Ringkasan Mengenai Imam Mahdi (1): Keturunan dan Pribadinya

Untuk memudahkan pemahaman dan pengajian mengenai aspek-aspek penting Imam Mahdi, berikut ini diperturunkan ringkasan mengenai beliau, berdasarkan hadis-hadis yang telah disebutkan terdahulu dan juga daripada penulisan ulama yang mengkaji tentang Imam Mahdi secara tepat. Hal ini dilakukan oleh beberapa orang ulama dahulu dan sekarang, dengan tujuan menjadikan pembacaan lebih pantas, terutama untuk memahami beberapa perkara ang agak sulit untuk difahami sebelumnya. Dalam hal ini, penulis lebih banyak menggunakan pendapat sendiri iaitu hasil apa yang difahami daripada hadis-hadis yang telah dikaji dan diteliti. Namun, dasarnya adalah diambil daripada pendapat penulis lain yang telah sedia mendahului.

1. Keturunan Imam Mahdi

Beliau adalah salah seorang Ahlulbait yang datang dari keturunan Rasulullah SAW, seperti yang disebutkan dan diakui oleh baginda SAW sendiri, iaitu melalui anaknya Sayidatina Siti Fatimah az-Zahra RA, dengan suaminya Sayidina Ali KMW, melalui anak mereka Sayidina Husain dan Sayidina Hasan RA. Kemudian dari keturunan kedua-duanya bercampur lagi dengan keturunan Sayidina Abbas RA, bapa saudara Rasulullah SAW. Dari salasilah pula, nyatalah lebih berat keturunannya kepada Sayidina Husain daripada Sayidina Hasan RA. Oleh itu, lazimlah disebutkan oleh sekalian umat Islam bahawa Imam Mahdi itu adalah dari anak cucu Sayidina Husain RA sahaja.

Ringkasnya Imam Mahdi adalah seorang yang berketurunan Arab, dari suku Quraisy, dari puak Bani Hasyim, dari pencar Nabi Muhammad SAW, dari anak cucu Sayidina Ali KMW yang dipanggil Alawiyin, dari Bani Husaini. Beliau adalah semulia-mulia dan sebaik-baik Ahlulbait, iaitu yang terdapat pada akhir zaman ini. Kelebihan ini sudah dinyatakan secara terang-terangan oleh baginda SAW sendiri.

Nama Imam Mahdi adalah nama yang sama dengan nama Rasulullah SAW iaitu Muhammad dan Ahmad. Itulah nama yang dipersetujui oleh seluruh ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah, berlawanan dengan Syiah. Maksudnya, nama Imam Mahdi itu adalah kedua-dua nama itu iaitu Muhammad dan Ahmad. Cuma yang lebih dominan dan dikenali ramai di atas muka bumi ini adalah Muhammad, manakala Ahmad itu adalah namanya yang dominan di langit sana. Nama bapanya adalah Abdullah, iaitu serupa dengan nama bapa Rasulullah SAW. Kuniyahnya seperti yang disebutkan oleh hadis adalah Abu Abdillah. Selain itu, beliau juga mempunyai beberapa kuniyah yang lain, yang sesuai dengan kedudukan dan kemuliaan dirinya. Dan sesuai pula dengan tempat lahirnya yang jauh daripada Tanah Arab itu kerana nenek moyangnya merantau berdakwah ke tempat orang.

Beliau adalah seorang tokoh yang amat dikenali oleh seluruh manusia di seluruh dunia, sejak dari zaman Nabi Musa AS lagi, hinggalah ke hari ini. Gelaran beliau sudah pun disebutkan di dalam Kitab Taurat. Nama Imam Mahdi itu sendiri mengundang pelbagai persoalan dan polemik yang sentiasa menggoncangkan agama-agama besar di seluruh dunia, tidak terkecuali agama kita, Islam.

