02 Kata Sambutan

KATA SAMBUTAN
Oleh:
H.M.H Alhamid Alhusaini
Bismillahhir-Rahmanir-Rahim,
Alhamdulillah, puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat Allah s.w.t. yang telah mengutus Rasul-Nya membawa hidayat dan agama yang benar; dan telah memberi petunjuk kepada hamba-Nya untuk mengikuti wasiat Rasul yang tidak diucapkan menurut hawa nafsunya, melainkan menurut wahyu yang diturunkan kepadanya oleh Dzat Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Semoga Allah senantiasa melimpahkan shalawat dan salam sejahtera kepada junjungan kita, penghulu semua Nabi dan Rasul, Nabi Besar Muhammad s.a.w. beserta semua ahlulbait dan para sahabatnya.
Sesepuluh Majlis Ta’lim “Al-Ihya” Bogor, Kyai Haji Abdullah bin Nuh menyerahkan kepada saya sebuah naskah tentang keutamaan ahlulbait Rasulullah s.a.w. disertai permintaan agar saya turut menyumbangkan fikiran, menambah atau mengurangi beberapa persoalan yang dianggap perlu. Jika permintaan itu tidak dapat saya penuhi, beliau minta sekurang-kurangnya supaya saya bersedia menulis sepatah dua kata sambutan.
Saya fikir permintaan beliau itu tidak dapat ditujukan kepada saya, kerana betapa pun adanya kekurangan dan kelemahan yang ada pada peribadi saya, saya sendiri termasuk dalam keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w. Sukar sekali bagi saya untuk memenuhi permintaan beliau itu, tetapi lebih sukar lagi menolak permintaannya, mengingatkan demikian akrabnya hubungan persaudaraan antara kami berdua. Dengan perasaan seresah itu saya membuka-buka naskah yang ada di tangan saya dan saya baca halaman demi halaman. Tiba-tiba pada bahagian terakhir bab “Pembahasan Tentang Ayat Mawaddah” saya menemukan ungkapan Imam ‘Ali bin Abi Talib r.a mengenai sifat-sifat para pengikut ahlulbait Rasulullah s.a.w. Beliau mengakhiri ungkapannya dengan mengatakan “…tidak berbuat kebajikan kerana riya dan tidak meninggalkan kebajikan kerana malu”. Kalimat sesingkat itu sungguh menggugah fikiran dan perasaan saya untuk segera berlindung kepada Allah s.w.t. dari segala macam riya dalan berbuat kebajikan sebagaimana yang diminta oleh Buya K.H Abdullah bin Nuh. Dengan tetap berlindung kepada inayah Ilahi saya berusaha memenuhi permintaan beliau. Saya menyedari betapa besar jerih payah yang telah beliau curahkan untuk menulis sebuah naskah tentang keutamaan ahulbait disertai dengan dalil-dalil dan hujah yang berupa nas-nas Kitabullah al-Quran, Sunnah Rasul dan pandangan serta pendapat para Imam Mujtahidin dan para ulama.
Dengan penuh perhatian naskah tersebut saya telaah dan saya pelajari serta saya cocokkan dengan berbagai kitab tentang ahlulbait yang ada pada saya. Saya berpendapat, semua yang dikemukakan oleh Buya K.H Abdullah bin Nuh merupakan sumbangan yang berharga bagi kaum Muslimin Indonesia dalam Islam dan kewajipan-kewajipannya. Dari penelahaan seluruh naskah saya berkesimpulan, tidak ada sesuatu yang perlu ditambahkan atau dikurangi, kerana segala sesuatunya telah disusun demikian baik.
Memang benar apa yang dikatakan oleh K.H Abdullah bin Nuh, bahawa masih banyak di antara kaum Muslimin yang belum memahani sepenuhnya kedudukan aal Muhammad s.a.w. di dalam kehidupan agama Islam. Jelas, hal itu merupakan kekurangan yang perlu dipenuhi, agar mereka memiliki pengertian yang tepat sebagaimana dikehendaki oleh Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.
Buku ini mengemukakan banyak Hadith Rasulullah s.a.w. yang berkenaan dengan ahlulbait beliau. Di antara Hadith-Hadith yang banyak itu ada yang secara langsung mudah difahami maknanya, ada yang memerlukan pemikiran dan penggaliannya lebih dulu dan ada pula yang sukar dicerna akal, tetapi mudah diresapi dengan hati yang beriman. Memang demikian itulah cirri khusus ajaran agama. Kerana itu pemahaman beberapa Hadith yang tercantum di dalam buku ini tidak hanya menuntut kemampuan berfikir, tetapi juga menuntut kearifan dan kesedaran batin yang berlandaskan iman sepenuhnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dengan landasan iman semua ajaran sgama tidak sukar difahami, dan dengan iman pula akal tidak hanya berhenti pada alam kenyataan yang dapat dilihat dan diraba saja, tetapi akan terus-menerus mencari pengetahuan tentang soal-soal yang belum deketahui rahsia dan hikmahnya.
