Mengenal Diri Melalui Rasa Hati: 01 Amalan Lahir Dan Amalan Batin

SYARIAT ialah apa sahaja amalan-amalan lahir yang diperintahkan kepada umat Islam sama ada wajib atau sunat. Dan apa sahaja yang ditegahkan sama ada yang haram atau makruh termasuk juga amalan-amalan yang harus kedudukannya.

Syariat lahir terbahagi dua:
1. Hablumminallah
2. Hablumminannas
.
Hablumminallah ialah amalan-amalan yang ‘termasuk persoalan ibadah. Contohnya sembahyang, puasa, zakat, haji, baca Quran, doa, zikir, tahlil, selawat dan lain-lain.
Hablumminannas ialah amalan-amalan lahir kita yang termasuk dalam bidang-bidang muamalat (kerja-kerja yang ada hubungkait dengan masyarakat), munakahat (persoalan kekeluargaan) dan jenayah serta tarbiah Islamiah, soal-soal siasah, fisabilillah, jihad dan persoalan alam sejagat.

HAKIKAT pula ialah apa jua amalan batin yang diperintahkan ataupun yang ditegah oleh Allah SWT kepada umat Islam. Amalan yang diperintahkan dikenali sebagai sifat “mahmudah” (sifat-sifat terpuji) dan yang ditegah ialah sifat “mazmumah” (sifat-sifat terkeji).

Hakikat juga terbahagi dua:
1. Berakhlak dengan Allah
2. Berakhlak dengan manusia

Antara bentuk-bentuk akhlak dengan Allah ialah:
– Mengenal Allah dengan yakin;
– Merasa kehebatan Allah;
– Merasa gerun dengan Neraka Allah;
– Merasa sentiasa diawasi oleh Allah;
– Merasa hina diri dan malu dengan Allah;
– Meredhai setiap takdir dan ketentuan Allah;
– Sabar di atas sebarang ujian Allah;
– Mensyukuri nikmat-nikmat pemberian Allah;
– Menyintai Allah;
– Merasa takut pada Allah atas kecuaian dan dosa-dosa kita;
– Tawakal kepada Allah;
– Merasa harap pada rahmat Allah;
– Rindu pada Allah;
– Sentiasa mengingati Allah;
– Rindu pada syurga Allah kerana ingin bertemu dengan-Nya.

Bentuk-bentuk akhlak kepada manusia:
– Mengasihinya sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri;
– Merasa gembira di atas kegembiraannya dan tumpang berdukacita kerana kedukacitaannya;
– Menginginkan kebahagiaan untuknya di samping berharap agar kecelakaan menjauhinya;
– Benci pada kejahatannya tetapi kasihan pada dirinya hingga timbul perasaan untuk menasihatinya;
– Pemurah padanya;
– Bertolak ansur dengannya;
– Mengenang jasanya dan berusaha membalasinya kerana Allah;
– Memaafkan kesalahannya dan sanggup meminta maaf atas kesalahan padanya;
– Kebaikannya disanjung dan diikut, kejahatannya dinasihati dan dirahsiakan. Lapang dada berdepan dengan ragam manusia;
– Baik sangka terhadap orang Islam;
– Tawadhuk dengan manusia.

Kedua-dua syariat dan hakikat adalah perkara-perkara yang sangat penting untuk membentuk peribadi yang benar-benar bertaqwa dan terlepas dari sifat-sifat nifaq. Kita wajib mengamalkan kedua-duanya serentak dan seiring. Namun adalah diakui bahawa bukanlah mudah bagi kita untuk mengamalkannya.
Allah SWT menjelaskan ini dengan firman-Nya dalam surah Al Baqarah:

Terjemahannya: Mintalah bantuan dalam urusanmu dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu adalah sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk iaitu orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa kepada-Nyalah mereka akan kembali
(Al Baqarah : 45)

Allah SWT mengatakan untuk menjadi orang yang sabar itu susah dan untuk menjadi orang-orang yang tetap bersembahyang itu juga susah. Maknanya kedua-dua amalan lahir dan batin itu memang susah untuk diamalkan. Tetapi ianya jadi mudah dan senang bila kita dapat memiliki sesuatu yang lebih penting dari keduanya iaitu rasa khusyuk dengan Allah (rasa diawasi Allah setiap masa), yakni yakin akan pertemuan dan pengembalian diri ke hadrat Allah SWT di akhirat nanti.
Dari situ fahamlah kita bahawa antara kedua-dua amalan lahir dan batin, yang mesti diberatkan dan didahulukan pada diri kita ialah amalan batin. Kita usaha dapatkan dulu rasa khusyuk atau yakin akan kewujudan Allah serta pertemuan kembali kita dengan-Nya di satu hari nanti. Kemudian nanti, barulah kita akan ada kekuatan untuk mengamalkan syariat dan hakikat.
Tanpa rasa khusyuk itu, kita tidak akan dapat mengalahkan hawa nafsu dan syaitan yang sentiasa bersungguh-sungguh mengajak kita menderhakai Allah.

Inilah panduan kita untuk memperjuangkan Islam dalam diri manusia. Apa yang mesti didahulukan ialah berusaha supaya hatinya berubah, dari hati yang tidak kenal Allah kepada hati yang khusyuk dan cinta kepada Allah. Dari hati yang lalai kepada hati yang sentiasa ingatkan Allah. Bila hati sudah cinta Allah akan ringanlah manusia itu menerima dan mengamalkan syariat Allah lahir dan batin.

Sumber: http://www.kawansejati.org/mengenal-diri-melalui-rasa-hati/ms-01-Amalan-Lahir-dan-Amalan-Batin.html

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s