Syeikh Muhammad Nor Al Kholidi

SYEIKH MUHAMMAD NOR AL KHOLIDI adalah khalifah ke-35 Tareqat Naqsyabandiah dan terkenal sebagai seorang wali Allah dengan berbagai karamah. Beliau juga seorang pemimpin masyarakat yang berwibawa dan berjiwa sufi. Ini terbukti dengan berjayanya beliau memimpin ahli jemaah-nya di perkampungan Sungai Cincin, Gombak, sekitar tahun 1894-1919, di mana satu struktur pentadbiran dan undang-undang yang dilagangnya sendiri dapat dipraktikkan.

Dengan sokongan orang ramai, Syeikh Muhammad Nor yang berasal dari Sumatera Utara, dapat membangunkan se-buah pusat pengajian yang bukan saja menekankan soal-soal ilmu tetapi juga tarbiah rohaniah.

Bangun Perkampungan Berteraskan Syariat

Kampung Sg Cincin, Gombak terletak kira-kira 13 km dari bandaraya Kuala Lumpur. Syeikh Muhammad Nor Al Kholidi mula menerokanya pada sekitar tahun 1894, kira-kira 10 tahun dari tarikh beliau tiba di Tanah Melayu dari kampung asalnya di Penyambongan, Sumatera Utara.

Turut berhijrah bersama ulama sufi ini ialah adik angkat-nya Syeikh Zainal Abidin dan dua ulama lain. Mereka dari keturunan Mendeleng.
“Keempat-empat mereka alim-alim belaka dan apabila sampai ke Semenanjung mereka berpecah, seorang menetap di Tapah, Perak, seorang lagi mungkin di Perak juga, cuma mereka berdua (Syeikh Muhammad Nor dan Syeikh Zainal Abidin) yang tidak pernah berpisah,” kata Hajah Fatimah, 69 tahun, anak bongsu kepada Syeikh Muhammad Nor, keti¬ka ditemui di rumah anaknya di Sentol Pasar, Kuala Lumpur.

Hajah Fatimah mendapat cerita sahih tentang ayahnya itu daripada mulut emak tuanya sendiri iaitu isteri Syeikh Muhammad Nor yang kedua, Hajah Halimah. Menurut cerita, Hajah Halimah adalah isteri yang paling alim dan warak di antara tujuh orang isterinya. Malah Syeikh Muhammad Nor pernah berkata bahawa Hajah Halimah adalah kitab tempat rujukannya dan tempat beliau berbincang terutamanya tentang hal-ehwal kaum wanita. Dan Hajah Halimah juga membantu suaminya mengajar dan membimbing kaum ibu secara terasing dari kaum lelaki.

Bersama Syeikh Zainal Abidin selaku pembantu kanannya, Syeikh Muhammad Nor meneroka perkampungan Sg. Cincin serta berjuang membangunkan sistem hidup Islam di dalamnya. Tapak perkampungan itu adalah tanah yang diwakafkan oleh Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor yang kelima (memerintah hingga 1938).

Sebenarnya beberapa tahun sebelum itu, Syeikh Muhammad Nor telah membina sebuah masjid bersama orang-orang kampung di Batu 8, Jalan Gombak. Setelah mendapati kawasan di situ tidak sesuai untuk dijadikan perkampungan Islam seperti yang dirancangkan, beliau pun mengambil keputusan untuk berpindah lalu memilih Kampung Sungai Cincin di Batu 7 iaitu satu batu dari masjid itu. Manakala masjid di Batu 8 itu masih kekal sehingga ke had ini.

Tapak perkampungan yang dipilih itu bukan sahaja cantik dan menarik tetapi juga terdapat berbagai-bagai kemudahan. Bahagian depan kampung ini terletak di lereng bukit yang di antaranya (antara bukit dan perkampungan) mengalir Sungai Gombak menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur. Di situ juga bertemunya dua anak sungai yang salah satu daripadanya melintasi kawasan perkampungan itu.

