Al-Habib Abdul Rahman bin Muhammad Al-Aidrus (Tokku Paloh – Terengganu)

TOKKU PALOH atau nama sebenarnya Sayid Abdul Rahman bin Muhammad Al-Aidrus adalah ulama kerohanian yang berkecimpung dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu. Beliau hidup dalam zaman pemeritahan lapan orang sultan silih berganti; paling lama dan paling kuat pengaruh beliau ialah semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-II.

Kerana kewibawaannya, beliau diberi mandat oleh Sultan mentadbir kawasan Paloh dan mengawasi kawasan Hulu Terengganu. Beliau juga diterima sebagai penasihat pertama dan utama kepada Sultan dalam berbagai persoalan. Beliau tegas dan pintar dalam bidang diplomatik, dan sering diberi peluang mewakili Sultan berunding dengan pihak British sehingga pada zaman itu British gagal menjajah Terengganu.

Tokku Paloh terkenal sebagai seorang wali Allah yang mempunyai berbagai karamah dan sentiasa mendapat bantuan Allah SWT khususnya sewaktu mengendalikan urusan rakyat. Tokku Paloh adalah khalifah Tareqat Naqsyabandiah, dan beliau turut mengamal dan mengembangluaskan ‘Syahadat Tokku’, satu amalan yang disusun oleh ayahnya Tokku Tuan Besar

Pencatur Dasar Luar Terengganu

“Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun,” kata Tukku Paloh. ‘Tetapi, kalau hendak tanah, silakan. lsilah ke dalam armada tuan sebanyak mana pihak British mahu… ambillah tanah.”

Itulah jawapan Tokku Paloh kepada wakil British, semasa berlaku perundingan antara pihak British dengan Tokku Paloh yang mewakili kerajaan Negeri Terengganu. Jawapan dalam bentuk sindiran itu, yang diluahkan dengan tenang tapi tegas, ternyata menyakitkan hati wakil-wakil British itu. Mereka bangun untuk beredar. Tetapi, dengan kuasa Allah, punggung mereka tidak semena-mena terlekat di kerusi. Apabila mereka mengangkat punggung, kerusi turut terangkat sama buat seketika sebelum jatuh ke lantai. Waktu itu Tokku Paloh bersuara secara bersahaja: “Sudahlah tuan-tuan hendak ambil tanah Terengganu, kerusi rumah saya pun tuan-tuan hendak ambil”.

Demikianlah gagalnya diplomasi British untuk menjajah Terengganu pada sekitar awal abad ke-20. Taktik diplomasi yang berjaya digunakan di beberapa negeri lain, gagal di Terengganu kerana adanya gandingan rapat antara ulama dan umarak (pemerintah). Tegasnya, antara Sayid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tukku Paloh, dengan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-ll (memerintah 1881-1918).

Keturunan Rasulullah SAW

Dilahirkan pada tahun 1817 (1236 Hijrah) di Kg. Cabang Tiga, Kuala Terengganu, Tokku Paloh adalah nasab ke-32 daripada Rasulullah SAW di kalangan keluarga Al-Aidrus. Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein r.a. anak Sayidatina Fatimah Az-Zahrah r.ha. binti Rasulullah. lbunya, Hajah Aminah, ialah isteri pertama daripada beberapa orang isteri Sayid Muhammad yang terkenal dengan gelaran Tokku Tuan Besar. Semasa pemerintahan Sultan Omar, Tokku Tuan Besar menjadi Syeikhul Ulama iaitu ketua seluruh ulama Terengganu, dan dianugeiahkan gelaran Paduka Raja Indra oleh baginda Sultan. Kedua-dua kedudukan itu menjadikan Tokku Tuan Besar sangat dihormati dan berpengaruh di kalangan istana dan rakyat keseluruhannya.

Sebagai seorang ulama yang bertanggungjawab dan berpengaruh, Tokku Tuan Besar berusaha sehingga terlaksana hukum-hukum Islam secara meluas dalam sistem pentadbiran dan kehidupan di bawah pemerintahan Sultan Omar (memerintah 1839-1875), hingga Terengganu terus terkenal sebagai negeri yang berpegang teguh dengan Islam, di sekitar pertengahan abad ke-18 Masihi.

Menyedari pentingnya penyebaran ilmu agama dan bimbingan amal, maka Tokku Tuan Besar mendirikan masjid di Kampung Cabang Tiga. Masjid ini kini telah diubahsuai dan meriah dengan ahli jemaah. Di sinilah Tokku Tuan Besar yang juga pengarang beberapa buah kitab itu menyebarkan ilmu dan tarbiah kepada ramai anak muridnya dan anak-anaknya sendiri termasuk Sayid Abdul Rahman (Tokku Paloh).

Dengan itu nyatalah Tokku Paloh itu bukan saja berketurunan Rasulullah SAW yang mulia malah mendapat didikan dan asuhan dalam keluarga yang kuat beragama. Semua adik-beradiknya juga mempunyai keahlian dalam hal-ehwal agama dan di antara yang terkenal ialah Sayid Zain (dilantik menjadi Menteri Besar pada tahun 1864 oleh Sultan Omar), Sayid Ahmad (bergelar Tuan Ngah Seberang Baroh) dan Sayid Mustaffa (seorang ulama yang juga ahli Majlis Mesyuarat Negeri; merupakan salah seorang dan empat pembesar yang pernah diwakilkan memegang pemerintahan negeri sewaktu Sultan Zainal Abidin III melawat Siam pada Ogos 1896.

