakan kekal yang hakiki atau kekal yang sejati. Ia dinamakan kekal aradhi atau kekal yang mendatang kemudian. ALLAH SWT tidak bersifat kekal ‘aradhi.
Ada 10 perkara yang tergolong dalam kekal aradhi ini, dan berlakunya kekal aradhi kepada perkara-perkara itu adalah kerana ALLAH SWT hendak mengekalkannya.

Jadi perkara-perkara itu bukan kekal hakiki atau kekal dengan sendirinya tetapi kekal yang ada yang mengekalkannya. Yang mengekalkannya ialah ALLAH SWT. Perkara-perkara itu ialah:

  1. Syurga,
  2. Neraka,
  3. Luh Mahfuz,
  4. Arasy,
  5. Qalam,
  6. Kursi,
  7. Roh,
  8. Ajbuzzanab (tulang kecil sebesar biji sawi yang duduknya di tungking manusia; ia merupakan benih anak Adam ketika dibangkitkan dari kubur kelak),
  9. Jisim segala nabi, dan
  10. Jisim orang yang mati perang fiabilillah.

Inilah perkara-perkara yang akan kekal tetapi bukan kekal hakiki, sebaliknya kekal aradhi. Dan yang mengekalkannya adalah ALLAH SWT. Kalau taqdirnya ALLAH hendak membinasakannya, Allah boleh berbuat demikian. ALLAH boleh menjadikan perkara-perkara itu berkesudahan. Cuma ALLAH tidak mahu kerana ALLAH sudah membuat perjanjian sejak azali lagi yang sepuluh perkara itu akan dikekalkan-Nya selama-lamanya.

Dalam pada itu, selain yang sepuluh itu, ada juga jisim-jisim lain yang juga dikatakan kekal. Cuma kita belum dapat menemui keterangan mengenainya di dalam kitab-kitab; sekadar pernah kita dengar tuan-tuan guru memperkatakannya. Di antara jisim-jisim lain yang dikatakan kekal itu ialah hafiz Al Quran, mu’azin (tukang bang), dan para aulia ALLAH. Mua’zin yang dimaksudkan di sini ialah tukang bang yang tetap, bukan tukang bang sekali-sekala.

Inilah tiga perkara yang turut dikekalkan oleh ALLAH SWT menurut pendapat setengah-setengah tuk guru. Cuma buat kita, hal ini masih wallahu a’lam kerana belum ada nas dan dalilnya yang kita temui di dalam kitab. Boleh jadi tok-tok guru itu lebih banyak membaca dan berjaya menemuinya. Tetapi 10 perkara yang dibentangkan tadi adalah nyata kekal tetapi kekalnya adalah aradhi.

Seterusnya, kalaulah jisim segala nabi itu kekal, maka banyaklah jisim yang kekal. Bilangan nabi saja, mengikut ijtihad sesetengah ulama, ialah seramai 124,000 orang. Daripada bilangan yang begitu ramai, jumlah rasul pula seramai 313 orang mengikut pendapat sesetengah ulama; tetapi ada ulama yang mengatakan jumlahnya seramai 315 orang. Ini adalah khilafiah para ulama mengikut ijtihad masing-masing.

Perlu kita ingat bahawa nabi dan rasul berbeza. Rasul adalah pilihan daripada para nabi, dan mereka menerima wahyu daripada ALLAH sebagai satu perintah yang wajib mereka amalkan dan wajib pula mereka sampaikan kepada seluruh umat. Manakala nabi adalah pilihan ALLAH juga dan yang menerima wahyu daripada ALLAH sebagai satu perintah yang wajib mereka amalkan tetapi tidak wajib disampaikan kepada umat. Yang demikian, darjat rasul lebih tinggi daripada nabi.

Kemudian daripada bilangan rasul yang 313 itu, 25 orang merupakan rasul pilihan; nama-nama mereka ada disebut satu persatu di dalam Al Quran Dan d aripada 25 rasul pilihan ini, ada 5 rasul yang lebih tinggi darjatnya di sisi ALLAH; mereka digelar ulul’azmi. Mereka ialah Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s., dan Nabi Mtiamma d SAW. Dan daripada 5 orang rasul ini pula, ada seorang rasul yang lebih hebat dan yang paling mulia di sisi ALLAH SWT. Baginda ialah Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW adalah nabi yang akhir; penutup segala nabi dan rasul. Baginda juga penghulu kepada segala nabi dan rasul. Kedudukan baginda lebih mulia daripada para malaikat.