2. Sifat-sifat Peribadinya

Beliau adalah seorang yang badannya tegap, besar tinggi macam badan orang-orang Israel (menurut pandangan orang-orang Melayu) dan bertubuh sederhana (menurut pandangan orang-orang Arab). Kulitnya putih kemerah-merahan macam kulit orang Arab, dengan sedikit cenderung kepada kehitam-hitaman seperti kulit orang Ajam. Wajahnya tampan dan seolah-olah bersinar laksana bintang. Kepalanya besar, begitu juga dengan bentuk mukanya yang agak memanjang. Dahinya luas dan lebar. Hidungnya mancung seperti hidung orang-orang Arab, tidak seperti lazimnya orang-orang Ajam. Bulu keningnya nipis dan melengkung tetapi tidak bertemu antara kedua-dua belah. Biji matanya besar manakala di pelupuk matanya, sentiasa kelihatan bercelak.

Pada pipi kanannya ada satu tahi lalat hidup yang besar, bukan semula jadi tetapi mendatang. Jambangnya agak nipis tetapi janggutnya panjang, tebal dan lebat. Manakala gigi serinya bersinar dan lazimnya berjarak. Pada tengah belikatnya terdapat satu cop kenabian berwarna hitam yang ditumbuhi rambut. Bahunya lebar dan dadanya bidang. Kedua-dua belah pahanya renggang manakala daging pahanya agak besar. Beliau sentiasa memakai serban terutama yang berwarna putih, manakala jubahnya dua lapis berwarna putih, dari jenis Qutwani. Jubahnya agak pendek (tidak sampai ke buku lali) dan adalah dari jenis yang belah dada terus ke bawah.

Kedua-dua belah tapak tangannya besar dan tegap. Beliau dikatakan seorang yang sukar bertutur kata. Apabila sukar untuk menuturkan sesuatu, beliau akan menepuk paha kirinya dengan tangan kanan. Secara amnya, perawakannya adalah sama dengan perawakan Rasulullah SAW. Beliau seorang yang tidak gemuk dan tidak pula kurus. Beliau seorang yang berbadan tegap dan agak tinggi, seperti tingginya orang-orang Israel. Beliau sentiasa kelihatan sihat dan gembira.

Semasa Imam Mahdi mula-mula zahir ke dunia ini sebagai pemerintah, beliau memakai serban yang ada satu malaikat di atasnya. Malaikat tidak dapat dilihat oleh manusia biasa (kecuali orang-orang yang Allah izinkan untuk dapat melihatnya) tetapi dapat didengar suaranya dengan jelas oleh mereka yang menyeru, “Inilah dia Al-Mahdi, khalifah Allah. Oleh itu, ikutilah dia dengan ikhlas dan yakin.” Kemudian akan keluar satu tangan yang menjulur dari arah serban itu, yang mengisyaratkan kepada orang ramai supaya berbaiat kepada Imam Mahdi.

Imam Mahdi juga memiliki baju besi Rasulullah SAW yang baginda pakai semasa pergi berperang, yang selepas kewafatan baginda SAW, tidak pernah dipakai orang kecuali apabila Imam Mahdi zahir. Beliau juga memiliki sebilah pedang yang bernama Zulfakar, juga milik baginda SAW. Pedang itu pernah digunakan oleh Sayidina Ali KMW dalam beberapa peperangan. Beliau juga memiliki sehelai bendera merah yang diperbuat daripada kain bulu yang tertulis di atasnya dengan warna hitam perkataan, “Bermula Perjanjian Itu Bagi Allah.”

Beliau tidak pernah membangunkan orang yang sedang tidur kecuali apabila masuk waktu sembahyang. Beliau tidak menumpahkan darah manusia melainkan dengan hak, akan memerangi bersungguh-sungguh orang-orang Islam yang meninggalkan sunnah Nabi SAW sehingga mereka bertaubat dan meninggalkan bidaah dan khurafat itu, juga memerangi kaum kuffar dan musyrik yang mahu melawannya. Setiap yang berlawanan dengan sunnah akan beliau hapuskan sehingga seluruh manusia benar-benar kembali kepada akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Beliau juga akan menjadi raja yang sangat besar seperti yang pernah dinikmati oleh Nabi Sulaiman AS dan Iskandar Zulkarnain. Malah dikatakan pemerintahannya kali ini lebih besar dan bererti berbanding kedua-dua mereka yang terdahulu itu. Beliau juga akan menghapuskan babi dan kera, di samping menghancurkan salib-salib dan rumah-rumah berhala. Maksudnya setelah semua orang memeluk Islam, mereka sudah tidak memerlukan lagi rumah-rumah berhala itu lalu mereka sendiri yang meruntuhkannya. Cuma dikaitkan dengan Imam Mahdi kerana beliau yang sedang memerintah seluruh manusia pada ketika itu.