Di kalangan adik-beradiknya, Tokku Palohlah yang paling masyhur dan mempunyai banyak keistimewaan yang luar biasa.

Menurut cucunya Sayid Abdul Aziz, sejak kecilnya lagi sudah ada tanda-tanda pelik yang mengisyaratkan Tokku Paloh akan muncul menjadi orang penting masyarakat. Satu ketika semasa Tokku Paloh berada bersama ayahnya Tokku Tuan Besar, tiba-tiba saja Tokku Paloh melihat seorang yang berserban dan berjubah hijau memanggilnya. Tokku Tuan Besar menahannya seraya berkata, “Engkau jangan pergi dekat orang itu, nanti engkau tidak boleh bersama abah lagi.”

Perkataan Tokku Tuan Besar itu tidak begitu pasti apa maksudnya. Tetapi yang nyala, Tokku Tuan Besar juga seorang yang kasyaf; dapat melihat kemunculan seorang yang berserban dan berjubah hijau itu. Siapa orangnya? Wallahu a’lam.

Menuntut di Mekah

Tokku Paloh mendapat didikan awal daripada ayahnya sendiri dan beberapa orang ulama tempatan. Kemudian beliau mengikut jejak ayahnya mendalami ilmu dan meluaskan pengalaman di Makkah Al Mukarramah. Di sana beliau belajar dengan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, dan khatam banyak kitab muktabar dalam berbagai bidang ilmu- tauhid, feqah, tasawuf, tafsir, nahu, saraf dan lain-lain.

Penulis gagal menemui orang yang tahu secara detail liku-liku perjalanan Tokku Paloh menuntut ilmu. Bagaimanapun, yang jelasnya Tokku Paloh sangat arif tentang ilmu tasawuf dan ilmu tareqat. Malah beliau ada mengarang kitab dan risalah mengenai persoalan kerohanian.

Setelah lebih 10 tahun di Makkah, Tukku Paloh pulang sebagai seorang ulama besar. Beliau seorang yang warak dan terkenal sebagai pemimpin kerohanian yang mengembangkan Tareqat Naqsyabandiah. Beliau adalah khalifah tareqat ini.

Sepulangnya dari Makkah, Tokku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Ini merupakan langkah awal beliau berkhidmat kepada orang rarnai, sebelum melangkah kepada kegiatan yang lebih mencabar, bukan saja dalam bidang pengajaran ilmu tetapi juga dalam bidang pentadbiran, pemerintahan dan jihadnya menentang mungkar dan penjajah British.

Regu Sultan Zainal Abidin III

Seperti juga ayahnya, Tokku Paloh seorang yang sangat berpengaruh di kalangan istana dan menjadi tempat rujuk sultan. Malah perlantikan sultan itu sendiri mempunyai kaitan rapat dengan pengaruh Tokku Paloh di kalangan istana, yang diwarisi daripada ayahnya Sayid Muhammad bin Zainal Abidin, yang terkenal dengan panggilan Tokku Tuan Besar, juga merupakan tokoh agama yang amat terkenal dan pengarang kepada lebih kurang 16 buah buku agama dan nazam.

Hubungan Tokku Paloh dengan sultan ini boleh disamakan dengan hubungan antara Sultan Zainal Abidin I (memerintah 1725-1734) dengan seorang lagi ulama besar Terengganu, Syeikh Abdul Malik bin Abdullah. Ulama yang terkenal dengan gelaran Tuk Pulau Manis ini juga dikenali sebagai wali Allah, dan banyak mengarang kitab. Sebagai Syeikhul Ulama dan mufti, Tuk Pulau Manis amat berpengaruh di kalangan istana dan dikatakan bertanggungjawab atas pertabalan Sultan Zainal Abidin I yang kemudian menjadi menantu beliau.

Menyedari peri pentingnya pemerintahan raja yang adil yang berlunaskan hukum-hukum Allah SWT, Tokku Paloh bersama Sayid Abdullah (Menteri Besar ketika itu) mengetuai sokongan terhadap perlantikan Tengku Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu menggantikan Sultan Ahmad Shah II (memerintah 1876-1881).

Sokongan dua orang yang berpengaruh ini sungguh berkesan sehingga Sultan Zainal Abidin kekal sebagai raja yang berjaya menegakkan pemerintahan yang kukuh dan bermaruah walaupun usianya ketika mula memegang tampuk pemerintahan negeri baru 16 tahun. Kejayaan baginda itu adalah berkat mendampingi serta menerima keputusan ulama. Baginda memerintah selama kira-kira 36 tahun 11 bulan hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1918.

Ketika Sultan Zainal-Abidin III mula naik takhta, Tokku Paloh belum menjawat apa-apa jawatan penting secara rasmi. Tetapi sebagai seorang tokoh agama, beliau sudah berpengaruh di kalangan istana. Kemudian beliau menjadi Syeikhul Ulama (ketua ulama) Terengganu dan dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri dalam kerajaan Sultan Zainal Abidin. Dengan kedudukan itu Tokku Paloh bertanggungjawab membantu kerajaan mentadbir negeri dan rakyat.

Bagaimanapun, ulama dan ahli tareqat yang arif perjalanan rohani ini lebih banyak berhubung secara peribadi dalam berbagai-bagai hal dengan Sultan Zainal Abidin. Keistimewaan ini menjadikan Tokku Paloh sebagai penasihat Sultan dan orang yang bertanggungjawab di belakang keputusan-keputusan yang dibuat oleh Sultan dalam pelbagai perkara terutamanya mengenai dasar luar negeri.

