Peringkat- Peringkat Golongan Yang Berzikir

Apabila kita memperkatakan zikir di dalam bahasa Melayu, dikatakan mengingat atau menyebut iaitu mengingat dan menyebut yang ada hubung kait dengan Allah sama ada dengan perkataan atau lisan , dengan perbuatan iaitu melibatkan seluruh anggota lahir (jawarih) kita. Atau dengan hati, ia berlaku dengan perantaraan mahupun dengan tidak ada perantaraan sama ada secara nyata (jahran) mahupun secara senyap (sirran).

Perlu diingat, bahawa zikir yang paling besar dan agung ialah melalui sembahyang lima waktu. Selain ia bersifat menyembah, di dalamnya ada berbagai bentuk zikir termasuk lafaz Al Jalaalah dan dua kalimah syahadah.

Oleh itu jangan ada di waktu sembahyang itu sama ada hati, lafaz yang diwajibkan serta gerak-geri kita tidak menggambarkan menyembah dan
mengingati Allah SWT lagi Maha Agung.

Kalau di dalam sembahyang ketiga-tiga anggota kita itu sudah tidak menggambarkan kita berzikir kepada Allah, jangan haraplah di luar sembahyang kita boleh mendisiplinkan ketiga-tiga anggota kita itu menepati berzikir kepada Allah. Allah Taala berfirman:

“Dirikanlah sembahyang kerana mengingati Aku.”(Toha: 14)

Di sini disebutkan golongan-golongan yang berzikir seperti berikut:

Golongan yang pertama:

Golongan yang langsung tidak menyebut Allah atau nama Allah. Kalaupun mereka menyebut Tuhan, tapi bukan Tuhan yang sebenar kerana mereka menyebut tuhan-tuhan yang mereka sangka-sangka. Tuhan yang mereka khayal-khayalkan, tuhan palsu mereka, ertinya mereka menyebut bukan kepada sasaran Tuhan yang sebenar. Inilah golongan orang yang kafir.

Kedua:

Golongan yang menyebut atau mengingat Allah dengan lidah semata-mata tapi tidak dihayati oleh hatinya atau mengingati sekali-sekala. Dengan kata-kata yang lain hatinya tidak benar-benar merasa bertuhan dan tindak-tanduk anggota lahirnya tidak mengikut syariat. Secara akal dan ilmu mereka percaya adanya Tuhan dan mengetahui sifat-sifat Tuhan. Kalaupun mereka membaca lafaz-lafaz zikir seperti lafaz Subhanallah, Alhamdulillah, Wallahu akbar, ya Latif, ya Ghafar dan lain-lain, hanya menyebut pada lidah (lisan) tidak di hati. Inilah golongan yang lalai. Golongan yang lalai ini boleh jatuh kepada fasik, zalim, kalau dibiarkan boleh jatuh kepada kafir secara tidak sedar.

Ketiga:

Golongan yang mengingati Tuhan Allah serta menyerah diri pada Allah di waktu susah, waktu terdesak, ketika mendapat bala bencana, maka barulah dia perlu kepada Allah, barulah bersyariat. Di waktu itu dia mengharap sangat kepada Allah, mengadu meminta pertolongan. Apabila berhadapan dengan kesenangan atau masalah telah selesai mereka melupai Tuhan, mereka tidak perlu kepada Tuhan lagi. Itulah golongan pendusta.

Keempat:

Golongan yang berzikir sama ada hati, perkataan dan fiziknya (jawarihnya) sedikit lalai. Iaitu masih banyak lagi mengingati perkara-perkara yang harus (mubah) atau kalau perkataan dan perbuatannya banyak kepada yang harus kalau terlanggar perkara-perkara yang haram pun sedikit sangat. Inilah golongan Ashabul Yamin atau orang yang soleh.

Kelima:

Golongan yang seluruh anggota yang tiga itu sentiasa berzikir dengan Allah dan sentiasa mengikut syariat. Kalaupun ada lalai kerana masih terlibat dengan hal atau perkara-perkara yang harus (mubah). Inilah golongan muqarrobin.

Keenam:

Golongan yang benar-benar tenggelam mengingati Allah, mabuk mencintai-Nya, perkataan dan seluruh jawarihnya benar-benar mengikut syariat dan dapat membesarkan Tuhan. Perkara-perkara yang mubah pun mereka tidak terlibat. Kalau ada pun terlalu terbatas. Mereka benar-benar mabuk dengan Tuhan. Hatinya penuh rindu atau terlalu takut dengan Tuhan. Nampak terserlah kebesaran Tuhan itu pada kehidupan lahir mereka iaitu di dalam sikap dan perihal kehidupan lahir mereka. Tanda-tanda kebesaran Tuhan itu (ayatullah) benar-benar wujud pada diri mereka. Itulah golongan As Siddiqin.

Sebenarnya kita diperintahkan agar setiap gerak-geri, sikap, tindak-tanduk kita, sama ada lisan, hati, anggota lahir (jawarih) adalah menggambarkan dan melambangkan kita itu ada hubung kait dengan Allah Taala.

Itulah yang dikatakan zikir itu.

Sumber: http://www.kawansejati.org/node/15518

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s