Kita sepatutnya berbangga kerana menjadi umat kepada rasul yang paling dikasihi oleh ALLAH SWT. Sebagai umat Rasulullah SAW, kita perlu menjaga imej baginda dengan menjaga akhlak kita, suasana hidup kita, suasana rumahtangga kita, suasana masyarakat kita, dan lain-lainnya agar jangan sampai mencacatkan kemuliaan Rasulullah SAW. Selain itu, kita wajib bersyukur kerana menjadi umat Rasulullah SAW kerana umat baginda adalah umat yang paling mulia berbanding dengan umat para rasul sebelumnya.

Kita sentuh sedikit tentang jisim orang yang mati fisabilillah Inilah jisim yang paling banyak kerana sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah ke akhir zaman nanti, sentiasa ada orang yang mati terbunuh dalam berjuang dan berjihad menegakkan agama ALLAH. Kalau para nabi dan rasul, kita tahu bilangannya tetapi para syuhada Allah, kita tidak mengetahui bilangannya kerana terlalu ramai; terutamanya yang syahid pada zaman Rasulullah dan para Sahabat serta pada zaman para tabiin dan para tabiit tabiin.

Pada akhir zaman ini, bilangannya agak berkurangan, dan kita dapati semakin lama semakin kurang kerana bilangan orang yang mahu mati syahid di jalan ALLAH sudah sedikit. Namun, kita tidak boleh mengatakan yang tidak ada lagi orang yang mati syahid dalam menegakkan perjuangan dan jihad fisabilillah pada hari ini. Cuma yang bertetapan dengan mati fisabilillah itu kurang benar.

Takrif mati fisabilillah itu bukanlah satu takrif yang mudah. Kita dapati hari ini, ramai daripada kalangan umat Islam yang berjuang dan berjihad dalam pelbagai bidang seperti ketenteraan, politik, kenegaraan, dan sebagainya. Dan begitu juga dengan ramainya kalangan umat Islam hari ini yang bercita-cita hendak menegakkan agama ALLAH; menghidupkan Al Quran dan Al Sunnah. Tetapi kalau perlaksanaannya tidak betul dan tepat, maka perjuangan itu masih belum tergolong dalam perjuangan fisabilillah. Kalau demikian, orang yang mati ketika berjuang itu belum dikatakan syahid di jalan ALLAH. Tentulah amat malang sekali.

Adapun jisim para syuhada atau jisim orang yang mati syahid fisabilillah tidak dihisab oleh ALLAH ketika di Akhirat nanti. Mereka terus dimasukkan ke dalam Syurga bersama para nabi dan rasul. Kalaulah ALLAH tidak menceritakan tentang diri mereka ini, nescaya para nabi dan rasul itu menyangka bahawa para syuhada itu juga daripada kalangan nabi-nabi. Begitulah tingginya darjat orang yang mati syahid. Sebab itu untuk mendapatkannya bukanlah mudah. Bukanlah asal saja kita berjuang menegakkan agama ALLAH, kalau mati, kematian kita digolong sebagai mati syahid.

Sebenarnya perjuangan dan jihad yang dikatakan fisabilillah itu adalah perjuangan yang benar-benar kerana ALLAH dan untuk ALLAH semata-mata. Ia benar-benar satu jihad untuk menegakkan agama ALLAH dan hukum-hakam ALLAH sama ada melibatkan yang wajib, yang sunat, yang haram mahupun yang makruh; manakala hukum yang harus diperjuangkan agar menjadi ibadah. Perjuangan yang dibangunkan itu pula tidak boleh atas dasar lain seperti atas dasar hendak berkuasa dan memerintah, atas dasar hendakkan pangkat dan nama, atas dasar hendakkan kemudahan dan kemewahan hidup, atas dasar hendak menegakkan bangsa, atas dasar hendak menghapuskan kezaliman, dan lain-lainnya. Kalau kita berjuang dan berjihad atas salah satu daripada maksud itu, perjuangan kita itu sia-sia sahaja. Belum lagi digolong sebagai jihad fisabilillah.

Kalau kita berjuang atas dasar kebangsaan sahaja, Rasulullah ada mengingatkan kita di dalam sebuah Hadis yang sabdanya:

Terjemahannya: Tidak ada fahaman kebangsaan di dalam ajaran Islam.

Fahaman kebangsaan adalah fahaman yang sempit yang akan mengajak manusia bergaduh, kerana masing-masing ada bangsa. Perjuangan demikian hanya akan mencetuskan puak-puak. Kemudian Rasulullah bersabda lagi:

Terjemahannya: Bukan daripada golongan kami, orang yang berjuang kerana kebangsaan.