Ini terbukti dengan keputusan berani Tokku Paloh memberi perlindungan kepada pahlawan-pahlawan Pahang sekitar tahun 1894 dan keengganannya bekerjasama dengan pihak British. Pendirian beliau ini mempengaruhi sikap Sultan Zainal Abidin (kebetulan menantu kepada Sultan Ahmad Pahang) untuk terus-menerus menentang pertapakan British di Terengganu.

Penglibatan Tokku Paloh dalam perjuangan menentang campurtangan British di Pahang berlaku apabila pahlawan-pahlawan Pahang yang memberontak terpaksa berundur akibat tekanan hebat daripada pihak berkuasa. Mereka yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tuk Gajah dan anaknya Mat Kilau berada dalam keadaan serba salah dan hampir-hampir putus asa.

Akhirnya pada bulan Mei 1894, mereka membuat keputusan menghubungi Tokku Paloh. Ternyata hubungan ini memberi nafas dan tenaga baru kepada perjuangan mereka kerana Tokku Paloh bukan saja bersimpati malah bersedia membantu pahlawan-pahlawan itu menentang pencerobohan British di Pahang. Selama berada di Paloh, pahlawan-pahlawan yang terkenal hebat itu menggunakan sepenuh kesempatan menuntut ilmu agama dan mendalami perjalanan rohani sebagai bekalan dalam perjuangan yang amat sukar itu. Mereka berguru dengan Tokku Paloh.

Kemudian baru Tokku Paloh menyeru pahlawan-pahlawan itu supaya melancarkan perang jihad. Sebagai bekalan rohani, beliau memberi mereka wirid-wirid dan jampi-jampi tertentu dan menghadiahkan mereka pedang yang bertulis ayat-ayat Al-Quran pada matanya. Dan dengan sokongan dan pengaruh Tokku Paloh, pasukan pahlawan itu semakin besar dan mendapat sokongan sultan dan rakyat Terengganu untuk melancarkan serangan tahap kedua berdasarkan kecintaan kepada agama dan tanahair dengan semboyan ‘perang jihad’. Semangat perang jihad begitu ketara sekali di kalangan para pejuang itu.

Ketika inilah, Hugh Clifford, Residen British di Pahang, menyedari bahayanya pahlawan-pahlawan itu berada di negeri jiran kerana mendapat sokongan Tokku Paloh untuk melancarkan serangan baru dengan kekuatan agama. Demi menjaga kepentingan British di Pahang, pada bulan April 1895 Clifford mengetuai satu angkatan serarnai 250 orang untuk melumpuhkan kekuatan pihak yang disifatkannya sebagai pemberontak-pemberontak.

Sesampai di Terengganu, Clifford mengadap Sultan Zainal Abidin untuk mendapat kerjasama baginda. Sultan Zainal Abidin dengan senang hati mengeluarkan surat kuasa (waran) kepada Clifford untuk menangkap sesiapa saja daripada kalangan rakyat baginda yang bersubahat dengan pernberontak-pemberontak. Tetapi surat itu tidak memberi kuasa untuk menyiasat kerabat diraja, keluarga Sayid serta pembesar-pembesar baginda.

Baginda juga mengeluarkan satu surat sulit kepada orang-orang Besut supaya membantu pahlawan-pahlawan Pahang yang bersembunyi di daerah itu. Taktik diplomasi yang bijak itu menyelamatkan semua pejuang Pahang dan mengecewakan usaha ketua penjajah Pahang bernama Clifford itu. Clifford sentiasa curiga terhadap Tokku Paloh kerana dalam beberapa perundingan yang diadakan dengannya, pernimpin British itu percaya Tokku Paloh tidak berkata yang sebenarnya mengenai pemberontak-pemberontak.

Kadangkala wakil-wakil British itu dipersendakan oleh Tokku Paloh. Menurut cerita Syed Omar Abdul Kadir Al-Aidrus (cucu Tokku Paloh) kepada penulis, dalam sata pertemuan antara Tokku Paloh dan Clifford terjadi antara lain dialog seperti berikut:

 

Clifford:
Saya datang mahu mendapat kerjasama Tokku untuk menangkap pemberontak-pemberontak dari Pahang yang berada dalam negeri Terengganu.
Tokku Paloh:
Siapa yang dimaksudkan? Kerana kami orang Islam tidak boleh menyimpan pemberontak dan penjahat-penjahat. Kalau ada penjahat tentu kami sudah tangkap dan mengenakan hukuman berdasarkan hukum Islam.
Clifford:
Itu, Datuk Bahaman, Tuk Gajah, Mat Kilau dan pengikut-pengikut mereka melakukan banyak kacau dalam negeri Pahang. Sekarang mereka lari ke negeri ini.
Tokku Paloh:
Orang-orang itu semua baik-baik, bukan pengacau, bukan pemberontak kerana mereka menuntut pembebasan daripada campurtangan kuasa luar dalam negeri mereka, dan sebagai orang-orang Islam mereka mesti menuntut hak itu.


Sebagai satu helah, Tokku Paloh membenarkan juga angkatan Clifford itu menyiasat di Paloh sama ada benar pahlawan-pahlawan Pahang itu bersembunyi di sana (ketika itu semua mereka sudah bersembunyi di tempat-tempat selamat).

Clifford masih tidak berpuas hati kerana pasukannya gagal menemui ‘pemberontak-pemberontak’ itu. Dia percaya mereka ada bersembunyi di kawasan rumah Tokku Paloh. Ini berdasarkan beberapa bukti yang dia sendiri perolehi semasa siasatan dibuat. Tetapi dia dan pasukannya tidak berdaya berbuat apa-apa walaupun berkali-kali berunding dengan Tokku Paloh. Sebab itu bagi Clifford, penghalang besar kepada usahanya untuk menangkap pahlawan-pahlawan Pahang itu ialah Tokku Paloh sendiri.

