WALI ALLAH

Dari Hal Wali Dan Kewalian

Para wali adalah kekasih-kekasih Allah, golongan yang amat hampir dengan Allah (muqarrabin). Allah jelaskan dalam satu hadis qudsi bahawa mereka itu mendengar dengan pendengaran Allah, melihat dengan penglihatan Allah dan berkata-kata dengan perkataan Allah. Memuliakan mereka bererti memuliakan Allah manakala menghina mereka bererti juga menghina Allah. Hingga ada ulama berkata, menghina wali Allah dengan kata-kata dan sebagainya adalah petanda mati dalam suul khatimah. Wal’iyazubillah.

Sebab itu Allah juga berfirman dalam Hadis qudsi lain :

Barang siapa memusuhi wali-Ku, maka Aku akan mengisytiharkan perang terhadapnya.” [Riwayat Al Bukhari]

Berkata seorang ulama yang arif dalam tulisannya bahawa :

“Wali Allah atau kalimah jamaknya aulia Allah. Wali juga ertinya pemimpin. Boleh juga diberi erti kekasih yang dilantik oleh Allah. Jadi seseorang ulama yang mencapai darjat wali Allah ini adalah seorang kekasih Allah yang dilantik oleh Allah untuk memimpin. Wali Allah adalah orang yang paling bersih, murni lahir dan batin dan orang-orang suci-Nya.

Ulama Sufi menjelaskan bahawa terdapat bermacam-macam jenis atau peringkat wali yang dilantik oleh Allah dengan syarat-syarat perlantikan yang hanya Allah jua yang mengetahuinya, iaitu :

  1. Ghaus [Kutubul Aqthab]
    Ghaus adalah gelaran kepada ketua wali di sesuatu zaman. Ketua wali disebut juga Sultanul Aulia. Ghaus cuma seorang untuk satu zaman.
  2. Wali Kutub
    Istilah jamak [ramai] bagi kutub ialah aktab. Bilangan wali Kutub di setiap zaman ialah empat orang.
  3. Wali Najib
    Najib bagi gelaran seseorang. Kalau ramai disebut Nujabak. Bilangan mereka di setiap zaman 300 orang.
  4. Wali Watad
    Jamaknya Autad. Bilangan wali Autad untuk satu-satu zaman ialah empat orang.
  5. Wali Badal
    Jamak bagi Badal ialah Abdal. Bilangan mereka 40 hingga 60 orang untuk sezaman. Ada qaul mengatakan 30 orang, 14 orang dan ada mengatakan hanya tujuh orang sahaja.
  6. Wali Naqib
    Panggilan ramai bagi Naqib ialah Nuqabak. Bilangan untuk sezaman ialah 40 orang.

Di bawah disenaraikan antara wali-wali besar yang sebahagiannya bukan sahaja memerintah negeri dan negara bahkan memerintah dunia:

  1. Sahabat-sahabat Rasulullah SAW terutama Khulafa’ur Rasyidin.
  2. Imam mazhab [dalam ilmu feqah dan tauhid] terutamanya imam mazhab yang empat.
  3. Para mujaddid terutamanya Sayidina Umar Abdul Aziz [mujaddid kurun pertama] dan Imamul Mahdi [mujaddid kurun ke-15].
  4. Para perawi hadis seperti Imam Bukhari, Imam Termizi dan Imam Muslim.
  5. Pengasas-pengasas tareqat seperti Tareqat Naqsyabandiah, Ahmadiah, Qadariah, Aurad Muhammadiah dan lain-lain.
  6. Ulama-ulama besar sufi seperti Imam Hassan Al Basri, Syeikh Junaid Al Baghdadi, Syeikh Abu Yazid Bustami, Syeikh Abdul Kadir Jailani, Imam Al Ghazali, Syeikh Abu Hassan Syazali, Imam Sayuti, Imam Nawawi, Syeikh Ramli dan ramai lagi.
  7. Di kalangan wanita, antaranya ialah Sayidah Nafisah dan Rabiatul Adawiyah. Juga isteri-isteri Rasulullah SAW dan puterinya Siti Fatimah Az Zahrah.

Terdapat wali yang orang tidak kenal kewalian dan kemuliaan mereka, malah disangka gila. Misalnya, Uwais Al Qarni yang hidup sezaman dengan Raulullah SAW tetapi tidak pernah berjumpa dengan baginda. Kewaliannya diberitahu oleh baginda Rasulullah SAW sendiri kepada Sayidina Umar Al Khattab dan Sayidina Ali bin Abi Talib. Begitu juga dengan sahabat Huzaifah Al Yamani, walaupun tidak terkenal dalam bidang kepimpinan tetapi banyak mengetahui rahsia-rahsia kerohanian. Malah Sayidina Umar merjuk kepadanya. Demikian lagi peranan Nabi Khidir a.s. di zaman Nabi Musa a.s. dan dalam buku ini, Habib Nuh dan Tuan Tulis tergolong dalam golongan wali kategori ini.