Sebenarnya, kalau kita berjuang kerana menegakkan agama, bangsa akan terbela dengan sendirinya. Tetapi kalau kita berjuang membangunkan bangsa, agama akan dicuaikan. Hingga kerana itu, bangsa belum tentu dapat dibangunkan; agama sudah hancur berkecai. Kemungkinan besar fahaman kebangsaan dalam perjuangan itu akan mengambil alih fahaman berjihad kerana agama. Begitu jugalah dengan perjuangan menegakkan agama melalui konsep kapitalisme atau sosialisme, dan sebagainya. Semuanya merupakan perjuangan yang tidak tepat untuk dinilai sebagai fisabilillah.

Inilah yang perlu kita awasi. Walaupun dalam berjuang itu, macam api keluarnya ayat-ayat Quran dan Hadis; tetapi kerana perjuangan tidak tepat, orang yang berjuang begini bolehlah kita katakan sebagai telah memperalat Al Quran dan Hadis untuk mencapai matlamatnya. Dan bagi kita pula, tidak seharusnya terpengaruh dengan perjuangan demikian. Ia bukan digolong sebagai jihad fisabilillah.

Jihad fisabilillah yang sebenarnya adalah jihad yang setiap inci perjuangannya tepat dengan kehendak ALLAH; kehendak Al Quran dan Sunnah. Al Quran dan Sunnah itu mesti dilaksanakan pada semua peringkat; bukan pada negara sahaja tetapi juga di dalam diri sendiri, di dalam rumahtangga, di dalam masyarakat, di dalam pendidikan, di dalam ekonomi, di dalam poitik, dan seterusnyalah hingga kepada persoalan alam sejagat sekalipun.

Kemudian perlaksanaannya juga mesti betul hingga syariat lahir dan batin dijaga betul-betul. Kalau semuanya tepat mengikut kehendak Al Quran dan Sunnah, itulah yang dinamakan jihad fisabilillah, dan sekiranya orang yang berjuang itu mati dibunuh atau terbunuh, insya-ALLAH nilainya adalah sebagai syuhada ALLAH. Baharulah jisimnya dikekalkan oleh ALLAH SWT.

Malangnya, ada di kalangan pejuang-pejuang Islam pada akhir zaman ini, semacam beria-ria benar berjuang hendak menegakkan agama ALLAH dalam negara
tetapi diri sendiri dicuaikan, anak isteri masih mendedah aurat, dia masih terlibat dengan maksiat dan munkar. Pejuang-pejuang begini telah mempersempitkan persoalan agama kepada aspek negara sahaja, sedangkan Islam itu bukan untuk negara sahaja tetapi untuk semua aspek dan semua bidang. Dan kesemua bidang itu mesti diperjuangkan; sama ada yang mengenai aqidah, ibadah, perjuangan dan jihad, ekonomi, pendidikan, rumahtangga, politik, dan seterusnyalah hingga kepada persoalan negara dan hubungan alam sejagat. Kemudian yang diperjuangkan itu pula mestilah bermula daripada alif, ba, ta (dari peringkat rendah), bukan terus melompat hingga ke hujung.

Jadi, memang susah hendak mendapatkan darjat mati syahid. Namun kita tetap boleh memohon kepada ALLAH untuk mendapatkan mati syahid dengan syarat kita memasang niat dengan betul dan ikhlas. Ada sebuah Hadis Rasulullah yang bermaksud:

Orang yang berniat untuk mendapatkan mati syahid akan tetap mendapat pahala syahid walaupun dia tidak mati syahid.

Seterusnya, apakah hikmahnya ALLAH mengekalkan 10 perkara yang telah kita sebutkan tadi? Tentu ada hikmah-hikmahnya kerana kalau tidak, ALLAH tidak akan menjadikannya.

Setiap perkara yang ALLAH jadikan itu, ada mengandungi hikmah-hikmah yang tersirat. ALLAH menjadikan manusia, langit, bumi, lautan, ikan-ikan, binatang yang melata di bumi seperti semut, lipas, ulat dan sebagainya, semua itu ada hikmahnya. Dan begitu juga dengan setiap kejadian yang berlaku kepada makhluk seperti ditimpa sakit, ditimpa kemalangan, dan sebagainya; semua itu ada hikmah-hikmahnya. Cuma setengah-setengah
hikmah itu ada diberitahu dan setengah-setengahnya tidak diberitahu. Katalah cacing yang kita pandang jijik itu; pun sebenarnya ada hikmahnya mkngapa ALLAH jadikan. Cacing-cacing itu boleh menjadi makanan kepada ayam itik, tolong menggemburkan tanah, dan sebagainya.