Malah usaha terakhir Clifford meminta jasa baik Sultan supaya memaksa Tokku Paloh menyerahkan mereka itu juga gagal. Ini membuatkan dia sedar pengaruh Tokku Paloh begitu besar sekali di istana. Akhirnya Clifford mengambil keputusan meninggalkan Terengganu pada 17 Jun 1895.

Menentang Pertapakan British di Terengganu

Percubaan British untuk menjajah Terengganu bermula sejak awal abad ke-20. Gabenor Negeri-negeri Selat, Frank Swettenham, tanpa terlebih dahulu berunding, datang ke Terengganu pada tahun 1902 dan mengadap Sultan untuk mendapat persetujuan sultan mengenai satu rangka perjanjian yang disediakan di London antara kerajaan British dan Siam. Tetapi perjanjian yang kononnya memberi pengiktirafan yang lebih jelas terhadap naungan kerajaan Siam ke atas Terengganu itu secara rasmi ditolak oleh kerajaan Terengganu.

Sultan Zainal Abidin dan penasihat-penasihat baginda menyedari kesan daripada perjanjian itu dan nampak perancangan jauh kerajaan British yang beria-ia benar mempelopori perjanjian itu supaya ditandatangani. Sedangkan kerajaan Siam sentiasa menghormati pemerintahan Terengganu yang berdaulat.

Perkiraan itu ternyata berlaku pada 10 Mac 1909 bertempat di Bangkok di mana kerajaan British secara senyap menandatangani satu perjanjian baru dengan kerajaan Siam. Entah ganjaran apa yang diperolehi oleh kerajaan Siam, melalui pejanjian itu kerajaan Siam memindahkan (menyerahkan) segala hak naungan, perlindungan, pentadbiran, kawalan dan apa saja yang dipunyainya ke atas negeri-negeri Kelantan, Perlis, Kedah dan Terengganu serta pulau-pulau berhampiran.

Dengan perjanjian baru itu bermakna Terengganu bulat-bulat duduk di bawah kekuasaan British seperti terkandung dalam butir-butir perjanjian pertama tajaan British yang kononnya untuk menjelaskan pengiktirafan terhadap naungan Siam itu.

Sekali lagi kerajaan Terengganu ridak mengiktiraf dan menentang perjanjian berniat jahat itu. Malah pihak istana dan pembesar-pembesar negeri sangat marah dengan taktik halus British. Tokku Paloh, yang sangat berpengaruh terhadap dasar luar Terengganu, memberi pandangannya mengenai cita-cita British yang berkehendakan Terengganu dengan pertolongan Siam itu, dengan katanya antara lain:

“Dimaklumkan bahawa perkara ehwal treaty (perjanjian) yang dikehendaki oleh Inggeris dengan kebenaran Siam itu sangat besarlah pada paham paduka ayahanda (maksudnya beliau) waqiahnya dan sangatlah pada fuad (hati) Seri Paduka Anakanda Sultan Zainal Abidin akan akllahu al dafihi (telah menolong akan engkau oleh Allah SWT atas penolakannya) kerana sudah bersatu kira antara Siam dan Inggeris tetapi Insya-Allah tiada sekali-kali Allah SWT tasalitkan (beri kekuasaan-Nya) kuffar (orang kafir) atas Muslimin melainkan sebab tadyik (menghilangkan) mereka itu akan huquk (hak) syariat dan tiada bersungguh-sungguh mereka itu berpegang atas syariat yang mutahharah (undang-undang suci Islam) dan pemasukan ke dalam agama Islam akan barang yang dibenci oleh Rasulullah SAW. Maka wajiblah pada sekarang ini Seri Paduka Anakanda (Sultan) berkuat pada menzahirkan agama dan membatalkan segala mungkarat (kejahatan), jangan sekali tidak hirau…”

Walaupun usaha itu gagal, British terus menjalankan diplomasinya dalam berbagai bentuk rundingan. Antara pegawai yang mewakili British ialah W.L. Conlay. Dalam beberapa kali rundingan yang diadakan dengan pihak istana (tidak kurang dua kali). Sultan Zainal Abidin mengarahkan pihak British supaya berunding secara langsung dengan Tokku Paloh.
Sultan berkata kepada wakil British: “Terengganu ini ada tuannya, sila berunding dengan tuannya (yang dimaksudkan ialah Tokku Paloh).”

Berunding Dengan British

Rundingan pertama yang dijadualkan berlangsung di atas armada British terpaksa dibatalkan oleh British kerana dikatakan kapal armada itu beberapa kali senget apabila Tokku Paloh menyengetkan serbannya. Ini menakutkan wakil-wakil British yang menganggap kejadian itu satu magic (sihir atau silap mata) sedangkan yang sebenarnya adalah karamah kurniaan Allah kepada Tokku Paloh.

Ekoran itu, rundingan diadakan juga pada waktu lain dan kali ini di rumah Tokku Paloh. Untuk itu, Tokku Paloh meminjam beberapa buah kerusi bagi meraikan orang putih yang tidak pandai duduk bersila itu. Dengan duduk di atas kerusi, rundingan berjalan dengan panjang lebar dan antara lain wakil British memaklumkan bahawa pihaknya ingin mendapatkan tanah Terengganu dengan alasan membantu membangunkan dan memajukan negeri Terengganu. Dengan kata lain, dalam rundingan itu seolah-olahnya British hendak membantu memajukan Terengganu. Negeri Terengganu ketika itu berpenduduk sekitar 10,000 orang, kebanyakannya bekerja sebagai nelayan, tukang dan petani. Mereka diakui oleh Clifford sebagai “orang Melayu yang paling pandai dan paling rajin di Semenanjung Tanah Melayu”.