Wali-wali yang tersembunyi ini pada lahirnya tiada apa-apa keistimewaan. Tetapi mereka sebenarnya adalah manusia yang amat penting pada dunia. Sebab-sebabnya adalah seperti berikut :

  1. Doa mereka sangat makbul. Yakni permintaan mereka Allah tunaikan. Rintihan mereka Allah beri perhatian.
  2. Walaupun tidak memimpin dan tidak terkenal namun sikap, hidup serta percakapan mereka menjadi ikutan dan tiruan orang-orang sekeliling. Ertinya ada mereka di satu-satu tempat sudah cukup untuk mengubah akhlak manusia.
  3. Dengan adanya orang-orang seperti mereka di muka bumi ini maka Allah masih menurunkan hujan, memberi rezeki dan memberi bantuan kepada semua manusia termasuk yang derhaka. Juga Allah pindahkan dan alihkan azab dan bencana tenggelam atau karamnya bumi ini. Sekurang-kurangnya azab itu dibuat bertahap-tahap, berperingkat-peringkat hingga berpeluang bagi manusia menyelamatkan diri dan bertaubat. Sedangkan kalau azab itu diturunkan sekaligus secara menyeluruh, habislah manusia ini.
  4. Ada hadis yang mengatakan, kerana mereka inilah [orang-orang soleh dan wali-wali-Nya] dunia belum dikiamatkan.

Sebagai golongan yang istimewa di sisi Allah, mereka dianugerahkan penghormatan dengan berbagai kelebihan dan kemuliaan berupa karamah yang tidak diberi kepada manusia biasa [orang awam]. Justeru itu tidak hairanlah di kalangan orang ramai mengaitkan cerita-cerita tentang karamah apabila memperkatakan darihal peribadi seseorang wali itu.

Dalam pada itu orang ramai umumnya hanya mengenali karamah-karamah berbentuk zahiriah atau karamah hissi iaitu kejadian-kejadian yang luar biasa yang mencarik adat yang berlaku pada wali-wali dan dapat dilihat dengan mata zahir. Contohnya seperti karamah berjalan di atas air, boleh berada di dua tiga tempat dalam satu masa, boleh terbang di udara, boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan sekelip mata dan sebagainya.

Tetapi jarang orang mengetahui terdapatnya satu bentuk lagi karamah anugerah Allah pada para Aulia yang dipanggil karamah maknawiyah. Karamah bentuk ini tidak dapat dilihat dengan mata zahir tetapi hanya dapat dilihat dan diketahui oleh orang yang mempunyai ketajaman mata hati. Keistimewaan karamah maknawiyah antara lain ialah kata-katanya memberi kesan pada hati pendengar hingga mendorong orang membuat perubahan pada jalan kebaikan. Malah orang ramai akan ikut tingkah laku dan cakap-cakapnya. Biasanya karamah bentuk ini lebih menonjol pada para wali yang memimpin umat di samping dikurniakan juga karamah-karamah zahiri atau hissi.

Ini kerana bukan senang memimpin orang ramai ke arah kesedaran beragama dan amalan Islam, lebih-lebih lagi zaman sekarang di mana orang ramai begitu sibuk dengan kehidupan dunia hatta menilai agama pun berdasarkan kedudukan dan pengaruh wang ringgit. Walaupun terdapat setengah orang hebat berceramah di sana sini dan dapat menghimpun ribuan orang mendengarnya, tapi sayangnya para pendengar tidak boleh membuat perubahan melainkan dalam soal-soal ibadat khusus sahaja. Manakala kehidupan seharian mereka tetap bercampur aduk dengan aneka maksiat.

Mereka ini kebanyakkannya berpengang kepada konsep lima puluh – lima puluh. Akhirat hendak juga dunia pun hendak juga. Maksiat tak apa asalkan diimbangi dengan amal kebaikan, air dan minyak tak akan bercampur kata mereka. Lalu disamping diadakan progran agama, diperbanyakkan program maksiat. Atau dengan kata lain, perkara-perkara yang haq dicampur dengan yang batil hingga melahirkan umat Islam yang bertasabuh. Hingga musuh ambil peluang untuk melekangkan roh Islamiah dari hati umat Islam. Kita khuatir, aktiviti-aktiviti agama akhirnya akan jadi satu macam hobi bagi menghabiskan masa yang terluang sahaja sedangkan dalam masa yang sama maksiat semakin menjadi-jadi dan bermaharajalela. Kebimbangan ini perlu diatasi segera sebelum ianya menjadi jauh lebih kronik.

Di sinilah peranan wali Allah yang memiliki karamah maknawiyah yang layak memimpin umat manusia kerana akhlak dan tutur katanya dapat menarik orang ramai kembali kepada cara hidup Islam di tengah-tengah suasana kehidupan yang penuh mungkar. Tidak mustahil berlakunya dengan sekali dia berceramah, berpuluh orang boleh buat perubahan.