Setengah-setengah hikmah kejadian ALLAH itu ada diceritakan di dalam Al Quran dan Hadis. Setengah-setengahnya telah dapat dicungkil oleh ulama-ulama yang mempunyai banyak ilmu pengetahuan. Kerana itu, kita juga hendaklah memahami akan hikmah-hikmah kejadian Tuhan ini supaya kita sedar betapa kejadian manusia yang berbeza-beza ini juga ada hikmahnya. Mengapa jari yang sepuluh pada tangan kita itu dijadikan oleh ALLAH tidak sama itu pun ada hikmahnya. Begitu juga, mengapa ALLAH jadikan manusia ini ada yang kaya dan ada yang miskin, ada yang sihat dan ada yang sakit, ada yang kuat ‘dan ada yang lemah, dan begitulah seterusnya.

Semuanya ada hikmah-hikmah tertentu, dan kalaulah kita tahu demikian, tidak perlulah kita berbangga diri, hasad dengki dan kata-mengata antara satu dengan lain. Katalah seorang yang dijadikan ALLAH kuat fikiran hingga dia boleh menguasai ilmu pengetahuan; dia tidak boleh berbangga yang dia itu pandai dan bijak kerana kalau tidak ada orang yang hendak mengakui dia pandai, apakah dia tahu dirinya pandai? Tentulah orang yang mengakui dia pandai ialah orang yang hendak belajar daripadanya iaitu orang-orang yang belum mengetahui. Sekiranya tidak ada orang yang hendak belajar daripadanya, apalah ada erti kepandaiannya.

Begitu juga bagi orang yang tidak berilmu; tidak sepatutnya dia hasad dengki kepada orang yang berilmu kerana kalau tidak ada orang yang berilmu, maka orang yang bodoh akan bodoh sampai mati. Jadi, semuanya ada kaitan antara satu dengan lain.

Orang yang kaya pun ada kaitannya dengan yang miskin. Sebab itu, orang kaya tidak boleh berlagak sombong dan bercakap besar bila dia tengok si petani dengan pakaian kotor dan berlumpur. Kalau si petani tidak mahu menanam padi atau kalaupun mahu menanam padi tetapi tidak mahu menjualkannya, bukankah orang-orang kaya dan yang berpangkat besar susah hendak mendapatkan makanan? Jadi, tidaklah boleh dia memandang hina kepada si petani.
Dan orang miskin pula tidaklah boleh hasad dengki kepada orang kaya kerana kalau mereka tidak mahu memberi upah, menggaji pekerja dan sebagainya, maka orang miskin tidak akan ada sumber duit.

Jadi kaitan antara satu kejadian ALLAH dengan kejadian lain, semua ada hikmah-hikmahnya. Cuma kita saja yang tidak mengetahuinya kerana kita sudah lupa kepada ALLAH, sudah lupa kepada panduan yang ALLAH berikan, dan lupa pula kepada diri kita sendiri. Kerana itu, kita rasa yang diri kita itu tidak ada hubungan apa-apa dengan orang lain.

Padahal, hakikatnya, kita adalah satu keluarga yang besar yang bertuhankan Tuhan yang satu iaitu ALLAH SWT. Keturunan kita juga satu iaitu daripada Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa. Kerana itu, tidak perlu kita kata-mengata antara satu dengan lain, tidak perlu hasad dengki, dan lebih-lebih lagi tidak perlu kita bergaduh.

Perpecahan manusia ini timbul bila adanya manusia yang mementingkan diri sendiri, atau bila ada golongan yang tidak mahu menerima perintah daripada SWT, dan kemudiannya tidak mahu menerima konsep hidup daripada ALLAH.

Apabila ini berlaku, keluarga yang besar yang berasal daripada satu keturunan tadi berpecah kerana masing-masing hendak mengikut pimpinan akal sendiri atau mengikut pimpinan otak orang lain. Semakin lama semakin besarlah perpecahannya hinggalah ke hari ini. Kalaulah manusia-manusia yang memecah-belahkan keluarga ini tidak ada, tentulah kita semua tetap bersatu dan berpadu. Dan tentulah kita semua akan menerima pegangan dan syariat hidup daripada ALLAH sahaja. Tentulah bahagia sekali keluarga yang besar ini.