Tokku Paloh mempunyai pandangan yang jauh dan dapat membaca niat jahat wakil British yang mahu menguasai negeri Terengganu dan seterusnya menjajah. Lalu dengan selamba Tokku menjawab segala kehendak wakil British itu dengan penuh sindiran tanpa sedikit pun terpengaruh dengan ‘gula-gula’ yang diumpan oleh orang-orang putih itu. Dalam perternuan inilah berlakunya kerusi yang diduduki oleh wakil-wakil British itu melekat seketika di punggung mereka seperti telah diceritakan pada awal tulisan ini.

Wakil-wakil British itu pulang dari rumah Tokku Paloh dengan hati yang berang bercampur takut akan kelebihan yang ada pada Tokku Paloh. Mereka gagal sama sekali untuk menguasai Terengganu menerusi diplomasi.

Tidak berapa lama selepas itu, beberapa buah armada British datang lagi ke persisiran pantai Kuala Terengganu. Tanpa memberi sebarang amaran, armada itu melepaskan tembakan meriam dan senapang ke arah pantai dan mengarah ke udara. Serangan yang bertujuan menggertak itu telah membunuh seekor kambing di Padang Hiliran.

Orang rarnai menjadi gempar dan cemas, dan sekali lagi Sultan Zainal Abidin menyerahkan urusan ini kepada Tokku Paloh. Lalu dengan tenang dan yakin Tokku Paloh bersama orang-orang kanannya termasuk Haji Abdul Rahman Limbong, Syeikh lbrahim dan Tuk Kelam dan pengikut-pengikutnya yang lain meronda sepanjang pantai. Operasi rondaan ini berjalan siang dan malam.

Dikatakan ekoran dari itu, British tidak lagi membuat kacau, dan semua armadanya berundur. Mengikut laporan, angkatan perang British itu nampak ‘beribu-ribu’ pahlawan Terengganu lengkap dengan senjata bersiap sedia untuk melancarkan serangan balas. Sebab itulah mereka cabut lari.

Demikian kehebatan perjuangan Tokku Paloh yang mempunyai karamah menentang British berhabis-habisan. Beliau berpegang kepada firman Allah SWT bermaksud:

“Sesungguhnya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh”. (Al-Anbia: 105)

Beliau juga berpegang kepada falsafah: Perjuangan tidak kenal hidup atau mati. Dengan benteng iman dan taqwa yang kukuh pada diri Tokku Paloh itu, pihak British gagal menjajah Terengganu sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1917, dan diikuti dengan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III pada tahun berikutnya. Perginya ulama dan umara yang berganding bahu dalam pemerintahan…

Memerintah Paloh Dengan Hukum Islam

Dalam kesibukannya membantu pihak istana memerintah negeri Terengganu, Tokku Paloh diamanah pula mentadbir kawasan Paloh oleh Sultan Zainal Abidin. Dan dalam masa yang sama beliau diminta menjadi ri’ayah (pengawas) daerah Hulu Terengganu termasuk Kuala Berang hingga ke Kampung Cabang Tiga yang jaraknya dari hujung ke hujung kira-kira 50km. Ada juga maklumat yang mengatakan pihak istana meminta Tokku Paloh mengawasi kawasan Kuala Nerus.

Di Paloh, beliau mempunyai kuasa penuh sehingga kerana itu mendapat gelaran istimewa “Tokku Paloh’. Beliau menyusun struktur pentadbiran yang sesuai dengan keperluan semasa bagi memimpin pengikut dan rakyatnya kepada satu cita-cita murni – Islam. Untuk itu, beliau menggunakan kaedah tarbiah, ta’kim serta bimbingan rohani dan kuatkuasa undang-undang yang melibatkan pembantu-pembantu- nya yang amanah.

Biasanya urusan-urusan kemasyarakatan dibincangkan secara syura di kalangan orang kanan dan pengikut setianya. Perbincangan atau mesyuarat itu selalunya diadakan di balai yang didirikan oleh Tokku Paloh bersebelahan rumahnya. Balai ini juga dijadikan tempat beliau mendirikan sembahyang jemaah lima waktu bersama orang ramai.

Dalam hal kedudukan raja yang memerintah, Perlembagaan Terengganu 1911, antara lain menyebut:

“…Tetapi disyaratkan yang dipilih dan dijadikan raja itu seorang lelaki yang cukup umurnya dan sempurna akal, beragama Islam, berbangsa Melayu Terengganu dan daripda darah daging yang merdeka lagi diakui dengan sah dan halal serta baik pengetahuannya, boleh membaca dan menyurat (menulis) bahasanya dan mempunyai tabiat perangai yang baik dan tingkah laku yang terpuji.”

Dan raja akan hilang kelayakan menjadi raja sebagaimana tersebut pada fasal ketiga perlembagaan itu yang berbunyi:

“…Jika ada kecacatan yang besar yang menyalahi sifat raja seperti gila, buta, bisu atau ada sifat kekejian yang tiada dibenarkan oleh syarak (hukum Allah) menjadi raja.”
Perlembagaan ini digubal pada masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III di bawah nasihat utamanya Tokku Paloh iaitu pada tahun 1911. Ianya bertepatan dengan kehendak Islam di mana tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang Allah SWT.