Melalui kedua-dua belah tangannya, Allah menurunkan keberkatan yang melimpah ruah, yang tidak pernah terbayangkan oleh sekalian manusia, sama ada yang hidup pada masa itu atau sebelumnya, sehingga harta benda jadi melimpah ruah dan rezeki sangat murah. Penyakit-penyakit jadi hapus dan binatang-binatang bisa hilang bisanya, boleh dimain oleh kanak-kanak tanpa takut disengat atau digigit. Pemerintahannya sangatlah adil dan amat diredai oleh sekalian manusia, haiwan dan malaikat.

Imam Mahdi memang seorang yang sangat gagah perkasa sehingga sekalian manusia amat mengharapkan pertolongan, perlindungan dan keamanan daripada beliau. Allah SWT turut mengurniakannya seramai tiga ribu malaikat yang sentiasa patuh dan taat segala perintah beliau. Malaikat-malaikat ini akan memukul setiap orang yang menentang Imam Mahdi. Selain itu, Jibril dan Mikail AS akan turut sama membantu beliau semasa sedang berperang dengan pihak musuh.

Imam Mahdi juga diberikan kelebihan menghapuskan segala macam bentuk fitnah, memusnahkan segala macam bentuk judi, zina, arak, maksiat dan dosa. Beliau juga akan melenyapkan segala bentuk riba dan harta haram. Pemerintah-pemerintah yang kafir semuanya akan tunduk kepada pemerintahan beliau, dengan kebanyakan negara yang sebelumnya kafir akan terus memeluk Islam, tanpa melalui peperangan. Tidak ada lagi parti-parti politik atau orang-orang yang cuba menjadi ahli politik seperti yang sedang berlaku pada hari ini. Tidak ada orang yang dinamakan sebagai pihak pembangkang kerana semuanya itu adalah warisan daripada sistem Barat yang telah amat lapuk.

Keamanan akan benar-benar terjadi pada masa pemerintahannya sehingga kaum wanita dapat mengerjakan haji dengan beberapa orang sahaja tanpa berasa takut langsung sepanjang perjalanan pergi, semasa di Makkah dan dalam perjalanan pulangnya. Keamanan benar-benar wujud di dalam hati, perasaan, fikiran dan lahiriah seluruh manusia, terutamanya yang beragama Islam. Umat Islam rata-ratanya akan menjadi orang-orang yang saleh dan warak, tidak ada lagi orang-orang yang derhaka kepada Tuhan. Tidak ada juga orang-orang yang berselisih faham,apatah lagi bergaduh, walaupun hanya dua orang sahaja. Para wali dapat ditemui di tengah-tengah umat manusia, seperti yang pernah berlaku pada zaman sahabat dahulu dan dapat pula diambil butir-butir hikmat daripada keberadaan mereka itu.

Tanam-tanaman dan haiwan ternakan menjadi amat berkat dan melimpah ruah. Tanah-tanah pertanian tidak perlu dibaja atau dijaga dengan susah payah lagi kerana tanah-tanahnya sudah amat subur melalui curahan air hujan dan haiwan-haiwan perosak tanaman sudah tidak ada lagi. Secupak benih yang ditanam mampu membuahkan sehingga tujuh ratus cupak apabila dituai. Buah-buahan amat lebat dan keluar sepanjang masa, tidak lagi mengira musim. Pada masa itu, bumi ini akan menjadi seolah-olah syurga yang disegerakan bagi para penduduknya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s