Mungkin ada orang yang berkata: Bukankah menganjur-ngajurkan kecintaan kepada ahlubait Rasulullah s.a.w. sejalan dengan ajaran mazhab Syi’ah? Pertanyaan seperti itu sebenarnya timbul dari kekurangan pengertian mengenai ajaran Islam selengkapnya. Yang menganjurkan, yang menyerukan, bahkan yang mewajibkan kecintaan kepada ahlulbait Rasulullah s.a.w. adalah beliau s.a.w. sendiri. Yang menetapkan kesucian ahlubait Rasulullah s.a.w. bukan mazhab dan bukan aliran, melainkan Allah s.w.t. melalui firmannya dalam al-Qur’anul-Karim. Yang meriwayatkan Hadith-Hadith Nabi tentang wasiat mengenai ahlulbaitnya bukan lain adalah para sahabat Rasulullah s.a.w. Dan yang menyampaikan kepada ummat Islam sedunia adalah para Imam ahli Hadith dan para ulama puncak dari semua mazhab. Bahkan Imam Syafi’i r.a sendiri menetapkan keharusan mengucapkan shalawat bagi sayyidina Muhammad dan aal sayyidina Muhammad dalam doa tasyahhud akhir pada tiap sholat fardhu lima kali sehari semalam. Jadi, kalau mazhab Syi’ah mengajarkan kepada para pengikutnya supaya mencintai ahlulbait Rasulullah s.a.w. itu adalah kewajipan mereka, sebagaimana yang telah menjadi kewajipan seluruh kaum Muslimin tanpa memandang perbezaan mazhab yang dianutnya.
Menurut hemat saya, buku tentang ahlulbait Rasulullah s.a.w. yang ditulis oleh K.H Abdullah bin Nuh ini cukup memberikan pokok-pokok pengertian tentang kewajipan kaum Muslimin mencintai Rasulullah s.a.w. dan ahlulbait beliau. Di sana-sini tampak adanya beberapa Hadith semakna yang terulang, tetapi mengingat kelainan sumber riwayat dan perawinya serta mengingat pula perbezaan konteks persoalan yang disajikannya, hal itu bukan merupakan kejanggalan, malah meringankan pembacanya. Sabda Rasulullah s.a.w. tersebut diulang di banyak tempat.
AkhirulKalam saya bersama seluruh warga ‘Alawiyyin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga besarnya kepada Buya K.H Abdullah bin Nuh atas kebajikan yang dengan tulus ikhlas diberikan kepada semua keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w. Semoga Allah s.w.t. dan Rasul-Nya berkenan meredhai usaha mulia yang disumbangkan olrh beliau kepada umat Islam Indonesia. Amin.
Sebagai penutup dari kata sambutan ini, saya menyatakan amat prihatin mendengar berita-berita tentang peristiwa yang pernah terjadi di Jawa Barat, Jawa Tengah dan Jawa Timur. Iaitu adanya sementara kaum muda dari golongan Alawiyyan yang tidak terpelajar dan tidak memperoleh pendidikan agama secara baik, menyalahgunakan salasilahnya sebagai keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w. untuk memperoleh keuntungan tertentu. Mereka mendatangi para pencipta ahlulbait dan sambil “mempromosikan” asal-usul keturunannya lalu mereka minta ini dan itu, bahkan adakalanya tidak segan-segan menggunakan cara-cara yang bersifat menekan. Perbuatan seperti itu tentu saja tidak sesuai dengan kedudukan mereka sebagai keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w. Namun syukurlah, di antara para pencinta ahlulbait banyak yang tidak menghiraukan mereka dan menolak dengan cara yang tidak menusuk perasaan. Kejadian tersebut di atas sungguh merupakan “musibah” yang mencemarkan martabat kaum Alawiyyan, merosak kehormatan dan kemuliaan Rasulullah s.a.w. serta mendiskreditkan nama baik agama Islam. Sebagai manusia biasa, bukan manusia maksum, mereka memang tidak terhindar dari kemungkinan berbuat kesalahan atau kekeliruan. Kerana itu mereka wajib diingatkan agar tidak berbuat hal-hal yang tidak sesuai dengan kehormatan ahlulbait Rasulullah s.a.w. yang harus mereka pelihara sebaik-baiknya. Kendati perbuatan mereka itu tidak separah yang dilakukan oleh sementara oknum yang mengaku beragama Islam, tetapi bagaimanapun juga perbuatan mereka yang tidak patut itu dapat dihebohkan atau dibesar-besarkan oleh pihak-pihak yang tidak menyukai ahlulbait Rasulullah s.a.w. dan tidak menyukai agama Islam. Bahkan perbuatan itu dapat ditiru oleh orang lain yang dengan mengaku-ngaku keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w. bermaksud hendak mencari keuntungan. Adalah menjadi kewajipan segenap kaum Muslimin untuk menginsyafkan mereka yang telah berbuat salah dan mengembalikan mereka ke jalan yang diredhai Allah dan Rasul-Nya.