Bahagian belakang perkampungan tersebut merupakan kawasan tanah rendah yang sangat sesuai dengan tanaman padi. Di sebelah barat perkampungan Syeikh Muhammad Nor membina empangan menakung air. Tempatnya agak tinggi sedikit. Daripada takungan inilah disalurkan air ke kawasan sawah padi dan disalurkan ke rumah-rumah dan masjid untuk kegunaan umum. Teknik menyalurkan laluan air dari bukit ke masjid ini banyak terdapat di Indonesia.

Perhubungan untuk membeli barang-barang keperluan atau untuk memasarkan barangan yang dikeluarkan juga mudah sama ada melalui jalan sungai atau jalan darat yang sampai ke pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Di atas tapak 14 ekar, Syeikh Muhammad Nor berjaya mem-bangunkan kampung berteraskan syariat dan terlaksana hu-kum-hakam Islam di dalamnya.

Selain kerana kesungguhan berusaha, kejayaan membangunkan perkampungan Islam di Sungai Cincin adalah berkat ilmu dan pengalaman yang diperolehi bertahun-tahun sebelumnya terutama dalam perantauan Syeikh Muhammad Nor ke Makkah. Beliau pergi ke Makkah bersama Syeikh Zainal Abidin melalui Thailand dan India. Mereka menempuh perjalanan yang sukar untuk mengerjakan haji dan melanjutkan pelajaran terutama dalam bidang tasawuf dan perjalanan tareqat selain untuk menziarahi maqam Rasulullah SAW, Sahabat-Sahabat r.a. dan maqam ibunya sendiri yang kembali ke rah-matullah di Makkah setahun sebelum itu.

Beliali bermukim lebih tiga tahun di Makkah. Sepanjang tempoh itu, beliau memenuhi hajatnya menziarahi orang alim di samping menziarahi maqam orang-orang soleh. Selepas itu beliau berangkat pula ke Mesir melalui jalan darat.

“Di sini niat ayah saya makbul untuk menziarahi 40 kali maqam Imam Syafi’i semasa di Mesir,” kata Hajah Fatimah.

Semasa dalam musafir untuk meluaskan pengalaman dan menimba ilmu pengetahuan itu, Syeikh Muhammad Nor banyak menerima bantuan ALLAH SWT secara nyata dan ghaib ketika menghadapi kesulitan di sepanjang perjalanan. Sebelum menjelajah ke Timur Tengah beliau sudah pun memiliki kemantapan ilmu-ilmu syariat hasil bimbingan tuan-tuan guru di kampung asalnya di Penyambongan.
Dan berkat kesanggupannya menempuh susah payah itu juga telah memantapkan keperibadiannya sebagai seorang pemimpin yang berhemah tinggi dan dapat dicontohi oleh pengikut. Dengan kekuatan yang ada, beliau berjaya membangunkan perkampungan seperti yang diidam-idamkan sejak berhijrah ke Tanah Melayu sekitar tahun 1885. Cita-cita ini sungguh kuat tertanam dalam dirinya dan beliau berusaha dengan susah payah untuk menjadikannya satu kenyataan tanpa memikirkan kesenangan dan kemewahan hidup.

“Memang Syeikh Muhammad Nor tidak meninggalkan harta kekayaan, malah tapak perkampungan seluas 14 ekar yang dia terokai sendiri pun menjadi tanah wakaf dan termasuk dalam tanah bebas cukai kerana ia milik wakaf raja,” kata Encik Abdul Rahman Jalis, 64, bilal masjid di perkam¬pungan peninggalan Syeikh Muhammad Nor.

“Bagaimanapun, pentadbiran kampung ini sentiasa dipe-gang oleh waris beliau sendiri sejak dulu lagi, dan keutamaan untuk duduk dan memakan hasil tanah ini sentiasa diberi-kan kepada keluarga Syeikh Muhammad Nor,” jelas beliau.

Tegakkan Pusat Tarbiah Wa Ta’lim

Di atas tapak yang begitu strategik, Syeikh Muhammad Nor membangunkan perkampungan yang di dalamnya tertegak tarbiah dan ta’lim (pendidikan dan pelajaran) untuk semua peringkat umur, lelaki dan perempuan. Projek besar ini be¬liau laksanakan di atas kesedaran bahawa manusia hanya da¬pat ditundukkan kepada perintah dan hukum-hakam ALLAH melalui ilmu dan didikan.