Tetapi perpecahan berlaku juga, pergaduhan wujud di mana-mana; boleh jadi abang membunuh adiknya, dan boleh jadi yang turut sama-sama terbunuh ialah emak saudara dan bapa saudara. Dan begitulah seterusnya akan berlaku, selagi manusia-manusia yang mementingkan diri sendiri ini wujud di tengah-tengah masyarakat. Manusia seperti ini tidak kenal dirinya siapa dan tidak kenal ALLAH. Sebab itu dia tidak tahu hikmah-hikmah setiap kejadian daripada ALLAH SWT.

Kalau begitu, 10 perkara yang kekal aradhi itu juga ada mengandungi hikmah-hikmah yang tertentu. Misalnya, cuba kita perhatikan, apakah hikmahnya ALLAH kekalkan Syurga?

Tentu agak mudah kita mencari jawapannya. ALLAH kekalkan Syurga itu ialah supaya orang yang bertaqwa tidak akan mendapat nikmat yang kekal di dunia kerana nikmat yang kekal hanyalah di dalam Syurga.

Kalau Syurga tidak kekal, orang yang bertaqwa tidak akan mendapat nikmat yang kekal, kerana nikmat yang kekal hanyalah di dalam Syurga. Ertinya, kalau ALLAH binasakan Syurga, nikmat yang diterima oleh orang yang bertaqwa akan ada hadnya. Sebab itulah ALLAH kekalkan Syurga sebagai membalas jasa orang yang sewaktu di dunia telah bersusah payah beribadah kepada-Nya dengan mengorbankan tenaga, fikiran, masa serta wang ringgit. Di dunia dulu dia gigih berjuang dan berjihad memerangi hawa nafsu dan syaitan kerana hendak membesarkan ALLAH dan ajaran ALLAH agar mereka mendapat nikmat yang kekal abadi di dalam Syurga.

Jadi, kalaulah kita kenangkan yang nikmat di dalam Syurga itu kekal abadi bagi orang bertaqwa, maka kalau kita ada rumah besar, kereta besar atau tanah yang luas di dunia, kita tidak semestinya berbangga dan sombong bongkak kerana setiap yang di dunia ini tidak kekal; sama ada harta-harta itu lebih dulu meninggalkan kita ataupun kita yang akan meninggalkannya. Begitu juga, apa saja yang kita perolehi di dunia ini, seperti mendapat jawatan presiden, menjadi pemimpin, menjadi raja, dapat kekayaan, menjadi orang cantik, menjadi orang bijak dan berbagai-bagai lagi, semuanya tidak kekal. Apa saja kemegahan di dunia ini, tidak kekal.

Yang kekal ialah kemegahan di Syurga: pangkat dan darjat di Syurga, kemuliaan di Syurga, dan seluruh nikmat Syurga termasuk nikmat beristerikan bidadari Syurga yang cantik yang tidak ada tolok bandingnya di dunia ini. Kecantikan mereka itu tidak mampu dilihat oleh mata kita yang sentiasa keranjang ini. Mungkin mata para nabi dan rasul saja yang layak memandang mereka. Kerana cantiknya bidadari Syurga itu, kalau hujung jarinya saja dapat kita lihat, kita sudah tidak sedarkan diri.

Kalau sekadar ratu cantik di dunia ini, yang tidak sehebat mana dibandingkan dengan bidadari Syurga, itu pun ramai orang tergila-gila. Sedangkan ratu cantik dunia itu dengan kita tidak ada bezanya; dia tetap makan dan ke tandas macam kita, cuma dia cantik sedikit daripada kita. Itu pun tidak kekal, dan kecantikannya itu pula adalah mengikut nilaian manusia; ada yang kata cantik dan ada yang kata buruk.

Mereka tidak sama dengan bidadari Syurga yang merupakan anugerah ALLAH kepada penghuni-penghuni Syurga. Ada yang mendapat sampai ’70 orang, dan apa yang mendapat sampai seribu orang bergantung kepada pangkat dan darjat yang diperolehi oleh seseorang mukmin itu. Dan mereka itu semuanya kekal abadi; kecantikan mereka sentiasa kekal, tidak dimakan oleh tua, dan sebagainya. Kasih sayang mereka juga kekal abadi, tidak seperti kasih sayang isteri kita kepada kita yang setiap saat berubah-ubah.