Sehubungan dengan Fadhail Ahlulbait saya merasa perlu mengemukakan fatwa dari seorang ulama besar dan Mufti rasmi kerajaan Saudi Arabia dari kalangan mazhab al-Wahhabiyah, iaitu Allamah Almufti Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, yang dimuat dalam majalah “ALMADINAH”, halaman 9, nombor 5692, tanggal 7 Muharram 1402 H/24 Oktober 1982 Masihi sebagai berikut:
Seorang saudara dari Iraq mengajukan pertanyaan, bahawa sementara orang di negeri itu terkenal sebagai golongan “Sayyid” atau sebagai anak cucu keturunan Rasulullah s.a.w. Akan tetapi menurut keyakinan saya, demikian kata Saudara tersebut, mereka memperlakukan orang lain dengan perlakuan yang tidak semestinya mereka lakukan. Saya sendiri tidak tahu, apakah keyakinan saya itu benar ataukah salah. Yang saya anggap penting iaitu bahawa mereka itu memungut wang dari orang lain sebagai imbasan atas tulisan dan doa-doa yang mereka berikan untuk orang sakit…dan lain sebagainya. Mereka juga menerima shadaqah baik berupa ternakan sembelihan mahupun wang dan lain-lain. Dengan perbuatan seperti itu mereka membangkitkan keraguan orang banyak…dan seterusnya.
Jawapan atas pertanyaan tersebut ialah:
“Orang-orang seperti mereka itu terdapat di berbagai tempat dan negeri. Mereka terkenal juga dengan gelaran “syarif”. Sebagaimana yang dikatakan oleh orang-orang yang mengetahui, mereka itu berasal dari keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w. Di antara mereka itu ada yang salasilahnya berasal dari al-Hassan r.a dan ada pula yang berasal dari al-Husein r.a; ada yang dikenali dengan gelaran “sayyid” dan ada juga yang dikenali dengan gelaran “syarif”. Itu merupakan kenyataan yang diketahui umum di Yaman dan di negeri-negeri lain.
“Mereka itu sesungguhnya wajib bertaqwa kepada Allah dan harus menjaga diri dari hal-hal yang diharamkan Allah bagi mereka. Semestinya mereka itu harus menjadi orang-orang yang paling menjauhi segala macam keburukan. Kemuliaan silsilah mereka wajib dihormati dan tidak boleh disalahgunakan oleh orang-orang yang bersangkutan. Jika mereka diberi sesuatu dari Baitul-Mal itu memang telah menjadi hak yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada mereka. Pemberian halal lainnya yang bukan zakat, tidak ada salahnya kalau mereka itu mahu menerimanya. Akan tetapi kalau silsilah yang mulia itu disalahgunakan, lalu ia beranggapan bahawa orang yang mempunyai silsilah itu dapat mewajibkan orang lain supaya memberi ini dan itu, sungguh itu merupakan perbuatan yang tidak patut. Keturunan Rasulullah s.a.w. adalah keturunan yang termulia dan Bani Hasyim adalah yang paling afdhal di kalangan orang-orang Arab. Kerananya tidak patut kalau mereka melakukan sesuatu yang mencemarkan kemuliaan martabat mereka sendiri, baik berupa perbuatan, ucapan ataupun perilaku yang rendah.
“Adapun soal menghormati mereka, mengakui keutamaan mereka dan memberikan kepada mereka apa yang telah menjadi hak mereka, atau memberi maaf atas kesalahan mereka terhadap orang lain dan tidak mempersoalkan kekeliruan mereka yang tidak menyentuh soal agama, semuanya itu adalah kebajikan. Dalam sebuah Hadith Rasulullah s.a.w. berulang-ulang mewanti-wanti: “Kalian ku ingatkan kepada Allah akan ahlulbaitku…kalian ku ingatkan kepada Allah akan ahlulbaitku”. Jadi, berbuat baik terhadap mereka, memaafkan kekeliruan mereka yang bersifat peribadi, menghargai mereka sesuai dengan darjatnya, dan membantu mereka pada saat-saat membutuhkan; semuanya itu merupakan perbuatan baik dan kebajikan kepada mereka…
Demikianlah fatwa al-mukarram Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz mengenai kedudukan para keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w. di tengah masyarakat. Saya fikir kedudukan seperti itu perlu difahami oleh kaum Muslimin, terutama oleh para keturunan ahlulbait sendiri sebagai pihak yang paling berkewajipan menjaga kemuliaan martabat Rasulullah s.a.w. dan para ahlulbaitnya. Suatu kekeliruan atau kelengahan yang dilakukan oleh seseorang tidak akan setajam disorot oleh masyarakat seperti kekeliruan atau kelengahan yang dilakukan oleh seorang dari keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w. Ini wajar kerana mereka itu dipandang oleh masyarakat sekitarnya sebagai teladan dalam kehidupan sehari-hari.
Akhirul-kalam, saya bersama seluruh warga Alawiyyin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga besarnya kepada Buya K.H Abdullah bin Nuh atas amal kebajikan dengan tulus ikhlas diberikan kepada semua keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w. dengan mencurahkan jerih payahnya untuk menulis buku ini. Semoga Allah dan Rasul-Nya berkenan meridhai usaha mulia yang beliau sumbangkan kepada umat Islam Indonesia, wa billahi attawfig wal hidayah, Amin.
Jakarta, 1986.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s