Antara yang mula-mula beliau bina ialah masjid (yang kekal sehingga ke hari ini setelah diubah suai), dan kemudian surau khas untuk kaum ibu.

Bagi memastikan pergaulan dalam kampung benar-benar menepati syariat, beliau menyusun kediaman penduduknya secara begitu sistematik dengan memisahkan penuntut bujang lelaki dari perempuan dan terpisah pula dengan rumah kelamin.

“Syeikh Muhammad Nor mengarahkan supaya pelajar-pelajar bujang membina pondok-pondok mereka di sebelah kanan kampung dan menyediakan rumah-rumah yang kemas untuk pelajar perempuan di sebelah kiri kampung. Dan di sebelah depan diuntukkan bagi orang berkeluarga,” kata Hj. Ahmad Othman, 66, imam masjid Kg. Sungai Cincin.

Hj. Ahmad berkata, tidak berlaku sama sekali pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Malah kaum ibu tidak dibenarkan keluar rumah kecuali kerana sesuatu hajat terutamanya kerana belajar dan untuk mendapatkan barang keperluan dengan syarat memakai pakaian menutup aurat dan ramai pula yang memakai tunton (atau kini lebih dikenali dengan purdah) yang hanya menampakkan dua biji mata.

Mengenai pakaian tunton ini, Hajah Fatimah mengesahkan bahawa kaum wanita pada masa hayat Syeikh Muhammad Nor dan pada zaman penggantinya iaitu anak sulung beliau sendiri, Syeikh Muhammad Tahir (Almarhum), umumnya memakai tunton. Sehingga kini Hajah Fatimah tetap memakainya.

“Saya tetap memakai tunton ini bersama kakak saya Hajah Habsah yang tinggal bersama anaknya di Bandar Baru Bangi, kerana ini pesanan ayah saya seperti yang dituntut oleh syariat. Selama hayat saya, saya hanya membuka muka di khalayak ramai ketika bertawaf sewaktu mengerjakan haji, kemudian saya pakai semula hingga sekarang,” kata Hajah Fatimah.

Mungkin ada yang bertanya, tidakkah beliau merasa rimas dengan berpakaian begitu?

“Tidak, malah saya boleh membuat berbagai-bagai pekerjaan sepertimana kaum ibu lain,” jawab Hajah Fatimah yang berwatak cergas itu.

Menurut Hajah Fatimah lagi, sepertimana yang diceritakan kepadanya oleh mak tuanya Hajah Halimah, pada zaman Syeikh Muhammad Nor kaum wanita di perkampungan itu tidak perlu keluar rumah kerana apa saja keperluan seperti air untuk membasuh, mandi dam mengambil wudhuk, dan penyidai kain baju disediakan di dalam rumah dan kawasan yang berhijab. Begitu juga dengan keperluan-keperluan dapur, semuanya disediakan secukupnya. Memang mudah, senang dan akhlak terpelihara.

Kuatkuasa Undang-undang

Ternyata pemilihan tempat yang begitu menarik dengan kemudahan-kemudahan yang tersedia dan penyusunan penduduk yang begitu rapi itu memudahkan Syeikh Muhammad Nor menguatkuasakan peraturan yang dilagangnya sendiri.

“Dalam soal disiplin, Syeikh Muhammad Nor sangat tegas, dan untuk itu dia menyediakan petugas-petugas kuasa seperti juga polis, di bahagian lelaki dan juga perempuan. Sesiapa yang didapati bersalah akan dihukum takzir setimpalnya dan ramai yang dijatuhi hukuman lokap,” kata Imam Hj. Ahmad.

Menurut Hajah Fatimah, terdapat empat lokap bagi perempuan berukuran kira-kira empat kaki lebar dan sepuluh kaki panjang dan dua lokap untuk pesalah lelaki yang ukurannya lebih kecil. Fakta ini selari dengan kenyataan Imam Hj. Ahmad dan menantu Syeikh Muhammad Nor sendiri, Hajah Fatimah Syafir (isteri kepada Hj. Muhammad Syeikh).