Contoh karamah maknawiyah lagi ialah dapat merasa kelazatan beribadah tanpa diusahakan sungguh-sungguh, dapat tinggalkan maksiat tanpa susah-susah mujahadah, dapat istiqamah dengan sesuatu amalan seperti boleh berada di tikar sembahyang beberapa minit lebih awal pada setiap waktu sembahyang fardhu dan sebagainya. Atau karamah dapat pertahankan wudhuk untuk tempoh yang lama seperti Syeikh Abdul Qadir Jailani, Uwais Al Qarni, Rabiatul Adawiyah dan umum para wali Allah yang sembahyang Subuh dengan wudhuk sembahyang Isyak. Dan mereka sentiasa dalam keadaan berwudhuk setiap waktu dan ketika.

Nyatalah dari kedua-kedua bentuk karamah ini, karamah yang lebih utama ialah karamah maknawiyah kerana ia boleh menyelamatkan tuan punya diri dari api Neraka. Ada wali yang dikurniakan satu bentuk karamah sahaja, ada yang dapat kedua-dua sekali, bahkan ada wali yang berdoa kepada Allah agar tidak dikurniakan karamah terutama karamah zahiriah kerana takut tidak dapat menjaga nikmat Allah itu.

Bagaimanapun, kedudukan aulia di sisi Allah tidak ditentukan oleh karamah. Sesetengah wali tidak ada apa-apa karamah, tetapi dia tetap mulia pada pandangan Allah. Cuma banyak wali yang dikurniakan karamah kerana melaluinya Allah hendak kuatkan agama-Nya [sebagai hujah mempertahankan kebenaran] dan untuk memberi pengajaran atau menambah keyakinan pada diri wali itu sendiri.

Bagi wali yang menjadi pemimpin sama ada pemimpin negara, masyarakat atau jemaah, karamah merupakan kemudahan untuk mengatur masyarakat. Ini berlaku kepada beberapa orang tokoh wali yang akan kita paparkan kisah hidup dan liku-liku perjuangan mereka di dalam buku ini iaitu Tukku Paloh, Tuk Kenali, Syeikh Muhammad Nor Al Kholidi, Syeikh Said Al Linggi dan Tuan Hussein. Mereka terkenal sebagai pemimpin masyarakat dan pemimpin jemaah pengajian.

Manakala Habib Nuh dan Tuan Tulis pula tidak berapa ketara peranannya di tengah masyarakat. Mereka tidak memimpin masyarakat secara langsung tetapi memainkan peranan tersendiri sebagai pendidik masyarakat. Seperti kata seorang ulama :

Pemimpin tidak rasmi ialah orang yang diikuti akhlak dan sifatnya tanpa dia sedar.”

Kita dapati setiap orang wali itu berperanan mengikut syakilah [bakat] masing-masing. Secara umum mereka adalah penguat-penguat agama dan pembawa kesejahteraan pada masyarakat serta umat.

Dalam sejarah ada wali yang menjadi pemimpin negara seperti Khulafa’ur Rasyidin [Sayidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali], Sayidina Umar Ibnu Aziz, Muhammad Al Fateh, Sultan Murad [bapa kepada Muhammad Al Fateh], Sultan Salahuddin Al Ayubi dan lain-lain.

Ada juga wali yang menjadi pemimpin peringkat negeri seperti beberapa orang dari kalangan para Sahabat [Sayidina Bilal, Abu Ubaidah, Saad bin Abi Waqqas, Said bin Amir Al Jumahy dan lain-lain], di kalangan Wali Songo di tanah Jawa dan banyak lagi.

Ada pula wali yang seperti tidak bermasyarakat tetapi kehadiran mereka menyebabkan masyarakat dapat tumpang barakah seperti Uwais Al Qarni. Orang sepertinya terkenal di langit tapi tidak terkenal di bumi hingga riwayat hidupnya pun tidak diketahui orang.

Cerita-cerita tentang karamah adalah perkara biasa di kalangan masyarakat Islam di negara ini satu ketika dulu. Orang tidak anggap pelik kerana ramai yang telah menyaksikannya atau sekurang-kurangnya mendengar cerita dari orang yang melihat berlakunya karamah pada wali, terutama di kalangan anak murid wali itu sendiri. Cuma sekarang ini perkara itu sudah jarang diceritakan oleh umat Islam di zaman ini. Namun ini tidak bermakna wali tidak wujud lagi.

Wali tetap ada di setiap zaman. Setiap meninggal seorang wali, Allah akan naikkan orang lain menggantikannya sebagai wali mengikut darjat-darjat tertentu. Cuma antara menonjol atau tidak menonjolnya mereka di tengah masyarakat.

Sumber: http://www.kawansejati.org/tujuh-wali-melayu/ms-00-dari-hal-wali-dan-kewalian.htm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s