Sembahyang Berimamkan Nabi Khidir a.s.

“Tokku mengajar di surau ini juga”, cerita Sayid Abdul Aziz, sambil menunjuk balai serbaguna yang dibangunkan oleh Tokku Paloh itu.

Menurutnya, semasa hayat Tokku Paloh, sekurang-kurangnya dua kali Nabi Khidir a.s datang berjemaah Subuh di balai tersebut. Peristiwa pertama berlaku semasa Tokku Paloh tidak sembahyang berjemaah bersama dengan murid-muridnya. Para ahli jemaah mendapati ada orang asing yang berserban jubah menjadi imam pada pagi itu. Selesai sembahyang, orang yang tidak dikenali itu duduk bersandar di tiang hujung di sebelab kanan balai itu sambil berwirid sebelum beliau pergi menghilangkan diri.

Tokku Paloh tahu hal ini, lalu berkata kepada murid-muridnya: “Kamu tahu siapa yang jadi imam tadi?” Masing-masing diam dan Tokku Paloh terus berkata: “Beruntunglah kamu, yang menjadi imam itu tadi ialah Nabi Khidir a.s. Dapat pahala besarlah kamu.

Kali kedua, Nabi Khidir a.s. datang berjemaah Subuh di balai itu ketika Tokku Paloh menjadi imam. Selain balai itu, Tokku Paloh mendirikan sebuah masjid kira-kira 10 rantai dan rumahnya sebagai tempat mendirikan sembahyang Jumaat dan sembahyang lima waktu. Masjid itu juga menjadi tempat murid-muridnya belajar ilmu dan mengadakan perhimpunan besar bagi merayakan satu-satu majlis yang berkaitan agama.

Di dua pusat inilah (balai dan masjid) Tokku Paloh memimpin dan membimbing orang ramai dengan ilmu, amal dan tarbiah rohani. Beliau mengajar ilmu-ilmu tauhid, feqah, tasawuf, tafsir, Hadis dan juga nahu saraf.

Beliau sangat menekankan ilmu dan amalan tasawuf di kalangan pengikut-pengikutnya. Malah Tokku Paloh mengarang kitab Maarijulah fan (tangga orang-orang yang sangat dahaga untuk naik kepada hakikat-hakikat pengenalan). Kitab ini membicarakan persoalan hati bagi mereka yang bermujahadah sehingga menjadi seorang yang bertakarrub ilallah.

Di antara anak murid dan pengikut Tokku Paloh yang terkenal ialah Haji Abdul Rahman Limbong, Haji Mat Shafie Losong, Tuk Kelam, Tuk Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Haji Wan Embong Paloh, Haji Abdullah Chik Fatani, Tuk Gajah, dan Sultan Zainal Abidin III sendiri. Baginda sultan sering berulang-alik dan istananya ke Paloh untuk belajar ilmu dan berbincang mengenai berbagai perkara dengan Tokku Paloh. Baginda mempunyai minat dan kebolehan yang luar biasa dalam bidang ilmu pengetahuan. Selain Tokku Paloh, guru-guru baginda yang lain temasuklah Hj. Wan Abdullah Mohd Amin (Tuk Syeikh Duyung), Hj. Wan Mohd bin Abdullah, Hj. Wan Abdul Latif bin Abdullah Losong dan lain-lain. Baginda juga boleh berbahasa Arab hasil tunjuk ajar seorang guru khas, Habib Umar.

Berkat dan kesungguhan menuntut ilmu dan sikap memuliakan ulama, Sultan Zainal Abidin III diakui oleh rakyat sebagai raja yang alim dan taat berpegang kepada ajaran Islam. Hingga dikatakan, semasa pemerintahan baginda, susah untuk dicari seorang yang sudah sampai umur yang belum khatam Al-Quran di Terengganu.

Selain itu, Tokku Paloh juga menjadi guru kepada anak-anaknya sendiri seperti Sayid Abu Bakar (Tokku Tuan Embong), Sayid Akil (Engku Sri Wijaya) dan Sayid Sagof (Engku Kelana). Kesemua mereka diakui sebagai ulama.

Dari hari ke hari, anak-anak murid dan pengikut Tokku Paloh semakin ramai. Mereka datang dari merata tempat. Paling ramai ialah orang-orang Pahang yang kebanyakan mereka adalah pahlawan-pahlawan yang menentang British. Di Paloh, mereka dilindungi di bawah pentadbiran yang adil, makmur, tegas berdasarkan hukum Allah SWT dan tidak bertolak-ansur dengan pihak British.

Untuk memastikan kawasan Paloh terhindar daripada segala perbuatan maksiat dan pelanggaran undang-undang serta untuk menjaga daripada pencerobohan luar maka Tokku Paloh menubuhkan pasukan penguatkuasa yang terkenal dengan nama Budak Raja. Pasukan ini bertanggungjawab menjaga keamanan sepertimana peranan polis pada hari ini.

Dalam pada itu Tokku suka keluar malam-malam untuk memastikan keselamatan dan kebajikan orang ramai terjamin. “Pada masa tertentu, Tokku keluar malam berselubung kepala dengan kain, meninjau-ninjau tentang kehidupan orang ramai. Jika ada perkara-perkara tak elok, besok Tokku suruh budak raja pergi tangkap,” cerita Sayid Abdul Aziz.