Kesan-kesan lokap untuk pesalah perempuan masih terdapat di sebelah rumah yang didiami oleh Hajah Fatimah. Lokap itu asalnya sebuah bilik gelap dan hanya ada ruang untuk mengambil makanan dan satu lubang kecil untuk dimasuki sedikit cahaya.

Di antara kesalahan yang menyebabkan seseorang penduduk atau penuntut menerima hukuman lokap itu ialah leka atau meninggalkan sembahyang, derhaka kepada ibu bapa atau engkar kepada guru, bergaduh sesama pelajar, dan mencuri. Denda juga dikenakan kepada muridnya yang malas beribadah seperti tidak bangun malam, tidak datang pada awal waktu sembahyang, dan malas berpuasa. Hukuman lokap ada yang untuk tempoh seminggu, lima hari, dua hari dan sehari semalam dengan diberi makan minum yang sedikit, serta disuruh membaca wirid-wirid tertentu dan berpuasa sunat.

Anehnya, semua pengikut dan pelajar sangat patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh Syeikh Muhammad Nor dan sanggup dikenakan lokap jika melakukan kesalahan yang akhirnya membawa perubahan kepada kebaikan.

“Malah ada di antara isteri ayah saya yang dilokap olehnya tetapi saya tidak tahu sebab-sebabnya. Ada juga pengikut dan pelajar yang cabut lari kerana tidak sanggup mematuhi peraturan,” cerita Hajah Fatimah. Beliau menyifatkan Syeikh Muhammad Nor sebagai seorang yang tegas dan warak serta dikurniai karamah oleh ALLAH.

Hajah Fatimah berkata ayahnya juga seorang yang pemurah dan ini amat nyata dalam masa mengendalikan sekolah. Semua pelajarnya tidak dikenakan sebarang bayaran. Perbelanjaan sepenuhnya ditanggung oleh beliau. Hal ini sangat masyhur di kalangan penuntut dan pengikutnya yang bukan saja datang dari Selangor tetapi juga dari Perak, Negeri Sembilan, dan negeri-negeri lain. Bagaimanapun beliau menganjurkan semua pengikutnya bekerja menanam padi, berkebun dan mendulang bijih.

Menurut anak Syeikh Muhammad Nor, Almarhum Hj. Muhammad Syeikh, yang ditemui semasa hayatnya enam tahun lalu, orang-orang kaya turut menyumbang derma terutama dari kalangan India Muslim yang kebanyakannya berniaga di Kuala Lumpur. Dengan itu para pengikutnya dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran di samping membuat kerja tanpa bimbang mengenai makan minum dan keperluan-keperluan lain.

“Anehnya, sewaktu berlakunya Perang Dunia Pertama, perkampungan Sungai Cincin ini tidak putus-putus dengan rezeki sedangkan masyarakat di luar sedang menghadapi berbagai-bagai kesulitan. Perkampungan ini tidak terganggu dan persekolahan berjalan seperti biasa,” kata Hj. Muhammad Syeikh, waris kedua yang mengendalikan perkampungan itu selepas kematian abangnya Hj. Muhammad Tahir.

Mengenai tenaga pengajar, Syeikh Muhammad Nor mempunyai guru-guru pembantu dan di antaranya ialah Hj. Abdul Qadir dan Hj. Kassim (kedua-dua mereka akhimya menjadi menantu beliau), Hj. Samin dan ramai lagi guru lepasan pondok-pondok tempatan.
Apabila menghadapi masalah-masalah semasa, Syeikh Muhammad Nor selalu pula mengadakan pertemuan dengan orang-orang alim dari merata tempat. Mereka pernah membincangkan soal pendidikan, hukum kariyah masjid, hubungan dengan penjajah Inggeris dan lain-lain.
Syeikh Muhammad Nor juga sentiasa mengambil tahu tentang anak-anak murid dan pengikutnya yang sudah layak berumahtangga. Beliau akan merancang perjodohan di kalangan pengikut-pengikutnya yang lazimnya dibiayai oleh beliau sendiri dan sahabat-sahabat seperkampungan yang lain.

“Pada masa itu semua urusan perkahwinan berjalan mengikut syariat dan sesederhana mungkin tanpa maksiat dan pembaziran,” kata Hajah Fatimah.