Begitulah di antara nikmat Syurga yang kekal abadi yang ALLAH akan berikan kepada orang bertaqwa. Sebab itulah ALLAH kekalkan Syurga.

Kemudian, di antara 10 perkara yang kekal aradhi tadi termasuklah Neraka. Mengapa pula ALLAH kekalkan Neraka? Supaya orang-orang yang derhaka kepada ALLAH dan orang-orang yang membuat dosa serta yang ingkar dan mungkar kepada perintah ALLAH, akan mendapat azab dan seksa yang kekal abadi.

Lagipula, orang-orang yang akan disumbat oleh ALLAH ke dalam Neraka, ada yang kekal di dalamnya selama-lamanya dan ada yang tidak. Orang yang akan kekal selama-lamanya ialah orang kafir; orang yang menolak ALLAH dan Rasul, yang menolak Al Quran dan Sunnah, orang yang menyengutukan Allah, dan sebagainya. Orang yang tidak kekal di dalam Neraka ialah orang yang mati membawa dosa yang tidak terampun tetapi dia masih beriman kepada ALLAH SWT. Orang ini dinamakan mukmin asi atau mukmin yang derhaka. Mereka dimasukkan ke dalam Neraka untuk menjalani azab mengikut dosa yang mereka lakukan. Setelah itu mereka akan dimasukkan ke dalam Syurga.

Jadi, bagi orang yang akan berada selama-lamanya di dalam Neraka, mereka akan menerima azab yang kekal abadi. Sebab itulah ALLAH kekalkan Neraka supaya azab yang ada di dalamnya juga kekal abadi. Oleh itu, kalau kita kenang-kenangkan azab yang berbagai-bagai yang kekal abadi di dalam Neraka itu, sepatutnya kita gerun dan gentar. Sedangkan kalau kita dipenjarakan seumur hidup di dalam penjara dunia ini pun, kita tidak mahu. Walhal seksa dan azab didalam penjara dunia ini masih baik kerana kita tetap diberi makan dan minum, dan diberi tempat tidur untuk rehat. Sanak-saudara pula dapat bertemu dengan kita.

Sebaliknya di dalam Neraka sana, tidak ada kesenangan dan rehat walau sesaat. Setiap ketika kita menerima azab hinggakan makan dan minum pun berbentuk azab kerana makanannya berupa buah zaqum iaitu besi panas yang berduri-duri, manakala minumannya air timah yang panas menggelegak. Bila kita makan dan minum, habis leroi isi perut dan kerongkong kita.

Kerana itu, tidak padan sangatlah kita membuat dosa, derhaka, ingkar dan mungkar kepada ALLAH dalam masa yang begitu singkat di dunia ini sedangkan balasannya adalah seksa dan azab yang kekal abadi. Tak padan sangatlah kalau dalam hidup kita di dunia ini yang hanya 40 atau 50 tahun atau paling lebih pun 60 tahun, mengikut jangkaan umur hari ini, kita tolak ibadah dan perintah daripada ALLAH untuk memilih kehidupan mengikut nafsu dan syaitan.

Sedangkan, kalaupun kita rasa pahit dan derita dalam melaksanakan ibadah dan perintah ALLAH kerana terpaksa mengorbankan tenaga, masa dan wang ringgit, derita itu hanyalah sementara hidup saja. Bila mati, nikmat Syurga yang akan ALLAH beri sebagai balasan adalah kekal abadi. Sebaliknya kalau kita memilih kesenangan dunia yang mengikut hawa nafsu dan syaitan, di Akhirat, balasannya adalah azab Neraka yang kekal selama-lamanya.
Sebab itu, hendaklah kita menjaga diri kita supaya jangan terjebak dengan dosa yang akan menjerumuskan kita ke dalam Neraka yang seksa dan azabnya kekal abadi. Kita lebih-lebih lagi perlu berhati-hati supaya jangan terjebak dengan dosa besar yang boleh menyebabkan diri kita kekal abadi di dalam Neraka seperti dosa syirik, kafir dan murtad.

Seterusnya, cuba kita perhatikan pula, apakah hikmahnya ALLAH mengekalkan jasad orang yang mati syahid fisabilillah Bagi orang ini, jasadnya tidak hancur. Tanah tidak memakan dagingnya; malah ulat-ulat pun tidak menghampirinya.