Sikap ini memperlihatkan betapa bertanggungjawabnya Tokku Paloh terhadap keselamatan dan kebajikan anak-anak buahnya seperti berlaku pada khalifah Umar Al-Khattab r.a. Bagaimanapun, kata Sayid Abdul Aziz, kawasan Paloh sentiasa terpelihara daripada gangguan penjahat luar dan dalam. “Musuh dan penjahat tidak dapat masuk ke Paloh dan kalau ada barang curi yang hendak dibawa keluar pun tak boleh”. Sayid Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan adanya ‘pagar kerohanian’ yang dibuat oleh Tokku Paloh selain daripada kawalan Budak Raja umpamanya, dan pagar lahir.

Mahkamah Keadilan Sendiri

Tokku Paloh mempunyai mahkamah keadilan sendiri di Paloh. Beliau mendapat mandat daripada sultan untuk menyelesaikan persoalan-persoalan besar dan mengadili penjahat-penjahat di kawasan pentadbirannya. Mana-mana keputusan yang dibuatnya dikira muktamad tanpa perlu merujuk kepada sultan. Dan dalam soal ini beliau ada mengeluarkan surat kuasa terhadap pembawa ajaran sesat.

Dengan itu tidak hairanlah nama Tokku Paloh semakin masyhur sebagai seorang ulama yang berwibawa dalam pemerintahan. Beliau berjaya membangunkan Paloh menjadi kawasan yang aman damai dan mempunyai kekuatan yang digeruni musuh.

Selain itu, Tokku Paloh juga dilantik sebagai Syeikhul Ulama, jawatan tertinggi dalam urusan agama. Jawatan ini pernah disandang oleh ayahnya Tokku Tuan Besar. Tokku Paloh adalah juga ahli Majlis Mesyuarat Negeri. Bagaimanapun, Tokku Paloh lebih banyak membuat perhubungan peribadi dengan Sultan Zainal Abidin III daripada perhubungan secara rasmi. Eratnya hubungan Tokku Paloh dengan Sultan amat nyata di mana salah seorang isterinya, Tengku Mandak, ialah kekanda kepada Sultan Zainal Abidin. Baginda Sultan pula telah menyerahkan anaknya, Tengu Sulaiman kepada Tokku Paloh untuk dijadikan anak angkat dan dididik dengan didikan agama. Tengku Sulaiman ini kemudiannya menjadi Sultan Terengganu yang ke-13, memerintah antara 1920-1942.

Demikianlah, setelah begitu lama menyumbang bakti kepada rakyat dan kerajaan maka Tokku Paloh jatub uzur dan kembali ke rahmatullah menernui kekasihnya Allah SWT pada 1 Zulhijjah 1336 Hijrah (1917) dalam usia 100 tahun. Setahun kemudian Sultan Zainal Abidin III pula mangkat iaitu pada 1 November 1918. Jenazah Tokku Paloh dimaqamkan di satu kawasan tinggi di Paloh. Beliau meninggalkan lebih 23 orang anak daripada lapan orang isteri. Semasa hayatnya Tokku Paloh sentiasa saja beristeri empat orang secara poligami, dan isterinya seramai 13 orang kesemuanya.

Amalan Tareqat dan Syahadat Tokku

Selaku pembawa amalan Tareqat Naqsyabandiah, Tokku Paloh terkenal sebagai seorang yang kuat mengamalkan zikir-zikir yang disusun oleh Syeikh Bahauddin, Syeikhul Tareqat Naqsyabandiah yang susur galurnya sampai kepada Sayidina Abu Bakar As Siddiq (maqam Syeikh Bahauddin terdapat di Uzbekistan). Begitu pula dengan amalan ibadah yang asas seperti sembahyang, puasa dan membaca Al-Quran dan lain-lain amalan sunat. Dengan kata lain Tokku Paloh sangat warak dan berhalus dalam beribadah.

Selain mengamalkan zikir Tareqat Naqsyabandiah secara istiqamah, Tokku Paloh juga mengamalkan dan mengembangkan amalan yang disusun oleh ayahnya Tokku Tuan Besar iaitu ‘Syahadat Tokku’. Amalan ini terus popular dan hingga kini masih diamalkan di banyak tempat di Terengganu secara jemaah dan bersendirian. Syahadat Tokku yang diamalkan dengan suara zihar (nyaring) itu ialah:

Ertinya aku ketahui dan aku iktiqad dengan hatiku dan aku nyatakan bagi yang lain daripadaku akan bahawa sesunggahnya tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah jua yang kaya Ia daripada tiap-tiap yang lain daripada-Nya dan berkehendak oleh tiap-tiap yang lain itu kepada-Nya. Lagi yang bersifat Ia dengan tiap-tiap sifat kesempurnaan yang maha suci Ia daripada segala kekurangan dan daripada barang yang terlintas Ia di dalam segala hati daripada barang yang tiada patut Ia bagi-Nya lagi tiada beristeri dan tiada anak dan tiada yang memperanakkan bagi-Nya. Dan tiada menyamai Ia pada zat-Nya dan sifat-Nya dan af’al-Nya akan seseorang maka Ialah Tuhan yang menjadi Ia akan segala makhluk yang ‘ulvi-Nya dan syufli-Nya lagi ketunggalan Ia pada mengadakan dan mentiadakan dengan kekerasan takluk qudrat dan iradat-Nya maka terserahlah segala kainat ini semuanya pada bawah perintah-Nya dan tiadalah jenis ‘itirat bagi seorang jua pun akan kehendak-Nya.