“Ayah saya mengahwinkan kami semua dengan ahli-ahli jemaah perkampungan Sungai Cincin semasa kami masih muda,” tambahnya.
Syeikh Muhammad Nor sendiri mengamalkan poligami dengan-beristeri tiga dan empat orang dalam satu-satu masa. Tujuh orang isterinya kesemuanya solehah dan taat kepada perjuangan yang dilagang oleh beliau.

Syeikh Muhammad Nor bukan saja mendidik pengikutnya dengan peraturan-peraturan yang tegas, malah beliau lebih memberatkan tarbiah rohani berdasarkan amalan sufi. Beliau menekankan banyak pengajian tasawuf dan memimpin wirid, zikir, menganjurkan puasa sunat, membanyakkan ibadah malam dan mengadakan ‘kubur percubaan’.

Kubur percubaan ini yang terletak di luar mihrab masjid, bertujuan untuk menginsafkan pengikut-pengikutnya kepada soal-soal mati, Alam Barzakh, Padang Mahsyar, Hari Akhi-rat, Syurga dan Neraka.

“Bagi sesiapa yang ingin mencuba, dibenarkan masuk ke Hang lahad selama beberapa ketika dengan beberapa syarat atau cara tertentu. Insya-Allah dapat merasai sebahagian daripada alam ghaib seperti yang terdapat di alam kubur,” cerita Imam Hj. Ahmad, sepertimana pernah dialami oleh’mereka semasa hayat Syeikh Muhammad Nor.

Syeikh Muhammad Nor berpegang kepada kata-kata, “Cukuplah mati sebagai pengajaran.” Dan zikrul maut itu Sunnah Rasulullah, di mana baginda mengingati mati 100 kali dalam sehari. Dengan cara itu beliau berjaya membentuk pengikut-pengikutnya menjadi soleh, warak, taat dan bertaqwa kepada Allah SWT.

Walaupun perkampungan Sg. Cincin ini terus terkenal tetapi sudah mengalami banyak perubahan. Selain tertegaknya
bangunan-bangunan baru, cara hidup penduduk perkampungan turut berubah setelah lebih 60 tahun ditinggalkan oleh Syeikh Muhammad Nor.

“Sekarang sudah tidak seperti dulu lagi. Ayah saya bukan sahaja tegas tentang penutupan aurat dan batasan pergaulan lelaki perempuan, malah melarang semua jenis bunyi-bunyian, seperti yang banyak terdapat pada hari ini,” kata Hajah Fatimah.

Namun, seperti juga di tempat-tempat lain, pengajian di masjid terus dijalankan. Begitu juga dengan kelas mengaji untuk kanak-kanak dan sembahyang jemaah lima waktu dan sembahyang Jumaat, masih meriah. Biarpun zaman kegemilangan Perkampungan Sungai Cincin sudah berlalu tetapi masih besar manfaatnya bagi generasi hari ini untuk mengambil contoh iktibar daripada perjuangan hebat Syeikh Muhammad Nor Al Kholidi, seorang wali yang berperanan sebagai pemimpin masyarakat.

Syeikh Muhammad Nor kembali ke rahmatullah dalam usia 58 tahun pada 13 Syaaban 1349 (1932), meninggalkan ramai pengikut setianya dan meninggalkan begitu banyak jasa terhadap perkembangan Islam di negara ini. Allahyarham di-maqamkan di dalam Perkampungan Sungai Cincin. Dan maqam beliau sering diziarahi orang.

Perkampungan Islam yang beliau asaskan masih kekal walaupun zaman kegemilangannya telah berlalu.

“Sehingga ke hari ini,” kata Tuk Empat kampung itu kepada penulis, “pihak istana menyerahkan pentadbiran kampung ini kepada penduduk di sini sejak pemerintahan Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Hisamuddin Alam Shah dan Sultan Salahuddin Abd. Aziz Shah yang sedang berkerajaan.”

“Kita tidak perlu bayar apa-apa cukai kerana ia wakaf raja,” tambah beliau.

Sumber:http://www.kawansejati.org/tujuh-wali-melayu/ms-05-syeikh-muhammad-nor-al-kholidi.htm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s