Jasad orang-orang yang mati syahid kelihatan seolah-olah hidup hingga dapat kita lihat darah mengalir di dalam tubuhnya. Ini memang telah terbukti kerana pernah orang menceritakan terjumpa dengan mayat seorang Sahabat Rasulullah yang dikebumikan di tepi sebuah sungai di Afrika. Apabila sungai menghakis kuburnya, terkeluar mayatnya yang kemudiannya dijumpai orang; keadaannya seperti tubuh orang yang masih hidup. Memang ramai Sahabat Rasulullah, para tabiin dan para tabiit tabiin yang mati syahid fisabilillah Dan ALLAH memuliakan jasad mereka dengan mengekalkannya hingga tidak ada satu apa pun, hatta ulat dan cacing sekalipun, yang boleh memusnahkannya.

Kemudian, ingin pula kita persoalkan, mengapakah ALLAH memuliakan orang yang syahid fisabilillah. Kalau kita baca hadis Qudsi, di dalamnya ALLAH banyak menggambarkan kemuliaan yang diterima oleh orang-orang yang mati syahid di jalan ALLAH hinggakan ALLAH begitu kasih dan sayang kepada mereka.

Diceritakan betapa orang yang mati syahid ini boleh berulang-alik di antara Alam Barzakh dan Syurga seperti burung-burung hijau yang berterbangan, dan kemudian mereka akan duduk mengadap ALLAH di bawah Arasy. (Bila kita kata mengadap ALLAH di bawah Arasy ini, jangan pula kita salah faham hingga mengatakan ALLAH itu bertempat, berwajah dan berlembaga seperti makhluk. Ini adalah gambaran yang mesti kita kaedahkan sebagai yang selayak bagi zat ALLAH SWT. Selain itu, bagi kita ialah wallahu a’lam.)

Mengapakah begitu besar penghormatan yang Allah berikan kepada mereka? Ini adalah kerana orang-orang yang mati syahid telah mengorbankan nikmat yang paling berharga yang telah dikurniakan oleh ALLAH SWT, iaitu nyawa. Setiap orang sayangkan nyawanya lebih daripada yang lain; lebih daripada dia sayangkan anak isteri dan hartanya. Tetapi bagi orang yang berjuang dan berjihad di jalan ALLAH, mereka telah mempertaruhkan nyawa mereka yang paling mereka sayangi. Mereka telah mempertaruhkan nikmat yang paling berharga yang telah dikurniakan oleh ALLAH SWT. Mereka rela mengorbankan nyawa mereka kerana fisabilillah.

Tentulah hebat pengorbanan demikian kerana kalau sekadar mengorbankan harta dan wang ringgit, ramai yang boleh berbuat. Begitu juga, kalau untuk mengorbankan tenaga dan akal fikiran serta masa, ramai juga yang boleh melakukannya. Tetapi bila sampai kepada mengorbankan nyawa dan jiwa raga, ramai yang akan berundur.

Bagi kita pada akhir zaman ini, tidak payahlah kita cakap pasal mengorbankan nyawa. Baru sekadar, kalau kita pergi ke satu tempat dan bersyarah fasal agama ALLAH, fasal hukum-hakam dan sebagainya, tiba-tiba ada orang yang bangun dan menempeleng muka kita hingga luka berdarah, mungkin kita tidak akan pergi lagi ke tempat itu. Atau mungkin kita terus letak jawatan daripada menjadi mubaligh. Tetapi bagi orang yang mati fisabilillah ini, nyawa yang mereka korbankan. Sebab itulah ALLAH muliakan mereka.

Sebenarnya ALLAH tahu bahawa ramai manusia ini tidak berani mengorbankan nyawa di jalan ALLAH. Kerana itu, dalam mendorong manusia berjuang di jalan ALLAH, ALLAH tidak menyebut pengorbanan nyawa terlebih dahulu. ALLAH menyebut yang ringan-ringan terlebih dahulu. Misalnya, ALLAH berfirman:

Terjemahannya: Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku beritahu kamu akan satu perniagaan yang boleh mengelakkan kamu daripada azab yang amat pedih. Hendaklah kamu beriman dengan ALLAH dan Rasul. Hendaklah kamu perjuangkan agama ALLAH dengan harta-harta kamu dan jiwa raga kamu. Dan itulah yang sebaik-baiknya bagi diri kamu kalau kamu mengetahui. (As saf: 10-11)

Di sini ALLAH suruh berjihad dengan mengorbankan harta lebih dahulu kerana apabila seseorang itu telah berani mengorbankan hartanya, ketika itu apabila nyawanya dituntut supaya dikorbankan, dia boleh berbuat demikian. Tetapi kalau seseorang itu tidak sanggup mengorbankan hartanya, janganlah diharapkan dia dapat mengorbankan nyawanya. Harta yang dikorbankan oleh manusia, ada harapan akan ditambah semula oleh ALLAH SWT, sedangkan nyawa yang sudah terkorban, tidak ada harapan untuk diganti semula.