Dan aku ketahui dan aku iktiqad dengan hatiku dan aku nyatakan bagi yang lain daripadaku akan bahawa sungguhnya penghulu kita Nabi Muhammad anak Abdullah itu hamba Allah dan pesuruh-Nya kepada sekalian makhluk lagi sangat benar ia pada tiap-tiap barang yang ia khabarkan dengan dia daripada Tuhannya. Maka wajiblah atas tiap-tiap makhluk itu benar akan dia dan mengikut akan dia dan haram atas mereka itu mendusta akan dia atau menyalahi akan dia maka barang siapa yang mendusta ia akan dia maka orang itu zalim ia lagi kafir ia, dan barang siapa yang menyalahi ia akan dia maka orang itu derhaka ia lagi binasa ia. Mudah-mudahan memberi taufiq akan kita oleh Allah bagi sempurna mengikut akan dia dan mengurnia ia bagi kita akan sempurna berpegang dengan jalannya dan menjadi ia akan kita akan setengah daripada orang yang menghidup ia akan segala hukum syariat-Nya dan memati Ia akan kita atas keagamaan-Nya dan menghimpun Ia akan kita serta perhimpunannya. Demikian lagi segala yang memperanak akan kita dan ahli kita dan segala saudara kita dan yang kasih la akan kita dan segala sahabat kita daripada segala orang yang Muslimin. Amin.

Syahadat Tokku ini diwariskan kepada murid-muridnya. Pengikut kanan beliau Haji Abdul Rahman Limbong mengembangkan amalan ini kepada murid-murid dan anak cucunya pula. Ini diakui oleh Pak Cik Ali Haji Yusof, cicit Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau berkata: “Saya dapat mengamalkan syahadat ini semasa datuk (menantu Haji Abdul Rahman Limbong) dan ayah saya lagi.” Menurut beliau, amalan itu masih kekal sebagamaana dilakukan pada zaman Hj. Abdul Rahman Limbong iaitu bermula dengan ratib Al-Hadad dan diakhiri dengan Syahadat Tokku, sekali-sekala disusuli dengan burdah pula.

Kontroversi Syahadat Tokku

Amalan Syahadat Tokku ini pernah menjadi kontroversi apabila salah seorang pembawa amalan ini dihadap ke mahkamah kerana dituduh sesat. Peristiwa ini berlaku kepada Tuan Haji Hussein Haji Mat yang mengembangkan amalan ini di Kampung Gong Ubi Keling, Besut di mana dalam masa yang singkat saja sudah meriah dengan ramai pengikut.

Tuan Haji Hussein tidak menolak kemungkinan tindakan yang dikenakan ke atas dirinya itu didorong oleh iri hati dan hasad dengki orang-orang tertentu kerana surau yang baru beliau bangunkan lebih meriah berbanding dengan surau-surau lain. Mereka mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas beliau (Haji Hussein) atas alasan yang batil dan fitnah.

Mengenang peristiwa pahit yang berlaku pada sekitar tahun 1950 itu, Haji Hussein bercerita: “Hampir seribu orang yang berada di Mahkamah Kadhi Besut untuk mendengar keputusan perbicaraan saya yang dituduh sesat kerana mengamalkan Syahadat Tokku ini.”

Orang ramai nampak cemas kerana peristiwa ini besar dan kali pertama berlaku di Besut. Menurut Haji Hussein, sewaktu perbicaraan, beliau disuruh membaca segala amalan yang diamalkannya selama ini.

“Saya pun membaca habis satu persatu bermula dengan ratib Al-Hadad, Burdah dan akhirnya Syahadat Tokku. Selesai saya membaca sernuanya, Hakim Cik Awing yang juga Kadhi Besut itu berkata: “Apa yang Tuan Haji baca itu ada pada saya”.

“Rupa-rupanya Tuan Hakim Cik Awing juga mengamalkan Ratib Al-Hadad dan Syahadat Tokku. Kemudian saya dibebaskan tanpa sebarang tindakan yang dikenakan malah nampaknya tuan hakim itu pula yang seolah-olahnya menggalakkan amalan ini diteruskan. Mendengarkan keputusan yang benar itu maka oriang ramai di luar mahkamah turut bersyukur dan ada yang menitiskan air mata gembira”, cerita Haji Hussein lagi. Sehingga kini Haji Hussein terus mengamalkan Syahadat Tokku ini bersama-sama sahabat-sahabatnya, amalan yang pada setengah orang jahil dikatakan ‘syahadat tambahan’.

Syahadat Tokku yang disusun oleh wali Allah itu terus popular di kalangan orang yang arif di banyak tempat dalam negeri Terengganu. Amalan yang menjelaskan unsur-unsur tauhid dan pembersihan hati yang amat diperlukan oleh seorang hamba terhadap Tuhannya, Allah SWT.

Rupa Paras Tokku Paloh

Tentang rupa paras Tokku Paloh, cucunya Sayid Abdul Aziz berkata Tokku Paloh berjanggut tanpa berjambang. Orangnya tidak tinggi tetapi badannya berisi. Rupa kasar itu adalah gambaran yang dilihat dalam mimpinya.

“Beberapa kali saya bermimpi Tuk Aki saya”, cerita Sayid Abdul Aziz kepada penulis.

Kenyataan mengenai rupa paras Tokku Paloh yang dilihat dalam mimpi itu diakui oleh murid beliau yang masih hidup iaitu Pak Cha yang berumur lebih 90 tahun. Penulis bertemu dua kali dengan beliau pada akhir tahun 1989 dan 1991. “Dia rendah”, kata Pak Cha sambil menunjuk salah seorang yang berada di tepinya yang berbadan agak gemuk tetapi tidak tinggi sangat.

Sumber: http://alawiyyin.bravepages.com/in-bio-tokku.htm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s