Jadi, jelaslah kalau kita berjuang dan berjihad tetapi takut hendak mengorbankan harta sedangkan kita sentiasa bercakap fasal syahid dan sebagainya, itu cakap-cakap kosong sahaja. ALLAH sendiri telah menggambarkan hal ini di dalam firman-Nya.

Inilah sikap kita sebagai pejuang-pejuang agama pada zaman ini; cakap sahaja yang lebih tetapi $10.00 pun tidak berani untuk dikorbankan di jalan ALLAH. Dalam pada itu, kita hendak mengajak pula orang lain mengorbankan harta dan nyawa. Tidak seperti para Sahabat pada zaman Rasulullah; mereka sanggup mengorbankan apa sahaja di jalan ALLAH. Mengorbankan harta begitu mudah bagi mereka.

Lihat sahaja Sayidina Umar, Sayidina Abu Bakar, Sayidiua Usman, Sayidina Ali, dan Sahabat-Sahabat yang lain. Apabila tiba seruan untuk berperang fisabilillah, masing-masing berlumba-lumba untuk pergi ke medan perang. Hinggakan kalau ada yang terpaksa tinggal kerana menjaga perempuan-perempuan, orang-orang tua dan kanak-kanak, mereka akan menangis. Manakala yang berjaya terpilih untuk ke medan jihad, akan ketawa gembira dan berkejar-kejaran menghadapi musuh tanpa membelakangi mereka. Buktinya, kalau kita baca sejarah Khalid Ibn Walid, satu liang tombak, pedang atau panah pun tidak ada di belakangnya; semua di bahagian dadanya sahaja. Ini menandakan beliau tidak pernah membelakangi musuh.

Semangat dan sikap kita tidak sama dengan para Sahabat. Mereka berhabis-habisan dalam mengorbankan harta. Kita masih berhati-hati hendak berkorban. Kalau kita berkorban, mulalah kita memikir bagaimana hendak menambahnya balik. Kita berkenduri syukur kalau tidak terpilih ke medan perang; para Sahabat menangis kalau tidak terpilih berperang. Sebab itulah, Islam susah hendak dibangunkan kembali oleh umat Islam zaman ini. Hanya dengan menghidupkan kembali semangat dan jihad para sahabat sahajalah, baharu umat Islam hari ini boleh menjadi umat yang kuat dan gagah, serta akan dapat memayungi umat-umat yang lain di dunia ini.

Seterusnya, ALLAH kekalkan roh kerana yang akan merasai azab Neraka atau nikmat Syurga ialah roh. Dan kalaulah roh tidak ALLAH kekalkan, tidaklah ada ertinya ALLAH mengekalkan Neraka dan Syurga.

Akhir sekali, kita akan perhatikan perkara yang diiktibarkan sebagai yang ada permulaan dan ada kesudahan. Ia terbahagi kepada tiga perkara.

  • Pertama, yang tiada permulaan dan yang tiada kesudahan, iaitu zat dan sifat ALLAH SWT. Sebab ALLAH itu tidak ada yang menjadikan.
  • Kedua, yang ada permulaan tetapi tidak ada kesudahan, iaitu 10 perkara yang telah kita senaraikan tadi. Kesemua 10 perkara ini sengaja dikekalkan oleh ALLAH disebabkan hikmah-hikmah yang tertentu.
  • Ketiga, yang ada permulaan dan yang ada kesudahannya, iaitu makhluk dan seluruh yang baharu seperti manusia, haiwan, jin, tumbuh-tumbuhan, dan lain-lainnya.

Sebagai kesimpulan pengajian kita ini, yang perlu kita yakini betul-betul tentang sifat Al Baqa’ bagi Allah SWT ini ialah bahawa Allah SWT itu kekal buat selama-lamanya; tidak ada permulaan dan tidak ada kesudahan. Kerana ALLAH SWT itu tidak ada yang menjadikan.

Artikel ini adalah bagian dari buku Aqidah Mukmin Siri 1 yang berisi buah fikiran dan ilham dari Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi

Sumber: https://alieyfaizal.wordpress.com/2012/05/24/aqidah-mukmin-siri-1-abuya-ashaari-bin-muhammad-at-tamimi-bab-5-baqa/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s